SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Friday 31 July 2015

Satu Cerita Dua Kisah - Fiksyen Sejarah Kelantan : Siri Orang Kito

SULTAN MANSUR
1898 Masihi

SULTAN Mansur merenung jauh ke luar jendela. Pelbagai perkara terbuncah di fikiran. Jarang sekali dia mencemar duli ke teratak rakyat kebanyakan seperti mana yang sedang dilakukannya pada malam ini. Sejak kopi panas dihidang, Tuan Guru Haji Abdul Samad bin Muhammad Salleh lebih banyak diam di dalam zikir. Malam pula seperti memahami keresahan di hati raja berjiwa rakyat itu. Sesekali angin malam berpuput menghantar kedamaian. Sultan Mansur menarik nafas panjang, menikmati panorama malam sepenuh jiwa kemudian duduk menyua cangkir berisi kopi ke bibir.

Tuan Guru tahu tentang keris itu bukan?” Sultan Mansur separuh berbisik, seolah-olah dinding anyaman kelerai itu tidak mampu menyimpan rahsia.

Keris apa Tuanku?” Ulama yang masyhur dengan gelaran Tuan Guru Tabal kerana berasal dari Kampung Tabal itu tersenyum tenang ibarat semilir pantai yang menghantar kedamaian ke perdu rasa.

Sultan Mansur menjeling. “Takkan Tuan Guru tak tahu. Masakan jauhari tidak mengenal manikam.”

Adakah Tuanku sedang menguji patik?” Tuan Guru Tabal tersenyum mendengar titah sultan yang dianggapnya bermotif usikan itu.

Buat apalah beta hendak menguji seorang ulama besar seperti Tuan Guru. Tidaklah beta bertanya ini melainkan dengan niat yang baik-baik sahaja.

Keris berdaulat mengandung tuah dan maruah. Keris warisan nenek moyang pantang terbiar, pantang dipakai menyalahi adat.” Mendengar Tuan Guru Tabal bermadah, Sultan Mansur merapatkan lututnya di sisi ulama itu. Tiada sedikit pun rasa canggung berbuat demikian di dalam hati seorang sultan yang tawadhuk.

Keris Pendheta Indera Lela.” Sultan Mansur tidak mahu berselindung lagi. Rasa terbuku amat keras memenuhi dadanya.

Tetapi, bagaimana tuanku dapat meneka bahawa patik kenal keris itu?

Firasat hati.” Jawab Sultan Mansur ringkas. Raut jernih guru agama itu ditatap.
Subhanallah.” Kepada Allah jua Tuan Guru Tabal melanjutkan pujiannya.

Beta mahu Tuan Guru menjaga keris ini.” Suara sultan berbaur harapan yang mengandung resah. Gelisahnya menumpahi wajah.

Tuan Guru Tabal terkesima. “Ampun Tuanku beribu ampun. Keris ini pakaian sultan, budaya laksamana.
Sesiapa sahaja yang berilmu itulah yang mulia di sisi orang Melayu. Adakah keris ulama itu mesti lain bentuknya?” Sultan Mansur mencapai cangkir yang sudah ditambah isinya.

Bukan begitu. Patik cuma bermaksud, alat kebesaran utama ini adalah milik tuanku yang bersemayam di singgahsana, atau laksamana istana yang lebih layak memegangnya.”

Beta makin khuatir dengan permainan istana sekarang. Entah siapa taulan entah siapa gunting di dalam lipatan. Seperti yang beta pernah beritahu Tuan Guru dahulu tentang sebahagian pembesar yang tikam-menikam dari belakang, ada juga usaha-usaha halus untuk merampas takhta beta.” Kopi yang masih berbaki itu dihabiskan.

Masih belum selesaikan masalah istana itu?” Tuan Guru Tabal terus menggetil tasbih di tangan.

Sultan Mansur menggeleng lemah. “Inggeris juga sudah menakluk Pulau Pinang dan Johor. Pada firasat beta, tidak lama lagi mereka akan datang untuk memerangkap kita pula.

Beta amat takut kalau-kalau sejarah akan berulang. Kita tidak boleh lupakan saja peristiwa gedung yang menyimpan khazanah nenek moyang diraja dibakar di Perak, dan bagaimana Stamford Raffles mengangkut khazanah raja-raja Melayu dengan kapal lalu membakarnya.

Kafir Nasrani dan Yahudi tidak akan berdiam diri selagi kita tidak mengikut mereka hatta ke lubang biawak. Itu memang sifat mereka yang sudah dikhabarkan wahyu.

Itulah yang beta risaukan. Beta bimbang jika amanah ini pun dirampas mereka.” Sultan Mansur menghulurkan satu bungkusan kain limar kuning yang diikat kemas dengan lima tali yang juga daripada jenis kain yang sama.

Bermata sakti berhulu seni, lok sembilan miangnya perak, warisan diraja penjaga negeri, kepada Tuan Guru beta berharap.

Tuan Guru Tabal menyambutnya. Ikatan kain dibuka. Sebilah keris berhulu kayu kemuning emas dengan ukiran penuh kejap di dalam sampirnya. Tatkala matanya ditarik keluar, tulang keris itu mengeluarkan cahaya. Tuan Tabal ulama berkaramah tidak terkejut. Hanya nama Allah sahaja yang dipuja-puja di dalam hati.

Setiap kali beta menarik matanya, kadang ia bercahaya kadang tidak. Kalau kurang ibadah beta pada hari itu, suram sahaja cahayanya. Kalau ada apa-apa dosa yang beta perbuat, tiada mahu ia bercahaya. Tetapi hari ini pertama kali beta melihat sinarnya yang paling cemerlang, apabila dia ditarik oleh Tuan Guru sendiri.

Tuan Guru Tabal tidak menjawab, jemarinya menyentuh ganja seiras, angkut-angkut dan ketandaan gunung pada keris jenis melela jarak itu. Tahulah dia ini bukan keris pakaian orang sebarangan. Bukan juga sebarang raja. Hanya raja yang terplih daripada segala raja. Subhanallah. Nama Allah terus mekar di sukma.

Dan ini kembarnya.” Sultan Mansur menghulurkan bungkusan kuning yang kedua dari jenis kain songket berbentuk segi empat. Apabila dibuka terserlahlah sebuah buku usang berkertas tebal. Aksara jawi yang tertera di kulitnya masih boleh dibaca dengan jelas. Catatan Negeri Kisaran Payung.

Manuskrip ini berusia hampir tujuh ratus tahun. Hasil tangan dan buah fikir raja kita dahulu kala.” Titah Sultan Mansur.

Tuan Guru Tabal membuka helaian pertama. Tertera di sana nama penulis, tokoh epik yang amat masyhur sekali .

Puteri Adruja Wijayamala Singa.

Dialah Cik Siti Wan Kembang I, seorang wirawati kebanggaan rakyat jelata, malah wajar menjadi kemegahan seluruh bangsa Melayu di dunia ini.” Sultan Mansur cuba memperkenalkan watak silam tersebut.

Patik ketahui kehebatan raja kita ini di medan perang. Tapi patik langsung tidak menyangka baginda juga berjihad dengan pena. Tebal sungguh kitab tulisan tangan baginda ini.”

Pada lembaran kedua pula tertera kaligrafi khat thulus yang sangat indah, sepotong ayat Al-Quran daripada Surah Al-A’raf ayat 176 yang turut disertakan juga di bawahnya terjemahan di dalam tulisan jawi berkhat nasakh: Maka ceritakanlah kisah-kisah itu agar mereka berfikir.

“Beta harap Tuan Guru simpanlah rahsia ini baik-baik. Kitab kuno ini sangat berharga kepada rantau ini kerana di dalamnya tersimpan bermacam kunci khazanah bangsa dan tanah air.” Titah Sultan Mansur tegas.

Ampun Tuanku beribu ampun, izinkan patik bertanya, kenapa patik yang Tuanku pilih?

“Bukankah di negeri kita pada masa kini Tuan Guru berempat yang paling alim dan pandai agama. Tok Pulai Chondong, Tok Wan Ali Kutan, Tok Kenali dan Tuan Guru Tabal sendiri. Sayangnya Tok Pulai Chondong baru sahaja wafat di Mekah. Tok Wan Ali Kutan dan Tok Kenali pula masih di bumi kiblat umat Islam itu. Maka yang tinggal hanyalah Tuan Guru sahaja.”

Tuan Guru Tabal mengangguk perlahan. “Benarlah ulama-ulama kita ramai yang ke Mekah untuk menunut ilmu dan beribadah di sana. Adapun berkenaan patik itu Tuanku terlebih memuji.”

Beta harap Tuan Guru sudi memegang amanah keris ini.” Bisik Sultan Mansur.

Tetapi patik bukan dari kalangan orang istana.” Tuan Guru Tabal merendah diri.

Beta tidak nampak siapa lagi di kalangan kerabat beta mahupun bangsawan yang layak untuk tugas ini. Namun apabila tiba masanya nanti, keris ini bolehlah dikembalikan kepada pewaris diraja semula apabila keadaan sudah mengizinkan.

Melihatkan Tuan Guru Tabal terdiam, Sultan Mansur menambah, “Jika Tuan Guru pun tidak mahu, maka habislah sudah perkiraan beta.”

“Jika itu kehendak Tuanku, InsyaAllah akan patik usahakan.”

“Alhamdulillah.” Sultan Mansur tersenyum puas. Seperti teralih sebuah bukit dari atas bahu. Sudah beberapa purnama dia merasakan mandi yang tidak basah, makan yang tidak kenyang dan tidur yang tidak lena.

Beta juga risau memikirkan hal ehwal agama negeri.” Kegundahan terus diluahkan.

Tiada kubangan yang tidak berkodok, tuanku.”

Semakin beta mempelajari Islam, semakin beta sedar akan amanah menjaga negeri yang amat berat.” Sultan Mansur bangun semula menghampiri jendela. Seperti mahu mencari sesuatu di hamparan langit malam.

Usah khuatir, Tuanku tidak bersendirian. Adapun di Mekah itu terdapat ramai ulama-ulama Melayu Kelantan yang menuntut ilmu agama. Selain daripada Tok Wan Ali Kutan dan Tok Kenali, kita juga memiliki ramai lagi pelapis yang tidak kurang hebatnya.

Ya beta tahu tentang rakyat beta yang berduyun-duyun ke sana saban tahun. Menunaikan haji lalu terus bermukim demi meraih segala barakah yang ada. Tetapi bagaimana dengan yang di sini?” Sultan Mansur berpaling menatap ulama besar itu.

InsyaAllah selagi nyawa dikandung badan, kerja dakwah tidak akan patik tamatkan. Tapi.…

Tapi apa?

Sesungguhnya agama rakyat jelata itu bermula daripada agama pemerintah.” Tenang dan lancar sahaja suara Tuan Guru Tabal berkata-kata demikian, seolah-olah insan di hadapannya itu bukan yang bernama Sultan Mansur, raja yang berdaulat di negeri Kelantan pada waktu itu.

Sultan Mansur kembali duduk dan tersandar. Helaan nafas terasa berat, seberat amanah yang dipikulnya. “Beta mengerti.” Titahnya separuh berbisik.

Ampun Tuanku, berkenaan undang-undang syarak telah dilaksanakan oleh al-marhum kekanda tuanku Sultan Muhammad III itu tersangatlah mulia. Patik cuma menambah cadangan agar perlaksanaan itu lebih meluas kepada semua aspek kehidupan.”

Maksud Tuan Guru?”

Islam itu agama yang syumul, menyentuh semua titik dalam hidup tanpa tertinggal satu pun dari mula jaga kita dari tidur pada paginya sehinggalah kembali lena pada malamnya. Tuanku yang paling berkuasa, maka Tuankulah yang boleh memberi penegasan kepada rakyat jelata agar mematuhi segala hukum yang diperintah Allah.”

Banyak lagi yang perlu beta pelajari. Sudilah Tuan Guru mengajar beta. Mahukah Tuan Guru menjadi mufti?

Ampun Tuanku, adapun mufti negeri yang sedia ada itu tidak kurang hebat dan alimnya. Patik sangat percaya mereka dapat menjalankan tugas dengan baik.” Tuan Guru Tabal menolak dengan baik.

Baiklah. Cuma beta ada satu saja yang beta terpaksa harapkan dari Tuan Guru. Berkenaan manuskrip ini, rasanya Tuan Guru jugalah yang paling layak untuk membantu beta menyelongkar rahsianya.”

Jika demikian, izinkan patik mengkhatamnya terlebih dahulu.

Setelah malam merangkak larut, Sultan Mansur berangkat pulang dan Tuan Guru Tabal mula mengotakan janjinya untuk menyelami catatan usang itu.

1345 MasihiIstana Kisaran Payung, Kuala Krai  
Nama beta Adruja. Beta puteri raja Melayu dari kerajaan Langkasuka, satu bangsa yang menguasai Nusantara sejak zaman berzaman. Setelah sepuluh tahun memerintah negeri Serendah Sekebun Bunga, hari ini beta ingin mencipta sejarah baru. 
Hari ini demi agama dan bangsa, beta ingin memulakan satu lembaran baru. Beta mahu berjinak-jinak dengan kalam, dakwat dan kertas. Kekok pula rasanya menggenggam kalam kerana tangan ini lebih biasa dengan keris dan kelewang. Lucu bukan, apabila kertas yang lembut ini terasa asing berbanding panah dan tombak yang keras dan tajam itu. 
Jangan pula kalian kelak menyangka beta ini bukan wanita sejati. Sekelian rakyat tahu, beta ini garang dan tegas, hatta mereka yang Hindu menggelar beta Dewi Durga. Sungguh tidak gemar beta diperi begitu. Bukan kerja kita menentukkan watak diri.   Allah Yang Maha Mencipta sendiri mahukan manusia itu memiliki pelbagai sifat dan ciri semulajadi yang berbeza. 
Sebelum ini beta tidak pernah terfikir untuk menarikan pena sebegini, sehinggalah pada suatu hari seorang hamba Allah yang mulia telah membuka mata dan hati beta.
Masih segar di ingatan, ketika jong dari Pasai itu tiba, beta seperti biasa menjamu para tetamu dengan pelbagai juadah istana, tetapi ada seorang lelaki yang tidak menyertai. Lalu beta titahkan jua supaya dia masuk mengadap. 
Pertama kali bersua, beta terpana. Wajahnya yang sungguh bersih menyebabkan beta terasa rupa paras beta yang sering dipuji jelita ini amat hodoh dan kotor. Keningnya seperti bilah pedang yang menikam, matanya bagai tasik jernih yang memantul cahaya, hidungnya bak seludang dan senyumannya sungguh indah. Ketika itu hati beta penuh percaya, bahawa dia bukan calang-calang manusia.
“Ampun Tuanku beribu ampun.” Dia merafak sembah di dalam Bahasa Arab. Pandai pula dia dengan adat istiadat di sini, seperti sudah biasa saja. Syukur beta telah lama mahir bahasa Al-Quran ini, hasil kerja menelaah daripada para pedagang Arab di Pelabuhan Grahi seawal remaja dahulu.
Tapi, siapakah lelaki berwajah indah ini? 
 “Nama patik Abu Abdullah Muhammad Ibnu Battuta” 
 Dari mana dia ini? Hati beta terus tertanya-tanya. 
 “Patik baru sahaja belayar dari Pasai, tuanku.” 
 Eh, bagaimana dia boleh mengetahui apa yang sedang beta fikirkan? 
 “Sesungguhnya ilmu Allah itu maha luas, Tuanku.” Tetamu itu tersenyum.
 Beta kaget. Dada berdebar. Tetapi demi menyembunyikan rasa itu, lekas-lekas beta bertitah, “Bendahara, beta mahu tetamu ini dilayan sebaik dan sesempurna mungkin. Berikan apa sahaja yang diminta.” 
 “Titah dijunjung Tuanku. Untuk pengetahuan Tuanku, tetamu yang mulia ini adalah seorang ulama yang berasal dari Tangier, Maghribi. 
Beliau juga seorang ahli pelayaran yang sedang mengelilingi dunia. Di negaranya beliau adalah seorang kadi. Beliau telah pun menjelajah negeri-negeri di Barat Afrika hingga ke Pakistan, India, Maldives, Sri Lanka, Sumatera dan kini di dalam perjalanan ke China membawa perutusan Sultan Tughlug.” Panjang lebar penerangan datuk bendahara. 
 “Subhanallah.” Sekali lagi beta terkesima. 
 Kemudian dengan penuh teruja beta bertitah “Selamat datang ke negeri Serendah Sekebun Bunga wahai tetamu yang mulia. Beta dan rakyat amat berbesar hati dengan kunjungan ini. Negeri ini amat mengalu-alukan tuan yang agung. Tinggallah di sini selama mana yang tuan mahu.”
 “Junjung kasih tuanku.” 
 Kemudian beta mendapat tahu daripada bendahara yang berbisik, pelayar agung itu tidak hadir ke majlis santapan kerana tidak pasti dengan jamuan yang dihidang itu. 
“Jangan tuan khuatir, kami tidak meminum tuak dan memakan yang haram. Negeri ini sudah terpimpin oleh hadirnya seorang ulama besar Syed Hussien Jamadil Kubra dan rombongannya sejak lebih sedekad yang lalu.” 
“Syed Hussien Jamadil Kubra bin Syed Abdul Jalal? Beliau adalah keturunan Rasulullah SAW dari titisan Husien bin Ali. Patik telah bertemu dengan Syed Abdul Jalal di India dahulu.” 
“Oh begitu. Alangkah bertuahnya negeri ini dengan kehadiran beliau.” Titah beta.
“Patik mendengar ramai sekali para ulama yang mahu datang berdakwah ke tanah Jawi. 
Di sini mereka bertemu dengan bangsa Melayu yang sangat berbudi pekerti tinggi. Islam mudah diterima kerana sifat semulajadi bangsa ini yang semulajadi baik selari dengan ajaran Islam.” Puji Ibnu Battuta. 
“Ya, Melayu ini sendiri bermaksud bersih dan layu. Layu itu bererti tunduk. Kami ini satu bangsa yang tunduk dan menurut kepada Allah Yang Maha Kuasa dan Rasulullah SAW serta kepada para raja dan sultan.” 
“Patik juga menemui kehalusan dan kelembutan pada adab dan budaya pada bangsa tuanku yang tidak ada pada bangsa-bangsa lain.” Ada nada ikhlas lahir bersama pujian lelaki itu. 
Lalu beta keluarkan keris Pendheta Indera Lela yang berhulu ukir serta bersampir indah. Apabila beta letakkan bilah keris itu di atas permukaan dulang, bentuknya menyebabkan ia seolah-olah tunduk ke arah kiblat. 
“Inilah Melayu.” 
Beta dapat melihat cahaya kekaguman pada wajah lelaki hebat itu. Wahai pelayar yang agung, sudikah saudara bercerita kepada dunia tentang kaum beta ini? Tentang bangsa beta yang sejiwa dengan Islam. Tentang tamadun kami yang merupakan antara yang terbesar sebaris dengan tamadun Cina berbanding lima lagi tamadun lain di Asia ini iaitu Turki, India, Mongolia, Tibet dan Jepun. Dan yang lebih penting, tentang tamadun kami yang menjulang resmi agama Islam dan budi….


KARYA : UMMU HUMAIRA


Hiasan semata-mata

Wednesday 22 July 2015

Kisah Wakaf Tuan Farrer di Pasir Puteh : Siri Binaan Bersejarah

Wakaf Tuan Farrer pada 2008 setahun sebelum ia roboh dirempuh kereta.

Pendahuluan
Hampir semua warga jajahan Pasir Puteh, Kelantan mengetahui lokasi wakaf ini, malah ia adalah tanda nostalgia serta mempunya nilai sentimental buat warga sekitar wakaf tersebut. Ia mula dibangunkan oleh penduduk Pasir Puteh pada 1917 hingga 1919 khas untuk kemudahan para pengembara untuk berhenti rehat. Ia kemudian dinamakan sempena Pemangku Penasihat British di Kelantan merangkap Ketua Jajahan Pasir Puteh ketika itu iaitu Roland John Farrer.  

Di Kelantan, hanya beberapa tempat dinamakan sempena pegawai-pegawai British antaranya Jambatan Guillermard, Tangga Bradley, Tanjung Duff, dan Wakaf Tuan Farrer. Jadi semestinya Tuan Farrer mempunyai kedudukan yang istimewa di Pasir Puteh hingga nama beliau dicatatkan pada wakaf yang menjadi tempat tumpuan orang ramai itu.

Siapa Tuan Farrer

Nama penuh beliau adalah Roland John Farrer dilahirkan pada 2 Mac 1873 di Marylebone, London. Beliau membesar sebagai seorang yang pintar dengan umur 14 tahun telah berjaya menempatkan diri di Eton College pada 1887. Beliau berada di kolej tersebut sehingga berumur 19 tahun, setelah itu beliau telah melanjutkan pelajaran ke Oxford University pada 1892. Tiga tahun kemudian beliau telah berjaya menamatkan pengajian di universiti terulung di dunia itu dengan jayanya pada 1895.

Muda, berkelayakan serta pintar menjadi keutamaan untuk beliau diterima untuk berkhidmat dalam Strait Settlement Civil Service dengan bermula sebagai Cadet pada 1896 pada usia 23 tahun.

Beliau telah ditempatkan di Wellesley Province (Seberang Prai) selamat empat tahun sebelum dipindahkan ke pejabat sekratariat di Singapura pada 1900,  dua tahun kemudian beliau kembali semula ke Wellesley Province dan ditempatkan disana sehingga 1907. Sepuluh tahun berkhidmat dengan perkhidmataan awam negeri-negeri selat, beliau telah dinaikkan pangkat sebagai Land Officer di Singapura pada 1908 sehingga 1911. Seterusnya, atas kecemerlangan beliau dalam perkhidmatan awam telah melayakkan beliau untuk dinaikan pangkat sebagai Assessor to The Municipality di Singapura dari 1911 hingga 1915. 

Pada tahun 1915 menyaksikan tercetusnya penentangan rakyat Kelantan di Pasir Puteh terhadap pengelibatan Inggeris di negeri ini. Penentangan rakyat Kelantan pada waktu itu berada di tahap yang serius hingga memaksa Gabenor Negeri-Negeri Selat di Singapura terpaksa menghantar sepasukan The Malays States Guard yang dibarisi oleh tentera Gurkha untuk membenteras penentangan yang telah berlaku di Pasir Puteh. Langkah tersebut telah diambil berikutan Ketua Jajahan Pasir Puteh ketika itu, Encik Latiff telah melaporkan hal tersebut ke pejabat sekratariat di Singapura. Akhirnya penentangan tersebut telah berjaya dipatahkan, dan tentera Inggeris kembali menguasai jajahan Pasir Puteh dan sebagai langkah pemulihan pentadbiran British di Kelantan, Rolland John Farrer telah dihantar dari Singapura ke Kelantan sebagai Pemangku Penasihat British merangkap Ketua Jajahan Pasir Puteh dari 1915 hingga 1919. Atas sebab inilah nama beliau telah diabadikan pada wakaf yang terletak di tengah-tengah Jalan Pasir Puteh - Machang. 

Latar belakang Tuan Farrer ini menyatakan bahawa selepas beliau mejawat jawatan Pemangku Penasihat British di Kelantan, beliau telah dilantik sebagai Presiden dan Pesuruhjaya Perbandaran Singapura sehingga 1931, hal ini membuatkan beliau terus menetap di Singapura sehingga keakhir hayatnya begitu juga dengan isterinya. Beliau telah menghembuskan nafas terakhir pada usia 83 tahun pada 24 Julai 1956, jasad beliau telah dikebumikan di Perkuburan Bidadari, Singapura. 

Wakaf Tuan Farrer
Ia dibangunkan secara beransur-ansur dari tahun 1917 sehinggalah siap pada 1919 oleh penduduk Pasir Puteh dengan tujuan untuk kemudahan penduduk sekitar berehat seketika setelah penat berjalan. Jajahan Pasir Puteh adalah sebuah kawasan yang luas, merangkumi beberapa mukim, dekad itu berjalan kaki menjadi kelaziman, justeru dengan kewujudan wakaf memberikan keselesaan kepada semua pejalan kaki untuk berehat dan solat, selain menjadi tempat berteduh.

Wakaf ialah satu perkataan Arab yang merujuk kepada satu cara bersedekah sama ada menyerahkan harta atau wang untuk kegunaan orang ramai dan orang yang bersedekah akan menerima ganjaran pahala. Di Kelantan, Wakaf sinonim dengan sebuah pondok yang dibina oleh tuan tanah untuk kegunaan orang ramai, adakala wakaf dilengkapkan dengan perigi untuk berbagai tujuan. 

Di Pasir Puteh terdapat banyak Wakaf, bagaimanapun hanya terdapat satu sahaja di Pekan Pasir Puteh, justeru ia telah dinamakan sempena Ketua Jajahan Pasir Puteh ketika itu, semenjak itu ia dikenali dengan Wakaf Tuan Farrer. Pada awalnya wakaf ini mempunyai senibina yang unik dengan campuran senibina Inggeris dan Melayu dimana bumbungnya berbentuk "A" dan dihiasi dengan dihiasi dengan dekorasi perabung. Selain itu, di wakaf tersebut tercatat nama wakaf itu dalam tulisan khat jawi serta rumi. 

80 tahun megah berdiri dilokasinya itu, hingga penduduk sekitar menganggapnya sebagai monumen bersejarah yang mempunyai nilai sentimental, malah ia pernah menjadi mercu tanda kepada Pasir Puteh, lebih membanggakan pelancong asing wajib merakamkan wakaf tersebut andainya melalui Jalan Nara. 

Mac 2008, Wakaf yang menjadi mercu tanda Pasir Puteh telah runtuh kerana telah dirempuh kereta, dipercayai dipandu oleh seorang pemuda yang dibawah pengaruh dadah, sekaligus memusnahkan tinggalan Ikonik Inggeris di Pasir Puteh. 

(A) Bangunan Asas Tuan Farrer, (B) Wakaf Tuan Farrer yang musnah dirempuh Kereta, (C) Kereta yang merempuh

Majlis Daerah Pasir Puteh telah mengambil langkah yang proaktif dalam mengekalkan tinggalan sejarah yang menjadi mercu tanda Pasir Puteh telah membaik pulih serta membina semula Wakaf Tuan Farrer serta mengukuhkan pagar batu yang mengelilingi Wakaf tersebut. 

Wakaf Tuan Farrer yang telah dibaik pulih.

Rujukan:
  • http://ww1.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0815&pub=Utusan_Malaysia&sec=Timur&pg=wt_01.htm
  • http://basikalgunung.blogspot.com/2008/07/desaru-3.html [Sumber Gambar]
  • http://www.saxonlodge.net/getperson.php?personID=I2441&tree=Tatham
  • http://www.worldstatesmen.org/Malay_states.htm#Kelantan

Monday 20 July 2015

Kartunis Wanita Melayu Pertama Asal Kelantan : Siri Orang Kito

Puan Nora Abdullah, Kartunis Wanita Pertama Tanah Melayu

Pendahuluan
Penulis mula diperkenalkan dengan komik melalui Majalah Gila-Gila dan kemudiannya dengan Majalah Ujang, seterusnya minat membaca komik berkembang dengan membaca komik-komik dari Jepun, Hong Kong, Taiwan dan Amerika Syarikat. Beberapa artis komik yang popular digelar sebagai Kartunis menjadi pujaan antaranya Dato Lat, Imuda, Ujang, Gayour, Lepat dan Ubi bagi kartunis tempatan, manakala Tony Wong, Akira Toriyama, dan Fujio F. Fujiko antara kartunis luar negara yang penulis minati berikutan hasil karya mereka yang tulus dan ikhlas. 

Seperti yang kita maklum dunia komik amat sinonim dengan golongan lelaki dan adakala mereka yang meminati dengan komik digelar sebagai nerd, itu perkara biasa dan tidak menghairankan sangat kerana penggemar komik tahu dimana duduk dan letaknya diri mereka. Di Malaysia, kerjaya kartunis ramai disandang oleh golongan lelaki, dan jarang golongan wanita yang terlibat dalam menjadikan kartunis sebagai kerjaya. Satu mengejutkan apabila mendapat tahu bahawa kartunis wanita pertama merupakan Orang Kelantan dan hasil karya beliau merupakan antara komik yang terawal wujud di Malaysia semenjak sebelum merdeka lagi.

Liku-liku Dunia Komik Tanah Air
Insan yang bergelar Nor Zahrah Abdullah yang lebih dikenali sebagai Nora Abdullah seorang wanita yang berasal dari Kelantan. Beliau mula berkarya pada 1955 iaitu selepas tiga tahun komik mula diperkenalkan di Malaya dan beliau mencipta sejarah tersendiri dengan tampil sebagai Kartunis Wanita Melayu Pertama di Malaysia, dengan terbitnya naskhah berjudul "Cik Siti Wan Kembang" ketika itu beliau baru berusia 15 tahun.

Guru-guru beliau seperti Tuan Haji Omar dan Cikgu Khairuddin menjadi pendorong utama kepada beliau untuk menghasilkan karya komik, selain itu naskhah komik luar negara seperti Captain Marvel, Batman dan Superman menjadi inspirasi kepada beliau untuk menghasilkan karya komik sedemikian berikutan pada pengamatan beliau, anak tempatan juga boleh menghasilkan karya setaraf dengan kartunis luar negara.

Sepanjang tahun 1955 hingga 1961 beliau telah menghasilkan 12 naskhah komik bertemakan kisah purba dan pergolakan sosial masyarakat dengan Geliga Press Limited Singapore menjadi penerbitan kesemua naskhah beliau. Berikut antara komik yang dihasilkan beliau:

  • “Cik Siti Wan Kembang” (1955), 
  • “Gelombang Hidup” (1956), 
  • “Ibu” (1957), 
  • “Bawang Putih Bawang Merah” (1957), 
  • “Dugaan Ilahi” (1957), 
  • “Pengembaraan Naim dan Naimah” (1957), 
  • “Duyung Emas” (1958), 
  • “Pengaruh (1958)”, 
  • “Armina” (1961), 
  • "Anak Angkat”, 
  • “Batu Belah”, dan 
  • “Cempaka”.

Babak dalam komik Duyung Emas karya Nora pada 1958



Berdasarkan rekod, Nora Abdullah telah berhenti menghasilkan komik selepas Geliga Press Limited ditutup pada tahun 1961 dan perkara itu telah merentap semangat beliau untuk terus berkarya kerana selama beliau aktif dalam bidang tersebut syarikat itu yang menjadi tulang belakangnya. Sebenarnya semasa berkhidmat di syarikat tersebut, Nora juga menghasilkan ilustrasi untuk bidang-bidang lain juga seperti untuk bidang fesyen, iklan dan juga ilustrasi dalam naskhah buku.


Setelah 20 tahun lebih, Nora telah muncul kembali dengan karya komik terbaru beliau dengan tajuk Puteri Saadong yang diterbitkan dalam Majalah Salina pada 1986. Karya ini diterbitkan berikutan keinginan yang membuak untuk kembali aktif menghasilkan karya.


Komik Puteri Saadong dari Majalah Salina BIL. 147 September 1987

Selepas itu, Nora Abdullah diberi peluang untuk berkarya dalam Majalah Gila-Gila untuk keluaran 694 bermula Disember 2008. Pada tahun 1978, Nora telah melontarkan pendapat beliau bahawa pada masa tersebut kartunis muncul ibarat cendawan tumbuh bagaimanapun industri komik tetap tidak sepertimana tahun-tahun 60an.

Komik Malaysia
Di Malaysia industri komik seolah tidak terlalu berkembang kerana naskhah tempatan dilihat sukar untuk bertahan lama, manakala penerbit lebih berminat untuk menerbitkan karya luar yang telah terjemah terutama daripada Jepun, Korea dan Hong Kong. Malah siri komik Jepun lebih digemari oleh pembaca membuatkan karya tempatan dipandang sepi tidak seperti komik-komik alih bahasa dari Jepun.

Namun, seni lukis kartun di Malaysia lebih berkembang dalam dunia animasi seperti Upin Ipin, Boboboy, dan Siri Pada Zaman Dahulu. Bagaimanapun satu kebangaan untuk mengetahui bahawa kisah lagenda Kelantan seperti Cik Siti Wan Kembang dan Puteri Saadong pernah disampaikan oleh Nora Abdullah dalam bentuk Komik.

Ihsan : Pusat Sejarah Rakyat

Rujukan
  • http://duniacarton.blogspot.nl/2013/05/pelukis-komik-wanita-ulung-nora-abdullah.html
  • https://www.facebook.com/pusatsejarahrakyat/photos/a.399103666798755.84180.399097443466044/904603522915431/?type=1#
  • https://www.facebook.com/groups/11676812694/
  • Majalah Murni, Majalah Fantasi, National Library Board Singapore



Friday 10 July 2015

Selamat Kembali Perantau!

Alhamdulillah, 

Syawal akan menjelma tidak lama lagi. 
Kelantan akan menyaksikan kebanjiran kenderaan sedikit masa lagi. 

Perkara ini sudah menjadi kebiasaan bagi anak rantau. Diyakini semua sudah pakar menghafal laluan yang mana harus diikuti untuk mengelakkan kesesakkan yang teruk.

Berita gembira buat semua anak rantau yang akan mengambil laluan pulang ke kampung halaman dari Lembah Klang melalui Kuala Lipis. Menurut laman FB Anak Perantauan Kelate, Highway Bukit 7 akan mula dibuka kepada umum pada 13 Julai, pastinya ia akan memberi keselesaan kepada semua anak rantau yang akan pulang nanti.




Bagi yang anak rantau yang baru pertama kali mahu  melakukan kembara pulang ke Kelantan, disini kami sediakan laluan yang harus anda ikuti berdasarkan Zon iaitu dari arah Utara, Selatan dan Timur serta dari Lembah Klang.


Maklumat terperinci berkenaan laluan pulang ke Kelantan dari seluruh Semenanjung Malaysia telah diulas dengan kemas serta pada di web Cuti Kelantan untuk edisi Raya 2014. Untuk 2015, laluan tidak banyak berubah.

Bagaimanapun kami ingin memberi peringatan bahawa, jalan-jalan sekitar Kota Bharu akan mengalami kesesakan luar biasa, sehubungan dengan itu seluruh penduduk dan perantau diharapkan dapat bersabar dengan kesesakan yang akan dihadapi. Sebolehnya rancang perjalanan anda untuk kesemua bandar-bandar di Kelantan kerana pada musim perayaan pertambahan kenderaan akan berlaku secara mendadak. Kalau ada motor, lebih baik anda menaiki motor kerana ia lebih mobil berbanding kereta, tambahan pula penggunaan petrol untuk motor lebih kecil dan pastinya akan menjimatkan kos petrol anda.


SELAMAT HARI RAYA AIDILFITRI

MEMANDU DENGAN BERHEMAH DAN INGATI 
ORANG TERSAYANG



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...