SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Wednesday 19 August 2015

Asaad Shukri Haji Muda; Tokoh Politik, ahli sastera, Sejarah dan budayawan Kelantan : Siri Hari Merdeka PPSK 2015

Allaharyarham Asaad Shukri Haji Muda

“......Kesedaran itu tidak datang melainkan sa-telah melalui kepayahan; maka begitulah juga kesedaran politik; mashrakat mulai tahu dan mengerti sa-telah ia sendiri berkechimpong di-dalam alam kezaliman PASCIST – MILITARISM JEPUN dahulu, dan kemudian sa-waktu masharakat di-alam tanah melayu sedang leteh lesu, sisa-sisa kepayahan dan kepedehan maseh menjalar; di-dalam keadaan yang sa-umpama ini pula dalam masa pentadbiran tentera British (B.M.A) dengan perantaraan Sir Herold Mc Machael melancharkan tipu helah-nya merampas kuasa raja2 Melayu, negara naungan bertukar ta’alok, dengan di-datangi MALAYAN UNION yang bererti Melayu menumpang di-tanah ayer-nya; baharulah di-ketika itu bangsa kita mulai sedar, insaf dan tahu bahawa sa-lama yang terkebelakang itu mereka telah tertipu dan terpedaya oleh saranan yang mengandongi jiwa perpecah-belahan yang di-turuti dengan membabi buta....”  
(sebahagian ucapan Asaad Shukri Haji Muda yang dipetik dari ruangan Kata Pengantar Kamus Politik, keluaran 1963 )

Tokoh politik nasionalis serta juga ahli budayawan, sasterawan dan Sejarawan tanah air. Pernah mengarang beberapa buah buku sejarah umum bagi Negeri Kelantan sebelum era 70an, antaranya yang berjaya diterbitkan; 
  • Riwayat Kelantan (1930), 
  • Sejarah Kelantan (1962), 
  • Detik-detik Sejarah Kelantan (1971). 

Asaad Shukri atau nama sebenarnya Mohamad Asaad Shukri Bin Haji Muda telah dilahirkan di Kampung Masjid Kota Bharu pada 25 Febuary 1905. Ayah Asaad Shukri iaitu Haji Muda adalah seorang ahli seni pahat ukir-mengukir yang cukup terkenal serta juga sebagai seorang guru silat yang termasyhur dizaman Sultan Muhammad IV memerintah Kelantan.

Asaad Shukri adalah Abang kepada Dato’ Mohamad Asri Bin Haji Muda, seorang Tokoh politik yang cukup terkemuka di Kelantan, tetapi dari Ibu yang berlainan. Dato’ Mohamad Asri menjawat jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan diantara tahun 1964 sehingga tahun 1973 yang kemudian dilantik pula sebagai Menteri Kabinet Malaysia bagi portfolio sebagai Menteri Kemajuan Tanah dan Wilayah sehingga tahun 1977.

Manakala bonda Asaad Shukri, Che Puteh pula adalah berasal dari ahli Keluarga berpengaruh dalam pentadbiran feudal negeri Kelantan. Che Putih adalah anaknda kepada Che Saad Bin Che Ngah, seorang Pembesar Negeri bergelar Dato’ Laksmana pada zaman Sultan Ahmad, kemudian pula telah dilantik sebagai Menteri Besar Kelantan diZaman Sultan Muhammad III. Beliau yang terkenal dengan panggilan Maha Menteri Che’ Had adalah satu-satunya Menteri Besar Kelantan yang mati dibunuh akibat ditembak secara rahsia disebabkan peranan beliau yang sangat menentukan dalam perlantikan Long Kundur (Sultan Muhammad III) sebagai Raja Pemerintah Kelantan pada pertengahan tahun 1890.

Melalui ayahnda Maha Menteri Che’ Had, iaitu Che Ngah Bin Che’ Tila Derasa yang masyhur dengan Panggilan Penghulu Che’ Ngah, adalah merupakan keturunan daripada keluarga Raja Lundang warisan dari kesultanan Jembal yang berjawatan Pembesar Negeri sebagai Panglima Perang. beliau bertalian cucunda kepada Wan Mahmud Bin Tuan Khomis melalui jaluran sebelah Bondanya yang bernama Wan Bulat @ Wan Aminah. Penghulu Che Ngah inilah yang telah menyerahkan beberapa buah naskah buku Klasik melayu berupa sejarah hikayat dan Syair kepada Abdullah Munshi pada waktu ketika beliau melawat Kelantan pada tahun 1839 itu.

Pendidikan pertama Asaad Shukri beroleh dari didikan keluarganya sendiri. Namun tidak lama, pada tuhun 1911, ia memasuki Sekolah Melayu Kerajaan diKota Bharu yang pada waktu itu terletak diJalan Post Office Lama bertentangan dengan Padang Merdeka Sekarang. pada tahun 1912, waktu Sekolah Melayu Kerajaan berpindah ke bangunan kayu satu tingkat yang berhampiran dengan Bangunan Pejabat Ukur dijalan Hospital sekarang, Asaad Shukri ikut sama berpindah dan menuntut pembelajaranya disini sehingga tahun 1916. kemudian, mulai tahun 1917, ia memasuki pula Madrasah Muhammadiah, Majlis Agama Islam Kelantan dalam darjah IV, dan disini ia menuntut dalam pembelajaran pendidikan bagi mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Ugama Islam, Sharahan dan kewartawanan sehingga penghujung tahun 1918 apabila tamat darjah enam Melayu dan darjah tiga Inggeris.

Kerjaya pertama Asaad Shukri selepas Pengajiannya bermula pada awal tahun 1919 sebagai kerani pelatih bahagian hasil cukai tanah di Pejabat Tanah Kota Bharu, dan kemudian berturut-turut pula diberi tanggungjawab bertugas sebagai Pegawai Pasar (Market Keeper), Merinyu Pasar (Market Inspector) dan Merinyu Kereta (Inspector Kenderaan) termasuk kenderaan Beca. Kemudian, pada tahun 1925, ia berkerja pula sebagai Kerani Pejabat Mahkamah Tinggi Kota Bharu, dan dalam tahun 1928, ia dipindahkan berkerja sebagai Kerani di Pejabat Undang-undang. Namun tidak lama, pada tahun yang sama, sekali lagi ia ditukarkan ke Pejabat Tanah, Kota Bharu. Dan pada awal tahun 1929, ia bekerja pula sebagai kerani Penggawa dibawah Ketua Jajahan Kota Bharu pada waktu itu bernama Tengku Muhammad Yusof putera kepada Al marhum Sultan Muhammad IV sehingga kedatangan Jepun ketanah Melayu pada tahun 1941.

Sebagaimana adiknya yang kita semua sudah ketahui bahawa Dato’ Haji Muhamad Asri selaku seorang Tokoh yang cukup terkemuka khusus dalam Bidang Politik serta mahir dalam bidang penulisan dan sastera kreatif, juga seorang Pejuang bahasa dan pemidato yang hebat. Abangnya iaitu Assad Shukri juga tidak kurang hebatnya dalam kesemua bidang yang sama. Penglibatan Asaad Shukri dalam bidang sosial, budayawan, ahli bahasa dan Pengarang serta sebagai seorang Pejuang tanah air politik nasionalis Melayu ini bermula pada tahun 1922 iaitu semasa beliau bertugas dalam perkhidmatan awam lagi sebagai Kerani Pelatih di Pejabat Tanah. Bermula dengan menyertai rombongan budayawan Kelantan dalam Pertunjukkan Tanah Melayu dan Borneo (Malayan & Borneo Exhibition) di Singapura sebagai Pemuda Pendekar. Dari saat itu, Assad Shukri sedikit demi sedikit perananya dalam pelbagai bidang mulai menanjak naik. Sebagai ringkasannya, berikut dibawah adalah rentetan sejarah penglibatan Asaad Shukri dalam pelbagai bidang yang telah disebutkan diatas;

  1. Tahun 1928 Asaad Shukri bersama Abdul Kadir Adabi telah menubuhkan “Putera Club”dan dilantik sebagai Penolong Pengarang. Kelab ini bergerak cergas dalam bidang persuratan, pendidikan, agama dan sosial. Tetapi akhirnya telah diharamkan kerana telah menerbitkan artikel yang bertajuk `Ulama mana mengganti Nabi’.

  2.  Tahun 1930 beliau aktif dalam penerbitan Majalah Kencana dimana karya beliau mengenai sejarah telah diterbitkan pada tahun berkenaan sahaja iaitu secara bersiri dari Bil.1 hingga Bil.10, dengan menggunakan nama penanya Siti Mariam Sa'di.

  3. Tahun 1934 Asaad Shukri telah dilantik sebagai Yang DiPertua Setiawan Belia sebuah kelab yang paling aktif dibidang seni, sastera dan akademik. Kelab ini bertujuan untuk menyatupadukan Ikatan Setia Kawan disamping saling berkerjasama kearah meningkatkan pendidikan dan ilmu pengetahuan ahli-ahlinya. Beliau giat menganjurkan majlis-majlis forum dan ceramah untuk menimbulkan kesedaran masyarakat ketika itu.

  4. 1939 Asaad Shukri telah dipilih menganggotai Persatuan Melayu Kelantan, sebuah Persatuan yang bergerak dalam bidang politik. Dengan tertubuhnya Persatuan ini semakin jelas kesedaran politik dan semangat kebangsaan dikalangan orang Melayu Kelantan ketika itu.

  5. 1939 Asaad Shukri telah dilantik menjadi Jawatankuasa Persatuan Melayu Semenanjung. Pada akhir tahun 1940 Asaad Shukri telah pergi ke Singapura disana beliau telah berikrar akan menyumbangkan tenaganya untuk negeri dan kebangsaan Melayu dengan menjadi anggota Kesatuan Melayu Muda yang dipimpin oleh Ibrahim Haji Ya'acob.

  6. Perhatian Asaad Shukri tidak sahaja dalam bidang politik, tetapi juga dalam bidang kewartawanan dan persuratkhabaran. Dalam satu mesyuarat yang dihadiri oleh beberapa orang tokoh, Asaad Shukri telah berucap dengan panjang lebar dan membawa usul untuk menubuhkan 'Persatuan Wartawan Kelantan'.

  7. Tahun 1941 semasa pemerintahan Jepun beliau bersama-sama Abdul Kadir Adabi telah diarah oleh Jepun untuk menerbitkan Majalah Matahari, iaitu sebuah majalah propaganda Jepun.
  8. Selepas pemerintahan Jepun tamat, iaitu pada 14 September 1945 Asaad Shukri bersama teman-temanya ditangkap dan ditahan oleh kerajaan Inggeris, kerana dituduh telah berkerjasama dengan Jepun, termasuk antaranya Nik Muhammad bin Nik Abdul Rahman (Nik Mat Dato’Amar), Nik Jaafar Hassan dan beberapa orang lagi. Asaad Shukri dibebaskan semula pada 31 Mei 1946, setelah lapan bulan merengkuk dalam penjara.
  9. Dalam tahun 1946 Asaad Shukri telah menyertai Partai Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan pada tahun 1947 beliau telah dipilih menjadi Yang Di Pertua PKMM Cawangan Kelantan.
  10. 1948 setelah Partai Kebangsaan Melayu Malaya diharamkan, Asaad Shukri telah menyertai Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan dan dalam mesyuarat Agung Persekutuan ini pada tahun 1948 ia terpilih menjadi Naib Yang Di Pertua Persekutuan ini. Persekutuan ini adalah antaranya yang turut menentang penubuhan Malayan Union dan pernah menjadi tuan rumah kepada Persidangan Agung Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu / United Malays National Organisation UMNO yang dipimpin oleh Dato’ Onn dan Persidangan ini telah dirasmikan oleh D.Y.M.M. Sultan Ibrahim, Sultan Kelantan.
  11. Dalam bidang kesenian dan kebudayaan, Asaad Shukri mulai aktif dalam tahun-tahun 50an. Beliau telah memimpin golongan muda membuat seni batik, ukiran kayu besi dan tembaga dan pernah menganjurkan beberapa acara seni pentas antaranya ialah persembahan seni silat, seni tari inai dan zapin yang diadakan dalam pertunjukan aneka warna di Singapura. Kebolehan beliau dalam bidang kesenian dan kebudayaan telah menarik perhatian masyarakat Singapura sehingga pada tahun 1953 beliau telah diminta oleh rakan-rakan di Singapura untuk menaja dan menggubal undang-undang “Persekutuan Kebudayaan Melayu Singapura”.
  12. Pada tahun 1958 Asaad Shukri telah diterima bertugas dengan Dewan Bahasa dan Pustaka di Johor Bharu, tetapi tidak lama kemudian beliau telah berhenti dari Dewan Bahasa dan Pustaka dan menumpukan perhatianya dalam bidang penulisan dan penyusunan kamus. Hasil karya seperti buku, kamus dan ensiklopedia yang diusahakan sejak tahun 30an itu tidak sempat diterbitkan. Karya-karya ini sekarang sebahagian besarnya tersimpan di koleksi Perpustakaan Alam dan Tamadun Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.
  13. Tahun 1968 sumbangan terakhir Asaad Shukri kepada negeri tumpah darahnya ialah menggubal rang undang-undang Perlembagaan Badan Kajian Kebudayaan Kelantan. Selepas rang undang-undang ini diluluskan, beliau telah dipilih menjadi Timbalan Yang Di Pertua Badan ini dan Yusuf Zaki Ya'acob menjadi Yang Di Pertuanya.

Kesedaran Asaad Shukri dalam bidang politik mulai subur apabila beliau sendiri telah melalui beberapa pengalaman pahit dan kepayahan dalam hidup. Bagaimana beliau sendiri menghadapi kezaliman pemerintahan Jepun dan tipu helah kerajaan British terhadap raja-raja Melayu, kesemuanya itu telah membuka mata dan hati bangsa Melayu termasuk Asaad Shukri sendiri. Perkara ini dapat kita lihat melalui kata-kata luahan beliau dalam ruangan Kata Pengantar Kamus Politik yang disusunya pada tahun 1963 seperti yang disiarkan pada perenggan awal artikel diatas.

Dari rentetan sejarah dan peristiwa di atas dapat disimpulkan bahawa Asaad Shukri merupakan seorang tokoh politik, ahli bahasa dan sastera juga penggiat seni dan budaya. Perjuanganya yang dilakukan atas dasar kesedaran dan keikhlasan itu tidak pernah menagih simpati dan mengharap sebarang ganjaran. Asaad Shukri telah kembali ke Rahmatullah pada 25 Januari 1971, di Makkah Al Mukarramah setelah lebih tiga dekad menabur bakti kepada bangsa dan negara.

-Al Fatihah-

Rujukan:
  • “Kehebatan Dato’ Lundang” oleh; Ismail Che’ Daud dalam Mingguan Wasilah keluaran 11, 15 april 2007.
  • “Asaad Shukri dan Perjuanganya” oleh Abdul Rahman Al-Ahmadi dalam Warisan Kelantan XIII, 1994.
  • Genealogy – Asaad Shukri Hj Muda oleh Haji Suhaimi Haji Lope Ahmad @ Pak Ngah, 2014
  • “Manuskrip Peringatan Lundang” bahagian rajah salasilah oleh Shafie Husin dalam Sejarah Dan Tokoh Kampung Lundang (Tradisional dan Moden), 2014


Artikel simpanan serta Diselenggara Oleh;

Long Muhammad Haji Wan Mohd Noor

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...