SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Wednesday 24 February 2016

HELAH CHAMPA ELAK DI TAWAN KHMER...

Filem Nujum Pak Belalang merupakan antara filem lakonan Allahyarham Prof. Tan Sri Datuk Amar Dr. Teuku Zakaria Teuku Nyak Puteh (P.Ramlee) yang hingga kini diminati oleh segenap lapisan masyarakat Malaysia. Lakonan allahyarham dalam filem tersebut amat berkesan dengan menerapkan unsur satira yang mencuit hati serta meninggalkan kesan yang mendalam kepada penonton.

Satu babak dalam filem tersebut apabila Raja Masai menembak meriam betalu-talu kearah laut negeri Sultan Shahrulnizam, sehingga menimbulkan kegemparan sekalian rakyat dan pembesar. Raja Masai sebenarnya mahu menakluk negeri Sultan Shahrulnizam bagaimanapun penasihat baginda sedar mereka tidak mampu dari segi angkatan tentera, jadi mereka menggunakan helah iaitu mengadakan pertandingan antara ahli nujum Sultan Shahrulnizam dengan ahli nujum Raja Masai dengan cagaran negeri masing-masing. Ditakdirkan Raja Masai kalah dan tergadailah negerinya kepada Sultan Shahrulnizam.



Kedua-dua bangunan di atas terbina hasil helah yang sama seperti dalam plot filem Nujum Pak Belalang, mungkin plot dalam filem itu mengambil dari peristiwa yang akan kami kisahkan ini.

Bangunan-bangunan ini sebenarnya berfungsi sebagai kuil dan ia dibina sewaktu kegemilangan kerajaan Champa yang diperintah oleh raja-raja berbangsa Melayu pengaruh Hindu-Budha. Menurut lagenda masyarakat Champa yang terpahat pada batu bersurat yang ditemui sekitar Vietnam menyatakan terdapat satu kisah lagenda berkenaan Raja mereka yang bernama Po Klaung Garai.

Sukar untuk mendapatkan maklumat tentang tokoh Lagenda Champa ini, namun ada yang menyatakan bahawa Po Klaung Garai merupakan seorang lelaki biasa yang hidup sebagai pengembala lembu, atas kehendak takdir beliau telah diangkat menjadi raja bagi orang-orang Champa. Tokoh lagenda ini dikenang orang sebilangan masyarakat Melayu Champa di Vietnam atas kebijaksanaan beliau dalam menangani serangan daripada orang-orang Kemboja.
Bagi mengelakkan pertumpahan darah di kedua dua belah pihak, Po Klaung Garai mencadangkan diadakan satu pertandingan diantara orang-orang Champa denngan orang-orang Kemboja. Sekiranya orang-orang Kemboja kalah mereka perlu keluar dengan segera daripada Champa, dan jika orang Champa kalah mereka perlu akur kepada Kemboja, pembinaan candi adalah subjek pertandingan tersebut. Hasil daripada pertandingan ini adalah terbinanya candi Po Klong Garai dan candi Hoa Lai dan orang-orang Champa berjaya menyelamatkan negeri mereka daripada pencerobohan orang-orang Kemboja pada masa itu.

Raja Jaya Simhavarman III disebut-sebut sebagai orang yang bertanggungjawab membina candi sempena memperingati Raja Po Klaung Garai pada akhir abad ke-13, namun terdapat catatan menyatakan candi tersebut dibina seawal 1030 Masihi berdasarkan kepada batu bersurat yang ditemui pada candi Po Klong Garai yang tercatat penghargaan kepada dua putera Champa yang memenangi pertandingan tersebut.   Jaya Simhavarman III diyakini hanya membaik pulih serta melakukan sedikit penambahan terhadap Candi yang mendapat pengiktirafan seni bina warisan Vietnam oleh kerajaan negara tersebut pada 1979.

Candi ini dibina dengan gaya Thap Mam Cham satu senibina orang-orang Melayu Champa. Ia terdiri  daripada tiga menara: sebuah menara utama dengan tiga tingkat dan kedua adalah menara pintu yang bersaiz kecil, menara ketiga pula memanjang dengan bumbung berbentuk seperti pelana. Ringkasnya binaan, hiasan dan ukiran yang terdapat pada candi ini lebih kepada Hindu Dewa Siva yang disifatkan sebagai Raja Po Klaung Garai oleh orang-orang Champa, lebih menarik ia hanya dibina dengan susunan kombinasi beratbatu-bata tanpa plaster.

Admin sebenarnya kagum dengan hasil kerja orang-orang dahulu kerana hasil binaannya indah dan kukuh malah boleh disaksikan hingga kesaat ini walaupun ia telah dibina ratusan tahun dahulu. Admin juga pernah mengutarakan pertanyaan kenapa binaan sebegini tidak wujud di negara kita terutama di Semenanjung, ada yang menyatakan pendapat bahawa binaan sebegini wujud sebenarnya di Semenanjung namun material atau bahan binaan yang dipakai antara Champa dengan kerajaan di Semenanjung adalah berbeza. Di Champa bahan batuan dan pasir mudah diperolehi, manakala di Semenanjung bahan binaan yang banyak adalah kayu-kayan memandangkan 90% Semenanjung dahulunya dipenuhi dengan pokok-pokok balak yang bermutu tinggi. Ada lagi yang menambah bahawa bahan binaan seperti kota dan istana di  Semenanjung banyak musnah samada faktor semula jadi mahupun peperangan dahsyat yang berlaku pada zaman dahulu.






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...