SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Monday 18 May 2015

Abdul Kadir Adabi Pemikir Ulung Asal Kota Bharu : Siri Tokoh

A. Kadir Adabi  [Abdul Kadir bin Ahmad]
Pendahuluan
Sebagaimana negeri-negeri lain, Kelantan turut melahirkan ramai tokoh-tokoh yang bergiat dalam pelbagai bidang. Ada antara mereka diangkat menjadi Wira Kebangsaan dan disanjung seluruh masyarakat Tanah Melayu. Mereka terkenal dan masyhur serta dihormati generasi tersebut, namun masa beredar dan generasi silih berganti, tokoh yang terkenal mulai dilupakan begitulah adat manusia. Perkara sama yang berlaku kepada tokoh yang kami ketengahkan kali ini iaitu Allahyarham Abdul Kadir Adabi. 

Sebelum Perang Dunia Kedua (20an - 40an) merupakan dekad emas bagi bidang penulisan dan penerbitan bercetak dan ia merupakan satu fenomena di kalangan orang-orang Melayu begitu juga dengan Kelantan. Ketika itu, muncul sasterawan ulung seperti Zaaba, Usman Awang, S.Othman Kelantan, Pak Sako, A.Samad Said, Arena Wati, Shanon Ahmad dan ramai lagi. Abdul Kadir Adabi adalah orang yang sebaris dengan mereka, cumanya genre penulisan bukan karya sastera semata-mata sebaliknya lebih menumpukan kepada penulisan berbentuk pemikiran dan falsafah serta penulisan berkenaan masalah agama dan kehidupan, ia juga berkait dengan politk dan undang-undang.

Profil
Nama tubuhnya adalah Abdul Kadir bin Ahmad, bapanya Ahmad bin Yusof seorang Penghulu Kampung Raja Dewa, Kota Bharu, ibunya pula bernama Che Biru binti binti Abu Bakar, beliau dilahirkan pada 17 Ogos 1901. Ringkasnya Abdul Kadir dilahirkan dalam keluarga Bangsawan Kelantan, satu kelebihan kepada beliau yang kemudian diangkat sebagai individu yang membangkitkan semangat orang Melayu menentang penjajahan. Ayahnya serta Syeikh Daud Atas Banggul menjadi guru ketika beliau masih kecil. Kemudian beliau telah dihantar ke Masdrasah Muhammadiah untuk menerima pendidikan secara formal selama tiga tahun bermula 1917, disinilah beliau telah mendapat asuhan dalam dunia penulisan dibawah bimbingan Tuan Haji Mohammad Said. 

Pengelibatan beliau dalam dunia penulisan bermula pada 23 Mei 1921, yang menyaksikan artikel pertama beliau telah diterbitkan, pada masa itu Abdul Kadir masih belajar di Madrasah Muhammadiyah. Ketika berumur 22 tahun pula, dia telah diterima bekerja sebagai penolong penulis "Petition Writer" kepada Mat Seman bin Jambul bapa sepupunya yang pada masa itu digelar sebagai Tok Lowyar, beliau diberi tanggungjawab itu berikutan kemahiran menyusun ayat dalam membuat surat-surat rayuan dan petisyen kepada pihak kerajaan.

Semenjak itu, Abdul Kadir Adabi telah menulis artikel dalam beberapa majalah terkenal di Kelantan iaitu Pengasuh, beliau juga menulis dalam Idaran Zaman dan Saudara yang beroperasi di luar Kelantan. Waktu itu beliau sangat gemar membaca bahan bacaan daripada Indonesia terbitan Medan, Jakarta, Bandung dan Surabaya. Sebagai penulis yang kritis dan faktual dalam tahun 1923, Abdul Kadir telah menulis surat kepada Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan mengsyorkan agar kerajaan negeri memperjuangkan empat perkara pokok iaitu:

  1. Mendirikan sebuah Kolej di Kelantan
  2. Mendirikan sebauh Universiti di Tanah Melayu
  3. Mendirikan sebuah kerajaan Persekutuan Tanah Melayu di bawah seorang kepala negara yang dipilih di antara Sultan-sultan di Tanah Melayu.
  4. Mendirikan tugu-tugu peringatan pahlawan untuk membangkitkan semangat kebangsaan sepertimana yang telah dibuat di England dan Perancis.

Majalah Awal di Kelantan yang melibatkan peranan Abdul Kadir Adabi

Semangat Patriotik dan Kerjaya
Bagaimanapun syor itu telah ditolak walaupun hasrat tersebut bersifat baik dan holistik, ia telah ditolak atas alasan belum tiba masa untuk dilaksanakan. Bertitik tolak dari perkara tersebut Abdul Kadir Adabi bersama-sama sahabatnya te;ah menubuhkan sebuah persatuan bernama Putera Kelab pada 1929. Beliau telah dilantik sebagai Yang Dipertua, Asaad Shukri sebagai Setiausaha dan Mohamad Abdul Samad sebagai penolong setiausaha. 

Pada masa itu kebebasan bersuara menjadi pekara yang menjadi teras dalam mana-mana pertubuhan di Tanah Melayu, begitu juga dengan Kelab Putera. Langkah untuk menegakan perkara ini telah mendorong kelab itu menerbitan sebuah majalah bernama Putera pada Oktober 1929. Penulisan artikel dalam majalah ini dilihat sangat tajam dalam mengkritik golongan tertentu menyebabkan penerbitannya dihentikan dalam tempoh beberapa bulan sahaja. Namun, perkara ini tidak menjejaskan pendirian pemimpin kelab tersebut, mereka menerbitkan pula Majalah Kencana pada April 1930 sebagai lanjutan daripada Majalah Putera.

Pengelibatan Abdul Kadir Adabi tidak begitu menonjol dalam penerbitan majalah Kencana berikutan beliau mengguna nama samaran Wok bt. Abdullah, sehinggalah 1 tahun 10 bulan kemudian dimana penerbitan majalah ini telah dihentikan pada Mac 1933. Sebenarnya hal ini telah sedia maklum oleh pemimpin Kelab Putera, justeru semenjak 1930 lagi Abdul Kadir Adabi bersama dengan Asad Shukri dan Yusuf Hilmi telah mula menerbitkan buku-buku novel dan pengetahuan umum melalui Kencana Library Kota Bharu.

Selain itu, Abdul Kadir Adabi bersama rakan-rakanya Asaad Shukri, Yusuf Hilmi dan Hasan Fikri telah didesak untuk turut bergabung dalam penubuhan Persekutuan Setiawan Belia pada 1 Oktober 1931. Pada awal Februari 1932 pula, Haji Mohammad bin Haji Mohammad Said telah melantik beliau sebagai Penolong Pengarang Majalah Pengasuh namun dua bulan kemudian beliau telah berhenti daripada penerbitan tersebut dan tempatnya diganti oleh Hassan Fikri. Setahun selepas itu Haji Mohammad bin Haji Mohammad Said (Dato Laksamana) pula telah meletak jawatan seabgai Pengarah Pengasuh dan Setiausaha Kerajaan pada 1 Disember 1933.

Abdul Kadir Adabi pula meneruskan rutin sebagai penulis sehinggalah beliau telah dipelawa untuk menyertai penerbitan Al-Hikmah pada April 1934. Masa inilah beliau telah mengenali ramai orang dari luar negeri antaranya Syeikh Amin Al-Mesir Al-Azhari dan Tengku Mustafa Ali Acheh yang dalam rangka lawatan tinjauan keadaan di Kota Bharu. Di Penerbitan ini, Abdul Kadir banyak menulis artikel dan novel mengenai keadaan politik Tanah Melayu serta keadaan sosial di Kelantan. Antara novel yang beliau hasilkan adalah:

  • Anchoman Mahkota [18 Mac 1937]
  • 11 Rejab [24 November 1938]
  • Melati Kota Bharu [26 November 1939]
  • Persemburan Darah dibawah Lipatan Takbir [1941]

Selain itu terdapat sebuah novel Perancis berjudul Gustave le Bon telah beliau terjemahkan dan disiarkan secara bersiri dalam Al Hikmah dengan tajuk Jiwa Perkumpulan bermula 28 Mac 1940.

Abdul Kadir turut menulis dalam Majalah Al-Hikmah dan Dua Buah Novel yang ditulis oleh beliau

Sebelum tercetusnya Perang Dunia Kedua di Tanah Melayu, Abdul Kadir Adabi giat berhubung dengan tokoh-tokoh politik seperti Ibrahim Yaakob dan Ishak Hj. Muhammad. Ibrahim Yaakob bertemu dengan Abdul Kadir pada 1940 di Kota Bharu untuk menguruskan percetakan bukunya yang bertajuk Melihat Tanah Air di Mutbaat al-Ismailiah, dari Kota Bharu, Ibrahim telah dibawa oleh kenalan Abdul Kadir iaiu Abdul Rashid ke Patani. Ishak Hj. Muhammad pula telah menemui Abdul Kadir pada 25 April 1939 sebagai wakil akhbar Utusan Melayu yang akan diterbitkan di Singapura.

Setelah pentadbiran Tanah Melayu telah diambil alih oleh Jepun mereka telah mencari Abdul Kadir Adabi dan Asaad Shukri pada awal 1942 untuk bekerjasama dengan mereka. Tidak lama kemudian dalam 1942 juga telah diterbikan sebuah majalah yang bertajuk Matahari yang dikarang oleh mereka berdua tetapi menggunakan nama samaran. Dua sahabat ini tidak berdiam diri dan mereka tetap cekal untuk membebaskan tanah air dengan itu pada tahun 1942 juga mereka telah menubuhkan Kesatuan Melayu Muda namun pada Jun 1943, ianya telah dibubarkan oleh Jepun dan menggantikannya dengan Pembela Tanah Air (PETA) dengan merekrut pemuda - pemuda Melayu Kelantan memasuki persatuan ini.

Kecenderungan Abdul Kadir Adabi dalam kegiatan politik timbul semasa Zaman Jepun dan ianya disedari oleh pihak Jepun, atas sebab itulah pada Mac 1942, beliau dan beberapa sahabatnya iaitu Asaad Shukri, Nik Hassan, Nik Mustafa dan Mustafa Hj. Ibrahim telah dibawa oleh Mejar Fujiwara iaitu Ketua Intelijen Tentera Jepun ke Ipoh dari Kota Bharu. Kemudian dari Ipoh mereka telah ke Singapura bersama Inan bin Haji Siraj, setelah sampai di sana, mereka telah berusaha membebaskan 100 orang Melayu dari tahanan Jepun di Penjara Singapura antara mereka adalah Ibrahim Fikri, Abdul Hamid Hj. Mohamad dan Abdul Samad Ahmad. 

Sepanjang beliau berada di Singapura, beliau telah bertindak sebagai pembela orang-orang Melayu ketika Tanah ini diduduki oleh Tentera Jepun, hal ini dapat dibuktikan apabila beliau bersama Asaad Shukri telah menjadi saksi terhadap kes Inspektor Hamzah yang akan dijatuhi hukuman bunuh. Atas usaha mereka berdua, Inspektor Hamzah dapat diselamatkan. Pada masa itu juga, Abdul Kadir turut terlibat dalam penerbitan Berita Malai bersama-sama dengan Ibrahim Haji Yaacob.

Setelah berada di Singapura dalam tempoh yang lama, beliau dan pemimpin Melayu yang berasal dari Kelantan telah dihantar pulang ke Kota Bharu. Bagaimanapun sebelum tempoh kepulangan mereka ke Kelantan, Abdul Kadir, Asaad Shukri dan Wan Ibrahim Mustafa telah menubuhkan Barisan Pemuda Melayu Pantai Timur bagi menghadapi sebarang kemungkinan sekiranya Jepun kalah dalam perang. Mereka semuanya pulang dalam tempoh yang berasingan, dengan Abdul Kadir yang terakhir dimana beliau telah dinasihatkan oleh sahabat-sahabat mereka yang telah pulang ke Kota Bharu agar tidak pulang ke Kelantan berikutan terdapat petisyen bantahan rakyat terhadap kepulangan beliau. Bagaimanapun Abdul Kadir tetap meninggalkan Singapura namun kepulangan beliau tidak sampai ke Kota Bharu, sebaliknya beliau telah singgah di Kuala Terengganu, di sini beliau telah menerbitan majalah Cahaya Timur bersama-sama Misbaha dan Ibrahim Fikri. Ditakdirkan umur beliau berakhir di Kuala Terengganu, pada 24 Februari 1944 beliau telah meninggal dunia disebabkan penyakit kuning. 

Ulasan Penulis
Artikel ini hanyalah satu pengenalan berkenaan latar belakang Abdul Kadir Adabi di mana selepas ini kami akan terbitkan artikel lanjutan berkenaan tokoh ini. Beliau sebenarnya seorang tokoh pemikir yang prolifik dalam berjuang demi bangsa melalui penulisan, justeru itu beliau telah menggunakan banyak nama samaran seperti:

  • A.K
  • A.K Adabi Madrasi
  • Abna Adabi
  • Abu Mansur Kelantan
  • Adabi
  • Akba
  • Aki
  • Al-Mansur Adabi
  • Wook binti Abdullah

Penggunaan nama samaran ini menggambarkan bahawa beliau menulis bukan kerana populariti dan inilah menjadi ukuran keikhlasan beliau dalam dunia penulisan. Tulisan beliau ternyata terlalu keras dan tajam dengan pemikiran yang jarang ada dikalangan orang-orang Kelantan pada masa itu. Beliau mengkritik dan mengsyorkan secara terus sesuatu pendapat tanpa menghiraukan sensitiviti kerajaan pada masa itu demi kepentingan rakyat, kerana itu kegiatan beliau dalam penulisan dipantau malah ada penerbitan beliau diharamkan berikutan kandungan artikel beliau terlalu keras mengkritik kerajaan penjajah.

Tulisan-tulisan beliau dianggap radikal oleh pihak Inggeris, beliau juga adalah antara toko Kaum Muda yang sering mempersoalkan perihal agama degnan Kaum Tua, hal ini telah menyebabkan beliau diawasi, sehinggalah Inggeris ditewaskan oleh Jepun. Pemerintah dari Matahari Terbit itu melihat kecenderungan penulisan Abdul Kadir Adabi dan rakan-rakannya sebagai satu kelebihan buat mereka untuk terus membuatkan orang-orang Melayu di Kelantan membenci Inggeris. Pihak Jepun telah menghimpunkan penulis dan pengarang serta pemimpin Melayu Kelantan yang disenarai sebagai golongan radikal untuk menjayakan propaganda Jepun di Tanah Melayu pada waktu itu.  

Usaha beliau untuk terus membuka minda orang-orang Melayu terutamanya di Kelantan tidak pernah berhenti, ketika zaman Inggeris beliau menentang begitu juga di zaman Jepun, beliau turut menentang pendudukan Jepun, meskipun dipaksa untuk menjadi penulis dalam lidah rasmi Jepun di Tanah Melayu, Berita Malai. Sesungguhnya Kelantan mempunyai ramai pemikir ulung semenjak zaman berzaman, malah ada antara mereka menjadi nadi kepada tertubuhnya sebuah negara bernama MALAYSIA, namun ramai tokoh-tokoh ini mengambil keputusan untuk tidak terus dikenali dan kekal tersembunyi, bagaimanapun itu semua tidak menghalang untuk kita terus mencungkil maklumat berkenaan tokoh-tokoh ini kerana mereka signifikan buat KELANTAN dan Rakyatnya.


Rujukan:
  • [Monograf] Warisan Kelantan III
  • [Buku] Pejuang-Pejuang Kemerdekaan m.s. 371
  • https://muhammadismailibrahim.wordpress.com/2014/05/21/karya-karya-abdul-kadir-adabi/
  • http://klikweb.dbp.my/wordpress/?p=2472

1 comment:

Unknown said...

Saya amat perlukan bahan in...dlm proses siapkan PhD saya...Di mana saya bleh buat rujukan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...