SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Friday 27 February 2015

RUMAH TIANG 12 : Siri Binaan Bersejarah Kelantan


Pendahuluan
Kondominium, Rumah Pangsa (flat), Rumah Teres, Bunglow atau Taman Perumahan merupakan gaya kediaman terkini seluruh masyarakat di Malaysia dan tidak terlepas kediaman di Kelantan. Kini agak sukar untuk melihat rumah tradisional menjadi kediaman utama bagi masyarakat di Kelantan, sebaliknya mereka tinggal dalam kediaman yang dibina daripada logam, plastik, dan konkrit berbanding masyarakat dahulu yang tinggal dalam kediaman yang dipanggil Rumah dibina sepenuhnya daripada kayu.

Pada saat ini, hanya perabot dan perhiasan dalam rumah sahaja yang diperbuat dari kayu. Masyarakat Melayu masih mengenali lagi jenis kayu kayan namun dikhuatiri generasi muda kini sudah tidak dapat mengenal jenis kayu seperti jati, cengal, berlian, merbau, dan beberapa jenis kayu keras lagi. Baiklah itu jenis kayu kayan, rumah tradisional masyarakat Melayu juga terdapat berbagai jenis mengikut negeri, di Kelatan jug tidak ketinggalan, kita juga mempunyai tradisional yang khusus dengan ciri-ciri tersendiri .

Jenis Rumah Tradisi Kelantan
Terdapat dua jenis rumah tradisional masayarakat Kelantan iaitu Rumah Bujang dan Rumah Tiang 12 kedua-dua jenis sebenarnya hampir sama ciri binaannya. Rumah Bujang adalah rumah kebiasaan masyarakat kebiasaan yang tinggal di luar Kota Bharu terutama di kawasan berhampiran Terengganu manakal Rumah Tiang 12 hanya terdapat di beberapa kampung dan Bandar Kota Bharu sahaja. Rumah tradisional ini masih ada, namun sudah semakin sukar untuk mencarinya dan rata-rata rumah ini berusia lebih dari 100 tahun. 

Rumah Tiang 12 mendapat nama berdasarkan 12 batang tiang yang terdapat pada ruangan Rumah Ibu, 6 tiang serambi dan 6 tiang panjang. Bumbungnya panjang dengan tepi sudutnya dipasang tabir layar dan dipenghujungnya dipasang pemeleh atau juga dikenali sebagai tumpu kasau dan sepasang pemeleh ibu dan sepasang pemeleh serambi. 

Rumah ini terdapat tiga modul iaitu Rumah Ibu, Rumah Tengah dan Rumah Dapur. Rumah Ibu mempunyai ruang selasar iaitu satu ruang yang luas untuk meneri tetamu. Rumah Tengah pula menempatkan bilik-bilik dan bersekat-sekat, begitu juga Rumah Dapur.

Sekilas
Binaan rumah tradisional pada masa kini dianggap sesuatu yang eksotik penuh nostalgia, kerana jarang pemilik membangunkan rumah tradisi ini. Pada pandangan orang yang "berjiwa halus", rumah tradisional sememangnya amat menarik kerana binannya penuh berseni dan dipenuhi dengan ukiran yang bermotifkan flora. Rumah Tradisional juga menggunakan teknologi Alam Melayu yang tersendiri yang dikenali sebagai tanggam dan pasak selain itu ia juga kurang menggunakan paku besi untuk menjaga keutuhan kayu daripada mereput. Hakisan dari paku berkarat akan mempercepatkan reputan kayu dan mengurangkan ketahanan rumah.

Selain itu, atap yang membentuk bumbung juga dibuat khas daripada tanah liat yang dikenali sebagai atap singgora yang berwarna merah bata. Pembinaan rumah tradisional dari atap hinggalah kepada tungku alas tiang rumah merupakan hasil kraftangan masyarakat yang kini penggiatnya sudah sukar dicari. Pembinaan Rumah tradisional juga memakan kos yang teramat besar hingga ramai tidak mampu untuk membinanya kerana pembuatan rumah tersebut adalah begitu eksklusif dan mahal.

Rumah Kelantan : Rumah Tiang 12
Lakaran Rumah Kelantan
Struktur Rumah Kelantan dari keterangan Lakaran 

  1. Kasau Betina
  2. Kasau Jantan
  3. Tulang Bumbung
  4. Gulung-Gulung
  5. Alang Lintangan
  6. Alang Panjang
  7. Tunjuk Langit
  8. Papan Berlarik
  9. Jenang 
  10. Salur Air
  11. Bumbung Genting Singgora
  12. Jenang Tingkap
  13. Bendul
  14. Tiang Kayu
  15. Alas Tiang
  16. Lantai Papan
  17. Gelenggar
  18. Rasuk Pendek
  19. Rasuk Panjang
  20. Kawan Dinding
  21. Kekisi
  22. Tabir Layar
  23. Dinding Jandan Berhias
  24. Dinding Papan Berlidah
  25. Pintu papan Kembung
  26. Tingkap papan kembung

Atap Genting Singgora


Rujukan:
  • The Traditional Malay House,  Nasi Abdul Halim [Buku]
  • http://delta-ilmu.blogspot.ie/2010/02/rumah-tiang-12.html
  • http://tangisanmelayu.blogspot.nl/2014/01/rumah-melayu-nusantara.html



Sunday 22 February 2015

Siri Orang Kita : Persembahan Kertuk

Kertuk
Pendahuluan 
Masyarakat Melayu Kelantan sememangnya unik dan mempunyai pelbagai seni kebudayaan yang tersendiri. Masyarakat luar mengenali orang Kelantan sebagai perantau yang mencari kehidupa lebih baik, kerana itu mereka dilihat hidup dalam kelompok mereka di tengah kehidupan masyarakat yang berbilang kaum dan bangsa. Masyarakat Kelantan di luar dari negeri Kelantan juga telah membawa sama kebudayaan negeri ini dan dihidupkan di luar. Justeru rakyat Malaysia hari ini mengenali apa itu Makyong, Menora, Dikir Barat dan Wayang Kulit. Lima seni persembahan ini terus diingati oleh semua orang kerana ia unik dan bukan mudah untuk dipelajari kerana setiap seni persembahan tersebut mempunyai falsafah tersendiri.

Sebenarnya, banyak lagi seni dan budaya Kelantan tidak diketengahkan pada massa contohnya Kertuk. Masyarakat Kelantan memang tahu akan persembahan ini, namun generasi sekarang sudah kurang mengenalinya berikutan ia jarang dipersembahkan, bagaimanapun ia tetap dimainkan di tempat-tempat tertentu dan masih ada masyarakat setempat mempersembahka seni kebudayaan ini.

Menghalau Burung
Pada awalnya, kertuk dimainkan untuk menghalau burung di kawasan bendang, dalam loghat Kelantan dipanggil padang padi sewaktu padi sedang menguning. Kertuk yang digunakan untuk menghalau burung kebiasaannya diperbuat daripada alat yang ringkas terdiri daripada sekeping papan yang dihasilkan daripada batang nibung dan diletakkan di atas tanah yang dilubangkan dan diketuk, ia akan menghasilkan bunyi dengung yang kuat membuatkan burung terkejut dan tidak mendekati kawasan padang padi. Ada pendapat mengatakan bahawa kertuk adalah permainan anak-anak raja Siam yang dimainkan dalam kawasan istana.

Pembuatan
Rekabentuk kertuk ini boleh didapati dalam pelbagai bentuk dan saiz berdasarkan kepada kreativiti pembuatnya. Suatu masa dahulu, terdapat empat jenis kertuk yang dimainkan oleh petani di Kelantan iaitu:
  • Kertuk Kaki
  • Kertuk Tanah
  • Kertuk Kayu
  • Kertuk Kelapa
Yang paling kerap dilihat pada masa sekarang adalah Kertuk Kelapa yang diperbuat daripada kelapa besar yang dipotong bahagian atasnya dan diletakkan diatas pelapik yang diperbuat daripada kayu, manakala diatasnya diletakkan papan, ia kemudiannya akan dipalu menggunakan pemalu khas yang diperbuat dari kayu yang dibaluti lapisan getah. Pada masa kini, fungsi kertuk hanyalah digunakan sebagai pertandingan berbanding tujuan asalnya untuk menghalau burung. Sebelum pertandingan, beberapa persiapan perlu dijalankan antaranya menyusun atur alatan Kertuk, lekar, ibu Kertuk, belira dan pemalu yang sesuai di tempatnya. Hiasan yang dinamakan "panji" diletakkan pada tiap-tiap Kertuk sebagai simbol kedamaian, perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan hidup.

Pada asalnya, kertuk hanya dimainkan oleh dua orang sahja,  namun ia terus mengalami evolusi, ia boleh dimainkan secara berpasukan yang terdiri daripada 8 – 10 orang pemain. Pemain harus mengikut irama yang ditetapkan oleh Ketua Pasukan yang biasa dirujuk dengan gelaran Tok Ngulu, beliau bertanggungjawab memberi isyarat kepada anak-anak buahnya ketika paluan dimainkan.

Setiap masa pertandingan boleh memakan masa sehari suntuk, dan ia biasanya dimainkan pada waktu malam bermula selepas isyak dengan kebun getah sebagai lokasi pertandingan. Kebun Getah menjadi tumpuan berikutan untuk memudahkan pembahagian sempadan ini kerana pokok getah memang ditanam pada baris dengan jarak yang seragam dalam bentuk segi empat. Apabila pertandingan bermula, setiap pasukan diberikan peluang untuk memalu kertuk masing-masing. Mereka mengetuk belira mengikut urutan susunannya.  Ketukan belira inilah yang menghasilkan bunyi dengungan dan irama yang sama rentak.  Terdapat 3 jenis nada iaitu nada rendah, nada sederhana dan nada tinggi.  Pertandingan ini diadili oleh sseorang pengadil yang bertindak sebagai penjaga masa manakala terdapat seorang hakim yang bertanggungjawab sebagai pemberi markah.  Pandangan orang ramai atau peminat juga diambil kira.


Permainan Tradisi Kelantan - Kertuk [Gambar Muzim Negara 60an]



Persembahan Kertuk Berkumpulan

Wednesday 18 February 2015

Siri Binaan Bersejarah Kelantan : Gelanggang Keramat TRW

Stadium Sultan Muhammad IV 1965-2015

Stadium Sultan Muhammad IV
Merupakan home ground bagi pasukan bola sepak Kelantan yang beraksi dalam Liga Super Malaysia. Stadium ini juga menjadi venue utama untuk pertandingan bola sepak yang melibatkan Negeri Kelantan. 2008 - 2012 merupakan kegemilangan sejarah Bola Sepak Kelantan dan stadium inilah menjadi saksi akan kegemilangan tersebut. Namun, ramai yang tidak menyedari bahawa Stadium ini mempunyai sejarah sepanjang 50 tahun semenjak ia dibina dari 1965 - 2015.

Satu fakta yang menarik berkenaan dengan padang ini ialah ia merupakan padang bola sepak yang tertua di Malaysia, malah mungkin juga yang tertua di Asia mengikut usia penggunaannya. Ia mula digunakan pada tahun 1946 serentak dengan penubuhan Kelantan Amatur Football Association yang lebih dikenali sebagai KAFA, justeru padang tersebut pada ketika itu lebih dikenali sebagai Padang KAFA. 

1965, Kerajaan Negeri Kelantan memutuskan untuk membina sebuah stadium bagi kegunaan Pasukan Kelantan untuk beraksi dalam suasana yang selesa selain sebagai tempat untuk rakyat beriadah dan bersukan. Sebagak 1.7 Juta Ringgit dibelanjakan untuk membina stadium tersebut dengan kapasiti 30,000 penonton. Setelah stadium tersebut siap dibina nama Padang KAFA telah diganti dengan nama Stadium Sultan Muhammad IV dan ia mula digunakan secara rasmi pada 1965.

Naik Taraf
Di kemuncak prestasi pasukan yang tersohor dengan nama jolokan The Red Warriors telah bertanding dalam kejohanan Piala AFC, pencapaian ini membuatkan pihak KAFA dan Perbadanan Stadium Kelantan menaik taraf kemudahan di Stadium Sultan Muhammad IV sejajar dengan spesifikasi kejohanan Asian Football Confederation. Lampu Limpah, tempat duduk, kemudahan asas, padang telah dipertingkatkan dan ciri keselamatan juga ditambah baik, malah scoreboard elektronik juga telah dipasang.

Stadium Baru
Sambutan pelbagai lapisan masyarakat di Kelantan terhadap perkembangan bola sepak domestik menyebabkan Home Ground TRW sentiasa dipenuhi dan ribuan lagi tidak dapat memasukinya ekoran kehabisan tiket. Keadaan ini menyebabkan berlakunya situasi perbarisan panjang semata-mata untuk mendapatkan tiket, hingga mencetuskan fenomena dan muncul lain-lain masalah.

Kerajaan Negeri Kelantan telah menguar-uarkan pada 30 Mac 2013 akan terbinanya sebuah stadium baru di "Tapak Bandar Sukan Bukit Merbau, Pasir Puteh". Stadium itu nanti boleh memuatkan 45,000 orang penonton dalam satu-satu masa dan ia akan dibina oleh pakar yang membina stadium Olimpik Beijing.

Gambaran Stadium Negeri di Bukit Merbau Pasir Puteh.
Pihak KAFA juga telah mengemukakan hasrat mereka untuk membina stadium di dua lokasi iaitu di Kampung Gading Galoh, Machang dan di Tunjong.

Rekaan Stadium oleh Pihak KAFA
Bagaimanapun, hingga saat ini tidak diketahui perkembangan akan pembinaan kedua-dua stadium baru ini. 2015, TRW akan tetap bermain di stadium keramat mereka iaitu di Stadium Sultan Muhammad V, semoga kegemilangan TRW dapat dibangkitkan kembali.

Monday 16 February 2015

Siri Binaan Bersejarah Kelantan : Bulatan Kijang, Kota Bharu

Pendahuluan
Generasi Muda pada masa sekarang pasti sering mendengar orang-orang senior bercerita tentang Kota Bharu 40 tahun dahulu pasti tidak akan lekang dari menyebut Bulatan Kijang. Kini lokasi ini sudah berganti dengan pemandangan elit yang ada unsur urban dengan siapnya flyover serta tambahan jambatan Sultan Yahya Petra. Selain itu kawasan ini pada masa kini lebih dikenali sebagai Lembah Sireh dengan memajukan delta sungai Kelantan di Kampung Sireh dengan membina blok-blok premis perniagaan berserta stesen bas jarak jauh, ia menjadikan kawasan ini amat sibuk dengan aliran trafik kenderaan.

40 tahun dahulu, sekiranya anda menaiki kenderaan dari arah Pasir Pekan, anda akan melalui jambatan Sultan Yahya Petra yang siap pembinaannya pada 1969 dan akan melalui bulatan kijang ini. Dahulu keadaan trafik di Kota Bharu tidak begitu teruk, jadi penggunaan bulatan amat sesuai sekali untuk tujuan aliran trafik di kawasan yang mempunyai empat cabang jalan.

Bulatan ini direka bentuk sebagai Taman Awam lengkap dengan kolam berserta dengan pancutan air, patung kijang yang menjadi ikon Kelantan disusur sekeliling kolam hingga bulatan ini mendapat jolokan sebagai Bultan Kijang. 

Pada tahun 1990, selepas Parti PAS menduduki Kerajaan Negeri Kelantan, kijang di bulatan ini telah ditanggalkan dan disimpan di pejabat Jabatan Kerja Raya, Kota Bharu dan penghujung tahun 90an, bulatan ini telah dipasang lampu isyarat di setiap cabang keluar bagi mengatasi masalah kesesakan pada laluan tersebut, bagaimanapun masalah kesesakan juga tidak selesai. Justeru, Pihak Berkuasa Tempatan telah membongkar bulatan tersebut dan digantikan dengan simpang empat penjuru dengan lampu isyarat.

Pertambahan kenderaan yang mendadak di Kelantan menyebabkan lokasi menghadapi masalah kesesakan trafik terutama menjelang hari perayaan, hinggalah Kerajaan Persekutuan meluluskan menaik taraf jalan dan jambatan tersebut seperti mana yang kita lihat pada hari ini. Natijahnya, Bultan Kijang hanya menjadi kenangan bagi warga senior di Kampung Sireh dan Kota Bharu.

Berikut, rakaman nostalgia di Bulatan Kijang, Kota Bharu, Kelantan.



Rakaman masa sekawan sahabat di Bulatan Kijang pada awal 70an

Santai Petang, belia remaja Kota Bharu era 80an


Pemandangan malam di Bulatan Kijang.



Saturday 14 February 2015

PUJA PANTAI - ADAT LAMA YANG HANYA DIKENANG

***ARTIKEL INI DISALIN SEMULA DARI BLOG LOKAN BERTEPUK***
Gambar Hiasan, Pantai Bisikan Bayu, Pasir Puteh

Kadang2 datang juga kenangan lama yang mengembalikan aku ke zaman kanak2. Sampai ke hari ini pun masih segar dan jelas tergambar dalam kepala aku, yang mana semasa umur aku kira-kira  4 tahun, aku telah dibawa oleh emak saudara aku bersama dengan beberapa orang jirannya sekampung menaiki bas ke satu destinasi yang terletak di tepi laut. Di kawasan tersebut terdapat banyak bangsal2 untuk orang berjualan dan juga tempat orang membuat persembahan dan orang-orang di peskitarannya cukup ramai sekali.  Kebanyakan orang2 yg aku lihat, kalau yang perempuan boleh dikatakan semuanya berkelumbong dengan kain batik lepas, begitu juga dengan kaum laki2, sebahagian besarnya bersemuntar dan berkain pelikat. Di sana sini terdengar bermacam-macam bunyi muzik tradisional dan sesekali terdengar sorakan orang berarak dengan membawa panji-panji. Aku tidak tahu apakah yang menyebabkan orang begitu ramai di situ. Yang aku ingat ialah aku meminta emak saudara aku supaya belikan sebiji belon gas yg berharga 10 sen untuk aku. Yang lain-lainnya semua telah hilang dari memori aku.

10 tahun kemudian setelah aku masuk ke sekolah menengah, barulah aku tahu bahawa tempat yang dibawa oleh gemulah emak saudara aku itu ialah keramaian yang diadakan sempena dengan puja pantai di Bachok pada tahun 1958. Itupun nasib baik aku bertanya kepada orang yang kebetulan terlibat dengan permainan wayang kulit untuk puja pantai tersebut. Sampai sekarang pun gambaran suasana pada waktu itu masih tebayang di dalam ingatan aku.

Aku ingat nak duduk senyap jah. Biarlah ingatan masa kecik aku datang sekali sekala sebagai kenangan hidup aku masa lampau, dan selama ini pun aku tidak pernah bercerita kepada sesiapa pun mengenai upacara ini. Biarlah upacara puja pantai itu pergi jauh meninggalkan kita semua dan biarlah cerita2 begini hanya diwarisi setakat generasi aku sahaja.

Tapi aku tersalah sangka tedengan jangka. Rupa2nya masih ada lagi generasi sekarang yang berangin dan berminat untuk mengetahui akan cara-cara  yang dibuat oleh orang tua kita dahulu mengenai upacara puja pantai ini. Sebenarnya aku tidak dapat hendak memperjelaskan dengan terperinci mengenai bagaimana cara2 yang dibuat oleh orang tua kita dahulu dalam hal puja pantai ini kerana seumur hidup aku belum sekali pun melihat bagaimana upacara ini dijalankan, kerana apabila aku sudah mengenal erti hidup di dunia ini, upacara tersebut sudah tidak dibuat lagi sehingga sekarang kerana dikatakan mendapat bantahan dari ulama2 dan juga kesedaran masyarakat tempatan sendiri, kerana upacara puja pantai ini bertentangan dengan ajaran islam.

Cuma apa yang ada dalam pengetahuan aku sekadar cerita bari dari orang2 tua dan mereka2 yang pernah terlibat dengan acara tersebut, itu pun bukan detail sangat dan juga sedikit sumber dari pembacaan. Bagaimana pun ada juga sesetengah perlakuan dan aturan yang terdapat dalam upacara puja pantai itu mempunyai persamaan dengan upacara lain yang  aku pernah terlibat sekadar untuk mengetahui dan mencari pengalaman sahaja.


Diringkaskan cerita, terdapat tiga jenis perkataan puja yang dilakukan oleh ore melayu kelate pada zaman dahulu, iaitu;


  1. PUJA UMUR atau sambutan hari ulangtahun keputeraan Sultan Kelantan. Bagi sesetengah ore tua kelate menyebutnya dengan perkataan JANEWOGHI. Adakah perkataan ini berasal dari bulan januari, aku tidak pasti. Tidak dapat dikesan bilakah tarikh puja umur dibuat di Kelantan, tetapi berdasarkan keterangan dari buku ‘Detik2 Sejarah Kelantan’, upacara puja umur ini telah pun ada dizaman pemerintahan Sultan Muhammad IV.
  2. PUJA KAMPUNG.
  3. PUJA PANTAI…. Tentang bilakah tarikh mula2 diadakan upacara ini oleh orang tua dahulu tidak diketahui, cuma apa yang mendapat maklumat ialah upacara puja pantai yang terakhir dibuat di kelate ialah pada bulan april 1960 di Pantai Cinta Berahi (Pantai Cahaya Bulan sekarang). Dikatakan temasya puja pantai secara besar-besaran di Pantai Cinta Berahi ialah pada tahun 1947 yang dikendalikan oleh Mejar Tengku Mahmud Mahyudin. Kemudian, pada 22hb april 1960 telah diadakan sekali yang dikendali oleh Yang Mulia Tengku Zainab. Sementara temasya puja pantai besar-besaran dan terakhir di Bachok pula ialah pada tahun 1958. Mengikut keterangan gemulah Pak ngah Kob, temasya ini dikendalikan oleh pegawai jajahan Bachok pada ketika itu Mohammad Yaacob. Adakah acara seperti ini pernah dibuat di pantai-pantai lain yang banyak nelayan seperti pantai Sabak, aku tidak pasti.

Sebenarnya antara puja kampung dengan puja pantai ni tak ada beza sangat, cuma yang berbezanya ialah kalu puja kampung, upacara tu dibuat di kampung untuk memohon keselamatan dan kesejahteraan di kampung. kalau bercucuk tanam, nak minta segala tanaman menjadi. kalu menternak binatang, biar jadi gemuk dan mudah biak (bersemah kampung).

Kalau puja pantai pulak, nk mintak selamat apabila pergi cari rezeki kelaut. Minta babas segala mara merbahaya dan ribut taufan sewaktu berada di lautan. Kalu mmukat nk minta buleh ikan banyak. Aku rasa yang terjadi begini kerana tok nenek kita dulu percaya bahawa laut ni mempunyai puakanya tersendiri. Kalau ada orang mati lemas di laut pun dikatakan akibat dari puaku laut yang sudah lama tidak dijamu dan bermacam-macam lagi. Kepercayaan lagu ni lah yang kadang2 kita dengar ada orang sebut apabila berlaku orang mati lemas di pantai, “Pantai ni tokleh buat main-main, makan orang sokmo2”, ..padahal nya tidak sebab tu pun..Untuk mengambil hati puaka laut ni supaya tidak mengamok, maka perlulah dijamu setahun sekali, atau tiga tahun sekali, atau tujuh tahun sekali tertakluk kepada ghalibnya (semah pantai).

Kita royak cerita selingan pasal puaka laut dulu sikit…..Mengikut satu cerita benar mengenai hantu laut yg diceritakan kpd aku oleh gemuloh guru aku yg terjadi kepada dia sendiri pada awal tahun ‘50an dahulu. Dia dari rumah bapak sedara dia di Kuala Besut pergi ke rumah sesaorang yang aku malas nak sebut nama di sini yang terletak di Pulau Redang. Semasa tinggal di sana, beliau bersungut nk makan telur penyu kepada tuan rumah. Maka orang tersebut pergi ke tepi pantai dan seolah2 memberitahu kpd sesaorang minta tolong  carikan telor penyu kerana katanya anak angkat dia dari Kuala Besut teringin nak makan telur penyu. Pada keesokan paginya sudah ada selonggok telur penyu di tepi pantai di hadapan rumahnya.

Semasa hendak dihantar balik ke kuala besut pula berlaku pada waktu malam, kerana siang hari sangat panas, orang tersebut menyuruh beliau tidur di dalam perahu seorang diri, kalau terdengar apa2 bunyi pun hendaklah diam sahaja dan apabila sampai di Kuala Besut, nanti ada orang akan kejutkan. Beliau memberitahu, perahu tersebut bergerak laju bagaikan ditarik sesuatu, tp tiada sesiapa pun diperahu tersebut melainkan dia seorang diri sahaja, yang terdengar ialah kicahan air laut yang menempuh perahu sahaja sehingga lama kelamaan beliau tertidur. Beliau terjaga apabila terdengar seperti orang menggerak supaya bangkit dari tidur kerana sudah sampai di Kuala Besut..berdiri bulu roma sekakloh aku dengar…Razli Ayub Istana Budaya mungkin tahu jugak cerita ni sbb peristiwa itu dialami oleh gemulah ayah dia sendiri.

Sebenarnya yang dikatakan temasya puja pantai itu kerana sempena dengan upacara puja pantai akan diadakan segala jenis permainan seperti wayang kulit, mak yong, menora, peteri, bersilat, kertok, rebana dsb lagi untuk memeriahkan suasana. Dan pada masa inilah sekelian orang jauh dan dekat dari hujung negeri sampai ke pangkal negeri akan turun untuk bersukaria sambil berhibur, bahkan ada di antara orang yang datang dari jauh berkampung di situ.

Tentang jarak masanya pula tidak ada ketetapan yg tertentu, terpulanglah kepada jawatankuasa penganjur itu sendiri, tapi yang paling singkat pun tiga hari tiga malam. Pada hari pertama yg dipanggil hari ‘letak kija’, tok bomor akan memulakan dengan jampi mentera dan menepung tawar pada sekor kuba balar jantan yang sudah bersalin gigi doh, ore putih sebut albino buffalo, tok bomor sebut unta putih. Lepas pada tu akan berbunyi tembakan bedil sebagai isyarat upacara telah bermula. Aku rasa tembakan bedil tu bukan apa, hanya sekadar nak bagitahu kepada semua kumpulan permainan hok ada tu supaya pakat bertaboh serentak belaka2. Mugo takdak pembesar suara dan walkie-talkie tu gak, dan jarak antara satu bangsal ke satu bangsal tu agak jauh, agak2 kalu melaung pun tak berapa nak dengar. Dalam masa ni la kuba balar tadi di araklah kok keliling kawasan pantai hingga ke sebelah daratan ni sikit dikirakan tempat yang berlangsungnya temasya tu diiringi oleh tok bomor, tok jeragan, jong selam, puok2 kelaut dan orang ramai sambil membawa bendera tiga warna, putih hitam merah. Adakah warna2 bendera ini melambangkan apa, hoktu aku tak tahu. Atau pun adakah warna kain2 tersebut ada mempunyai hubungan dengan kain yang orang buboh celah tutup tiang masa nak pediri rumah baru, aku tak tahu jugak, sebab kain ni pun tiga warna ni jugak. Pada sebelah malamnya pula, segala permainan yang ada, akan memulakan persembahan masing2.

Pada hari kedua pula diadakan upacara belarak replika balai tujuh tingkat yang biasanya dibuat dari pelepah sagu kering,(dalam bahasa begoni kadang2 disebut Agung Bertukup Balai Bertulis atau Balai Bali Panca Persada Dewa) dan sebuah replika kapal layar kecil ‘Jong Kecik Lancang Bermas’. Kesemua barang2 ni akan diletak dihadapan bangsal wayang kulit. Disamping itu ada beberapa kelengkapan lain lagi yang diletak dihadapan bangsal wayang kulit. Antaranya ialah sangkak (sakak), tabak, pacabali, beberapa buah tempayan untuk nk buboh air pancalogam, air pudi mas pudi perak, andung jejuang dan ada segala macam lagi yg aku malas nk tulis ssini.

Memadah
Pada malam kedua, sebelum ‘pecah cerita’, wayang kulit akan memulakan lakon acara memadah. Lakon ini dimulai dengan atas pekerjaan menyemah pantai ini, iaitu dimulai dengan Raja Serama memanggil Pak dogol supaya pergi memadah.
Raja Serama:   Ya kakak persanta mas manis gerga jiwa. Pada silam malam esok tok dalang nak berjamu semah unta putih di hadapan panggung pantai sini.  Maka loni ambo nak mintak kakak pergi memadah segala jisi seribu empat puluh empat, jisi kelaparan empat, jisi yang mampat dan jisi yang tidak mampat. Kakak kena turun ke olak tanah gudaran bumi, kakak padah segala jin tanah jembalang di bumi. Olak  kampung suok dusun, di padang luas sejana padang , di selaba  kecik lahar yang luas, tasik merabang pancowilaha. Kakak padah sekelian puok juok hantu air jembalang selaba jangan bui meninggali. Sinar naik sinar runduk, hulu bani, hilir bangsawan…… Kakak pergi padah jugak jong dapur, jong kako, jong hidang, (dan beberapa tempat lagi yang aku malas nak sebut disini takut terlampau panjang sangat. Tujuan memadah ini ialah untuk memberitahu kepada hantu dan jembalang di kawasan taklukkan seperti yang aku sebutkan di atas supaya datang pada malam besok untuk menerima hidangan pada tempat yang telah dikhaskan mengikut protokol yg telah ditetapkan masing-masing).

Pak Dogol:   Baiklah tuanku, segala titah perintah tuanku ni, hamba tua ikutkan saja, sikit tetapi patek mohon kecerapan dari duli tuanku terlebih dahulu.
Raja Serama:   Kecerapan semacam balahmana pengasuh?
Pak Dogol:   Apabila patik hamba tua ni sudah memadah sekelian puok juok jisi yang mampat dan jisi yang tiada mampat tu, dimanakah patik nak suruh dia menanti pada malam esok?
Raja Serama:   Mu suruh masing-masing tunggu di hujung lidah tanah gegelang sari medang kulon permatang layat. Apabila berbunyi gunungan tujuh, mu suruh dia mari menerima hidangan bapak dalang dihadapan panggung (sebut nama tempat).
 Setelah memadah sekelian alam empat tapang tujuh jerung lapan deksa, akhirnya barulah Pak Dogol  pun berdirikan kaki tunggal, mendakapkan siku lenggang serta membacakan aja aji persongo menutup babahan songo lalu melating naik ke pintu jabalawung seketeng anak tangga duabelas di kayangan untuk memadah Betara Guru dan sekelian jisi kelaparan empat di kayangan untuk menerima hidangan bapak dalang di alam dunia. Apabila tibanya Pak Dogol berdiri di pesiban agung hadapan Betara Guru, dan bila Betara Guru terpandang akan cahaya Agung Senohon Betara Sang Hyang Tunggal, lalu ia pun turun dari takhta kerajaan kerusi gading kencana serta menyembah di kaki Pak Dogol lalu memimpin tangan Pak Dogol serta diletak atas tahkta kerajaan, Betara Guru pun mengangkat tangan sembah seraya berkata;

Betara Guru:   Lah muuuu babu raden nnisa ni….ya yi kakak ku persanta….kakak ku persanta jujuhan saudara yang tua ni kakak. Apa sabit tedengan sebab yang kakak boleh mengawung-ngawung naik ke nenggoro suralaya ni kakak?                                           
Pak Dogol:   Hei Guru, aku naik ni kerana kerja aku belum habis, gawai aku belum selesai lagi. Aku mari ni kerana membawa sakda Raja Seri Rama nak bagitahu kepada diri mu, kerana pada silam malam esok bapak dalang nak berjamu semah unta putih di pantai (sebut nama pantai) di atas pekerjaan (sebut nama tuan kerja) kerana nak semah lanak pantai (sebut nama pantai), nak angkat seri di bumi, maya di kampung, teruna di dusun, tembeling di padang, dia nak bayar hasil tahun cukai bulan, hasil mahsul cukai kerajat beras kapit padi gajah. Jadi aku mari ni nak tanya kepada mu, siapakah yang padan patut manis bangun boleh menerima indahar jamuan bapak dalang yang  menimbali gambar di tengah fajar mentaram di pantai (sebut nama pantai).
Kerana dia siap takta halir menanti dengan balai bali panca persada. Sarat bermuat dengan sulok lambong kadang gerga, beras kapit padi gajah, ayam itek lembu kuba kambing bebiri, masak mentah, dengan tepung kendung, cukup lengkap dengan lemak manis masin masam pedas, nasi tujuh bangsa sayur pitor tujuh jenis. Dengan borak belum bersifat, darah dalam daging lemak dalam tulang, otak dalam kepala, cukup lengkap dengan roma kulit, yu pari udang ketam, siput jarat pisang tebu, katong katang aja perol wilok bebek. Jikau lebih, aku tak ambik balik. Jika kurang, aku tak tambah. Jika sisa pun aku tak ganti dah. Aku tahu ke baik saja, hok jahat aku tak terima.
Betara Guru:   Bilakala kakak hendakkan orang yang menerimai?
Pak Dogol:   Silam malam esok.
Betara Guru:   Waktu mana?
Pak Dogol:   Waktu silau ngenger memecah, waktu mindong berkukok murai membaca, gajah membalik tidur. Waktu fajar sidik..waktu tu lah yang aku nak nya.
Betara Guru:   Tidak apalah kakak, orang yang padan patut manis bangun turun menerima jamuan bapak dalang ialah anak ku Sang Kala Awal.
Pak Dogol:  Tapi mu kena pesan kepada anak ku Sang Kala Awal, jangan dok bawa dengan gasang gorok sangat, sebab  Anak dalang tu babok bertambah bodo lagi, senjata pun belum lekat dipinggang lagi.
Betara Guru:  Tak apalah kakak
Pak Dogol:   Tapi mu sendiri pun, aku nak minta mu turun juga menjadi kerajaan di atas balai bali panca persada dewa, kerana aku takut terpelik oleh wong lebur, wong kecekalan, wong perang sesak, wong tanding-tandingan oleh lewong sura geder tengah malam dinihari di tengah andalu sibang melata. Mu hisab biar baik kokma biar molek. Saf dewa bersama dewa, saf jin bersama jin, saf mambang bersama mambang. jangan sapo ada berebut beretok, berbaloh cekoh. Mu kena denga biar baik pesanan aku nih. Lama kan esok kelak hari kemudian lusa mu kata aku tak panggil, mu kata aku tak lambai pulak. Kerananya aku tidak bertating nama membilang huruf, seratus lapan seribu makna sepekmo dua pekmo seketi lima laksa, mu kena bagitahu semua, tidak terkecuali  sekali dengan tepok tempang, buta rengga, bisu tuli, kena turun pergi semua.
Betara Guru:   Nuwun la kakak, titah kakak tidak akan patik bantah sama sekali. Sikit akan tetapi patik nak mintak kecerapan daripada kakak. Jika segala dewa2, bidadari dan segala puak juak jisi patik ni turun pada malam esok, di mana tempatkah hendak suruh dia menanti?
Pak Dogol:   Hoktu mu jangan syak menaruh bimbang. pada malam esok, bapak dalang akan siap dengan pohon sembong bidadari, cemara beduan, cemara dacita, katong gunung, canggai puteri, sunting galoh, mayang pinang, bapak dalang akan siap belaka.
Betara Guru:  Tak apalah kakak kalu begitu gak.
Pak Dogol:   Baiklah Guru, aku tidah boleh berlaung lengah anum cerita bari di sini. Kerana aku nak mengabah turun ke alam dunia sakin mulong mercapada bumi lemang tanah yang rata2 nak balik mengadap raja Seri Rama Seri Perkam Raja Bersedang Rakna.
Setelah selesai pekerjaan memadah ini, maka bolehlah dimula denga apa2 cerita. Bagaimana pun jika pekerjaan memadah belum selesai, maka boleh juga disambung balik pada malam ketiga. Cuma perkataan ‘malam esok’ hendalah ditukar menjadi ‘malam ni’. Ada juga satu versi lagi yang tidak guna Pak Dogol, tapi diguna watak Tok Peran Hutan untuk pergi memadah.

Sembelih Kuba
Pada hari ketiga, unta putih ni di arak pulak diiringi dengan gong gendang indrawangsa, bendera tiga warna, tok bomor, jong selam, tok jerangan dan orang ramai pun buleh ikut sekali hingga sampailah ke tempat nk menyemah. Kemudiannya tok bomor pun membaca jampi mentera kepada kuba dan kuba pun dimandikan dengan air limau campur beluru dan bermacam campuran lagi. Bilakala begitu sakni, kuba tu pun ditutup pada bahagian belakangnya dengan sehelai kain putih. Lepas tu lah baru kuba di pegheboh utk disembelih. Tok bomor baca pula jampi sambil memegang pelepas daun nyor. Apabila dia sebut pertama sabit, kedua sebab, ketiga kuong, keempat cendeng, kelima badi, keenam seroka, ketujuh lepas..atau pun disebut so, tiga, lima, tujuh, lepas…maka barulah kuba sakni disembelih….Upacara supo ni aku dan tengok masa ore nak pelepas niat sembelih kambing dekat umoh aku masa aku budak2 dulu, kebetulan pulak bomor yang menjalankan upacara pelepas niat ini, dia juga yang menjadi cheif bomor semasa upacara puja pantai di Bachok pada tahun 1958 dahulu. Dia nama Setapo, Mubin Sheppard tulis dalam buku dia Mustapha, tapi aku panggil ‘Poksu Po’, kebetulan pulak dia duduk 500 meter alik jjatuh umah aku (meninggal tahun 1970). Dan sempat juga dia heret aku g main tteri sekali dua masa aku buleh hudoh2 dulu.

Lepas tu kuba dilapah untuk diambik daging. Pekerjaan melapah ni kenalah berhati2 sebabnya kulit kuba tokleh carik, tulang kuba tokleh patah. Apabila sudoh soliroh begitu sakni, tempat anggota kuba yang di amik daging tadi akan disumbat dengan sabut nyor supaya napok terik semula seolah2 napok cukup sifat se ekor kuba semula. Dan pulak apabila kuba tu diletak dalam air, dia tak akan tenggelam disebabkan sabut penuh dalam perut kuba.

Mengisi
Sebelum mengisi ni, tok bomor akan membaca jampi mentera sama dengan masa perasap keduri jugak Apabila tok bomor mula saja baca Bismillah, maka muzik wayang hendaklah bermain lagu bertabuh. Jadi kira2nya ada dua kali baca kenduri lah, baca kenduri pertama masa mula2 masuk bangsal malam pertama, baca kenduri yang kedua masa nak mengisi. Tentang begapo dia hok dia sebut dalam bacaan tu, telah aku cerita didalam majalah Pentas  2009 dalam tajuk ‘Takta Wayang Kelantan’. selalunya upacara ni dibuat antara lepas asar dgn sebelum maghrib.

Maka segala tempat2 yang disediakan itu pun diisikan dengan barangan jamuan yang sudah disediakan. Ada yang dibuboh dalam temalong daun pisang dan ada yang di letak begitu sahaja di tempat yang sudah pun berlapik.. Antaranya ialah 1.nasi tujuh warna, 2. bermacam2 jenis sayuran yang telah dimasak, 3. umbut nyor, 4. rebung buluh, 5. siput kecai, 6. ikan yu dan ikan pari, 7. udang dan ketam, 8. telur ayam mentah, 9. seekor anak ayam yang disembelih, 10. darah ayam, 11. air tuak, 12. berteh 13 tepung beras, 14. nyor muda, 15. sireh pinang, 16. rokok daun dan ada lagi yang aku pun terlupa habis licin doh. Aku dan jugak sekali jadi jong gotel tepung beras untuk buat replika tahun 1975 dulu, tapi bukan untuk puja pantai la..

Biasanyanya ada tiga jenis replika yang kita boleh buat dengan tepung beras ni, 1. orang  2. permainan/peralatan  3. binatang. Namun begitu ada dua jenis replika binatang yang tidak boleh dibuat untuk tujuan ini, iaitu bewok nga ular, kerana dua jenis binatang ini ada kuwong.Peraja

Pada sebelah malamnya pula, melalui lakon wayang kulit iaitu setelah habis main dalang muda, dalang tua akan melakukan upacara peraja terlebih dahulu. Maksud peraja disini ialah dalang akan menyebut nama semangat satu persatu, sebagai contohnya setiap tempat yang disediakan seperti sakak satong tiang satu, tabak kecik dulang bermas dll mesti dilantik raja sebagai pemantau dan jong kako untuk memastikan jamuan itu dibuat mengikut rankin masing2. Tujuannya ialah untuk memantau supaya tidak berlaku sesuatu yang tidak diingini seperti berebut makanan antara mereka dan lain2, walau pun pada masa memadah lagi bapak dalang sudah berpesan kepada semua yang dipadah, “Jika lebih aku tak ambik, jika kurang pun aku tak tambah dan jika bersisa tidak akan ganti..aku nak dengar perkara yang baik2 belaka, kalau ada perkara yang tak baik, itu diatas tanggungan engkau sendiri”. Begitu juga dengan panggung yang biasa disebut dengan ‘peraja bangsal’, siapa yang jaga di atas panggung dan di bawah panggung, kesemuanya mesti diberi mandat terlebih dahulu.

Mengambat
Lepas tu barulah wayang kulit akan memainkan apa2 cerita sehinggalah lebihkurang pukul 1.00 pagi. dari pukul 1.00 hingga pukul 3 atau 4.00 pagi  upacara akan berehat seketika. Kemudian, persembahan wayang kulit dimula semula dengan membawa lakon Kosi Serawi @Perhantuan Mahrajawana.  Bo sedang molek fajar sidiq terbit, maka Betara guru keluarlah ke peseban agung memberitahu kepada Betra Nerada. Katanya oleh Betara Guru, pada masa sekarang ni sudah sampai dah tempoh perjanjian kita  dengan kakak persanta di alam dunia diatas pekerjaan (sebutkan nama tuan kija) kerana dia nak berjamu semah unta putih., silalah kakangku Betara Nerada pergi gerak anak ku Sang Kala Awal yang sedang bertapa supaya turun ke dunia di pantai (sebutkan nama pantai) untuk menerima indahar hidangan bapak dalang yang sedang menimbali gambar. Cerita mengenai ini telah aku muat di dalam majalah Pentas 2008 bertajuk Episod Sang Kala Awal, atau ada juga disebut ‘Mengambat Mak Babu Kala Dermi’.

Tolak Balai
Apabila selesai permainan wayang kulit pada sebelah pagi, maka barulah upacara tolak balai dan menghantar balai dilakukan. Tolak balai di sini bermaksud menyerah balai dan segala isi kelengkapnya serta bangkai kuba tersebut kepada puaka laut. Segala kelengkapan itu di usung ke dalam perahu2 yang sedia menunggu di tepi pantai. Upacara menghantar balai dan kuba ke tengah laut hendaklah diiringi dengan bunyi muzik dari semua kumpulan permainan yang membuat persembahan sempena puja pantai, dan tidak boleh kurang salah suatu. Kemudian, rombongan menghantar balai bersama dengan bomor pun bertolak menuju ke tengah laut dengan beberapa buah perahu. Biasanya untuk mempercepatkan perjalanan, perahu2 tersebut akan ditarik dengan menggunakan bot berenjin.

Apabila sampai ke tengah laut yang kira2 jarak 3 hingga 5 kilometer dari daratan, peralatan2 tersebut diletak atas permukaan air dan bomor akan membisik sesuatu seolah2 memberitahu supaya menerima segala persembahan tersebut. Kemudiannya rombongan menghantar balai pun bertolak balik semula ke pantai.

Pernah diceritakan kepada aku dalam satu peristiwa menghantar balai dan kuba balar pada sebelum tahun 1958, apabila rombongan yang menghantar ini sudah meletak kuba balar dan balai di air dan balik semula ke pantai, didapati kuba balar dan balai tujuh tingkat bersama dengan jong kecik tadi balik semula  ke tepi laut. Setelah mencari penyebabnya mengapa berlaku demikian, maka didapati puok menora tidak bermain muzik semasa mengiringi upacara mengahar balai dan kuba balar ke laut. Untuk menyelamatkan keadaan supaya perkara yang tidak diingini berlaku, maka upacara menghantar kuba balar terpaksa diulang sekali lagi dengan memastikan semua kumpulan bermain muzik…wallahualam..Sampai sahaja orang-orang yang menghantar balai dan kuba balar di pantai, Orang2 di pantai yang sudah sedia menunggu untuk ‘memekong’ puok2 rombongan menghantar balai tadi dengan buah anjung dan berlakulah pekong memekong antara orang di laut dengan orang di pantai. Ia menggambarkan sebagai satu perlambangan untuk menghalau kuasa jahat supaya tidak naik ke darat. Jika buah anjung tidak ada, maka boleh juga digantikan dengan pasir pantai yang basah dan dikepal2 untuk buat ‘hmekong’.

Makan Gulai Kuba
Apabila selesai dah belako2, masing pun pakat pergi makan nasi dengan berlaukkan gulai kuba yang disembelih petang kemarin di tempat yang disediakan. termasuklah kumpulan permainan yang membuat persembahan selama tiga itu serta mereka2 yang membantu menjayakan puja pantai tersebut. Sayangnya aku takleh nak upload gambar puok2 ni tengah makan nasi belan betinggong alik belakang bangsal wayang kulit, kerana aku cari gambar tu tak jjupo….mmg napok kelasik sggh.

Dan bermula dari hari menolak balai sehingga hari ketiga, biasanya nelayan tidak akan pergi ke laut untuk tujuan menangkap ikan.  Apa sebabnya aku tahu, cuma apa yang diceritakan ialah sudah menjadi pantang larang dari datuk nenek zaman dahulu lagi.
                                        
Sekian



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...