SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Thursday 25 December 2014

Lagenda Puteri Saadong

Lagak seperti Aur dan Tebing, Tiada berpisah.
Ibarat Kuku dan Isi, erat hubungannya.
Begitu juga kisah Lagenda Che Siti Wan Kembang dengan Lagenda Puteri Saadong. Hingga saat ini masih ada lagi individu yang mendakwa diri sebagai Puteri Saadong ke-7. Bukan kisah beliau yang mahu kita bangkitkan disini, tujuan sebenar artikel ini adalah untuk menerangkan berkenaan kisah Puteri Saadong yang sering disebut-sebut oleh semua rakyat Kelantan.

Disebut nama puteri ini, pasti ramai akan terlintas akan peristiwa berdarah berkenaan beliau dengan suaminya di Bukit Marak dan majoriti diantara kita pasti akan mengaitkannya dengan Paduka Chik Wan Kembang. Rekod sejarah Kelantan menyatakan terdapat dua orang Puteri Saadong, dengan puteri yang pertama terus memakai gelaran Puteri Saadong II, jadi dapat dicernakan terdapat 4 orang Puteri Saadong cuma kisah lanjut yang diketahui adalah Puteri Saadong II (Siti Zubaidah) dan Puteri Saadong III (Puteri Mariam), manakala kisah Puteri Saadong pertama tidak dapat dikesan. Bagaimanapun, sesetengah penyelidik sejarah Kelantan menyatakan bahawa Puteri Saadong ini sebenarnya adalah seorang sahaja.


Puteri Saadong II
Nama tubuhnya adalah Siti Zubaidah beliau merupakan puteri yang juga anak bongsu Raja Bharubhasa yang juga mempunyai tiga lagi putera iaitu:

  • Sultan Baki Syah, Raja Chermin
  • Sultan Muhammad Tahir, Raja Ligor
  • Sultan Ibrahim, Raja Kedah
Ketiga-tiga saudara Siti Zubaidah ini dicatat menjadi Raja, namun beliau juga mendapat darjat yang tinggi apabila dijodohkan dengan Sultan Zainal Abidin Syah, Raja Campa. Semakan telah kami lakukan di Royal Ark.net (Kedah) berikutan dicatatkan bahawa kekandanya Sultan Ibrahim menjadi Raja Kedah dan kami temui percanggahan fakta berkenaan Siti Zubaidah.

Di bahagian Kedah dalam Royal Ark ada mencatatkan Siti Zubaidah adalah adik baginda, namun dua orang kekandannya tidak tercatat dalam rekod tersebut, manakala Siti Zubaidah di bahagian tersebut menyatakan beliau berkahwin dengan Sultan Ahmad Bahian Syah Malikulzahir, Raja Samudera Pasai. Tidak dapat dipastikan kisah mana yang paling tepat.

Kulit Depan Syair Siti Zubaidah Perang Cina

Syair Siti Zubaidah Perang Cina mempunyai kaitan dengan individu yang didakwa sebagai Puteri Saadong II ini. Dalam Syair ini menyatakan bahawa Siti Zubaidah telah berkahwin dengan Sultan Zainal Abidin yang pada waktu merajai sebuah kerajaan Melayu yang dikenali sebagai Kembayat Negara. Pada satu ketika, negeri ini telah diserang oleh Cina yang menggunakan alasan bahawa seorang pedagang mereka dianiaya. 

Serangan tersebut berlaku dengan ganas hingga memusnahkan kota dan menyebabkan Sultan Zainal Abidin ditawan oleh Puteri Cina serta ditawan ke negera tersebut. Menyedari hal tersebut, Siti Zubaidah telah menyiapkan diri untuk menyelamatkan suaminya yang telah ditawan, pada masa tersebut beliau sedang sarat mengandung. Tindakan beliau ini berikutan negeri Kembayat Negara yang telah runtuh dan para pembesar tidak dapat menolong.

Dalam perjalanan beliau ke negeri Cina, dia telah melahirkan anaknya dalam hutan seorang diri dan meninggalkan anaknya yang akhirnya diselamat serta dipelihara oleh Muhamad Tahir. Setelah itu, beliau telah menyamar sebagai tentera dalam perang melawan China itu, banyak rintang dan dugaan telah ditempuhi demi menyelamatkan suaminya. Akhirnya beliau telah mendedahkan diri kepada suaminya Sultan Zainal Abidin, dan mereka akhirnya telah kembali ke Kembayat Negara dan bersatu dengan anak mereka dengan selamat.


Puteri Saadong III
Royal Ark.net (Kelantan) mecatatkan Puteri Saadong III adalah Puteri kepada Sultan Adiluddin, Sultan Kelantan yang ditabalkan pada tahun 1579. Kisah mengenai beliau tidak dapat diketahui dengan jelas, cuma yang dicatatkan adalah nama tubuhnya sebagai Puteri Mariam. Selain itu, beliau juga mempunyai seorang kakak bernama Putri Dalula yang berkahwin dengan Pemangku Raja Campa.

Sultan Adiluddin pula adalah dari keturunan Raja Campa yang terkenal iaitu Nik Jamaluddin bin Wan Abul Muzaffar bin Sultan Abu Abdullah/Wan Bo Tri Tri.


Puteri Saadong
Kisah Puteri Saadong yang ketiga ini sudah tidak asing bagi rakyat Kelantan, sebagaimana kisah Lagenda Che Siti Wan Kembang. Setiap anak jati Kelantan mengetahui akan kisah Puteri Saadong di Bukit Marak, namun jarang yang cuba meleraikan kisah yang bersangkutan dengan Lagenda Kelantan ini. Ramai, yang mengetahui kisah ini secara lisan daripada orang-orang tua (veteran) yang sedia menerima maklumat ini secara lisan juga.

Nama tubuhnya adalah Puteri Mariam anak kepada Raja Loyor. Adindanya pula bernama Raja Sakti namun ia mangkat genap berumur setahun. Puteri Mariam ini seorang yang rupawan hingga membuatkan Paduka Che' Siti [Chik Wan Kembang] terpikat, lalu menjadikan beliau sebagai anak angkat. 

Perhubungan ini seterusnya merapatkan lagi hubungan di antara pemerintahan Raja Loyor di Jembal dengan Paduka Che' Siti di Chintawangsa yang pada masa itu baru membuka kota pentadbiran di Kota Tegayong. Kecatikan Puteri Saadong tersebar luas hingga diketahui oleh Raja Siam, mengetahui hal tersebut Paduk Che Siti telah mengahwinkan beliau dengan sepupunya Raja Abdullah dan membuka penempatan di Chetok, Pasir Mas. Perkahwinan tersebut sedikit pun tidak mematikan nafsu Raja Siam itu, malah dia telah menghantar pasukan askar untuk membawa balik Puteri Saadong ke Bangkok.

Tidak bertangguh lama, Paduk Che Siti, Puteri Saadong dan menantunya itu kemudiannya menyelamatkan diri ke Kota Mahligai dan buat sekian lama mereka terselamat dari buruan Siam. Entah bagaimana, pasukan Siam telah mengetahui mereka di Kota Mahligai dan dari sini, Paduka Che Siti telah berpisah dengan Puteri Saadong dan Raja Abdullah dimana mereka ke Bukit Marak dan Paduka Che Siti kembali semula ke Chintawangsa.

Pasukan Siam terus menjejaki Puteri Saadong dan Raja Abdullah hingga ke Bukit Marak. Sudah tidak tertahan dengan buruan tersebut, Puteri Saadong dengan rela hati telah menyerahkan diri kepada pasukan Siam itu, sebelum berangkat beliau telah bersumpah setia dengan suaminya bahawa beliau akan pulang semula selepas pemergian itu dan Raja Abdullah telah menyatakan bahawa dia sanggup menunggu.

Di Kota Bangkok, Raja Siam gembira dengan kehadiran Puteri Saadong yang rupawan itu. Namun, Raja Siam ktu tidak dapat menyentuh Puteri Saadong kerana apabila dia mendekati puteri itu, badannya akan terkena penyakit gatal-gatal seluruh badan. Pada awalnya ia sedikit sahaja, tetapi lama kelamaan penyakit tersebut menjadi melarat hingga Raja Siam itu menderita kerana penyakitnya tidak dapat dipulihkan.

Akhirnya, Raja Siam itu mendapatkan Puteri Saadong untuk mengubatinya. Beliau telah menyatakan kesudian untuk merawat penyakit tersebut tetapi dengan syarat mesti patuh kepada syarat-syarat yang beliau. Untuk menyembuhkan penyakit gatal-gatal tersebut, Raja Siam harus meminum air basuhan kaki Puteri Saadong dan setelah sembuh, Raja Siam harus menghantar pulang beliau ke Bukit Marak dan tidak akan mengacau lagi.

Semua syarat tersebut dipatuhi oleh Raja Siam dan akhirnya dia telah sembuh dari penyakit gatal-gatal tersebut dan dikembalikan Puteri Saadong ke Bukit Marak. Setibanya beliau di Bukit Marak, hatinya penuh hiba dan begitu sedih sekali apabila mengetahui Raja Abdullah telah berkahwin lain. Berlakulah pertengkaran antara mereka dalam kelam kabut itu, Puteri Saadong secara tidak sengaja telah tertusuk  cucuk sanggulnya di dada Raja Abdullah yang kemudian menyebabkan kemangkatan beliau.

Setelah itu, Puteri Saadong telah membawa diri dan bersumpah tidak akan kembali lagi ke Kelantan. Dipercayai beliau telah belayar dari Kelantan ke Sumatera dan mendiami satu daerah disana dan berkembang biak. Kini ada dakwaan dari seorang individu yang bernama Tengku Anis yang mendakwa diri sebagai Puteri Saadong ke-7. 


Kesimpulan
Kisah Puteri Saadong ini banyak pengajarannya selain daripada fakta sejarah. Pengajaran yang paling utama dalam kisah Puteri Saadong ini adalah berkenaan dengan kesetiaan isteri kepada suaminya yang wajar dicontohi oleh isteri-isteri generasi milennium. Selain kesetiaan, para isteri dewasa ini perlu juga mencontohi sifat mempertahankan suami dalam apa bentuk keadaan sekalipun dan ia tepat sebagai adat Melayu dimana Isteri tempatnya adalah disisi suami.

Kisah Puteri Saadong juga menggambarkan akan sifat yang ada dalam diri setiap wanita Kelantan iaitu kekentalan mereka menghadapi segala cabaran, sebab itu mereka cekal dalam apa yang terjadi dan tidak hanya berserah kepada nasib. Wanita Kelantan memang cantik dan rupawan, tetapi mereka bukan mudah untuk didekati baik dahulu dan kini.

Bukit Marak, Kota Bharu.


Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan.

Rujukan :
  • Royal Ark.net (Kelantan)
  • Royal Ark.net  (Kedah)
  • Salasilah Keturunan Raja-Raja Kelantan
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Syair_Siti_Zubaidah_Perang_Cina
  • http://mymanuskrip.fsktm.um.edu.my/Greenstone/cgi-bin/library.exe?e=q-01000-00---off-0publishe-dewanbah%2cumlibrar%2cothercol%2cpublishe-01-1--0-10-0---0---0prompt-10-ZZ--4----Doc---0-1l--11-en-50---20-about-siti--00-3-1-00-0-0-11-0-0utfZz-8-00&a=d&c=dewanbah&srp=0&srn=0&cl=search&d=D125

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...