SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Friday 28 November 2014

[Siri 36] Pengisahan Sejarah Kelantan : Sultan Muhammad II 1838-1886

Pendahuluan
Nama Sultan Muhammad II sebenarnya tidak begitu menonjol dalam sejarah Kelantan kerana rakyatnya lebih mengenali sosok nama Long Senik Mulut Merah. Kisah hidup beliau penuh dengan kontroversi yang ditimbulkan oleh ramai penulis sejarah kontemporari. Carian maklumat mengenai Sultan Muhammad II senang diperolehi memandangkan ia banyak ditulis dan diterbitkan secara bercetak atau elektronik. 

Artikel ini ditulis untuk menyoroti secara ringkas mengenai baginda dari aspek sebelum menjadi Sultan kerana ia adalah satu tempoh yang signifikan untuk kita ketahui kerana pada waktu beliau telah mencatatkan berlakunya Perang Saudara ekoran perebutan takhta. Selain itu, kami juga akan cuba menyelidik akan hubungan baginda dengan Siam sehingga pihak tersebut begitu menyebelahi beliau dalam Perang Saudara 1835-1838 itu.

Latar Belakang
Umum mengetahui, Long Senik Mulut Merah adalah anak angkat kepada Sultan Muhammad I yang memerintah Kelantan pada 1801-1835. Bapa kandung beliau adalah Long Tan@Long Hitam yang juga adik kepada Sultan Muhammad. Long Tan telah mangkat sebelum Sultan Muhammad, beliau adalah orang yang penting dalam membantu Sultan Muhammad menyingkirkan pengaruh Terengganu dari Istana Kelantan pada 1801.

Long Tan adalah orang yang mendapatkan bantuan orang-orang China di Hulu Kelantan pada masa tersebut untuk sama-sama menentang pendudukan Terengganu. Setelah berjaya mengusir Terengganu, Long Tan telah dianugerah Hulu Kelantan sebagai kawasan pentadbiran dengan gelaran Tengku Temenggong Aria Pahlawan di Galas pada 17 November 1801. Sultan Muhammad pula mendapatkan sokongan Siam untuk mengukuhkan pemulihan kuasa, setelah itu Kelantan bernaung di bawah Siam dan membayar Ufti kepada Negara Gajah Putih itu. Hubungan dengan Siam makin kukuh dengan penganugerahan gelaran kebesaran kepada putera-putera Long Yunus setelah pengusiran Terengganu, Long Tan turut menerima anugerah dari Siam dimana beliau telah digelar sebagai Phra Temenggung oleh Raja Rama I pada 1812.

Beliau mempunyai beberapa orang anak iaitu:

  1. Tengku Tuan Sulong
  2. Tengku Long Nik
  3. Tengku Senik
  4. Tengku Long Senik [Mulut Merah]
  5. Tengku Bongsu Bachok
  6. Tengku Raja (Puteri)
Sumber menyatakan setelah Long Tan mangkat, Sultan Muhammad telah menjadikan Tengku Long Senik Mulut Merah dan Tengku Bongsu Bachok sebagai anak angkat baginda memandangkan beliau tidak mempuyai zuriat. 

1835, Sultan Muhammad I telah mangkat dengan meninggalkan Kesultanan Kelantan tanpa perwaris yang sah. Keadaan ini telah menyebabkan huru hara ekoran daripada perebutan kuasa antara tiga pihak iaitu:

  • Raja Bendahara Banggul, Long Jenal
  • Raja Muda Kampung Laut, Long Ismail
  • Anak angkat Sultan, Long Senik Mulut Merah
Di atas kertas kita boleh lihat, sepatutnya Raja Muda yang menaiki takhta kerana beliau adalah pemangku Raja, dan Bendahara berkedudukan yang kedua selepas Raja Muda. Namun dalam hal ini, Long Jenal selaku Raja Bendahara telah menaiki takhta Kerajaan Kelantan berikutan beliau adalah putera alMarhum Sultan Long Yunus yang paling tua yang masih hidup pada masa tersebut. Perkara ini pula ditentang oleh Long Ismail yang juga Raja Muda pada masa itu, dan tidak ketinggalan Long Senik Mulut Merah turut serta dalam perebutan kuasa ini, berikutan beliau juga adalah kerabat yang secara tidak langsung mempunyai hak keatas takhta.

Perang Saudara
Kemelut perebutan takhta ini telah menyebabkan Kerajaan Siam campur tangan. Siam bertindak selaku kerajaan penaung memainkan peranan untuk mendamaikan perebutan takhta itu dengan tujuan untuk mengekalkan keamanan serantau, sekiranya Siam tidak bertindak begitu, berkemungkinan hal tersebut akan merebak ke negeri Melayu yang juga jajahan Siam di selatan itu. 

Siam telah memihak kepada Long Senik Mulut Merah dan menyokong pertabalan baginda sebagai Raja dan Yang diPertuan Negeri Kelantan disamping memerintah secara bersama dengan Long Jenal pada Julai 1838. Pada tahun tersebut, Long Ismail, Raja Muda Kampung Laut telah mangkat dan tempatnya diganti oleh puteranya Long Muhammad yang lebih dikenali sebagai Tuan Besar.

Walaupun baginda mendapat sokongan daripada Siam selaku Sultan Kelantan, baginda masih merasa curiga terhadap kehadiran putera kepada Long Ismail, Raja Kampung Laut yang juga sepupu baginda iaitu Tuan Besar, Long Muhammad  dalam politik Kelantan pada masa tersebut. Tambahan hubungan rapat antara Tuan Besar dengan Long Jenal menimbulkan kebimbangan, baginda juga berpendapat sekiranya Tuan Besar tidak disingkirkan dari politik Kelantan, selagi itulah kedudukan baginda tidak kukuh. Tuan Besar tidak diberikan jawatan penting dalam Kerajaan Kelantan pada masa tersebut berikut kebimbangan ini. Terdapat ura-ura untuk melantik Tuan Besar sebagai Raja Bendahara, namun tawaran itu tidak disampaikan secara langsung kepada beliau, sebaliknya jawatan-jawatan penting di istana disandang oleh mereka yang bukan daripada kerabat diRaja. Sebaliknya Sultan Muhammad II telah melupuskan hak Tuan Besar ke atas Kampung Laut, dan ini menjadi punca utama tercetusnya perang  secara terbuka antara Long Senik Mulut Merah dengan Tuan Besar. 

Perang Saudara ini juga telah menyebabkan Kapal Dagang dari Singapura terkandas di Kota Bharu dan secara tidak langsung telah melibatkan campurtangan Inggeris dalam negeri Kelantan. Hal ini ada dicatatkan dalam buku Kisah Pelayaran Abdullah Munsyi ke Kelantan. Abdullah Munsyi telah memperincikan dengan jelas dalam buku tersebut mengenai peperangan yang tiada penghujung itu, apa yang menyedihkan ianya melibatkan rakyat yang tidak berdosa.

Kedua-dua pihak telah menghubungi Kerajaan Siam untuk menyelesaikan konflik tersebut. Pertengahan 1839, Siam telah menghantar wakilnya untuk berunding dengan kedua-dua pihak namun usaha itu menemui kegagalan. Tidak lama setelah itu, yakni pada 7 Julai 1839, wakil siam telah datang dengan sejumlah askar Siam. Ketua Wakil Siam itu telah mengarahkan peperangan itu dihentikan dengan serta merta dan meminta kedua-dua pihak berangkat ke Songkhla untuk rundingan damai. Setibanya mereka di Songkhla, Tuan Besar telah diarahkan ke Bangkok untuk menghadap Raja Rama bagi rundingan secara terus. Dalam hal ini, Siam lebih memihak kepada Long Senik sewaktu Tuan Besar dalam perjalanan ke Bangkok, baginda telah berpatah balik dengan sejumlah askar Siam dan menjelang Ogos 1839, pertahanan Tuan Besar di Kampung Laut telah berjaya ditumpaskan dan perang saudara itu telah berjaya ditamatkan.

Pada tahun tersebut, Kerajaan Siam telah memperakui kedaulatan Long Senik dan baginda telah ditabalkan sebagai Sultan Muhammad II dan telah memberi gelaran Phaya Visit Bakdiya Sri Sultan Muhammad Ratna Nuchitra Sri Sudhana Buwanabakdi Varman Phya Kelantan (Pipitpakdi Sri Sultan Muhammad Ratna Nuchit Siti Santun Bua Bahdi Wangsia Pia Kelantan). 

Tuan Besar pula telah menerima tawaran Raja Rama untuk menjadi Raja Patani menggantikan Nik Yusuf yang telah dilantik sebagai Raja Jering dengan hati yang berat memandangkan kuasanya di Kelantan sudah merosot dan ramai pengikutnya telah berpaling tadah. Long Jenal pula telah dilantik sebagai Menteri di Wilayah Nongchik dan mangkat di sana.

Hubungan dengan Siam
Hubungan diplomatik antara Siam dengan Kelantan bermula semenjak pemerintahan Sultan Muhammad I 1801-1835, dan ia berterusan dengan pihak Siam menghulurkan bantuan dan sokongan kepada Long Senik Mulut Merah mendapatkan takhta Kelantan setelah kemangakatan Sultan Muhammad I. 

Setelah Long Senik ditabalkan menjadi Raja Kelantan pada 1838, pengaruh Siam makin kuat malah Siam lebih memihak kepada baginda dalam konflik pengukuhan kuasa dengan Tuan Besar. Geopolitik Kerajaan Melayu juga mengalami perubahan ketara kerana pada masa tersebut British telah memainkan peranan mereka dalam perluaskan kuasa Imperial. Justeru, Siam telah bertindak memberi sokongan kepada Kelantan untuk mengimbangi kuasa British di Selatan, sekiranya Siam tidak mengambil berat akan hal ehwal di Kelantan, kemungkinan besar British akan lebih berpeluang menduduki Kelantan. 

Perang Saudara 1838, telah memberi isyarat jelas kepada British bahawa Kelantan adalah negeri naungan Siam tidak seperti negeri-negeri Selat yang telah mereka duduki. Justeru, British tidak memberi tumpuan yang berat kepada negeri-negeri Pantai Timur.

Setelah tamat perang tersbut, Siam telah meninggikan taraf Sultan Muhammad II dengan gelaran Phraya Deva Kelantan pada 1845. Kerajaan Siam yang ditadbir oleh Raja Rama V pula telah menganugerahkan gelaran Phraya Dejanujitha Mahesvara Rajanukula Vibunlayabakdi Sri Sultan Muhammad Rattanatada Mahaphadana Adikara of Muang Kelantan (Phraya Dechanuchit Mahitsa Rajanukula Wibunlaya Phakdi Sri Sultan Muhammad Rattanathada Mahapathanathikan Pusamkan Mebun Kelantan) pada 4 Mac 1877. Setelah mendapat gelaran ini, kedaulatan beliau lebih kukuh 

Waris
Sultan Muhammad II dicatakan mempunyai empat orang isteri iaitu:
  • Sultanah Batoh [To'] binti Tuan Long Yusuf [Tuan Besar], menjadi Sultanah pada 4 Mac 1877
  • Engku Puteri Neng binti Engku Long Seri, Raja Perempuan Gunung
  • Nik Embong
  • Ku Senik Tendong, Raja Perempuan II
Dari perkahwinan tersebut, Sultan Muhammad II telah dikurniakan tiga orang zuriat, dan disini mendapat percanggahan antara Royal Ark.net dengan beberapa sumber yang banyak tersebar di internet. Royal Ark menyatakan Baginda Sultan mempunyai 2 orang Putera dan 1 Puteri seperti berikut:
  • Tuan Long Ahmad [Tuan Sulong], Tengku Besar, Putera dengan Sultanah Batoh'
  • Tengku Long Abdul Jaafar [Tuan Long Ghafar], Tengku Temenggung, Putera dengan Ku Senik Tendong
  • Tengku Putri Cik [Engku Na Nik]
Sumber Internet yang menjadi rujukan umum adalah Wikipedia dan ia turut dimuatkan mengenai perihal zuriat Sultan Muhammad II, ia menyatakan zuriat baginda adalah 2 Puteri dan 1 Putera seperti berikut:
  • Tengku Puteri@Long Sulung berkahwin dengan Tengku Ahmad (Terengganu)
  • Tengku Puteri Che'@Engku Na Nik (Tengku Raja Patani)
  • Tuan Long Ghafar (Tengku Temenggong/Tengku Petra Dalam Kebun)
Kesimpulan
Long Senik Mulut Merah merupakan satu nama yang menjadi ikon dalam sejarah negeri Kelantan, nama baginda juga salah satu nama yang sering diingati oleh rakyat Kelantan sepanjang zaman. Baginda mempunyai kisah berliku dan hidup dalam negeri yang penuh liku dan pancaroba. Beliau benar-benar diperkaui sebagai Sultan Kelantan pada 1877, dalam tempoh itu Kelantan berada dalam keadaan yang getir, hingga satu masa orang Inggeris menganggap Kelantan sebagai The Forbidden State berikutan kawalan ketat yang dikenakan oleh pihak Istana dalam mengekang kemasukan orang luar.

Bagaimanapun, terdapat sedikit percanggahan berkenaan zuriat baginda, walaupun percanggahan ini kecil tetapi ia memberi impak besar dalam Kesultanan Kelantan hingga ia menjadi satu kontroversi dalam kalangan kerabat Kesultanan Kelantan dalam dekad 1990an.


Gambar : Senjata ini dikenali sebagai PEMURAS dan ia digunakan dalam
konflik antara Tuan Besar dengan Long Senik Mulut Merah pada 1838.

Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...