SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Saturday 28 March 2015

KOTA BHARU II yang Tenggelam : Siri Sejarah Silam

Pendahuluan
Kota Bharu yang kita kenal pada hari ini merupakan Ibu Negeri Kelantan. Ia berkembang dengan begitu pesat semenjak 10 tahun kebelakangan ini, banyak binaan moden wujud disamping bangunan-bangunan tradisional lainnya. Ramai rakyat Kelantan tahu berkenaan kisah bagaimana Kota Bharu mendapat nama yang berkisar tentang sejarah Kota Kubang Labu dan peranan Long Yunus ketika membuka ibu negeri Kelantan ini.

Bagaimanapun ramai juga yang tidak sedar bahawa Kota Bharu ini wujud didua lokasi berbeza iaitu satu tapak kota yang dibuka oleh Long Yunus dan sebuah lagi kota yang diwujudkan semasa pemerintahan Sultan Muhammad I (1801-1835).

Sejarah Ringkas Kota Bharu
Setelah tamatnya Perang Kota Kubang Labu 1762 Long Yunus telah dilantik sebagai Yang diPertua Negeri dan Long Ghafar sebagai Perdana Menteri, pada masa ini pengaruh Terengganu masih kuat di Kelantan hinggalah tercetusnya perang antara Kelantan dan Terengganu pada 1800 dengan Long Muhammad putera kepada Long Yunus berjaya mengusir pengaruh Terengganu dengan bantuan orang-orang China dari Pulai. Setelah itu baginda telah ditabalkan sebagai Sultan Kelantan dengan gelaran Sultan Muhammad I. 

Sewaktu peperangan Kota Bharu telah musnah teruk dan banyak bangunan penting rosak dan binasa. Sultan Muhammad I mengambil inisiatif untuk membina kota yang baru menggantikan kota asal yang rosak. Perang antara Kelantan dan Terengganu bermula ekoran persaan tidak puas hati dikalangan putera-putera Long Yunus berkenaan perlantikan Tengku Muhammad Ibni Sultan Mansur I seorang Tengku dari Terengganu yang juga ipar mereka. Pada pandangan putera-putera Long Yunus ini merekalah yang paling layak menggantikan tempat ayahandanya itu, bibit tercetus kekecohan apabila putera-putera Long Yunus ini enggan menurut perintah dari Tengku Muhammad berkenaan urusan pertabalan beliau, dan lama kelamaan ia melarat kepada kejadian tembakan keatas perahu yang dinaiki oleh keluarga diRaja Terengganu berhampiran Kuala Besar kejadian tembakan itu telah membuatkan Sultan Mansur di Kuala Terengganu murka dan mereka telah menyerang Kelantan, dalam serangan ini putera-putera Long Yunus telah tewas dan berundur ke Hulu Kelantan dengan janji tidak akan bangkit lagi, setelah pengunduran putera-putera Long Yunus ini, Kota Bharu yang dibina semasa pemerintahan Long Yunus telah dibakar dan dijarah oleh angkatan Terengganu yang mendapat bantuan daripada Kerajaan Siak (bugis). Angkatan perang Terengganu berada di Kelantan selama 5 bulan selepas pengunduran putera-putera Long Yunus, ketika itu seluruh Kelantan telah dijarah dengan rakus dan banyak rumah serta kediaman bangsawan dan rakyat marhaen Kelantan dirampas dan dimusnahkan, setelah itu barulah angkatan ini pulang ke Terengganu dan tinggalah Tengku Muhammad di Kota Bharu yang dilantik sebagai Yamtuan Kelantan.

Setelah angkatan perang Terengganu kembali semula ke negeri mereka, Long Muhammad dengan bantuan China dari Pulai telah melakuka serangan balas keatas kedudukan Tengku Muhammad di Kota Bharu, sekali lagi ibu negeri Kelantan ini mengalami kemusnahan jiwa dan harta benda. Tengku Muhammad telah kembali ke Terengganu untuk mendapatan bantuan, namun dengan takdir Allah s.w.t. Terengganu tidak jadi menyerang balas berikutan kemangkatan Sultan Zainal Abidin. Justeru kemenangan ini membolehkan Long Muhammad ditabalkan sebagai Raja Kelantan dengan gelaran Sultan Muhammad I menduduki takhta Kelantan pada 1801. Artikel berkenaan Perang Kelantan dan Terengganu boleh diikuti pada Patuan I dan Pautan II

Kota Bharu II
Atas faktor kemusnahan dalam peperangan, Sultan Muhammad I telah menggerakkan usaha membina kota pentadbiran Kelantan yang baru di Pulau Saba iaitu sebuah pulau yang terletak di tepi tebing timur Sungai Kelantan. Di pulau tersebut dibina beberapa bangunan penting dan juga sebuah masjid, lokasi baru inilah menjadi ibu negeri Kelantan selama 42 tahun bermula 1800 hingga 1842 dan ia telah diberi nama jolokan sebagai Kota Kebun Menseta. Sultan Muhammad I telah mangkat pada 1835 telah meninggalkan takhta Kelantan tanpa perwaris yang sah sehingga mencetuskan perang saudara di Kelantan dengan ia akhirnya berpihak kepada Long Senik Mulut Merah dan baginda telah ditabalkan sebagai Raja Kelantan dengan gelaran Sultan Muhammad II pada 1837. Waktu itu Pulau Saba masih menjadi ibu negeri Kelantan bagaimanapun baginda merasa bimbang akan keadaan pulau tersebut yang saban tahun telah terhakis ekoran sering dilanda banjir. Tahun 1840 baginda telah mengeluarkan perintah supaya digali satu anak sungai di tebing sebelah barat Sungai Kelantan bertempat di Kampung Kutan untuk mengurangkan rempuhan aliran air ke Pulau Saba.

Baginda Sultan Muhammad II sendiri telah mencemar duli berangkat merasmikan projek tersebut, menandakan ianya satu projek yang penting. Sungai tersebut digali dengan lebar 3 depa, dalam 5 depa dan ia sepanjang 4 batu dari Kutang hingga ke Bendang Mokrat berhampiran Palekbang, sungai ini telah selesai digali pada 1841 dan ia dinamakan sebagai Sungai Raja Gali. Malang sekali selepas setahun, sungai buatan ini tidak dapat berfungsi berikutan ia telah tertimbus oleh timbunan lumpur dan pasir yang dibawa oleh arus Sungai Kelantan membuatkan Pulau Sabar kembali terancam hingga ia tidak lagi dapat diselamatkan menyebabkan pemerintahan Sultan Muhammad II mencari lokasi baru sebagai kota pentadbiran.

Setelah 42 tahun, Kota Kebun Menseta di Pulau Saba telah ditinggalkan berikutan hakisan yang tidak dapat dibendung lagi, hari ini ia telah tenggelam sepenuhnya dalam Sungai Kelantan. Inila satu bukti kenapa banyak bukti arkeologi di Kelantan tidak dapat ditemui berikutan ancaman bencana alam semulajadi.

Lokasi Kota Kebun Menseta di Pulau Sabar | Maklumat : Warisan Kelantan II olahan pada imej Google Earth

Kota Bharu III
Semasa pemerintahan Long Yunus, baginda telah memindahkan pusat pentadbiran Kelantan dari Kota Kubang Labu ke kota istananya di Kampung Galuh terletak di tebing sebelah timur Sungai Kelantan yang berhadapan kampung pekan (Pasir Pekan). Waktu itu Kampung Galuh juga dikenali sebagai Kampung Ce' Bu ia mempunyai sebuah pengkalan yang dikenali sebagai Pengkalan Leser atau Pengkalan Galuh. Pada masa kini, kampung ini lebih dikenali sebagai Kampung Kota Lama. Segala binaan di kampung tersebut dikenali sebagai Istana Galuh. Bagaimanapun Istana Galuh ini telah musnah binasa ekoran perang antara Kelantan dan Terengganu pada 1798-1800 dan ia diganti dengan Kota Kebun Menseta di Pulau Saba.

Bagaimanapun Ibu Negeri Kelantan di Pulau Saba itu sering diancam oleh banjir dan hakisan membuatkannya hanya mampu bertahan selama 42 tahun sahaja. Justeru, dibawah pentadbiran Sultan Muhammad II telah memilih satu kawasan baru pada arah timur Pulau Saba dan baginda telah mengeluarkan arahan untuk pembinaan kota dan istana pada lokasi baru tersebut. Di dalam kota yang baru itu terdapat sebuah balai besar, sebuah rumah besar yang merupakan istana kediaman raja, sebuah surau dan sebuah rumah tempat pengawal-pengawal raja. Kompleks Kota Pentadbiran Kelantan ini dibina diatas tapak seluas 40 ekar yang dikelilingi dan dipagari oleh pokok buluh peleting seluas 25 ekar yang dipanggil sebagai kawasan Buluh Kubu dan kemudiannya disebut Dalam Kubu. Di dalam kubu inilah didirikan rumah-rumah kediaman kerabat-kerabat raja, orang-orang besar dan orang-orang yang setia dan berjasa kepada Raja.

Pada tahun 1844, baginda Sultan Muhammad II telah berangkat bersemayam di istana yang baru dibina itu, kota dan istana tersebut dinamakan sebagai "Kota Bharu" yang akhirnya berkembang pesat pada hari ini malah ia menjadi pusat pentadbiran Kerajaan Kelantan. Untuk mengelakkan kekeliruan antara nama Ibu Negeri dan kompleks istana itu, baginda telah menamakan istana beliau sebagai Istana Balai Besar dan mengekalkan nama ibu negeri Kelantan sebagai Kota Bharu.

Istana Balai Besar sekitar 1900




Rujukan:
  • [Monograf] Warisan Kelantan III
  • [Buku] Keluarga DiRaja Kelantan Darul Naim
  • https://www.scribd.com/doc/184055863/sejarah-awal-perkembangan-ekonomi-kelantan-1959-2009-by-NABIL-FIKRI-docx

Wednesday 25 March 2015

S.Othman Kelantan : Siri Tokoh

Allahyarham S. Othman Kelantan

Pendahuluan
Tahun silih berganti, masyarakat meneruskan kehidupan seperti biasa. Yang belajar melangsungkan kehidupan dengan berkerja. Yang bujang mula berkahwin dan melahirkan zuriat. Namun jarang kita terfikir dalam transisi masa itu, pasti kita dihiburkan juga diperingatkan melalui pelbagai medium.

Dekad 1960 - 1980, percetakan merupakan medium utama dalam menerbitkan majalah, surat khabar, & Buku. Masa tersebut bukan sesuatu yang mudah untuk seseorang wartawan mendapatkan berita utama melainkan jika ia berlaku di bandar-bandar besar. Justeru untuk meneruskan kelangsungan sesebuah penerbitan dibukalah ruangan Cerpen, Sajak, Puisi dan Rencana yang mana penerbitan tersebut melibatkan pembaca untuk menghantar karya kreatif mereka. Keadaan ini telah melahirkan puluhan sasterawan yang masih tersohor hingga kini, salah seorang dari mereka adalah S.Othman Kelantan.

Profil
Latar Belakang
Dilahirkan pada 13 November 1939 di Kampung Tebing Tinggi, Kemumin, Kota Bharu dan dinamakan sebagai Syed Othman bin Syed Othman al Yahya. Beliau lebih dikenali sebagai S.Othman Kelantan dalam dunia penulisan. Beliau aktif dalam lapangan penulisan pada tahun 1953 dengan menulis Cerita Pendek (cerpen) serta novel, sehingga tahun 2000 beliau sebanyak 175 cerpen beliau telah diterbitkan dan beberapa novel beliau juga menjadi fenomena hingga diterjemahkan kepada beberapa bahasa asing seperti Jepun, Perancis, Inggeris, Russia dan Cina. 

Pendidikan
Beliau mula menerima pendidikan formal  di Sekolah Melayu Sabak sehingga darjah V pada 1950 dan menyambung pelajaran di Sekolah Rambutan Rendang sehingga lulus darjah IV. 1964 beliau telah lulus dalam Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan pada 1971 beliau telah meraih Sijil Tinggi Persekolahan. Setelah itu S.Othman Kelantan telah menyambung pelajaran pada peringkat Sarjana Muda secara luar kampus dengan Universiti Sains Malaysia sehinggalah meraih Ijazah Sarjana Muda Sastera pada 1979. Semangat beliau untuk belajar tidak terhenti setakat itu, beliau telah melanjutkan pelajaran pada peringkat Sarjana pula dan pada 1982 beliau telah dianugerahkan Sarjana dalam bidang sastera pada 1982 juga dari Universiti Sains Malaysia. Kata pepatah Alang-alang Menyeluk Pekasam Biar Sampai ke Pangkal Lengan, S.Othman Kelantan telah menyambung lagi pembelajaran beliau pada peringkat PhD dan pada 1995, Universiti Kebangsaan Malaysia telah menganugerahkan gelaran Doktor Falsafah kepada beliau.

Kerjaya
S.Othman Kelantan sebenarnya adalah seorang guru sekolah sebelum beliau bertukar kerjaya sebagai pensyarah pada 1983. Beliau berkhidmat sebagai guru hanya di Kelantan dengan Sekolah Rendah Gaal, Pasir Puteh sebagai sekolah pertama dan Sekolah Menengah Sultan Ismail, Kota Bharu sebagai sekolah terakhir beliau. Setelah beliau mendapat Ijazah Sarjana dari USM, beliau telah berkhidmat sebagai Pensyarah Penyelidik di Institut Bahasa, Kesusasteraan, dan Kebudayaan Melayu (IBKKM) sehinggalah beliau bersara.

Penulis dan Pengarang
Pada peringkat awal penulisan, beliau menghasilkan puisi dan cerpen untuk Utusan Kanak-kanak dan Tunas serta majalah Hiboran, Mutiara. Dua majalah ini lebih kepada maklumat hiburan dan dari sinilah S.Othman Kelantan membina keyakinan untuk terus menghasilkan karya kreatif yang lebih bersifat dinamik dan akhirnya karya beliau diterima penerbit yang besar seperti Dewan Bahasa dan Pustaka. Pada peringkat pembabitan beliau dalam menulis karyanya lebih bercorak hiburan ringan dengan memuatkan tema penyiasatan dan ala-ala Cowboy dan mengembangkan penulisan dengan meyentuh persoalan yang lebih besar mencakupi isu kemasyarakatan, politik, agama dan falsafah.

Beliau sebenarnya lebih terkenal sebagai Cerpenis dengan cerpen yang menjadi ingatan hingga saat ini iaitu "Pahlawan Lembu". Hasil penulisan beliau telah membawa beliau memenangi hadiah RM100.00 untuk cerpen pilihan akhbar Berita Harian dan Majalah Mastika. Panel Hadiah Karya Sastera juga telah memilih beberapa buah cerpen beliau sebagai cerpen terbaik untuk tahun 1972, 1973 dan 1975. Pengelibatan beliau dalam penulisan novel bermula apabila novel Pelangi memenangi hadiah sagu hati dalam Peraduan Mengarang Novel anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka pada 1962. Kejayaan inilah mendorong beliau untuk menghasilkan novel sulungnya iaitu Pengertian pada 1968. Bagaimanapun ia mengambil masa untuk diterima masyarakat umum, setelah novelnya yang ketiga bertajuk Angin Timur Laut barulah penulisan beliau dalam novel mendapat sambutan dari pembaca.

Persatuan
Sepanjang terlibat dalam dunia penulisan, S.Othman Kelantan pernah diangkat sebagai Ketua dalam beberapa persatuan yang berteraskan kemasyarakatan seperti Persatuan Penulis Kelantan (PPK) dari tahun 1973 - 1976, Persatuan Penulis Nasional, Penasihat PPK dan Penasihat Persatuan Seniman dan Penulis Kelantan (PUSPA). Karyawan ulung ini telah meninggal dunia pada 31 Julai 2008 dan dikebumikan di Bangi.


Antara Novel S.Othman Kelantan













Rujukan:
  • http://dbp.gov.my/lamandbp/main.php?Content=articles&ArticleID=747
  • http://bwpian.blogspot.nl/2010/10/biodata.html
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/S._Othman_Kelantan

Sunday 22 March 2015

Jenis Kata Adjektikf dalam dialek Kelatan : Siri Bahasa

Pendahuluan
Kata Sifat dalam pemahaman global sebagai Kata Adjektif merupakan asas kepada frasa adjektif seperti manis sekali, sudah lama sungguh, masih lebat lagi. Kata-kata dalam golongan kata adjektif menerangkan keadaan atau sifat sesuatu nama atau frasa nama. Kata adjektif boleh dikenali jika kata berkenaan didahului oleh kata penguat seperti amat, sangat, sungguh, sekali, paling, agak, benar.

Penulisan dalam Siri Bahasa akan cuba mencari kata sifat dalam dialek Kelantan untuk sama-sama kita memperkemaskan pemahaman pertuturan dialek Kelantan mengikut kajian bahasa kebangsaan. 

Dalam Bahasa Melayu, kata sifat terbahagi kepada 9 subgolongan iaitu:


Sifat : Menerangkan keadaan rupa paras seseorang atau keadaan  
Contoh BM :baru, baik, cerdik, berani, lemah, kukuh, kemas, secantik, terkuat, tercantik
Contoh Dialek Kelantan : Comey, Jangok, molek, debbè, gagoh, berèng, betat 

Warna 
Contoh BM : Merah, Biru, Kuning, Jingga, Hijau, Kelabu
Contoh Dialek Kelantan : Koko, butir setar,  

Ukuran  
Contoh BM : Panjang, Pendek, tebal, tipis, dalam, besar, sebesar, tertipis
Contoh Dialek Kelantan : Tohor, nipis, patat, pandok, se-meluk 

Bentuk  
Contoh BM :bujur, lurus,
Contoh Dialek Kelantan :  
Waktu 
Contoh BM : lama, lambat, lewat, lalu, segera, suntuk, lampau,   
Contoh Dialek Kelantan : derah, koho,  

Jarak 
Contoh BM : dekat, hampir, nyaris, jauh 
Contoh Dialek Kelantan : sebatu, segaloh,  

Cara 
Contoh BM : selalu, jarang, kadang-kadang, kerap, lambat, deras, laju, jelas, muram, lincah 
Contoh Dialek Kelantan :  Sengoti, Kghabak, 
Pancaindera
  • Rasa : sedap, lazat, manis, pahit, lemak, pedas, payau, masam, masin
  • Pandang: buruk, hodoh, jelita, cantik, tampan, kacak
  • Dengar : bising, sunyi, senyap
  • Bau : busuk, wangi, hangit, hapak
  • Sentuh : kesat, kasar, lembab, halus, licin
Contoh Dialek Kelantan
  • Rasa : nyakut, jeliro, 
  • Pandang : cepuah, 
  • Dengar : tughik, bengèng, 
  • Bau : tengik, kohong, 
  • Sentuh :berlengas, keghasa'k, geligis
Perasaan  
Contoh BM : takut, seram, benci, rindu, marah, senang, sayang, gembira 
Contoh Dialek Kelantan : koya, mangok, agah, murih, 

Seterusnya Peringkat Pangkat Kata Adjektif Dalam Dialek Kelantan

Rujukan:
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Kata_adjektif

Thursday 19 March 2015

Legasi Mat Che Su : Siri Tokoh Kelantan

Allahyarham Mat Che Su

Pendahuluan
Bola Sepak merupakan sukan paling popular di Malaysia begitu juga di Kelantan. Kemeriahan sukan ini di Kelantan menjadi satu fenomena apabila satu padang bola telah diwujudkan serentak dengan penubuhan Kelantan Amateur Football Association (KAFA) pada 1946. Pada waktu itu sukan ini hanya dimainkan oleh pegawai-pegawai Inggeris sesama mereka, manakala rakyat Kelantan hanyalah penonton sahaja. Sukan ini akhirnya berkembang tahun demi tahun dan diikuti dengan penuh minat, pasukan ini juga pernah melahirkan beberapa pemain lagenda sekurang-kurangnya pada negeri Kelantan, antaranya dalah Mat Che Su.

Latar Belakang
Mohammad Che Su adalah nama penuh beliau namun lebih dikenali sebagai Mat Che Su. Beliau merupakan pemain kelahiran Jalan Gajah Mati, Kota Bharu dan antara pemain Kelantan yang berjaya membawa Kelantan ke perlawanan akhir Malayan Cup 1955 yang dikenali sebagai Piala Malaysia pada masa kini. Pada perlawanan tersebut pasukan Kelantan telah bertemu dengan pasukan Singapura dan ia berlangsung di Rifle Range Road, Singapore, menyaksikan pasukan Kelantan telah muncul sebagai Naib Juara buat pertama kali dalam sejarah bola sepak, saat itu nama Mat Che Su menjadi sebutan seluruh rakyat Kelantan kerana kejayaan mereka mara ke perlawanan akhir tersebut.

1969, beliau telah diamanahkan untuk menjadi jurulatih pasukan Kelantan dengan menyaksikan Pasukan Kelantan sekali lagi mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia pada 1970 bertemu dengan Perak, dan muncul sebagai Naib Juara buat kali kedua dalam sejarah setelah tewas 2-0. Mat Che Su terus membimbing pasukan Kelantan sehingga tahun 1985 sebelum beliau berhijrah ke Sarawak. Semasa melatih pasukan Kelantan beliau telah berjaya melahirkan beberapa pemain bintang tanah air seperti Hamid Ramli, Kamaruddin Mohd Nor, Hashim Mustapha, Zahasmi Ismail dan Affendi Yussof.

Kejurulatihan
Kerjaya beliau sebagai jurulatih bola sepak bermula pada 1969 setelah diberi kepercayaan oleh KAFA untuk menerajui kejurulatihan pasukan Kelantan. Sekali berjaya mara ke perlawanan akhir Piala Malaysia 1970 dan beberapa kali menjuarai Piala Emas Raja merupakan pencapaian beliau dalam bidang kepakaran itu, selain itu beliau juga berjaya mencungkil bakat bola sepak Kelantan untuk diketengahkan keperingkat kebangsaan. 15 tahun lamanya beliau melatih pasukan Kelantan, akhirnya pada 1985, beliau telah berhijrah ke Sarawak untuk melatih pasukan negeri tersebut.

Di Sarawak beliau telah melatih satu pasukan yang baru yang dibentuk dan rata-rata terdiri dari pemain yang kurang berpengalaman. Beliau telah membentuk semula pasukan Sarawak pada waktu itu sehingga mampu bersaing dalam kancah Liga Semi Pro hingga mampu bersaing dengan pasukan bola sepak yang ada pada waktu tersebut. Bagaimanapun beliau tidak lama dengan pasukan Sarawak kerana telah menamatkan kontrak beliau bersama pasukan tersebut pada 1987 dan pulang semula ke Kelantan.

Gaya Rambut menjadi Ikutan 1968
Setelah lima tahun berehat dari melatih, beliau telah kembali semula dalam arena bola sepak tanah air dengan melatih pasukan Perlis pada 1992. Sepanjang tempoh setahun melatih pasukan Indera Kayangan itu, Mat Che Su berjaya membawa pasukannya menjuarai Piala Emas dan Piala Agong pada 1993 yang juga merupakan tahun terakhir beliau bersama dengan pasukan Perlis.

Zaman Kegemilangan
Dekad 50an hingga 60an, Mat Che Su merupakan ikon kepada arena bola sepak Kelantan sehingga gaya potongan rambut beliau menjadi ikutan anak muda pada masa tersebut dengan menamakan gaya rambut tersebut sebagai Gaya Mat Che Su. 

Satu penghormatan dari peminat buat beliau dan keperibadian beliau dalam arena bola sepak negeri menjadi sebutan ramai. Generasi kini sudah jarang mengenal lagenda bola sepak Kelantan ini kerana era beliau sudah lama berlalu. Namun generasi terdahulu masih mengkagumi ketokohan beliau dalam membangun bola sepak Kelantan. Lagenda bola sepak Kelantan yang rasi dengan genarasi kini adalah Hashim Mustapha yang juga pernah digilap oleh jurulatih Mat Che Su.

Kegemilangan bola sepak Kelantan kembali bersinar pada musim 2008 dan masih bergemerlapan hingga kini. Kemuncak prestasi pasukan Kelantan adalah pada tahun 2012 apabila muncul sebagai juara treble  dengan menjuarai Piala FA, Piala Malaysia dan Liga Super dan pada tahun tersebut pasukan Dikir Warriors telah menghasilkan lagu Legasi Mat Che Su.










Monday 16 March 2015

Legasi Rebab : Siri Orang Kito

Rebab dimainkan dalam Persembahan MakYong [Gambar Muzium Negara]

Sekilas
Rebab adalah satu instrumen muzik dalam persembahan Mak Yong, Menora, Selampit, Main Puteri dan Wayang Kulit, gemersik bunyinya apabila ia digesek hingga membuatkan penonton menjadi asyik dengan persembahan kedua-dua seni tradisi rakyat Kelantan. Tanpa gemersik rebab, ia seolah mencabut nyawa persembahan tersebut. 

Sebenarnya rebab bukanlah milik eksklusif rakyat Kelantan sebaliknya ia adalah universal. Hal ini berikutan ia mempunyai ciri-ciri yang sama dengan Er Hu, Violin, dan Celo yang termasuk dalam kategori Chordophone iaitu alat muzik yang dihasilkan dengan getaran gesekan. Tambah pula perkataan rebab itu sendiri berasal dari perkataan arab yang membawa maksud busur. Selain di Kelantan rebab juga popular di Indonesia dan Turki serta Afghanistan yang disebut sebagai tempat asal alat muzik universal ini.

Walaupun ia universal, setiap alat Chordophone ini mempunyai identiti tersendiri berdasarkan kepada asal usul pemain alat tersebut, di Kelantan terdapat dua jenis rebab iaitu Rebab dua tali dan Rebab tiga tali di mana rebab dua tali dimainkan khusus ketika mengiringi persembahan Wayang Kulit manakala rebab tiga tali pula dimainkan ketika mengiringi kebanyakkan persembahan tradisi orang Kelantan.

Bentuk Rebab
Fizikal rebab terdiri daripada lima bahagian iaitu:
  1. Bahagian Kepala
  2. Bahagian Batang
  3. Bahagian Badan
  4. Bahagian Tumit
  5. Bahagian Penggesek
Bahagian Kepala
Dihasilkan dari kayu tembusu, dengan ukuran 45 hingga 55cm. Pemintal tali pula diperbuat dari pohon sena dengan setiap satunya berikut 13cm.

Bahagian Badan
Diperbuat dari kayu nangka, dengan ukuran 25cm x 15cm x 25cm dan setebal 8cm. Ia dihasilkan daripada kayu nangka, dan dipahat sehingga berbentuk seperti tempurun. Kemudian ia akan ditutup dengan kulit perut lembu yang telah dikeringkan dan dilem untuk mencegah ia rosak ketika dimainkan.

Bahagian Batang
Bahagian ini merupakan tulang belakang kepda rebab, ia diperbuat daripada kayu tembusu dan sepanjang 30cm dengan bahagian atas digunakan sebagai perenggan berukuran 28cm. Bahagian ini juga menjadi satu-satu rebab itu istimewa kerana iakan akan diracik-racik mengikut bentuk yang pengukir kehendaki dengan motif ukiran yang tersendiri. 

Bahagian Tumit
Merupakan bahagian hujung bawah rebab, berukuran 10cm dan dihasilkan dari kayu sena. Fungsinya adalah sebagai pelengkap kepada keseluruhan rebab kerana ia menjadi pengikat antara sambungan bahagian rebab dari kepala hingga kepada batang. 

Bahagian Penggesek
Pohon belimbing menjadi pilihan untuk menghasilkan penggesak ini. Ini berikutan kayu belimbing mudah dilentur. Setelah itu beberapa tali tangsi akan mengikut jenis tali, dan setiap dari tali itu mempunyai ukuran yang tersendiri.

"Walaupun Rebab ini sononim dalam persembahan tradisi masyarakat Kelantan, ia bukanlah alat muzik sejati dari Kelantan, ia adalah instrumen yang dibawa masuk ke Kelantan dari luar. Ini menunjukkan perkembangan kebudayaan Kelantan berkembang serta berasimilasi dari kebudayaan luar. Ia akhir bergabung dan membentu kesenian yang mempunyai identiti yang tersendiri."

Tokoh Rebab Kelantan
Hamzah Awang merupakan tokoh seni dan budaya di Malaysia juga di Kelantan. Kepakarannya dalam persembahan alat muzik rebab tidak dapat ditandingi, ramai pencinta seni muzik tradisional akan merujuk kepada beliau berkenaan seni persembahan dan permainan alat muzik tradisi yang lain. Sering terlibat dalam majlis kebesaran dalam persembahan tradisional telah membuatkan beliau terkenal.

Nama beliau hampir sama dengan seorang lagi tokoh kebudayaan Kelantan iaitu Allahyarham Hamzah Awang Hamat yang terkenal sebagai seorang mahaguru dalam seni persembahan masyarakat Pantai Timur Semenanjung Malaysia. Kisah Hamzah Awang pula pernah di siarkan dalam Sinar Harian sebagai seorang bekas pemain Rebab yang disegani. Bagaimanapun dalam laporan berita bertarikh 1 Januari 2012 itu, beliau sedang dalam keadaan uzur, namun minatnya pada seni ini tidak pernah padam. 


Hamzah Awang 73, Lagenda Pemain Rebab, Sinar Harian 1 Januari 2012

Berikut dikongsikan alat muzik jenis Chordophone  yang ada:

Rebab Kelantan


Rebab Jawa
Arababu (Maluku)

Er Hu (China)
Rebab'lar (Turki)

Rujukan:
  • http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/bekas-pemain-rebab-daif-1.15729
  • http://melayuonline.com/ind/culture/dig/541/rebab

Friday 13 March 2015

Istana Kelantan tersergam sebalik Hutan Bangi : Siri Binaan Bersejarah Kelantan

Istana Tengku Bongsu@Rumah Tengku Fatimah Zaharah

Pendahuluan
Ini bukan omongan kosong, tetapi satu kisah yang benar iaitu kisah Istana Tengku Bongsu. Asalnya rumah ini terletak di Jalan Mahmud, Kota Bharu. Bagaimanapun masa merubah segala-galanya dan kini terletak di laluan Jalan Bangi Lama yang kawasannya menghijau dikelilingi pokok-pokok. Lokasi tepatnya adalah di Taman Pantun, Universiti Kebangsaan Malaysia, Istana ini ditempatkan disini bagi pengisian kepada Muzium Etnologi Dunia Melayu di bawah seliaan Jabatan Muzium Negara. 

Pihak Muzium Negara mentakrifkan binaan tersebut sebagai Rumah bagi golongan bangsawan, namun dalam kefahaman masyarakat Kelantan, rumah yang didiami oleh bangsawan merupakan sebuah Istana. Ciri-ciri Istana ini yang unik dibina dengan falsafah yang tinggi, selain itu ia juga dihiasi dengan ukiran tradisi masyarakat Kelantan dan Patani. Suatu masa dahulu rumah-rumah di Kelantan merupakan satu daya tarikan pelancong ke Kelantan berikutan seni ukiran yang terdapat pada rumah kediaman yang dibuat dengan penuh ketelitian dan ia sangat menarik pelancong untuk menyaksikan sendiri keunikan kediaman orang Kelantan.

Persoalannya, kenapa Istana ini boleh dipindahkan jauh dari lokasi asalnya. Kemanakah perwarisnya?

Latar Belakang
Masyarakat Kelantan melihat kediaman golongan bangsawan sebagai Istana, manakala kediaman rakyat disebut sebagai rumah. Justeru rumah yang sedang dibicarakan ini dalam pandangan orang Kelantan merujuknya sebagai Istana Tengku Bongsu. Menyelidiki latar belakang pemilik rumah ini membuatkan penulis sedikit keliru kerana maklumat yang dicapai dari Internet bercanggah dengan maklumat yang dikeluarkan oleh pihak Muzium.

Rumah ini dinamakan sebagai Istana Tengku Bongsu oleh rata-rata rakyat Kelantan terutama mereka yang juga perwaris kepada pemilik rumah yang asal, pihak Muzium pula menyatakan bahawa rumah itu diberi nama sebagai Rumah Tengku Fatimah Zahrah maklumat tersebut kerana Tengku Bongsu dan Tengku Fatimah adalah individu yang berlainan. Jauhar Kalam sebuah blog menyatakan bahawa rumah tersebut merupakan milik Tengku Bongsu yang juga dikenali sebagai Tengku Kalsum binti Sultan Ahmad, Sultan Kelantan 1886-1889 dengan suaminya Tengku Chik. Jabatan Muzium melalui Berita JMM Jilid 14 Bilangan 2 menyatakan rumah tersebut dimiliki oleh Tengku Hamidah binti Tengku Mansor beliau juga merupakan puteri bongsu kepada Tengku Mansur. Menariknya, Tengku Kalsum dan Tengku Hamidah merupakan isteri kepada Tengku Chik.

Kesimpulannya, rumah ini diberi nama sebagai Istana Tengku Bongsu kerana Tengku Kalsum binti Sultan Ahmad dan Tengku Hamidah binti Tengku Mansor merupakan Puteri Bongsu serta bersuamikan Tengku Chik Tuan Abdullah ibni Almarhum Sultan Mansur. Pasangan ini dikurniakan tiga orang zuriat iaitu:

  • Tengku Zainal Abidin bin Tengku Chik Tuan Abdullah [anak dengan Tengku Kalsum]
  • Tengku Fatimah Zaharah binti Tengku Chik Tuan Abdullah [anak dengan Tengku Kalsum]
  • Tengku Zainab binti Tengku Chik Tuan Abdulah [anak dengan Tengku Hamidah]

Status kediaman tersebut hanya layak digelar sebagai "rumah" sahaja walaupun binaan dan hiasan dalamannya menyamai sebuah "Istana" dalam golongan bangsawan Kelantan berikutan pemilikan rumah tersebut jatuh kepada Tengku Hamidah dan bukan kepada Tengku Kalsum, Tengku Fatimah Zahrah pula merupakan penghuni terakhir. Justeru itu kediaman tersebut telah diberi nama Rumah Tengku Fatimah Zaharah oleh Jabatan Muzium Malaysia walaupun umum di Kelantan mengenali rumah tersebut sebagai Istana Tengku Bongsu.

Tengku Fatimah Zaharah hanya mempunyai seorang anak angkat iaitu Puan Saleha Abdullah. Semasa hayatnya beliau ada mewasiatkan rumah tersebut secara lisan yang tidak didedahkan siapa perwarisnya dan ini menimbulkan perebutan dikalangan perwaris setelah Tengku Fatimah mangkat pada tahun 1999 di Istana Tengku Bongsu. Hak penjagaan istana tersebut telah diserahkan kepada Tengku Ahmad Shihabuddin yang juga anak kepada Tengku Zainal Abidin. Belaiulah individu yang menguruskan harta pusaka ini dan jalan terbaik untuk mengelakkan persengketaan di kalangan perwaris adalah dengan menjualnya kepada pihak berwajib. Pada tahun 2000 Istana Tengku Bongsu dibeli oleh Jabatan Muzium dan Antikuiti Malaysia. Dipercayai binaan Istana Sri Akar sama dengan Istana Tengku Bongsu ini, kerana itu pihak muzium berminat untuk memulihara rumah tersebut memandangkan Istana Sri Akar telah roboh dengan sendirinya setelah Tengku Mahmud Mahyideen keluar dari istana tersebut dalam tahun 1950an.

Semasa penempatan semula, modul tidak bergerak telah dijual kepada pihak lain, oleh kerana itu Istana yang terletak di Taman Pantun UKM ini merupakan 1/3 dari saiz asalnya. Bagi pengamat seni ukir dan binaan tradisional Kelantan, Istana Tengku Bongsu merupakan satu protaip yang amat signifikan namun, ia tidak asli lagi sebagaimana binaan semula Masjid Kampung Laut di Nilampuri.

Istana Tengku Bongsu @ Rumah Tengku Fatimah Zaharah dalam pembinaan semula di Taman Pantun 2006
Kerja-kerja merombak Istana Tengku Bongsu di Kota Bharu
Lukisan plan Istana Tengku Bongsu


Dari Kota Bharu ke Bangi
Jabatan Muzium telah membeli rumah tersebut sebagai memenuhi pengisian Muzium Etnologi Dunia Melayu. Ia mula dirombak pada 2002 dan telah disimpan di Muzium Lukut selama 5 tahun. 2006 ia mula dibina semula di Taman Pantun, UKM. Sekitar istana tersebut terdapat pepohonan merimbun membuatkan suasananya damai dan nyaman, ia lebih dikenali sebagai Laman Ilmu dipenuhi dengan 199 batang pokok, manakala setiap pokok pula dilengkapkan dengan serangkap pantun berkenaan dengan pokok tersebut. Ia terdiri daripada pokok herba, buah-buahan dan pokok hiasan.

Rumah ini memiliki Modul Dapur dan Modul Rumah Ibu yang dihubungkan dengan Jemuran yang juga reka bentuk asa Rumah Kelantan yang dikenali sebagai Rumah Bujang. Ciri-ciri rumah golongan bangsawan berbeza dengan  kediaman masayarakat umum, dimana ia berbeza dari segi tiang Rumah Ibu dimana rumah rakyat biasa mempunyai 12 tiang pada modul rumah ibu, manakala kediaman golongan bangsawan mempunyai 16 tiang pada modul tersebut. Selain itu, rumah keluarga diRaja juga mempunyai pintu masuk tanpa tangga dan lantainya 8-10 kaki dari aras tanah iaitu menyamai ketinggian gajah. Reka bentuk sebegitu bukan kerana mereka memelihara gajah dibawah rumah, sebaliknya ia direka bengitu bagi memudahkan penghuni kediaman tersebut untuk masuk kerumah setelah berkenderaan dengan gajah tanpa turun dari haiwan tersebut. Hal ini sebenarnya adalah untuk menjaga maruah dan darjat mereka yang dikenali sebagai golongan dari kerabat raja. 

Ukiran dindingnya juga terdiri daripada motif flora yang sinonim sebagai motif ukiran Kelantan. Pendek kata, ia adalah satu kediaman yang sungguh menawan dan mewah untuk masayarakat Kelantan era 1800. Rumah ini dibina dengan kaedah tanggam dengan sedikit paku, ia juga menggunakan kayu dari jenis Cengal dan Berlian yang pada masa sekarang amat sukar diperoleh berikutan kayu jenis ini mahal untuk dibeli oleh orang kebiasaan. Cengal dan Berlian merupakan antara kayu jenis yang keras dan memakan masa yang lama untuk memprosesnya, pada masa ini hanya golongan hartawan sahaja yang mampu membina rumah dari kayu jenis ini.

Baik Pulih
Istana Tengku Bongsu yang ada di Taman Pantun, UKM sekarang adalah satu binaan semula yang mana hanya 1/3 keasliannya. Banyak bahagian tidak dibina dalam tahun 2006 itu. Justeru pihak berwajib telah merangka untuk pembinaan dengan skala menyeluruh bagi mengekalkan binaan Istana ini seperti mana sebelum dirombak pada 2002. Berikut lukisan reka bentuk sebenar Istana Tengku Bongsu, dan seterusnya kami kongsikan gambar-gambar Istana Tengku Bongsu yang telah dibina semula oleh Jabatan Muzium Malaysia di Taman Pantun, UKM.

Lukiasn Plan Istana Tengku Bongsu yang akan dibaikpulih semula


Pandangan sisi kanan

Pandangan hadapan

Pandangan dari belakang

Pandangan sisi, kelihatan corak dinding yang dikenali sebagai "Janda Berhias"

Rumah ini sungguh besar, tiangnya sama tinggi lelaki dewasa berdiri

Balai Penghadapan yang sepatutnya lebih luas

Balai Penghadapan untuk menerima tetamu dan bersidang

Pintu yang mendapat sentuhan ukiran gaya China

Laluan kiri (bilik), sebelah kanan Rumah ibu

Laluan Kanan (bilik), sebelah kiri Rumah Ibu

Pandangan dalam Rumah Ibu


Ukiran tulisan khat bersalut emas

Pandangan dalam Rumah Ibu

Lokasi Asal Istana Tengku Bongsu di Kota Bharu

Masih ada item yang ditinggalkan contohnya Telaga ini.


Rujukan:
  • Saudara Wan Naz
  • Berita JMM Jilid 14/Bil. 2 Mei-Ogos 2013, ms: 20-21
  • http://jauharkalam.blogspot.nl/2013/12/istana-tengku-bongsu_17.html
  • http://raykinzoku.fotopages.com/?entry=1098286
  • http://www.jmm.gov.my/files/Jilid%2014%20-%20Bil.%202%20%28Mei%202013-Ogos%202013%29.pdf
  • http://www.royalark.net/Malaysia/kelant7.htm
  • http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2013&dt=0226&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_08.htm

Tuesday 10 March 2015

Sistem Kewangan dan Perbankan di Kelantan wujud semenjak 1890 : Siri Orang Kito

Pendahuluan
Hingga kini kita masih kedengaran kata-kata sorok bawah bantal atau simpan dalam kepuk beras, dahulu itulah antara langkah berjaga-jaga yang diambil oleh orang kebanyakkan untuk menyimpan duit atau barang berharga mereka. Sebelum kedatangan Inggeris di Kelantan, Sistem Perbankan adalah begitu asing bagi penduduk Kelantan. Bagaimanapun pada zaman pemerintahan Sultan Muhammad III, baginda telah memperkenalkan Bank Pitis yang dibina di luar pintu masuk Istana Balai Besar, Kota Bharu. Kegunaannya adalah untuk menyimpan pitis perbelanjaan negeri ketika itu.

Pada masa tersebut Kerajaan Kelantan telah mengeluarkan pitis Kelantan untuk kegunaan domestik rakyat Kelantan dalam urusan jual beli, selain itu Sultan Muhammad IV meneruskan tradisi penghantaran "pohon pitis" pada 1903 sebagai ufti kepada Siam yang masih lagi menjadi penaung kepada Kerajaan Kelantan pada waktu itu. Kerajaan Kelantan masih menggunakan pitis ini sehingga tahun 1920 apabila ia ditukar kepada Wang Kertas iaitu wang rasmi di Tanah Melayu pada waktu itu.


Bank dan Pitis Kelantan
Bank Pitis dibina pada 1899, digunakan untuk menyimpan
Pitis Kelantan sehinggalah ia ditukar kepada 
Wang Kertas pada 1920
Sultan Muhammad III adalah pelopor kepada penggunaan dan diteruskan oleh Sultan Muhammad IV sebelum ia diganti dengan wang kertas pada 1912, bagaimanapun ia tetap diguna sehingga 1920 di mana selepas itu, wang kertas dan syiling dari Kerajaan British yang diguna dalam urusan jual beli.

Sejajar dengan pengenalan Pitis Kelantan, Kerajaan Negeri telah membina Bank Pitis di perkarangan Istana Balai Besar untuk perbelanjaan negeri pada masa tersebut. Bank ini adalah struktur pertama di Kelantan yang dibina daripada konkrit dan ia dianggap berprestij pada masa itu kerana teknologi ini memang asing di Kelantan. Ia dibina dengan ukuran 12 kaki lebar dan 12 kaki tinggi, daun pintunya diperbuat dari kayu cengal dan dipasang dengan tiga penyelak yang diperbuat daripada besi.

Pitis Kelantan pula diperbuat daripada timah dengan ukuran 30mm dan seberat 5gram. Kebanyakkan bahagian hadapan pitih Kelantan akan diterap perkataan Arab yang membawa maksud Belanjaan Kerajaan Kelantan dan pada bahagian belakang tertera tarikh pitis itu dihasilkan juga dalam bahasa Arab. Kini ia hanya menjadi koleksi antik berharga kepada para pengumpulnya dan sekeping pitih Kelantan berkeadaan baik dan sempurna boleh dijual dengan harga ratusan ringgit tetapi kebiasaannya orang beli dengan nilai 80 ringgit sahaja.

Pitis ini dihasilkan dalam bentuk pokok yang lengkap dengan batang dan ranting, mana pitis ini ibarat daun kepada pokok tersebut. Di Kelantan ia lebih dikenali sebagai Pohon Pitis dan ia hanya akan dipatahkan untuk tujuan jual beli oleh pemilik pohon pitis itu.

Berdasarkan kepada rekod sekurang-kurangnya terdapat tiga variasi pitih Kelantan telah dihasilkan daripada 1890 hingga 1920. Ketiga-tiga variasai ini mempunyai harga yang tersendiri, bagaimanapun ia bergantung kepada kualiti coin tersebut, lagi sempurna lagi mahal nilainya.

Acuan Logam dan Pohon Pitis Kelantan 1904
Acuan dari Batu Kawi dipercayaai acuan yang pertama dihasilkan.



Sistem Moden
NST Singapura bertarikh 6 Januari 1912
Duff Development Company Ltd. adalah syarikat yang diberikan konsensi di Kelantan pada 1900 oleh Sultan Muhammad IV. Syarikat ini diberikan peranan untuk mengeksploitasikan hasil bumi di Hulu Kelantan terutama dalam kawasan Lebir hingga ke Gua Musang.

Bagaimanapun, Inggeris telah berjaya memasuki pentadbiran Kerajaan Negeri Kelantan menyebabkan konsesi antara Kelantan dengan Syarikat Duff telah terbatal. Pihak syarikat ini telah membawa isu tersebut ke mahkmah di London dan telah diputuskan bahawa segala konsensi yang diterima oleh syarikat telah dibatalkan dibawah undang-undang residen.

Namun pihak mahkamah telah mendapati perkara tersebut tidak adil buat syarikat, dan mahkamah telah membenarkan syarikat Duff terus beroperasi di Kelantan dengan syarat syarikat harus patuh kepada undang-undang residen.

Dalam perjanjian asal, Syarikat Duff mempunyai hak mutlak dalam memajukan kawasan Hulu Kelantan dan mereka hanya perlu membayar mengikut jumlah peratusan saham yang dimiliki antara Kerajaan Kelantan dan Syarikat. Di bawah undang-undang Residen, setiap hasil yang berjaya dipungut dikenakan cukai dan hasil tersebut pula hanya dapat diedarkan mengikut ketetapan residen. Syarikat Duff pula pada masa tersebut hanya dibenarkan terlibat dalam bidang pertanian dan usaha perlombongan dibekukan.

Pengelibatan aktif Syarikat Duff di Kelantan telah dilaporkan dalam News Straits Time Singapore pada 6 Januari 1912 di mana kekerapan urusan transaksi bank antara syarikat tersebut dengan Mercantile Bank of India di Singapura telah membuatkan bank tersebut membuka cawangan mereka di Kota Bharu pada 1 Februari 1912 untuk mengemaskan sistem aliran tunai secara sistematik di Kelantan dan menamatkan urusan perbankan di Singapura.

Berikutan itu terbinalah bank moden yang pertama di Kelantan yang kemudiannya dikenali sebagai Bank Kerapu dan ia dikendalikan oleh Mercantile Bank of India. Selepas perang dunia kedua, Mercantile Bank of India telah luput dan fungsinya telah diambil alih oleh Hong Kong and Shanghai Bank Company  (HSBC).

Pemandangan Bank Kerapu, Tahun 60an

Contoh Wang yang diguna pakai di Kota Bharu pada 1912

Contoh Wang yang diguna pakai pada 1886 di Penang



Rujukan:

  • https://www.hsbc.com.my/1/2/about-hsbc/corporate-information
  • British Business in Asia Since 1860, [Buku]
  • https://books.google.nl/books?id=18oq9x97BvgC&pg=PA178&lpg=PA178&dq=The+Mercantile+Bank+in+Kota+Bharu&source=bl&ots=0Yr28BoJeF&sig=-vS60FFScTm8b-nffal_AN48uv4&hl=en&sa=X&ei=HQvlVKb3A8WrPJvkgegB&ved=0CEAQ6AEwBA#v=onepage&q=The%20Mercantile%20Bank%20in%20Kota%20Bharu&f=false
  • http://purbawan.blogspot.nl/2013/09/pitis-kelantan-1314h-bersamaan-1896.html
  • http://fazilnumismatic.blogspot.nl/2009/12/kelantan-pitis-1321h-1904.html
  • http://www.mrjocko.com/2012/06/acuan-pohon-pitis-kelantan-1904.html
  • http://pulaumistik.blogspot.nl/
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...