SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Monday 6 April 2015

Aspirasi Mak Yong Kelantan Bahagian Kedua: Siri Orang Kito



Pendahuluan
Bahagian pertama sebelum ini telah kami kongsikan berkenaan Latar Belakang dan Versi Kisah yang menjadi asas kepada persembahan Mak Yong. Terdapat 4 versi kisah yang menjadi asas kepada persembahan tradisi masyarakat Kelantan, dan keempat-empat versi ini berkongsi satu instrumen penting iaitu Rebab satu intrumen yang akan kami kisahkan nanti. Pada bahagian kedua ini kami akan cuba sampaikan berkenaan:

  • Perkembangan Persembahan Mak Yong
  • Mak Yong di Kelantan
  • Elemen Mak Yong
  • Aspirasi Mak Yong

Perkembangan Mak Yong
Pelbagai teori telah dikeluarkan tentang penyebaran persembahan Mak Yong, antaranya persembahan ini berasal dari Terengganu, Kelantan, Patani dan Sumatera. Teori persembahan ini berasal dari Terengganu telah diterbitkan oleh saudara Mohamed Afandi dalam kajian beliau dengan menyatakan persembahan ini berasal dari Setiu yang pada zaman Patani Besar merupakan sebahagian daripada Kelantan yang juga gabungan gagasan Patani Besar. 

Mohamed Afandi menyatakan lagi, Padang Permaisuri merupakan nama lama bagi daerah Setiu yang kini menjadi bahagian daripada negeri Terengganu Darul Iman. Cerita lisan penduduk veteran sekitar Setiu, Padang Permaisuri ini merupakan sebuah negeri dengan Sultan Abdullah sebagai Raja Padang Permaisuri. Suatu hari baginda mahu mengadakan majlis berkhatan putera baginda, memenuhi majlis tersebut, baginda menitahkan agar dipersembahkan dua belas ragam permainan dan persembahan seperti Asyik, Joget, Menora. Wayang Topeng, dan lain-lain termasuklah Mak Yong. Tarian lain boleh dipersembahkan, kecuali Mak Yong, menjadi kehairanan terhadap perkara tersebut, Raja Padang Permaisuri telah menitahkan pengasuh ke hulu negeri untuk bertemu dengan seekor Batak Putih (Lotong atau Kera) yang boleh bercakap. Batak Putih memaklumkan bahawa Mak Yong memang wujud di negeri tersebut dan ia diyakini merupakan kisah tiga beranak iaitu, Pak Yong yang bernama Cik Mubin, Mak Yong dan anak mereka Awang. Ketika keluarga ini sedang meluang masa di bawah sebatang pokok besar, mereka telah dilanda ribut. Berguguranlah ranting-ranting dan daun-daun ke tanah dan mereka cuba mengelak dari terkena ranting-ranting yang luruh itu. Aksi dan gaya keluarga ini telah mengilhamkan bentuk dan gerakan tarian dalam persembahan Mak Yong. 

Terdapat juga teori yang menyatakan Mak Yong berasal dari Sumatera dan ia popular di kalangan golongan diRaja. Ia diasaskan oleh masyarakat Batak dan ia boleh dilihat dalam Hikayat Mat Yong dimana naskhah tersebut sering memaparkan frasa Maka Raja Batak dan nama-nama lain yang mempunyai kaitan dengan nama suku kaum di Sumatera. Hal ini dipercayai tercetusnya perang di Sumatera menyebabkan seorang raja telah melarikan diri bersama pengikutnya dan mendarat di Padang Raja yang kini dalam Terengganu. Pengikut Raja dari Sumatera inilah yang membawa permainan Mak Yong dan ia dipelajari ole orang-orang Kelantan dan dipersembahkan di Istana.

Mubin Sheppard pada 1972 menyatakan:

"Mak Yong is the oldest form of Malay drama dan has been performed in Patani and Kelantan for hundreds of years."
Persembahan Mak Yong dipercayai mula dipersembahka di Patani pada zaman pemerintahan Ratu Pelangi, iaitu Raja Hijau, Raja Biru, Raja Ungu dan Raja Kuning dalam tempoh 1585-1680. Raja Ungu telah berkahwin dengan Sultan Abdul Ghafar, Sultan Pahang dan perkahwinan mereka dikurniakan Raja Kuning yang kemudiannya berkahwin dengan Sultan Abdul Jalil III, Sultan Johor. Ketika inilah seni ini berkembang ke seluruh Alam Melayu, memandangkan kerajaan Johor dan Pahang pada masa tersebut merupakan Kerajaan Melayu yang berpengaruh selain Patani dan Acheh.

Mubin Sheppard bertegas dengan teori beliau bahawa seni persembahan Mak Yong berkembang dari Istana Patani ke Istana Kelantan dan dikuatkan lagi akan pertalian darah antara kedua-dua Kesultanan ini. Pengembara barat, Peter Flores telah tiba di Patani pada 1612 bersama rombongan Sultan Pahang mencatatkan bahawa mereka telah diraikan oleh Raja Perempuan Patani dengan satu bentuk persembahan yang tiada di tempat lain. Catatan ini merupakan catatan pertama berkenaan sejarah Mak Yong

Tengku Temenggung Ghaffar
Mak Yong di Kelantan
Sehingga tahun 1930,  persembahan Mak Yong merupakan seni persembahan eksklusif untuk orang Kelantan sahaja. Pada 1926, Tengku Temenggung Ghafar seorang putera Raja Kelantan telah membina sebuah penempatan yang dikenali sebagai Kampung Temenggung (Kampung Raja) sebagai pusat aktiviti kebudayaan. Pemain Mak Yong juga ditempkan dalam perkampungan tersebut, mereka ditempatkan dikampung tersebut untuk menjalani latihan harian demi menjamin mutu persembahan. Selian itu, pihak Istana Kelantan juga memberi perlindungan penuh kepada semua yang terlibat dengan seni serta kebudayaan masyarakat Kelantan. Semasa pemerintahan Sultan Ismail 1, persembahan Mak Yong telah dijadikan satu persembahan rasmi dalam majlis dan keraian rasmi.

Kegawatan ekonomi selepas Perang Dunia Kedua serta kemangkatan Tengku Temenggung dan pengaruh Inggeris yang kembali semula ke Kelantan selepas Jepun mengaku kalah telah menjatuhkan mutu persembahan seni tari tradisi ini. Dahulu Mak Yong adalah eksklusif hanya untuk golongan bangsawan, kini penggiat Mak Yong bergiat sendirian. Kumpulan Mak Yong yang ditubuhkan oleh pasangan suami isteri tumbuh ibarat cendawan. Ia dipersembahkan di kampung-kampung menyebabkan berlakunya kemerosotan mutu persembahan dari segi cerita, gerak tari dan lagunya. Golongan penonton yang terdiri dari orang kebanykkan antara faktor kesenian dalam persembahan ini makin merosot berikutan mereka hanya inginkan satu persembahan yang ringan dan durasi persembahan ini juga dipendekkan.

Selain itu persembahan ini juga telah dikomersialkan iaitu ia mula mengenakan bayaran untuk setiap kali beraksi. Penduduk kampung akan menjemput kumpulan Mak Yong yang popular dan mereka akan mengenakan bayaran tertentu. Bagi kumpulan yang kurang popular, merekan akan mengadakan persembahan tersendiri di satu kampung dan akan mengenakan bayaran keatas individu yang ingin menonton persembahan Mak Yong. Pada zaman kegemilangannya, anak-anak Mak Yong diberikan pendidikan agama secara khusus oleh pihak Istana, namun kini mereka mula bebas menyebabkan moral mereka jatuh dengan menjadi anak joget setelah selesai persembahan Mak Yong akibat didorong wang saguthati diterima.

Masalah moral di kalangan anak-anak Mak Yong menyebabkan pada akhir 60an, menyebabkan orang ramai terutama golongan muda tawar hati untuk mempelajari seni tradisi rakyat Kelantan ini. Pada masa tersebut hanya penari-penari yang lanjut usia shaja yang membuat persembahan. Kemasukan budaya popular juga memberi kesan kepada seni persembahan tradisional ini sehingga menjadikan seni Mak Yong tenat.

Kerajaan sedar akan kepentingan mengekalkan keseniaan Mak Yong, dan pihak kerajaan telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan International Conference of Traditional Drama and Music of Southeast Asia pada 1969. Satu resolusi telah dikeluarkan dan ia diselia dengan ketat oleh Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan telah melantik anak-anak Mak Yong pada zaman Tengku Temenggung sebagai jurulatih dan guru untuk melatih generasi muda bagi mengekalkan kesenian kebudayaan itu sendiri. Serentak dengan itu juga telah ditubuhkan sebuah kumpulan belia yang dikenali sebagai Kumpulan Seri Temenggung untuk memperjuangkan kelangsungan kesenian tradisional.

Kumpulan ini telah dipelopori oleh Puan Khatijah Awang yang mendapat bimbingan  Cik Kemala seorang anak Mak Yong yang terkenal pada zaman Tengku Temenggung. Terdapat tentangan daripada masyarakat pada peringkat penubuhan kumpulan ini dan menyebabkan kumpulan ini sukar untuk menambah keahlian. Bagaimanapun kumpulan ini telah diberi peluang untuk melakukan persembahan sewaktu Festival Asia di Kuala Lumpur pada 1969, setelah itu persembahan Mak Yong telah mendapat perhatian ramai dan semenjak dari itu, persembahan ini menular keluar dari Kelantan.

Persepsi rakyat Kelantan kepada anak Makyong serta percanggahan akidah antara ritual Makyong dengan amalan ibadat serta pegangan kepada Islam ditambah pula perubahan pucuk pimpinan kerajaan negeri telah menyebabkan seni Makyong telah dipinggirkan dalam kehidupan masayarakat Kelantan. Justeru, Akademi Seri Kebangsaan (ASK) telah menawarkan kursus berkenaan Mak Yong dan bermulalah pembelajaran formal berkenaan seni tradisi orang Kelantan ini.

Aspirasi Mak Yong
36 tahun adalah tempoh yang ditempuh oleh penggiat seni kebudayaan terutama anak-anak Mak Yong telah membuahkan hasil jua, apabila UNESCO mengiktiraf seni kebudayaan ini sebagai Warisan Dunia pada 25 November 2005. Dalam tempoh ini pelbagai kajian berkenaan seni persemabahan ini telah dijalankan dan didapati ia bukanlah dimainkan di Kelantan sahaja, malah ia telah tersebar sejauh Riau di Indonesia, para pengkaji telah menklasifikasi seni persembahan ini seperti berikut:

  • Makyong Patani : ditemui di Patani, Yala dan Narathiwat.
  • Makyong Kelantan : ditemui di Kelantan dan daerah Besut di Terengganu
  • Makyong Kedah : ditemui di Kedah
  • Makyong Laut : ditemui di Perlish dan Wilayah Satun
  • Makyong Riau : ditemui di Wilayah Riau
  • Makyong Medan : ditemui di Medan
  • Makyong Kalimantan : ditemui wilayah Kalimantan

Satu penghormatan buat anak-anak Makyong apabila seni ini diprsembahkan di luar lingkup sempadan Kelantan. Variasi seni persembahan ini menandakan ia satu seni yang universal dan dikongsi dengan penduduk beberapa buah negara yang masih lagi serumpun dalam kelauarga Bangsa Melayu. Ternyata perjuangan sepanjang masa ini telah membuahkan hasil.

Saat ini kebanyakkan Institusi Pengajian Tinggi di Malaysia mempunyai kursus seni persembahan dan Makyong merupakan satu subjek kemestian diambil oleh penuntut. Paling manis, Universiti Malaysia Kelantan juga sedang giat mengangkat semula seni Makyong di bumi Kelantan mengikut lunas dan landsan yang sebenar. Semoga seni tradisi ini terus subur dan menjadi eksklusif kembali dalam masyarakat Kelantan.


Rujukan:
  • http://mimbarkata.blogspot.nl/2013/04/mak-yong-muzikal-drama-dan-tari.html
  • http://www.virtualmalaysia.com/blog/mak-yong-raja-besar-ho-gading/
  • http://makyongkepri.blogspot.nl/
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Mak_Yong

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...