SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Sunday 17 January 2016

Estatika Rumah tradisional Kelantan ciri 5: Pintu Gerbang dan Gerbang Pintu/Pintu Tangga

Sejarah Pintu Gerbang di Negeri Kelantan

Pintu gerbang dibumi Kelantan tidak asing kerana ia telah dikesan memjadi sebahagian kekayaan senibina negeri Kelantan sejak zaman dulu lagi. Seperti catatan Duta Sui ke Chin-Tu, kerajaan Tanah Merah pada tahun 607 Masihi. Dicatatkan dengan detail rupa ibukota Chin-Tu, Kota Seng-chih atau Kota Singa yang memiliki 3 gerbang batu berupa bentuk gunungan banyak lapis yang dihiasi bunga-bunga emas(berupa ukiran),terdapat juga lukisan-lukisan dewa-dewi sedang terbang,bodhisattwa-bodhisattwa, dan lain-lain tokoh abadi. Setiap satu gerbang itu juga digantung loceng emas (setiap 3 gerbang sejauh 100 langkah setiap satu gerbang dan mewakili lapisan-lapisan istana jika berdasarkan pecahan bahagian istana di Kelantan,Patani dan Kedah silam). Tradisi membina gerbang kota ini kekal dibawa sehingga kini. Seperti kita tahu tradisi membina istana atau kota Negeri kelantan pada masa silam dalam bentuk kompleks berlapis, dua atau tiga lapis. Pada era tradisional kota Kelantan ia telah dibina 2 lapis dan istana pula terletak di antara dua lapis atau dalam lapisan akhir.Dengan adanya lapisan maka pintu gerbang ada pada setiap lapisan utama ini. Istana Balai besar Kota Bharu pada awalnya juga memiliki kompleks 2 lapis. 3 gerbang kayu berukir besar pada lapisan pertama(kini tempat parking bas)  tapak 3 gerbang kayu itu telah diganti 2 gerbang besar dan tiang Reha berukir bunga bercat warna emas sebelum gerbang utama istana Besar juga padanya punyai 3 pintu gerbang dengan 2 pintu gerbang sisi kecil. 2 pintu sisi pada asal rekabentuk gerbang Istana Balai Besar ini muat untuk orang berkuda melaluinya berbanding yang ada pada masa kini. Kompleks pecah 2 lapis juga diguna pada istana-istana tradisional Kelantan lain di sekitar Istana Balai besar seperti Istana Seri Akar.

Kedudukan Pintu Gerbang dan Gerbang Pintu/Pintu Tangga

Dua Gerbang Pintu disusun mengampit kiri dan kanan istana utama



Butiran Pintu Gerbang 

Pintu gerbang adalah binaan yang mempunyai bukaan yang didirikan bersambungan dengan pagar di sekeliling rumah atau pada serambi istana. Di Kelantan Pattani, pintu gerbang merujuk kedudukan gerbang terletak pada garisan sempadan rumah (pagar) manakala gerbang pintu atau pintu tangga oleh Nakula merujuk gerbang yang terletak di serambi dan jemuran  istana atau rumah bangsawan dimana penghuni perlu naik melalui tangga terlebih dahulu. jika dilihat pada hadapan gerbang ia mempunyai gunungan di atasnya yang dipanggil "meleh" yang berbentuk mahkota. Gerbang ini juga terdapat buah buton pada kedua sisi gerbang bergantung saiz gerbang. Setiap gerbang ini mempunyai bumbung yang berfungsi untuk melindungi ukiran pada gerbang dan kayu gerbang dari mereput. Penggunaan bumbung ini juga bergantung pada saiz gerbang dan kenderaan. Di istana raja gerbang utama dibina lebih besar, tak berbumbung dan punyai bukaan besar untuk gajah. 

PPSK


Metafora dan Simbolisme Pintu Gerbang

Pintu Gerbang menjadi binaan yang penting kepada tuan rumah dalam "mengawal‟ laluan keluar-masuk ke kawasannya. Menurut Adiguru Ukiran Malaysia pada masa kini, Norhaiza Nordin, gerbang adalah satu metafora kepada anatomi tubuh manusia dari kepala, badan hingga ke kaki. Justeru, binaan sebuah gerbang dilihat seperti seorang manusia berdiri tegak seolah-olah pelindung atau pengawal di bahagian hadapan kediaman mahu pun istana.

PPSK






Menurut Abdullah Mohamed (Nakula) pula dalam buku Warisan Kelantan IV(1985:66-67) ia adalah sempadan terakhir ruang rumah dan dunia luar rumah dalam menuntut ilmu (penghuni rumah keluar/balik mengembara/pergi berkerja dan mendapat pengalaman hidup yang digambarkan oleh beliau sebagai ”dada batin”) . Dari situ ia telah dijelmakan dan dipamer orang terdahulu dalam bentuk lambang-lambang pada gerbang pintu . Oleh itu ”ukiran-ukiran” pada gerbang lebih terang (dihias warna cantik-cantik dan menonjol), lebih kaya(penggunaan bahan berharga seperti emas/cat emas,besi dan tembaga) dan lebih seni(banyak ukiran atau ukiran penuh) dari terdapat di tibar layar.beliau juga menyatakankan ia merupakan perlambangan ilmu Allah S.W.T yang wujud di dunia(persekitaran).

Pintu gerbang yang masih tinggal sekarang banyak menggunakan motif-motif bungaan dan kaligrafi ayat-ayat Al-Quran. Ia menjadi manifestasi terhadap jiwa tuan rumah atau istana yang menggunakan pintu gerbang bagi tujuan keselamatan dan juga sebagai „penyambut tetamu‟. Reka bentuknya juga jelas menunjukkan kesejajarannya dengan konsep kesenian Islam. Namun terdapat juga pengunaan motif klasik seperti stupa, gunungan, tumbuhan dan mitos ala Kala. Motif tumbuhan yang biasa digunakan adalah bunga teratai, pucuk rebung, sesayap, sulur kacang dan bayam peraksi



Antara 2 jenis Pintu Gerbang kota yang pernah wujud di Kelantan dan Patani pada era silam.



Pintu Gerbang dan Gerbang Pintu yang pernah wujud di Kelantan sama ada simpanan persendirian dan muzium.








Sumber utama rujukan:

1) Abdullah b. Mohamed (Nakula), "Falsafah dan Permikiran Orang-orang Melayu, Hubungannya dengan Islam dan Kesenian", Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Kuala Lumpur, 1980.

2) Koleksi buku Warisan Kelantan, Perbadanan Musium Negeri Kelantan, Kota Bharu, 1994

3) Walter Armstrong Graham,"Kelantan", The Library of the University of California, Los Angeles, 1908.

4) Laman lain yang berkaitan dengan Gerbang Pintu :  Utusan Malaya

5) Imej Gerbang Besar Istana Jambu : 
Pemilik Imej :Moqtar Ahmadi
Rujukan Sumber:Koleksi Annandale, Royal Anthropological Institute, London, England, 1900
  

Kembali ke SenibinaRumah Melayu Kelantan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...