SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Friday 30 January 2015

Kelantan Dalam Perang Dunia Kedua - 1941


Pendahuluan
World War II, atau Perang Dunia ke-2, adalah tragedi dunia yang paling diingati. Peperangan ini melibatkan Kuasa Berikat menentang Kuasa Paksi, ia telah meragut lebih daripada 50 Juta nyawa dan mendatangkan kemusnahan harta benda yang dahsyat seluruh dunia. Mangsa perang ini juga masih lagi trauma dan bersedih tatkala memeori ngeri itu melintas di benak fikiran. Semenanjung Tanah Melayu juga tidak terlepas dilanda peperangan ini. Jepun yang juga negara Kuasa Paksi telah melancarkan serangan keatas Empayar British yang wujud di Asia Tenggara.

Sebelum Jepun meluaskan serangan, mereka terlebih dahulu telah menguasai China dan Korea serta beberapa negara di Asia Timur pada pertengahan 1930an. Kekuatan tentera Jepun tidak dapat ditahan, kemuncaknya mereka telah menyerang kedudukan Amerika Syarika di Lautan Pasifik yang ketika itu berpengkalan di Pearl Harbour. Ekspedisi tentera Jepun telah mara hingga ke perbatasan India. Akhirnya, kekejaman Jepun telah dihukum oleh Amerika Syarikat yang telah menggugurkan bom atom di Hiroshima dan Nagasaki yang menyebabkan kemusnahan yang tidak dapat digambarkan di kedua-dua kota perindustrian Jepun itu. Natijahnya, seluruh Angkatan Jepun di Asia telah mengaku kalah dan kembali semula ke Jepun.

Hingga kini kekejaman Jepun masih dirasai, ramai penduduk Tanah Melayu dijadikan Buruh Paksa terutama dalam pembinaan Landasan Keretapi Maut yang menghubungkan Singapura hingga ke Shanghai merentasi Thailand, Laos, Vietnam hingga ke China.

Perisikan Jepun
Kejayaan Jepun menawan Tanah Melayu, khususnya di Kelantan adalah disebabkan faktor perisikan Tentera Jepun di bawah Agensi Fujiwara Kikan yang lebih dikenali sebagai F Kikan. Tani Yutaka adalah agen F Kikan yang paling dihormati dan disanjung oleh tentera Jepun hingga digelar sebagai Harimau atas keberanian beliua semasa kempen Jepun di Tanah Melayu. Keluarga Tani Yutaka telah datang dari Jepun dan tinggal di Kuala Berang, Terengganu.

Di Kelantan ada juga perisik sedemikian, antaranya Tiyoki Toda yang bermaustautin di Pulau Condong bersama-sama keluarganya. Beliau datang sebagai pegawai syarikat Oriental Mining and Co. sebuah syarikat Jepun yang mengendalikan perlombongan Besi di Temangan, Machang. Sebenarnya, orang-orag Jepun sudah tidak asing di kawasan Kelantan, Patani dan Singgora, malah orang-orang Jepun dicatatkan telah berada di alam Melayu semenjak era Kesultanan Melaka dan memainkan peranan dalam pentadbiran Siam dalam kurun ke-16 Masihi apabila Yamada Nagamasa dilantik oleh Raja Siam untuk menjadi Gabenor di Nakhon Si Thammarat pada tahun 1630. Ringkasnya, Jepun sudah bertapak di Semenanjung Tanah Melayu semenjak ratusan tahun.

Oriental Mining and Co. memainkan peranan sebagai agen perisik Jepun di Kelantan dengan beroperasi sekitar Temanga, mereka membawa jentera perlombongan yang direka khusus tidak seperti mana jentera British. Selaku syarikat perlombongan, mereka mendapat akses untuk menggunakan kemudahan keretapi dan pelabuhan di Tumpat. Perkara ini jelas tidak disedari oleh British, kerana syarikat tersebut hanya diberi kebenaran untuk melombong dalam tempoh enam bulan setiap tahun, masa yang ada sememangnya dimanfaatkan sepenuhnya oleh perisik-perisik.

Serangan Jepun
Terdapat sesetengah cerita yang disampaikan secara lisan, sebelum serangan dilancarkan oleh tentera Jepun ke atas Kelantan, perisik Jepun telah menyampaikan pesan agar jiran-jiran yang mereka senangi untuk berkubu di bawah rumah dengan menggali tanah. Ada yang mengikut dan ada tidak mengendahkan pesanan tersebut kerana mereka menyangka itu adalah jenaka dari perisik tersebut.

8 Disember 1941, tentera Jepun telah melancarkan serangan mengejut ke atas Kota Bharu dengan Pantai Pak Amat menjadi lokasi pertempuran hebat yang paling diingati Jepun dan British. Pada Jun 1941, Lt. Jeneral Percival memutuskan untuk memindahkan Briged India ke-8 di Kota Bharu ke Selatan melalui jalan keretapi dengan menggantikan pasukan 4/19 Hyderabad namun ia tidak berlaku sedemikian, justeru pertahanan di Kelantan telah menjadi lemah.

Laporan Lt.Jeneral Percival tentang pertahanan di Kelantan

Perkara ini mungkin disedari oleh Jepun kerana itu mereka tidak menyerang Singapura terlebih dahulu, sebaliknya melancarkan serangan ke atas Tanah Melayu melalui Kota Bharu. Tindakan Jepun ini ternyata memberi kejutan kepada British. Dalam masa satu hari sahaja Kelantan telah berjaya menawan Kelantan dan terus mara ke arah Selatan. Ketika itu di Kelantan sudah wujud beberapa airstrip untuk operasi tentera udara British, antaranya di Pengkalan Chepa, Lalang Luas, dan Gong Kedak. Namun kerana tersilap percaturan, British tidak dapat menangkis serangan Jepun di Kota Bharu.

Pergerakan Tentera Jepun semasa serangan keatas KB


Situasi di Kelantan semasa diserang
Pada masa serangan Jepun, almarhum Paduka Sri Sultan Ismail I memerintah Kelantan. Baginda tidak melarikan diri dan tetap berada di Kelantan. Apabila Jepun menghalau British, mereka telah memperkenalkan Sistem Pemerintahan Gabenor dengan istilah Jepun Cakan Ka Kaka. 1941-1942, Kelantan telah menerima dua orang Gabenor dari Tentera Jepun iaitu:
  1. Yashushi Sunakawa 
  2. Kukiro Fujisawa
18 Oktober 1943, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis telah diletakkan dibawah pentadbiran Thai oleh Jepun sebagai memenuhi perjanjian sulit mereka dengan pihak Siam. Sepanjang tempoh tersebut, Kelantan telah menerima dua orang pesuruhjaya tentera Thai iaitu:
  1. First LT.  Charm Charam Chaichan
  2. R.T. Thaivin Rawan
1 Januari 1944, Majlis Montri Spa atau Majlis Mesyuarat Negeri yang sinonim dalam Bahasa Melayu mula berkuatkuasa. Baginda Sultan Ismail sendiri yang menjadi pengerusi Montri Spa ini. Lima hari kemudian, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri yang ditutup oleh Jepun telah dibuka semula dan pegawai-pegawainya telah diarahkan bertugas semula sepertimana sebelum perang.

Kehidupan di Kelantan ketika era Perang Dunia keDua tidak begitu tertekan, kerana Jepun tidak mentadbir secara mutlak keatas Kelantan, kerana negeri ini diletakkan dalam pentadbiran Thailand. Namun, ada juga kisah gadis dan para wanita diculik oleh tentera Jepun, manakala para pemuda dan belia dijadikan buruh paksa. Catuan makanan juga berlaku, keranan Jepun mengambil semua hasil tanaman. Selain itu, banyak aktiviti rahsia Jepun dijalankan di pedalaman Kelantan terutama di kawasan yang telah diterokai British seperti di Kuala Krai dan Gua Musang.

Jepun Menyerah Kalah
1945, Jepun telah menyerah kalah secara mengejut ekoran serangan bom atom dari udara oleh tentera Amerika Syarikat ke atas Hiroshima dan Nagasaki dan meninggalkan Tanah Melayu dengan serta merta. Tidak diketahui atas perjanjian apa, Perjanjian Bangkok 1909 dikuatkuasakan semula ke atas Negeri-negeri Melayu tidak Bersekutu, malah Thailand juga terlepas dari perbicaraan diatas pengelibatan mereka dengan Jepun.

Sebaik Jepun mengisytihar mereka meletak senjata, Parti Komunis Malaya telah menduduki bandar-bandar besar di Semenanjung dan telah bertindak ganas keatas individu dan kumpulan yang dipercayai sebagai tali barut Jepun. Seminggu kemudian barulah British kembali semula dan meredakan keganasan Komunis dengan bantuan Tentera Australia.

Suasana pada 8/12/1941 di Pantai Pak Amat, Kota Bharu

Suasana Pantai Pak Amat, Kota Bharu pada masa kini


Thursday 29 January 2015

Kelantan Dalam Perang Pasir Puteh - 1915

Pendahuluan
Setelah termetrainya Perjanjian Bangkok 1909 antara Siam dan British, sebahagian negeri-negeri Melayu dikawasan Segenting Kra telah dibahagi dua. Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu diletakkan di bawah pemerintahan Empayar British dengan ditanda sebagai Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu, manakala negeri Patani, Jambu, Nong Chik dan beberapa lagi negeri Melayu di Segenting Kra telah menjadi sebahagian Siam. Sultan Kelantan telah dipaksa untuk menerima keputusan yang dibuat, serentak dengan itu British telah menghantar wakil mereka ke Kelantan untuk menasihati Sultan dalam segala keputusan Kerajaan Negeri. 

Kerajaan Negeri hanya mempunyai hak sepenuhnya terhadap Adat Istiadat dan Agama Islam sahaja, selebihnya segala-gala perlu melalui Penasihat. Ketika itu, Sultan Muhammad IV menjadi Sultan, sebelum termetrainya Perjanjian Bangkok, baginda telah menandatangani perjanjian konsensi dengan Duff Development Company yang dimiliki oleh R.W.Duff seorang pesara Pegawai Tinggi Polis British di Pahang. Beliau menguasai pelbagai dialek Bahasa Melayu dan tugas beliau sebelum ini menyebabkan beliau mempunyai hubungan rapat dengan negeri-negeri Melayu.

Bagaimanapun, selepas termetrainya perjanjian tersebut, segala perjanjian yang dibuat oleh Kerajaan Negeri Kelantan telah terbatal dan tidak lagi sah, justeru perjanjian ini telah menamatkan pengelibatan Duff Development Company di Kelantan. Inilah natijahnya, bagaimanapun kedudukan Sultan Muhammad IV sebagai Sultan Kelantan menjadi lebih kukuk kerana baginda sekali lagi menjalani istiada pemahkotaan oleh Queen Elizabeth dari United Kingdom dan ia satu penghormatan yang tinggi. 

Di bawah Sistem Residen ini, Sultan dan seluruh Pembesar menerima gaji bulanan dan tidak lagi dibenarkan mengutip cukai sepertimana kelaziman. Perkara ini jelas membuatkan para pembesar di Kelantan tercabar, tetapi mereka tidak berani bangkit memperjuangkan hak kerana perkara ini telah berlaku di Pahang, di mana Dato Bahaman bersama Tok Gajah dan Mat Kilau telah menentang sistem Residen, mereka telah dituduh oleh British dan diuar-uarkan seluruh Pahang bahawa mereka adalah pemberontak dan menderhaka kepada Sultan Pahang. Menyebabkan pahlawan Melayu Pahang ini melarikan diri hingga ke Siam dan hidup dalam penyamaran berpuluh tahun lamanya.

Jeram atau Pasir Puteh
Jajahan Pasir Puteh adalah satu jajahan yang istimewa kerana ia bersempadan dengan Jertih dan Besut, Terengganu. Ia juga mempunyai kawasan hutan yang luas dengan Bukit Yong serta Ulu Sat menjadi sempadan, ringkasnya ia mempunyai sumber asli yang banyak selain beberapa kawasan yang menarik seperti Jeram Pasu dan Jeram Linang, ia juga amat sesuai untuk dijadikan pelabuhan terutama di kawasan Semerak.

Rekod Sejarah menyatakan bahawa nama Jajahan Pasir Puteh mula digunakan secara rasmi pada 1911 setelah lawatan Sultan Muhammad IV ke kawasan tersebut. Sebenarnya, sebelum timbul nama jajahan baru ini, ia lebih dikenali sebagai Jeram dan menjadi pusat pentadbiran keturunan Long Ghafar, Perdana Menteri era Long Yunus. Jeram dipercayai wujud pada era Kelantan mempunyai  citay states , namun tidak dapat dipastikan dengan jelas siapa pemerintahnya sebelum era Long Ghafar. 

Pada masa tersebut, British merupakan tunjang kepada pemerintahan di Kelantan, segala keputusan akhir yang dibuat oleh Sultan telah menjalani proses "advisory" iaitu telah melalui tapisan dan pandangan Penasihat British. Jelas, penamaan Jajahan Pasir Puteh yang berlokasi sekitar Semerak serta memasukkan Jeram dalam Jajahan baru itu, perkar ini jelas mencabar kedudukan Engku Besar selaku pentadbir dikawasan tersebut. Mereka bersabar, kerana masih menjunjung kasih kebawah Duli Tuanku Sultan. Maka terlaksanalah pentadbiran Jajahan Baru di Pasir Puteh dibawah perintah Penasihat British.

Punca Konflik 
Di Pasir Puteh pada waktu itu pendudukanya terdiri daripada orang-orang Melayu yang berkerja sebagai nelayan dan petani. Kehidupan mereka tidaklah terlalu mewah, dan juga tidak miskin, sebelum kewujudan pentadbiran baru mereka hidup dalam keadaan aman dan damai. Ringkasnya, selain Kota Bharu, kawasan Jeram adalah antara yang paling ramai penduduk dan ia menarik perhatian British untuk mengaut hasil melalui cukai yang akan dikenakan keatas penduduk di Pasir Puteh.

Pada tahun 1914, British telah melantik Encik Abdul Latif seorang Melayu yang berasal dari Singapura menjadi Ketua Daerah Pasir Puteh, beliau telah ditanggungjawabkan untuk menguatkuasa Udang-Undang Cukai di Pasir Puteh, antara cukai yang dikenakan:
  • Setiap penduduk dikenakan Cukai Kepala $1.00 setahun sekali
  • Setiap pokok buah-buahan dikenakan ¢12 1/2 sen sepokok
  • Setiap Pokok Kelapa ¢3 sen sebatang
  • Sejunjung sireh ¢5 sen
  • Setiap ekor kerbau dan Lembu ¢50 sen seekor
  • Setiap pokok keras yang boleh dijadikan rumah dikenakan cukai $1.00 sebatang
  • Cukai Hasil Tanah sebanyak ¢60 setiap ekar
Penduduk yang ingkar kepada Undang-Undang Cukai ini akan dihukum samada membayar denda atau dipenjara. Undang-Undang baru ini jelas mengguris hati pembesar dan menekan penduduk Pasir Puteh. Pungutan Cukai ini dijalankan di Pejabat Daerah Pasir Puteh dan dikendalikan oleh seorang pekerja, kekangan tenaga kerja ini telah menyebabkan urusan pembayaran menjadi sulit dan ada yang telah menunggu selama tiga hari, tetapi masih tidak dapat membayar cukai tersebut. 

Ketika Tok Janggut dan orang-orangnya ingin menjelaskan cukai tersebut, mereka telah terpaksa menunggu selama seminggu di Pejabat Daerah, tetapi masih tidak dapat berbuat demikian dan berkeputusan untuk pulang tanpa menjelaskan cukai. Tindakan ini telah menyebabkan Tok Janggut dan pengikutnya disaman oleh Ketua Daerah dan dikehendaki ke Mahkamah Pasir Puteh, tetapi mereka enggan berbuat demikian.

Sebaliknya Tok Janggut bersama-sama YAM Tengku Besar Jeram Tuan Ahmad ibni Tengku Sri Maharaja Long Mansor Haji Said, Ishak dan Penghulu Adam telah meminta penduduk Pasir Puteh memboikot Undang-Undang Cukai tersebut dalam satu perhimpunan yang diadakan di Kampung Merbul, hasilnya semua penduduk membuat keputusan untuk tidak membayar cukai kepada Ketua Daerah. Hal tersebut akhirnya telah diketahui oleh Encik Latif, dan beliau telah mengarahkan Sarjan Che Wan Sulaiman untuk menangkap Tok Janggut. 

Meletusnya Perang Pasir Puteh
29 April 1915, Sarjan Che Wan Sulaiman bersama-sama dengan 6 orang lagi anggota polis telah ke Kampung Merbul untuk bertemu dengan Tok Janggut. Ketika Sarjan tersebut tiba di kampung tersebut, Tok Janggut sedang berucap dihadapan 1000 orang penduduk yang lengkap bersenjata. Sarjan Che Wan menjelaskan kehadiran mereka adalah untuk menjemput Tok Janggut berjumpa dengan Ketua Daerah di Pasir Puteh dan dipatuhi. Ketika hendak berangkat, tercetus pertengkaran antara Sarjan Che Wan dengan Tok Janggut, kerana beliau enggan berada di belakang kerana keadaan itu seolah-olah beliau adalah orang salah. Pertengkaran mulut itu telah melarat dan berlaku pergelutan dan Sarjan Che Wan telah terkena tikaman keris Tok Janggut, anggota Polis yang datang bersama tergamam, mereka semua dilepaskan setelah senapang yang dibawa dirampas.

Setelah itu, Tok Janggut bersama-sama 2000 penduduk telah ke Pasir Puteh berjaya menduduki pekan tersebut. Encik Abdul Latiff telah melarikan diri ke Kota Bharu dan melaporkan hal tersebut kepada Baginda Sultan Muhammad IV. Di Pasir Puteh pula, penduduk yang telah bangkit telah melantik:
  • YAM Tengku Besar Jeram sebagai Paduka Sri Raja Pasir Puteh.
  • Tok Janggut sebagai Perdana Menteri.
  • Haji Said sebagai Timbalan Perdana Menteri.
  • Penghulu Adam sebagai Syahbandar.
  • Ishak menjadi Ketua Daerah.
Tok Janggut telah cuba memaklumkan kedudukan yang sebenar kepada Baginda Sultan, namun tersebut telah dihalang oleh pihak Inggeris, sebaliknya mereka telah memberitahu Tok Janggut dan pengikutnya telah memberontak dan sedang menuju ke Kota Bharu untuk menggulingkan baginda Sultan. Perkara tersebut jelas menimbulkan kemurkaan Sultan hingga menganggap Tok Janggut dan para Pembesar Jeram adalah penderhaka. Bagida telah bertitah, sesiapa yang dapat menangkap salah seorang dari pemimpin Pasir Puteh itu akan diberi wang ganjaran sebanyak $500. Mendengar titah tersebut, Tok Janggut dan para pengikutnya enggan menyerahkan diri dan mereka bertekad untuk menentang. Sebuah kubu yang dikenali sebagai Batas Besar Kubu Tok Janggut telah dibina di Kampung Saring sebagai persediaan untuk menghadapi serangan besar-besaran.

Sultan dan Para Pembesar termasuk Penasihat British telah bersidang berkenaan perihal di Pasir Puteh dan mereka putuskan untuk dapatkan bantuan daripada British di Singapura untuk mengatasi kekalutan yang timbul. Gabenor Sir Arthur Handerson Young di Singapura telah menghantar sebuah kapal perang berserta dengan 150 orang askar telah bertolak ke Kelantan sebagaimana hasrat Kerajaan Kelantan. 10 Mei 1915, pasukan tersebut telah tiba di Kota Bharu dan 3 hari kemudian ia telah tiba di Pasir Puteh. Pasukan itu gagal menemui Tok Janggut, kerana mereka telah menyembunyikan diri untuk mengelak mereka berperang secara berdepan dengan askar British yang lengkap dengan Senjata Api moden. 17 Jun 1915, angkatan perang ini telah kembali ke Kota Bharu dan berada di ibu negeri Kelantan itu selama seminggu sebelum berangkat pulang ke Singapura.

Pada bulan yang sama, British di Singapura telah menghantar satu lagi pasukan askar yang terdiri daripada askar Sikh dan sukarelawan Melayu. Geram kerana tidak dapat bertemu dengan Tok Janggut, askar-askar Brtish ini telah melakukan angkara dengan membakar rumah dan sawah padi serta merampas harta benda penduduk. Rumah Tok Janggut, Engku Besar dan semua pemimpin Pasir Puteh turut dibakar.

25 Jun 1915, Tok Janggut bersama 2,500 pengikutnya telah bertindak menyerang kedudukan Askar Sikh di Pekan Pasir Puteh. Setelah itu, pasukan Tok Janggut ini berundur semula ke Kampung Saring dan ia diekori oleh askar British. Tercetus pertempuran di Kampung Saring dan ia disertai oleh Abbas Berani, Hassan Harimau, Awang  Ngah, dan Abdul Rahman. Angkatan Perang British dilengkapi dengna senjata moden dan ia tidak dapat ditahan oleh pasukan Tok Janggut dan mereka akhirnya telah tewas. Tok Janggut sendiri dalam pertempuran ini telah terkorban, manakala Engku Besar, Haji Said dan Ishak telah menyelamatkan diri ke Reman.

Contoh Askar Sikh di Tanah Melayu

































Siapa Tok Janggut
Nama sebenar beliau ialah Haji Mat Hassan bin Munas beliau telah berangkat ke Kota Mekah untuk mendalami Ilmu Agama Islam. Di sana beliau telah berguru dengan Syeikh Ahmad Al Fatani, seorang guru yang disegani. Tok Kenali adalah rakan sepengajian beliau. Beliau berumur 30 tahun ketika berangkat ke Mekah. Engku Besar pula adalah sahabat karibnya dan membesar bersama-sama serta mempelajari seni mempertahankan diri bersama dengan ayah beliau, Panglima Munas.

Ekoran kematian ayah dan abangnya dalam satu peristiwa berdarah, Tok Janggut bertekad tidak lagi mahu pulang ke Kelantan mahu terus berada di Kota Mekah, namun hasratnya itu telah dibangkang oleh gurunya dan menasihatinya untuk pulang berbakti di Kelantan.

Pada tahun 1914, Perang Dunia Pertama telah meletus setelah British, Russia, dan Perancis mengisytiharkan perang keatas Jerman dan Austria. Kerajaan Turki Uthmaniyah telah menyertai peperangan tersebut dan berpihak kepada Jerman dan Austria. Anggota Majlis Ulama Turki yang dianggotai oleh Badiuzzaman Said Nursi, Syeikhul Islam Mustafa Khairi Afandi, Syed Ahmad as Syarif as Sanusi, Muhammad Asad Afandi, dan Hamdi Yazir telah merangka fatwa Jihad bagi pihak Khalifah. Kemudian Sultan Muhammad VI atau juga dikenali sebagai Sultan Muhammad Reshad telah mengisytiharkan Jihad kepada Umat Islam seluruh dunia.

Fatwa tersebut mendakwa bahawa kuasa-kuasa eropah yang diketuai oleh Britain berusaha untuk meruntuhkan Kerajaan Islam Turki Uthmaniyah dan menakluk negara-negara Islam. Ini adalah satu faktor kenapa Tok Janggut pulang ke Kelantan dan bangkit menentang British yang menjajah Tanah Melayu. Pada masa tersebut, Tok Janggut sudah berumur 65 tahun tetapi beliau tetap terjun ke medan perang bagi mempertahankan agama dan bangsanya.

Dalam pertempuran di Kampung Saring, Tok Janggut dilaporkan British sebagai telah terkorban, dan jenazahnya telah diaibkan dengan penuh kehinaan. Ramai yang mempercayainya, namun ada waris beliau menafikan bahawa beliau tekorban dalam peperangan pada Jun 1915, sebaliknya beliau telah mengalami kecederaan yang parah dan telah sempat dibawa lari oleh Mat Kelubi ke kawasan Selatan Thai bersama-sama Engku Besar. Tok Janggut telah dirawat dan sembuh, tetapi memilih untuk memencilkan diri sehinggalah beliau "berpindah alam" pada 1969 dan disemadikan di sebuah kubur yang tidak bertanda di Kampung Air Putih, Machang.

Gambaran Pelukis : Allahyarham Haji Mat Hassan bin Munas (Tok Janggut)


Rujukan:
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Perang_Tok_Janggut
  • http://abdullatip.blogspot.nl/2011/12/tok-janggut.html

Monday 26 January 2015

Kelantan Dalam Perang Saudara - 1835

Pendahuluan
Sejarah Kelantan memang panjang dan penuh dengan ranjau. Negeri yang pada hari ini sering menjadi sebutan dan ingatan di Malaysia kerana pelbagai isu. Baik dari segi politik, ekonomi, budaya, orangnya hinggalah kepada amal ibadat juga, negeri ini tidak lepas daripada menjadi sebutan. Paling kurang, orang akan sebut juga Budu ditambah pula selepas Bah Kuning 2014, negeri kita masih menjadi tumpuan.

Kisah perang di Kelantan mungkin ramai yang ingin tahu, tapi jarang bertemu akan maklumatnya. Selepas peperangan dengan Terengganu sepanjang pengelibatan Long Yunus dalam menuntut haknya, dan di awal pemerintahan Sultan Muhammad I, Kelantan sekali lagi terjerumus kepada kancah peperangan, kali ini ia melibatkan konflik di kalangan kerabat diRaja Kelantan ekoran kemangkatan Sultan Muhammad I yang tidak menamakan perwaris yang sah, sementelahan almarhum tidak mempunyai zuriat. 

Sultan Muhammad I, dikenali sebagai Sultan Kelantan yang berjaya mengekalkan legasi pemerintahan Long Yunus selepas Kelantan diresapi pengaruh Terengganu dengan pertabalan Tengku Muhammad ibni Sultan Mansur I pada 1794 sebagai Yang diPertuan Kelantan. Tempoh 5 tahun diambil oleh Baginda Sultan Muhammad I untuk menegakkan Kesultanan Kelantan yang sebenar. Baginda telah memerintah Kelantan dari 1800 hinggalah mangkat pada 1835, sepanjang tempoh itu, baginda telah menjadikan dua orang anak saudaranya iaitu Long Senik Mulut Merah dan Tengku Long Bongsu putera kepada adindanya, Long Tan. 

Kemangkatan Sultan Muhammad I
Sejurus kemangkatan baginda, Tengku Long Zainal (Long Jenal) yang juga Raja Bendahara Bangul, telah mengisytiharkan diri sebagai pengganti Sultan dengan gelaran Yamtuan Kelantan, perkara ini mendapat tentangan daripada Tengku Long Ismail yang juga Raja Muda Kampung Laut dengan alasan bahawa beliau yang lebih berhak ditabal sebagai Sultan dan konflik ini bertambah buruk apabila Long Senik Mulut Merah terlibat sama.

Kelantan semenjak pemerintahan Sultan Muhammad I merupakan sebuah negeri naungan Siam. Keadaan ini berlaku untuk mengelakkan Kelantan diserang kembali oleh Terengganu setelah peperangan kedua negeri ini tamat pada 1800. Long Jenal dan Long Ismail masing-masing telah lanjut usianya, dan ini memberi kelebihan kepada Long Senik, kerana beliau mempunyai hubungan diplomatik yang baik dengan Bangkok, ringkasnya Siam lebih memihak kepada Long Senik.

Siam telah masuk campur dalam konflik ini pada 1838 untuk meredakan pergolakkan tersebut, seterusnya memulihkan keamanan dengan tujuan melancarkan perhubungan peradagangan antara Bangkok dengan Singapura. Semua pihak yang bertelagah akur dengan campur tangan Siam, Raja Rama I telah melantik Long Senik Mulut Merah sebagai Sultan Kelantan yang kemudiannya ditabalkan dengan gelaran Sultan Muhammad II. Tengku Long Ismail, Raja Muda Kampung Laut telah mangkat, dan tempatnya digantikan oleh anak lelakinya iaitu Long Muhammad (Tuan Besar) sebagai Raja Kampung Laut.

Perasaan bimbang dan ragu-ragu Sultan Muhammad II terhadap Long Muhammad, Raja Kampung Laut ditambah pula sepupu baginda itu mempunyai hubungan rapat dengan Long Jenal, menyebabkan persengketaan itu menjadi lebih buruk. Peristiwa ini dicatatkan dengan jelas oleh Abdullah Munsyi dalam Kisah Pelayaran Abdulah ke Kelantan yang mengikuti rombongan yang mewakili Singapura ke Kelantan untuk membebaskan perahu dagang yang terkandas di Kelantan.

Sekatan pelayaran keluar sebarang kenderaan laut merupakan aturan peperangan pada masa tersebut. Perahu milik saudagar Cina di Singapura turut ditahan dan terkandas di Kelantan, justeru pemiliknya telah mendapatkan sokongan Gabenor Singapura untuk membebaskan perahu yang terkandas itu, Abdullah Munsyi pula terlibat sama kerana beliau telah diminta oleh rombongan saudagar Cina itu untuk menjadi jurubahasa. 

Perang 
Tercetuslah perang antara angkatan Sultan Muhammad II dengan angkatan Raja Kampung Laut. Lokasi mereka hanyalah dipisahkan oleh Sungai Kelantan yang pada masa itu. Angkatan perang kedua-dua pihak yang bertelagah ini terdiri daripada rakyat Kelantan sendiri dan ada antara mereka terpaksa berperang sesama adik-beradik, saudara mara, malah terbabit sama ayah dengan anaknya sendiri. Keadaan ini telah menyebabkan kejadian tembak menembak sahaja dan tidak ada yang berani menggunakan bahan letupan.

Rekod mencatatkan perang saudara ini menggunakan senjata api seperti meriam, lela, rentaka, ekor lontong dan Senapang, selain itu perang ini juga masih menggunakan senjata tradisional seperti lembing dan keris. Banyak harta benda dan kediaman musnah dalam peperangan ini, selain itu kegiatan perdagangan juga tergendala dan lebih teruk menggangu hubungan domestik antara Singapura dan Bangkok.

Rombongan Singapura telah gagal membebaskan perahu mereka yang terkandas di Kelantan, dan mereka telah meminta bantuan daripada Bangkok untuk menyelesaikan perkara tersebut seterusnya menamatkan Perang Saudara di Kelantan. Bangkok telah melakukan helah keatas Raja Kampung Laut. Pada pertengahan tahun 1839, sebanyak dua kali wakil Siam dihantar, kali pertama mereka datang dengan tujuan diplomasi yang bebas dari campur tangan tentera Siam, dan ia telah menemui jalan buntuk. Kali kedua, Siam sekali lagi menghantar wakil mereka dan kali ini mereka datang dengan sejumlah angkatan tentera dan memaksa kedua-dua pihak yang bertelagah ke Songkhla. Setibanya di Songkhla, Raja Kampung Laut telah diarahkan ke Bangkok untuk berunding secara terus dengan Raja Rama III, Raja Siam. Dalam hal ini, Siam lebih memihak kepada Sultan Muhammad II untuk merajai Kelantan. Mendapat sokongan Siam, angkatan Sultan Muhammad II telah berjaya menumpaskan angkatan Raja Kampung Laut.

Di Bangkok pula, Raja Kampung Laut telah ditawarkan untuk menjadi Raja Patani. Tawaran ini tidak boleh ditolak lagi, manakala Long Jenal telah dilantik sebagai Menteri di Wilayah Nongchik dan inilah jalan terbaik untuk menyelesaikan pertelingkahan yang berlaku di Kelantan. Justeru rantau ini kembali aman, dan hubungan antara Singapura dan Bangkok juga dapat dipulihkan. Kelantan pula menerima penasihat yang dilantik oleh Siam selain harus membayar ufti ke Bangkok setiap tiga tahun. 

Kesimpulan
Peperangan ini membolehkan Long Senik Mulut Merah ditabalkan sebagai Sultan Muhammad II memerintah secara mutlak dengan beberapa jajahan yang setiap jajahan mempunyai wakil baginda. Perang ini juga mencatatkan penggunaan senjata api buatan melayu yang akhirnya menjadi kekaguman bangsa asing. Peperangan demi peperangan yang dihadapi Kelantan menyebabkan kemajuan negeri ini terbantut, namun ia dapat dipertingkat kemudiannya oleh perwaris Kesultanan Kelantan Seterusnya. Berakhirnya peperangan ini, Kelantan menemui kedamaian namun ia sering diganggu gugat oleh Siam ekoran kejadian di Patani.

Siam dan British telah menghidu pergerakkan Kelantan dan Patani yang sedang merencana akan pembetukan wilayah baru yang seterusnya nanti akan menggangu kerancakan ekonomi di Pulau Pinang, Kedah serta Reman. Pada masa sama juga, kegiatan kuasa imperialis yang lain seperti Perancis dan Jerman turut mencetuskan perasaan bimbang terutamanya British. Lalu termetrainya satu perjanjian yang dikenali sebagai Perjanjian Bangkok 1909 yang menyaksikan Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu diserahka kepada Empayar British dan negeri ini dikenali sebagai Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu manakala Patani, Reman, Legeh serta wilayah-wilayah segenting kra yang lain termasuk dalam Kerajaan Siam.

6 tahun sistem pentadbiran Residen British di Kelantan, ia telah mencetuskan perasaan kurang senang dikalangan rakyat Kelantan terutama penduduk Jeram yang pada masa itu diterajui oleh Engku Sri Maharaja (Ku Srimas) dan dibantu oleh Ulama terkenal yang seangkatan dengan Tok Kenali iaitu Haji Mohd Hassan bin Munas yang juga tersohor dengan gelaran Tok Janggut telah melancarkan penentangan terhadap sistem percukaian dan pemilikkan tanah yang diperkenalkan oleh Residen British itu. Kemuncaknya tercetus Perang di Pasir Puteh.... ikuti artikel kami seterusnya yang bertajuk Kelantan Dalam Perang Pasir Puteh 1915.


Contoh Senjata Api yang digunakan : Lela
Contoh Senjata Api yang digunakan : Rentaka

Contoh Senjata Api yang digunakan : Senapang (Pemuras)
Gambar Senjata Api yang digunakan : Terakol (Ekor Lontong)
Senjata Api yang digunakan : Meriam


Rujukan:
  • Kisah Pelayaran Abdullah ke Kelantan 1838
  • http://www.sabrizain.org/malaya/library/munshi2.pdf
  • http://pp-sk.blogspot.nl/2014/11/siri-35-pengisahan-sejarah-kelantan.html
  • http://pp-sk.blogspot.nl/2014/08/bagaimana-kelantan-terjajah.html

Friday 23 January 2015

Kelantan Dalam Perang Dengan Terengganu - Bahagian 2

Pendahuluan
Bahagian pertama kita telah menyoroti tentang pengelibatan Terengganu dalam pertikaian Long Yunus dengan Long Deraman. Pada masa itu Terengganu diterajui oleh Sultan Mansur 1, Long Yunus pada masa tersebut mendapatkan naungan Terengganu untuk mengembalikan haknya keatas Kota Kubang Labu yang telah dirampas oleh iparnya, Long Deraman dengan membunuh ayahandanya Long Sulaiman. Maklumat yang disampaikan dalam bahagian pertama merujuk kepada Rekod Terengganu dan terdapat percanggahan yang agak ketara dengan Rekod Kelantan. Bagaimanapun terdapat persamaan antara kedua-dua rekod ini berkenaan tarikh pemerintahan Long Yunus di Kelantan. Perbezaan yang jelas adalah pengelibatan yang meluas Long Pandak dalam Rekod Terengganu. Itu tidaklah menjadi masalah besar untuk kita melihat perbezaan kedua-dua rekod ini kerana ia dihasilkan untuk mengangkat martabat negeri masing-masing, kita menyoroti kisah tersebut untuk pengetahuan dan mengilap sinar sejarah Kelantan.

Pada bahagian kedua ini, kita akan cuba mengenal pasti punca perlantikan Tengku Muhammad sebagai pengganti Long Mansur serta pengunduran Long Muhammad ke Hulu Kelantan. Ini kerana dalam Rekod Kelantan tidak dihuraikan dengan jelas berkenaan punca terjadi perkara tersebut, kita hanya mengetahui Kelantan dan Terengganu berperang, kalah dan menang semula seterusnya Long Muhammad telah ditabalkan sebagai Sultan Muhammad I.

Pertabalan Yang diPertuan Kelantan
Catatan dalam Rekod Kelantan hanya menyatakan secara umum Tengku Muhammad telah berkahwin dengan Che Ku Tuan Nawi, puteri Long Yunus dan setelah Long Yunus mangkat pada 1794, Tengku Muhammad ini telah ditabal sebagai Yang diPertuan Kelantan dan ia membangkitkan kemarahan dikalangan perwaris Long Yunus lain hingga menyebabkan penentangan.

Rekod Terengganu pula menyatakan Long Yunus telah mengadap Sultan Mansur I untuk menabalkan Tengku Muhammad sebagai Yang diPertuan Kelantan dan ia diperekanankan oleh Sultan Terengganu itu. Kemudian, Long Yunus telah menjodohkan puterinya, Che Ku Wan Teh dengan Tengku Muhammad. Pada 1794, Sultan Terengganu telah mengadakan adat istiadat diRaja untuk mempertabalkan puteranya itu sebagai Yang diPertuan Kelantan, pada tahun tersebut juga dicatatkan Long Yunus telah mangkat dan pemerintahan Yang diPertuan Kelantan, Tengku Muhammad telah diteruskan serta dibantu oleh putera-putera Long Yunus. Sultan Mansur I juga telah mangkat pada tahun yang sama dan tempatnya digantikan oleh Sultan Zainal Abidin II pada 1795.

Dalam hal ini Rekod Kelanta dan Terengganu sependapat di mana, putera-putera Long Yunus pada asasnya tidak dapat menerima pertabalan Yang diPertuan Kelantan daripada kesultanan Terengganu, kerana mereka juga adalah perwaris yang lebih berhak. Mereka tidak menzahirkan perasaan sebenar ketika ayahanda mereka masih hidup dan menurut keputusan yang dilakukan oleh almarhum Long Yunus serta turut memendamkan perasaan, sehinggalah Sultan Zainal Abidin ditabalkan menjadi Sultan Terengganu.

Bibit perseteruan antara putera-putera Long Yunus dengan Tengku Muhammad, Yang diPertuan Kelantan bermula apabila mereka ingkar kepada arahan Tengku Muhammad supaya mengerjakan urusan perkahwinan puterinya dengan putera Sultan Zainal Abidin II. Perkara tersebut menjadi semakin melarat dan berlanjutan hingga 21 hari, hinggalah tercetusnya kejadian tembak menembak antara orang-orang Long Muhammad dari arah Pulau Sabar, dengan Saiyed Akil wakil Terengganu yang membawa perutusan perkahwinan. Kemuncaknya, perahu kenaikkan Tengku Cik Muda, salah seorang Puteri Sultan Zainal Abidin II telah ditembak hingga menyebabkan kematian seorang awak-awak dalam perahu tersebut dan mencederakan Wan Muhammad Kebor yang sedang mengemudi perahu. Kejadian ini telah membatalkan Istiadat perkahwinan itu dan mereka telah pulang semula ke Kuala Terengganu.

Sultan Zainal Abidin II telah murka dengan peristiwa tersebut, baginda telah menyiapkan angkatan perang serta mendapatkan bantuan daripada Patani yang ketika itu diterajui oleh Datuk Long Ismail. Serangan dilancarkan dari arah Laut yang diterajui oleh Encik Yim Losong dan turut disertai oleh Sultan Zainal Abidin II, serangan dari arah darat pula diketuai oleh Encik Udin Serada, Penghulu Bahar Serada, Penghulu Diman, Pak Sulung Dolah dan Penghulu Sofi Pertang. Encik Yim yang menaiki perahu Bujang Seribu telah tiba di Kelantan dan berlindung di Pulau Ketitir, Sungai Pinang serta menunggu askar Terengganu yang menyerang dari arah darat.

Pasukan askar yang berjalan kaki dari Terengganu terlebih dahulu melancarkan serangan, pada mulanya mereka menyerang Kubu Semerak selama 21 hari, kemudian Kubu Limau Nipis, Kubu Kenandeh, Kubu Keluang Taras dan akhirnya mereka sampai di Sungai Kelantan serta bergabung dengang angkatan laut yang disertai oleh Sultan Zainal Abidin II. Setelah itu berlaku pertempuran besar antara Terengganu dan Kelantan, setelah bertempur buat beberapa hari, Long Muhammad akhirnya mengutus surat bahawa beliau akan mengundur ke Hulu dan memohon agar pengundurannnya tidak dikejar.

Serangan Balas Long Muhammad 
Selepas pengunduran Long Muhammad ke Hulu Kelantan, Sultan Zainal Abidin II dan orang-orang Terengganu berada di Kelantan selama 5 bulan, mereka merampas segala harta benda rakyat Kelantan dan melakukan kemusnahan sekitar Kelantan. Setelah itu Sultan Terengganu telah berangkat pulang dan meninggalkan Tengku Muhammad, Tengku Andak dan beberapa pembesar serta hamba sahaya untuk menanti kedatangan Datuk Long Ismail dari Patani yang akan membantu mereka menyerang kedudukan Long Muhammad di Hulu Kelantan.

Angkatan gabungan Terengganu dan Patani ini telah menyerang beberapa kubu di Pasir Mas, dan tidak berapa lama selepas itu, Long Muhammad yang mendapat bantuan daripada orang-orang China dari Pulai telah melancarkan serangan balas. Serangan ini tidak dapat ditahan oleh angkatan Long Ismail serta orang-orang Terengganu dan mereka telah berundur. Kekuatan angkatan Long Muhammad kali ini menyebabkan Tengku Muhammad, Yang diPertuan Kelantan serta Tengku Andak lari menyelamatkan diri ke Terengganu.

Kejayaan yang diperoleh Long Muhammad ini membolehkan beliau ditabalkan sebagai Sultan Muhammad I dan untuk menguatkan kedaulatannya, baginda telah bernaung di bawah Siam. Kekalahan Tengku Muhammad ternyata memberi tamparan hebat buat Terengganu, dan mereka cuba menawan kembali Kelantan setahun selepas itu, namun angkatan itu telah berpatah balik setelah tiba di Besut ekoran Sultan Zainal Abidin telah gering. Perdamaian antara kedua-dua negeri telah dapat dicapai akhirnya dan ia kekal sebagaimana kita kecapi pada hari ini. 

Kesimpulan
Tempoh masa selama lima tahun dari 1794 - 1800 merupakan tempoh yang paling runcing dalam sejarah Kelantan, kerana ia adalah tempoh pengukuhan legasi pemerintah Kelantan daripada keturunan Long Yunus. Kemelut di Kelantan tidak tamat selepas kejayaan Sultan Muhammad I berjaya mengekalkan susur galur Langkasuka dalam pemerintahan di Kelantan, berikutan baginda mangkat tanpa perwaris yang sah. Keadaan ini telah mengundang tercetusnya Perang Saudara antara 4 penjuru dari kalangan Bangsawan Kelantan.

Ikuti artikel seterusnya bertajuk Kelantan Dalam Perang Saudara 1832.


Sungai Kelantan : Saksi jatuh bangun Kerajaan yang pernah wujud di Kelantan dan cabaran yang dihadapi semua Pemerintah dan Sultan-Sultan nya.


Thursday 22 January 2015

Kelantan Dalam Perang Dengan Terengganu : Bahagian 1

Pendahuluan
Jelas tercatat dalam rekod sejarah berkenaan penguasaan Terengganu ke atas Kelantan. Hal ini dikukuhkan dengan perihal Tengku Muhammad ibni Sultan Mansur I (Sultan Terengganu) telah ditabal menjadi Yang diPertuan Kelantan selepas kemangkatan YM Long Yunus pada 1794. Tidak banyak rekod Kelantan yang menjelaskan dengan terperinci perihal bagaimana Tengku Muhammad boleh dilantik menjadi penguasa di Kelantan, sedangkan almarhum Long Yunus mempunyai ramai perwaris.

Penentangan Long Muhammad, anak kepada Long Yunus memang direkod dengan jelas dimana baginda telah mengetuai satu angkatan yang dibantu oleh orang China dari arah pedalaman Kelantan. Serangan tersebut berjaya mengundurkan Tengku Muhammad dan membolehkan Long Muhammad menaiki takhta Kelantan dengan gelaran Sultan Muhammad I

Rekod Terengganu seperti Sejarah Darul Iman hingga 1337H = 1918H, tulisan Dato' Haji Muhammad Salleh bin Haji Awang (MISBAHA) memperihal perkara ini seawal dari pengelibatan Kerajaan Terengganu dalam pertikaian Long Yunus terhadap kedudukannya di Kota Kubang Labu, justeru, pada artikel ini kami akan memperincikan tentang Perang Kota Kubang Labu hinggalah Perang Kelantan dan Terengganu mengikut Rekod Terengganu.

Sultan Mansur I
Baginda merupakan Sultan Terengganu yang kedua selepasa Sultan Zainal Abidin I, semasa pemerintahan baginda, Terengganu memainkan peranan penting dalam Sejarah Melayu kerana terlibat dalam persaingan antara orang Melayu dengan orang Bugis dan berada di Riau selama 14 tahun. Baginda ditabalkan sebagai Sultan Terengganu pada 1733 ketika berusia 7 tahun.

Pada masa tersebut, Long Yunus berada di Terengganu dalam usaha menyelamatkan diri setelah peristiwa berdarah yang berlaku antara Long Deraman, iparnya dengan ayahandnya Long Sulaiman di Kota Jembal. Ketika itu, Long Yunus bersahabat baik dengan  Ku Tana Wangsa, beliau juga telah berjasa kepada Ku Tana Wangsa kerana berjaya mendamaikan persengketaan dengan Bendahara Hussien Bukit Puteri. Mengenang jasa sahabatnya itu, Ku Tana Wangsa telah mengahwinkan puterinya yang bernama Tuan Jumat, kesempatan ini diambil oleh Long Yunus untuk berkongsi masalah yang dihadapi di Kelantan dan meminta bantuan serta pertolongan.

Semasa perbincangan tersebut berlangsung, Ku Tana Wangsa ditakdirkan meninggal dunia meninggalkan empat orang putera iaitu Tun Tahir Temenggung, Engku Muda, Tun Jamal, dan Tun Sulaiman. Perihal Long Yunus itu mendapat perhatian daripada Tun Tahir Temenggung dan beliau telah bermesyuarat dengan tiga saudara yang lain, setelah itu kata sepakat telah dicapai dan mereka sanggup membantu Long Mansur untuk melanggar Kelantan. Tun Tahir telah membawa perkhabaran tersebut kepada pengetahuan Sultan Mansur I dan baginda telah memperkenankannya dengan melengkapkan angkatan tentera sejumlah 300 orang mengikut jalan darat dan 100 buah perahu mengikut jalan air.

Angkatan ini berlepas dari Kuala Terengganu pada 1 Julai 1771 dan Sultan Mansur I juga turut serta. Mereka telah singgah di Pulau Perhentian selama 40 hari kerana laut bergelora dan tiba musim "Tutup Kuala". Memandangkan keadaan ini, Tun Tahir Temenggung telah mencadangkan Sultan Mansur I supaya baginda berangkat balik ke Terengganu dan menyerahkan hal ehwal Kelantan kepada beliau. Cadangan tersebut diterima oleh baginda dan belayar pulang ke Terengganu, Tun Tahir Temenggung meneruskan perjalanan ke Kelantan.

Ketika angkatan Terengganu tiba di Kelantan, mereka melihat terdapat kubu dibina sepanjang pantai, untuk mengelakkan berlaku pertumpahan darah yang banyak, muslihat akal digunakan. Engku Muda dan Tuk Limbat telah naik ke Darat, manakala Tun Tahir Temenggung menanti di perahu. Setibanya di darat, Engku Muda dengan ditemani Tuk Limbat telah mengunjungi semua ketua kubu dan memberi hadiah berupa pakaian serta memberi peringatan agar tidak menyerang angkatan di laut kerana itu adalah angkatan Yang diPertuan Besar pemerintah Kelantan. Taktik itu berjaya, angkatan Terengganu telah berjaya memasuki kuala terus mudik, setelah itu berlaku pertempuran yang hebat antara angkatan Kelantan dengan Terengganu. Kelantan ditakdirkan tewas dalam serangan mengejut yang dilakukan oleh Terengganu, ia telah memaksa Long Pandak melarikan diri ke Legeh, setelah itu Tun Tahir Temenggung telah melantik Long Yunus sebagai pemerintah Kelantan.

Long Pandak Menyerang Balas
Di Legeh, Long Pandak telah mendapatkan perlindungan daripada Long Deraman, sepupunya yang juga Raja Legeh. Mendapat perkhabaran serangan Terengganu itu, beliau telah menyiap angkatan perang untuk menyerang balas. Selepas angkatan Terengganu pulang, Long Deraman telah melancarkan serangan ke atas Long Yunus. Serangan yang dilancarkan tidak mampu ditahan oleh Long Yunus dan beliau telah melarikan ke Terengganu.

Ketika Long Deraman berjaya menduduki Kelantan semula, ia telah mengeluarkan kata-kata sindiran dengan maksud sebagai pengecut kepada angkatan Terengganu. Sindiran tersebut telah sampai kepada pengetahuan Sultan Mansur di Terengganu dan baginda telah murka serta menitahkan agar disiapakan angkatan perang untuk menangkis sindiran Long Deraman itu. Satu angkatan perang dengan kekuatan 80 perahu dan 3000 tentera dan sebelum itu, baginda telah mengarahkan Tun Tahir Temenggung menghantar surat berkenaan hal tersebut kepada Long Deraman.

Persiapan Terengganu diketahui oleh Long Deraman, tanpa berlengah dia juga segera menyiapkan angkatan untuk menyerang Terengganu pula, serta mengarahkan orang-orangnya untuk menghantar surat kepada Sultan Mansur yang berbunyi "Jikalau Sultan Terengganu datang mengambil Kelantan, beliau pun akan datang mengambil Terengganu pula." 

Bagaikan tiada apa yang boleh menghalang peperangan ini, maka kedua-dua pihak telah menggerakkan angkatan masing-masing. Sampailah angkatan Terengganu di Penarik, dan tercetus kegemparan dikalangan orang Penarik kerana mereka mengatakan ada ribuan orang berjalan kaki datang dari arah Kelantan. Sultan Mansur mengarahkan Wan Muhammad Setiu untuk mengesahkan berita tersebut dan beliau telah dimaklumkan angkatan tersebut adalah dari Kelantan, serentak dengan itu dia telah meminta untuk bertemu dengan Long Deraman yang mengetuai angkatan Kelantan itu.

Long Deraman telah meminta Wan Muhammad untuk membawanya mengadap Sultan Mansur, tanpa bertangguh mereka berdua telah menaiki perahu, kenderaan yang dinaiki oleh Sultan untuk mengadap baginda. Melihat kedatangan Long Deraman itu, Sultan Mansur berasa amat gembira hingga menanggalkan bajunya sendiri dan dikurniakan kepada Long Deraman. Gembira menerima kurniaan baginda Sultan itu, hingga Long Deraman terus memakai pakaian Raja itu, dan terus menyatakan hasratnya untuk terus berada di Kelantan dan mempelawa baginda Sultan untuk tinggal disana buat sekian waktu. Pelawaan itu diterima oleh Sultan Mansur, dan mereka berangkat ke Kelantan menaiki perahu diRaja itu. Angkatan tersebut pada mulanya adalah angkatan perang bertukar menjadi Angkatan Diplomasi antara Sultan Mansur I dengan Long Deraman, dan Sultan Terengganu itu sempat berada di Kelantan selama 40 hari, baginda juga telah berkahwin dengan Nang Senik anak Long di Pulau Melor dan dari perkahwinan itu telah melahirkan Tengku Muhammad. 

Ketika Sultan Mansur dalam persiapan untuk pulang ke Kuala Terengganu, baginda telah mencadangkan kepada Long Deraman agar Long Yunus dijadikan seorang pemerintah di Kelantan dan ia dipersetujui oleh Long Deraman, dengan Long Yunus dilantik sebaga Raja Muda Kelantan. Keputusan itu diterima baik oleh semua pihak dan Sultan Mansur berangkat pulang ke Terengganu, manakala, Long Deraman berangkat pulang ke Legeh dan tinggalah Long Yunus dan Long Pandak sama-sama memerintah Kelantan.

Kelantan Bergolak Kembali
Selang beberapa lama, Long Deraman telah mangkat dengan ura-ura beliau menderita terkena taji ayam sabungnya, ada juga menyatakan bahawa Long Deraman mangkat menderita terkena lembing dalam perperangan dengan Long Yunus yang berlaku pada 1762. Long Pandak telah dipanggil pulang ke Legeh untuk menggantikan tempat Long Deraman, dan Long Yunus menjadi pemerintah tunggal di Kelantan.

Ekoran fitnah, Long Yunus telah dipanggil pulang oleh Sultan Mansur ke Terengganu dan pemerintahan Kelantan diserah kepada Long Pandak. Mempunyai pengaruh di Kelantan dan Legeh, Long Pandak merasakan beliau berkuasa dan tidak lagi mahu menurut perintah dari Terengganu. Hal ini jelas mencabar kekuasaan Terengganu dan dijadikan alasan untuk menyerang kedudukan Long Pandak di Kota Kubang Labu. Angkatan Terengganu berjaya mengalahkan Long Pandak dan mengembalikan pemerintahan Kelantan kepada Long Yunus. Serangan ini dicatatkan berlaku pada 1762 sama dengan rekod Kelantan.

Dari rekod Terengganu ini, jelas Long Yunus telah memerintah Kelantan namun terikat dengan perjanjian dengan Terengganu. Sekian lama memerintah, Long Yunus telah mengadap Sultan Mansur untuk memohon  agar Tengku Muhammad, putera baginda ditabal sebagai Raja Kelantan. Setelah itu Tengku Muhammad telah dikahwinkan oleh Long Yunus dengan puterinya yang bernama Che Ku Wan Teh.

Beberapa tahun kemudian, Sultan Mansur telah membawa Tengku Muhammad, isterinya dan puterinya Tengku Sulong ke Kelantan untuk di tabal sebagai Yang diPertuan Kelantan. Melalui adat istiadat diRaja, Tengku Muhammad telah di tabal sebagai Yang diPertuan Kelantan, isterinya Che Ku Wan Teh ditabal sebagai Che Puan Kelantan, peristiwa ini berlaku pada 1794. Selepas pertabalan ini selesai, Long Yunus ditakdirkan mangkat dan tinggalah Kelantan kekal diperintah Yang diPertuan dan dibantu oleh anak-anak Long Yunus seperti Long Mamat, Long Zainal, Long Tan, Long Ismail, Long Muda dan Long Yusuf.

Kesimpulan
Pada bahagian pertama ini jelas dapat kita lihat bahawa rekod Terengganu mencatatkan Long Yunus adalah proksi Terengganu untuk menguasai Kelantan. Hal ini dapat dilihat sebagai satu langkah Long Yunus untuk mengembalikan hak beliau selaku perwaris yang sah setelah peristiwa pembunuhan ayahandanya Long Sulaiman oleh Long Deraman. Memang jelas catatan Terengganu ini membesarkan pengaruh mereka di Kelantan, bagaimanapun kekuasaan Terengganu pada zaman Sultan Mansur I ini tidak dapat kita tolak kerana kerajaan Terengganu turut memainkan peranan penting dalam Sejarah Melayu kerana ia turut terlibat dalam pertikaian antara kuasa Melayu dan kuasa Bugis di Nusantara.

Selain itu, banyak rekod Melayu seperti Tuhfat An-Nafis, Hikayat Siak, Hikayat Johor dan Hikayat Pahang mencatatkan peranan Terengganu terutama ketika zaman gabungan Kerajaan Melayu Johor-Pahang-Riau-Lingga dimana Terenggnu pada masa tersebut lebih kepada proksi Johor. Hal ini dapat dijadikan sebagai sokongan kenapa Terengganu begitu ampuh dan kental untuk mencampuri pertelagahan yang berlaku di Kelantan.

Bahagian 2 nanti kami akan huraikan pertikaian antara Long Muhammad, putera Long Yunus dengan Tengku Muhammad, Yang diPertuan Kelantan hingga beliau dapat ditabalkan sebagai Sultan Muhammad 1.




Rujukan:
  • Sejarah Darul Iman Hingga 1337H = 1918
  • Tuhfat an-Nafis
  • Hikayat Siak
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Sejarah_Terengganu

Monday 19 January 2015

Kelantan Dalam Perang Kota Kubang Labu 2 - 1762

Pendahuluan
Perang yang berlaku pada 1758 menyaksikan Long Pandak telah terbunuh seterusnya keadilan kematian Puteri Neng Mas dapat ditegakkan. Setelah itu, Long Muhammad yang waktu Raja Muda Kota Kubang Labu telah dilantik sebagai Raja oleh Long Deraman dengan syarat dia harus berlaku adil kepada rakyat di Kota Teras dan Kota Senang, setelah itu keadaan kembali pulih.

Keadaan ini tidak kekal lama, apabila rakyat di Kota Teras dan Kota Senang telah membuat aduan kepada Long Ghafar dan Long Yunus yang ketika itu berada di Terengganu. Mereka menyatakan bahawa Long Muhammad telah memungkiri janji untuk berlaku adil dan perkara ini telah membangkitkan kemarahan Long Ghafar dan Long Yunus.

Long Yunus pada masa tersebut telah berkahwin dengan Tuan Inche Jumat, anak perempuan Engku Tanang Wangsa Terengganu. Rekod Terengganu menyatakan Long Yunus telah melakukan jasa yang besar kepada Engku Tanang Wangsa kerana pengelibatan beliau dalam menyelesaikan kemelut dalam Terengganu pada 1741.

Perihal Kota Kubang Labu
Rekod Terengganu juga ada mencatatkan, Long Yunus dengan terperinci memberitahu akan perihal yang berlaku di Kota Kubang Labu dan ia berhasrat untuk mengembalikan pemerintahan kepada tuan yang lebih berhak. Melalui mertuanya, Tun Tanang Wangsa kisahnya telah sampai ke pengetahuan Sultan Mansur I, Sultan Terengganu pada waktu itu. Baginda telah bersetuju untuk membantu Long Yunus untuk menegakkan keadilan buat penduduk di Kota Senang dan Kota Teras.

Sokongan Terengganu menjadi asas kepada Long Yunus dan Long Ghafar untuk menyerang kedudukan Long Muhammad di Kota Kubang Labu. Perancangan ini telah diketahui oleh pihak di Kota Kubang Labu, dan mereka telah menanti pasukan dari Terengganu yang diketuai oleh Long Yunus dan Long Ghafar dan melancarkan serangan hendap setibanya angkatan ini Kuala Besut, ia berlaku pada Julai 1763 Serangan tersebut berjaya dipatahkan.

Kota Kubang Labu dibawah Long Muhammad telah mendapat sokongan daripada Legeh yang dipimpin oleh Long Deraman. Dalam perang terdahulu beliau melanggar Kota Kubang Labu, kali ini beliau turun dari Legeh untuk mempertahakan Kota tersebut memandangkan beliau menyedari serangan kali ini adalah untuk merebut kekuasaan dan merasakan menjadi tanggungjawabnya untuk mempertahakan Kota Kubang Labu.

Long Yunus menyedari bahawa mereka akan berhadapan dengan angkatan perang yang kuat di Kota Kubang Labu, justeru beliau telah berpakat dengan Long Ghafar untuk mengumpul kekuatan tentera dari Kelantan juga untuk turut sama dalam serangan itu. Bagi menjayakan misi tersebut, Long Ghafar telah mengumpul pengikutnya di Jeram dan seterusnya ke Kadok bagi mendapatkan persetujuan daripada Penghulu Adas. Long Yunus pula telah mengetuai angkatan tentera Terengganu menuju ke Kubang Garong dan bergabung dengan Mandur Mis (Tuan Khomis). Akhirnya Long Ghafar yang mempimpin angkatan perang dari Jeram dan Kadok telah bergabung dengan Long Yunus di Kubang Garong.

Mereka telah membuat rancangan taktikal untuk menyerang Kota Kubang Labu. Angkatan besar yang dipimpin oleh Long Ghafar dan Long Yunus itu telah dipecahkan kepada tiga kumpulan besar dengan:

  • di ketuai oleh Long Ghafar dan menyerang kedudukan Long Muhammad dari arah Pengkalan Lisir.
  • di ketuai oleh Long Yunus dan menyerang kedudukan Long Deraman dari arah Pengkalan Gong Chipa
  • di  ketuai oleh Penghulu Adas dan Mandur Mis dan menyerang kedudukan Panglima Umar Kampung Laut dari arah Pengkalan Kebun.

Serangan dilancarkan pada awal pagi, dan ia telah berlansung selama beberapa hari. Banyak tulisan menyatakan pertempuran ini berlangsung dengan sengit dan banyak mengorbankan jiwa serta memusnahkan Kota tersebut. Kemuncaknya pada 12 Julai 1763, Long Muhammad telah mangkat terkena tikaman daripada Long Ghafar semasa mereka bertempur secara berhadapan. Long Deraman pula mengalami kecederaan yang parah setelah terkena lembing yang dilontarkan oleh Long Yunus, beliau dilaporkan mangkat selang beberapa lama. Panglima Umar juga berjaya ditewaskan oleh Mandur Mis dan Penghulu Adas.

Kemenangan ini menyaksikan Long Yunus telah ditabalkan sebagai Sultan Kelantan dan menyaksikan Kelantan telah disatukan kembali sepertimana ia diterajui oleh Raja Sakti (1632-1649). Namun ada menyatakan kuasa pemerintahan Kelantan pada masa itu telah dibahagikan kepada dua hingga menyebabkan Kelantan di kenali sebagai "Negeri Kerat Lintanh" gelaran ini diberi berikutan selepas perang tersebut wujud dua kawasan pemerintahan dimana meliputi kawasan pantai bermula dari Kuala Kemasin, Kota Bharu, Tabal sehingga Bukit Tanjung (Narathiwat) diperintah oleh Long Yunus, manakala kawasan Limbat hingga Jeram diperintah oleh Long Ghafar.


Kesimpulan
Peperangan ini menyaksikan Kelatan diperintah oleh perwaris yang lebih berhak. Hal ini banyak diingati oleh rakyat Kelantan. Satu aspek yang jarang diperhatikan dalam sejarah perang ini adalah berkenaan pengelibatan Tentera Terengganu. Berikutan hal ini ia telah mencetuskan polemik hingga tercetusnya peperangan antara Kelantan dan Terengganu sebanyak dua kali. Selain itu, disebut juga penguasaan Terengganu dalam Istana Kelantan. Justeru, nantikan penjelasan dalam artikel Kelantan Dalam Perang Dengan Terengganu 1794.


Makam Almarhum Long Sulaiman ibni Long Baha, Ayahanda Paduka Sultan Long Yunus. Mangkat dibunuh oleh Long Deraman, menantunya pada 1756. Makam ini terletak di Kampung Dusun Langgar, Wakaf Bharu.
Sumber :  azmisejarah.blogspot.com

Thursday 15 January 2015

Kelantan Dalam Perang Kota Kubang Labu 1 - 1758

Pendahuluan
Perang ini sebenarnya adalah titik tolak bermulanya penyatuan Kelantan dan asas kepada tertubuhnya Dinasti baru dalam Kesultanan Kelantan yang diasaskan oleh Long Yunus. Ia berlangsung dalam dua siri peperangan melibatkan dua pihak yang bertelagah dilokasi yang sama dan melibatkan golongan bangsawan Kelantan pada waktu itu.

Segala-galanya bermula apabila Long Bahar membuka Kota Kubang Labu setelah beliau berkahwin dengan Raja Pah, puteri Sultan Umar seorang Raja Jembal. Setelah kemangkatan Sultan Umar, Long Bahar telah ditabalkan sebagai Raja Jembal dan pemerintahan Kota Kubang Labu diterajui oleh  Long Sulaiman puteranya dengan Raja Mas Kelantan (Raja Patani). Long Bahar mangkat, lantas para pembesar sepakat menabalkan Long Sulaiman sebagai raja, dan menjadikan beliau sebagai penguasa kepada Kota Jembal dan Kota Kubang Labu, satu kawasan yang cukup luas berbanding dengan city states lain yang wujud ketika itu seperti Reman dan Legeh. Perkara ini jelas menimbulkan perasaan tidak puas hati dikalangan kerabat hingga tercetusnya perbalahan yang menyebabkan kemangkatan Long Sulaiman yang ditikam oleh Long Deraman menantunya sendiri yang juga Raja Legeh.

Long Deraman akhirnya meninggalkan Kota Kubang Labu kepada Long Pandak, sepupunya untuk diperintah, dan beliau telah pulang semula ke Legeh mungkin kesal atas apa yang berlaku kepada Long Sulaiman. Long Yunus adalah perwaris Long Sulaiman, pada waktu kejadian baginda sedang mengembara.

Kejam
Kota Kubang Labu dibangun dengan perasaan penuh rasa kasih sayang oleh Long Bahar dan diteruskan oleh Long Sulaiman telah bertukar menjadi satu tempat yang kurang tenteram setelah diperintah oleh Long Pandak yang dikenali sebagai seorang pemerintah yang zalim. Beliau telah melantik adiknya, Long Muhammad sebagai Raja Muda. Khabarnya, rakyat dalam keadaan bimbang kerana mereka mudah dikenakan hukuman sekiranya ada yang tidak kena pada pemerintah Kota Kubang Labu pada waktu itu.

Rekod Kelantan mencatatkan perang ini bermula dengan keberangkatan Long Ghafar dan Long Yunus dari Reman ke Terengganu. Long Ghafar adalah putera kepada Raja Reman dan bersahabat baik dengan Long Yunus, persahabatan mereka amat erat seperti abang dan adik. Dalam perjalanan itu, mereka telah singgah di Kota Kubang Labu untuk menziarahi Puteri Neng Mas isteri kepada Long Pandak yang juga merupakan adik kepada Long Deraman, Raja Legeh dan sepupu kepada Long Ghafar.

Long Pandak berserta para pembesar telah keluar memburu ketika Long Ghafar dan Long Yunus tiba di Kota tersebut dan mereka telah disambut sendiri oleh Puteri Neng Mas. Sebagai anak raja, pastilah mereka mengenakan pakaian bangsawan yang lengkap, lagipun pada masa tersebut mereka dalam perjalanan diplomasi untuk mengahadap Sultan Terengganu.

Puteri Neng Mas tertarik dengan kain Cindai yang dipakai oleh Long Ghafar dan meminta untuk dipinjam dengan tujuan untuk membuat kain cindai dengan corak yang sama seperti yang dipakai oleh Long Ghafar, kain yang dipakainya itu bernama Kain Cindai Cepa Melaka. Tidak lama selepas itu, Long Ghafar dan Long Yunus telah berangkat ke Terengganu. Sekembali Long Pandak dari perburuan, dia telah terpandang kain cindai yang ditinggalkan oleh Long Ghafar dan murka serta menuduh isterinya itu telah melakukan zina dengan Long Ghafar. Tidak dapat menahan kemarahan, Long Pandak telah menjatuhkan hukuman bunuh kepada isterinya itu.

Tidak cukup dengan itu, Long Pandak telah mengarahkan orang untuk membelah perut dan menggantung jenazah Puteri Neng Mas diatas gajah pemberian Legeh kepada beliau yang bernama Neng Malai dan dilepaskan gajah itu berjalan menuju ke Legeh.

Perang
Gajah tersebut telah berjalan semalaman dengan mengusung jenazah Puteri Neng Mas dan ia hanya berhenti di kediaman Raja Legeh. Kehadiran gajah dengan jenazah itu mengejutkan Long Deraman, Raja Legeh dan bertambah nurka melihatkan apa yang dibawa oleh gajah itu. Berita kematian Neng Mas juga telah diketahui oleh Long Ghafar dan Long Yunus di Terengganu dan mereka serta merta pula ke Reman.

Kematian  Puteri Neng Mas harus dibalas, dan tidak bertangguh, Long Deraman telah mengetuai askar dari Legeh, manakala Long Ghafar memimpin tentera dari Reman. Akhirnya gabungan Reman dan Legeh telah menyerang Kota Kubang Labu. Dalam serangan ini, Long Pandak telah mangkat terkena tikaman daripada Long Ghafar.

Serangan gabungan ini semata-mata mencari keadilan terhadap kematian Puteri Neng Mas dan bukan serangan untuk menakluk Kota Kubang Labu. Setelah Long Pandak mangkat, Long Muhammad, Raja Muda pada masa tersebut telah diamanahkan untuk mentadbir Kota Kubang Labu dan berjanji akan berlaku adil dan saksama kepada penduduk di Kota Senang dan Kota Teras di Jembal. Amanat tersebut disahut oleh Long Muhammad.

Aman
Setelah berakhir perang tersebut, Long Ghafar dan Long Yunus ke Terengganu, Long Deraman pula pulang semula ke Legeh. Long Muhammad pula memerintah di Kota Kubang Labu namun suasa aman ini tidak bertahan lama. Long Muhammad telah pecah amanah dan melanggar janji beliau. Hal ini mencetuskan satu lagi siri peperangan di Kota Kubang Labu....

Kedudukan Kota Kubang Labu di Wakaf Bharu, Tumpat.


Bacaan Lain Tentang Perang Kota Kubang Labu 1

Monday 12 January 2015

[Siri Intro] KELANTAN DALAM PERANG 1758 - 1941

Pendahuluan
Kelantan Darul Naim merupakan sebuah negeri yang mempunyai sejarah yang panjang. Keturunan Raja-Raja Kelantan dapat dikesan seawal tahun 1233 Masihi lagi. Negeri ini mengalami banyak kali pasang surut mengikut keadaan pemerintahan pada era tertentu. Sejarah Kelantan yang diiktiraf pada peringkat umum adalah selepas tahun 1762 apabila YM Long Yunus telah menyatukan Kelantan seperti mana peta Kelantan pada hari ini.

Sejarah yang panjang pastinya menyimpan pelbagai kisah suka dan duka. Artikel kali ini dan seterusnya akan kami kisahkan berkenaan satu aspek yang penting dalam sejarah iaitu peperangan. Kelantan juga tidak terelak terjerumus dalam peperangan dan kami akan kupaskan beberapa perang yang diingati ramai seperti berikut:
  1. Perang Kota Kubang Labu 1 (1758)
  2. Perang Kota Kubang Labu 2 (1762)
  3. Perang Kelantan - Terengganu (1794)
  4. Perang Saudara (1835)
  5. Perang Dalam Pupoh (1915)
  6. Perang Dunia Kedua (1941)

Sebelum tercetusnya peperangan ini, Kelantan telah menghadapi banyak serangan terutama dari Siam, namun dalam siri artikel ini kami hanya menumpukan kepada peperangan yang berlaku semasa pemerintahan Paduka Sultan Long Yunus untuk memudahkan kita memahami akan kisah perang yang telah berlaku. Selain itu, Kesultanan Kelantan yang wujud pada hari ini adalah dari keturuanan baginda.

Perang Kota Kubang Labu 1

Perang ini berlaku di Kota Kubang Labu dengan lokasi sekarang adalah di Wakaf Bharu, Tumpat. Perang tercetus ekoran salah faham Long Pandak terhadap isterinya yang disangka beliau telah bermukah dengan Long Ghafar semasa ketiadaannya. Salah faham beliau itu telah mendorong dia bertindak menjatuhkan hukuman bunuh kepada isterinya yang juga adalah sepupu kepada Long Ghadar, Putera Mahkota dari Reman. Ekoran itu Long Ghafar dan Long Deraman dari Legeh telah bergabung dan menyerang Kota Kubang Labu pada 1758, dan telah bertempur dengan angkatan Long Pandak di kota tersebut, dalam serangan ini, Long Pandak telah berjaya dibunuh oleh Long Ghafar.
...bersambung dalam artikel "Kelantan Dalam Perang Kota Kubang Labu 1 1758"

Peperangan kali ini melibatkan pihak Long Yunus dan Long Ghafar yang mendapat bantuan daripada Terengganu dengan Long Muhammad, pengganti kepada Long Pandak yang juga adindanya. Long Muhammad telah diberi hak pemerintahan di Kota Kubang Labu berikutan kemangkatan Long Pandak dalam serangan pada 1758. Serangan ini berpunca daripada tindakan kejam beliau terhadap penduduk di Kota Teras dan Kota Senang yang terletak di Jembal. Dua kota ini termasuk dalam pemerintahan di Kota Kubang Labu, dan tindakan kejam Long Muhammad telah disampaikan kepada Long Yunus di Terengganu. Serangan kali ini dijalankan penuh sistematik dan digerakkan dari tiga penjuru. Ia berlansung selama beberapa hari dengan sengitnya. Akhirnya Kota Kubang Labu jatuh dan Long Yunus telah ditabalkan sebagai Sultan Kelantan, dari perang ini juga beliau dikenali sebagai penyatu Negeri Kelanatan yang sebelum itu terpecah kepada beberapa City States.
...bersambung dalam artikel "Kelantan Dalam Perang Kota Kubang Labu 2 1762"

Perang Kelantan-Terengganu Bahagian 1 | Bahagian 2
Pada pertengahan 1750, Terengganu merupakan satu sekutu kuat kepada pakatan kuasa Melayu yang dikenali sebagai Kerajaan Pahang-Johor-Riau-Lingga dengan Siak (Bugis) sebagai rakan rapat. Terengganu dibawah pimpinan Sultan Zainal Abidin II (1794-1808) telah menyerang Kelantan tidak lama selepas YM Long Yunus mangkat pada 1794. Terengganu berjaya mengalahkan Kelantan dan telah menabalkan Tengku Muhammad Ibni Sultan Ismail I sebagai Sultan Kelantan pada 1795. Semua waris Long Yunus telah menyelamatkan diri ke pelbagai kawasan, Long Muhammad ibni Sultan Long Yunus telah bangkit menentang pendudukan Terengganu dengan bantuan daripada orang-orang China dari Hulu Kelantan dan mereka telah berjaya menghalau Terengganu daripada Kota Bharu. Setelah itu, Long Muhammad telah ditabalkan sebagai Sultan Kelantan dengan gelaran Sultan Muhammad I.
...akan dijelaskan dengan lanjut dalam artikel "Kelantan Dalam Perang dengan Terengganu 1794"

Sultan Muhammad I yang memerintah Kelantan selama 35 tahun dari 1800-1835 juga terkenal dengan nama jolokan Sultan Mandul berikutan almarhum tidak mempunyai zuriat. Baginda telah mengambil Long Senik Mulut Merah yang juga putera kepada adiknya yang bernama Long Tan. Baginda mangkat tanpa menamakan perwaris yang jelas, sementelahan Kelantan pada waktu bernaung di bawah Kerajaan Siam. Perang ini melibatkan tiga penjuru iaitu antara Raja Bendahara Long Jenal, Raja Muda Kampung Laut Long Muhammad ibni Tengku Long Ismail dan Long Senik Mulut Merah. Perang Saudara ini telah menjejaskan operasi perdagangan antara Bangkok dan Singapura dan Kerajaan Siam telah bertindak untuk menyelesaikan pertelingkahan yang menyebabkan kerugian itu, Long Senik Mulut Merah telah mendapat sokongan yang kuat daripada Raja Siam, dan beliau telah ditabalkan sebagai Sultan Muhammad II.
...bersambung dalam artikel "Kelantan Dalam Perang Saudara 1835)

Perang Dalam Pupoh
Perang ini tercetus pada 1915. Ia berlaku dalam jajahan Pasir Puteh dengan Tok Janggut sebagai penggerak utama dalam kebangkitan Rakyat Kelantan menentang pendudukan British di Kelantan selepas 1909. Secara kasar, ramai menyatakan masalah cukai adalah sebab utama Tok Janggut bangkit menentang dasar dan perlaksanaan pejabat Cukai yang dikendalikan oleh British. Sebenarnya ia bukan sekadar Cukai semata-mata....
...bersambung dalam artikel "Kelantan Dalam Perang Dalam Pupoh 1915"

Perang Dunia Kedua 
Seluruh Dunia menghadapi perang ini, Kota Bharu adalah bandar yang dingati kerana ia adalah ia menandakan pengelibatan bahagian Pasifik terlibat secara langsung apabila Jepun melancarkan serangan mereka. Serangan Jepun ke atas Kota Bharu sejam lebih awal berbanding serangan epik Jepun keatas pengkalan Amerika Syarikat di Pearl Harbour. Dalam masa 7 hari sahaja, Jepun berjaya menawan semenanjung Tanah Melayu seterusnya menguasai Indonesia dan Borneo.
...Akan diulas dengan jelas dalam artikel "Kelantan Dalam Perang Dunia Kedua 1941"

Gambaran Pelukis : Haji Mohd Hassan bin Munas (Tok Janggut)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...