SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Sunday 27 March 2016

LAUT CHAMPA : Satu nama sengaja di lupakan?

Kedudukan Laut Champa | Sumber : Google Map


Pendahuluan
Kebelakangan kedaulatan tanah air kita terutama di kawasan perairan Sabah kerap diceroboh oleh anasir luar yang turut mendakwa perairan tersebut sebagai kawasan kedaulatan mereka. Dunia mengenali perairan ini dengan nama South China Sea atau kita membacanya sebagai Lautan China Selatan. Admin pada awalnya tidak meragui terhadap nama lautan tersebut, bagaimanapun mula menyedari setelah meneliti dan membuat beberapa penulisan berkenaan kerajaan tua Melayu dan mendapati ia dirujuk sebagai Laut Champa oleh pelaut dan pengembara suatu masa yang lampau, sempena nama Kerajaan Melayu Champa. 

Peranannya
Kerajaan Champa wujud seawal 192 Masihi, dan terus berkembang sehinggalah ia gagal menumpaskan pencerobohan tentera Dai Viet terhadap Ibu Kotanya, Vijaya pada 1471. Sepanjang tempoh hampir 1300 tahun kewujudannya dari tahun penubuhan hingga ke tahun ketewasannya, kerajaan Champa telah membina satu ketamdunan yang tinggi peradabannya, malah kawasan perairan negara tersebut turut dinamakan sempena nama kerajaannya, ini menunjukkan bahawa Champa adalah sebuah negara maritim bukan seperti kerajaan yang berjiran dengannya. Sejarah Champa menyaksikan Dai Viet muncul sebagai seteru utama kedaulatannya di Utara dan Khmer dari Barat turut menjadi musuhnya. Kedudukan Champa atau lebih tepat ibu kotanya, Vijaya adalah berhampiran kawasan laut, dan kerajaan ini awalnya mengamalkan kepercayaan dan kebudayaan penganut Hindu yang dipercayai disebarkan melalui jalan laut.

Berikutan kedudukan ibu negaranya di pesisir pantai, membolehkan kerajaan Champa membangunkan infrastruktur dan teknologi pelayaran yang lebih canggih berbanding dengan jiran-jirannya. Dipercayai kepakaran orang-orang Champa dalam pelayaran diwarisi daripada kerajaan terdahulu iaitu Funan sebuah kerajaan thalassocracy sebelum ianya digantikan oleh Chen La pada tahun 550 masihi. 

Lokasinya yang strategik, ibu kotanya canggih dan terkenal serta menjadi tarikan para pengembara serta sebagai lokasi pertemuan antara pedagang barat dan China, justeru tidak menghairankan mengapa perairannya dirujuk sebagai Laut Champa. Sungguhpun demikian kebanyakan barangannya agak mahal kerana kepulauan Melayu di nusantara membekalakan bekalan dan menjadikannya lebih murah, hal ini berlaku berikutan Champa tidak begitu subur dengan keadaan geografinya tidak begitu sesuai untuk tanaman bermutu tinggi kecuali untuk tanaman kontan sahaja. Meskipun begitu ia tetap maju berbanding Chen La dan Dai Viet mahupun La Xhang (Laos), hal ini juga menjadikan Champa sebagai sasaran Dai Viet yang merdeka daripada naungan China pada tahun 950 masihi meluaskan pengaruhnya ke arah kedudukan Champa di Selatan atas sebab bekalan sumber dan perluasan kawasan.

Dilupakan
1472, kerajaan Champa telah hampir pupus setelah Vijaya ditawan oleh Dai Viet dan memaksa pemerintahannya dipindahkan ke Selatan iaitu di Pandurangga. Pada tempoh ini, tidak dapat dikesan dengan jelas terhadap pemerintahan kerajaan Champa, kerana catatan sejarah hanya menyatakan terdapat legasi pemerintahan kerajaan Champa yang diteruskan oleh Dinasti Selatan dengan rajanya bernama Po Matuha pada 1622 Masihi. Jarak 150 tahun ini adalah tempoh peralihan peranan kerajaan Champa itu sendiri, setelah tewas ia tidak mampu lagi bangkit. 

Hal ini berlaku kerana kerajaan Champa pada era kegemilangannya bergantung sepenuhnya kepada sumber maritim dan tidak begitu pakar dalam membangunkan sumber sepertimana kerajaan agrarian, justeru ia tidak mampu bangkit dengan segera, ditambah ia turut diancam oleh Khmer. Pada masa ini nama Lautan Champa telah luput sebaliknya muncul nama Laut China Selatan, hal ini dikuatkan lagi setelah kejayaan ekspedisi flotila Laksamana Cheng Ho melawat dan mengunjungi negara-negara asing di Asia dan Afrika pada misi diplomatik kerajaan China di bawah dinasti Ming [1338 – 1644], nama Laut Champa sepenuhnya telah dilupakan.


Rujukan:
  1. http://focuss.my/konflik-laut-china-selatan-bukti-sejarah-melayu-champa-kuasai-perairan/
  2. http://news.nationalgeographic.com/news/2014/06/140616-south-china-sea-vietnam-china-cambodia-champa/
  3. https://en.wikipedia.org/wiki/South_China_Sea 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...