SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Saturday 1 November 2014

[Siri 27] Pengisahan Sejarah Kelantan : Legasi Nik Mustafa (Sultan Abdul Hamid Syah) Dinasti Campa

Pendahuluan
Siri pengisahan yang ke 26 telah kami nyatakan bahawa pemerintahan Kelantan pada keturunan Raja Sakti telah beralih kepada waris dari keturunan Nik Mustafa yang juga merupakan adik kepada Nik Jamaluddin, kisah Nik Mustafa ada kami paparkan pada [Siri 20]. Peralihan tampuk pemerintahan ini berlaku apabila Raja Pah (keturunan Nik Jamaluddin) berkahwin dengan Long Bahar (keturunan Nik Mustafa).

Kegemilangan
Pengisahan yang ke 20, kami telah menyentuh tentang ketokohan Nik Mustafa. Beliau dan abangnya, Nik Jamaluddin telah dilantik sebagai Datu oleh Sultan Muhammad Syah (Phya Tu Intira), abangnya telah telah dilantik sebagai Datu Kelantan dan beliau sebagai Datu Jambu. Bapa mereka adalah Wan Abul Mustafa dan datuk mereka adalah Raja Champa iaitu Wan Bo Tri Tri

Pada tahun 1570, Campa telah diceroboh oleh Dai Viet dan hal ini telah diketahui oleh Nik Mustafa yang berada di Jambu. Beliau telah menghantar bantuan ketenteraan ke Champa, bagaimanapun usaha itu menemui kegagalan. 7 tahun kemudian, pada 1577 sekali lagi Nik Mustafa menghantar bantuan kenteraan ke Campa dari Patani seramai 10,000 orang dan dibantu dengan angkatan perang dari Kelantan seramai 5,000 orang. Kelantan pada masa tersebut telah dirajai oleh Sultan Adiluddin putera kepada Nik Jamaluddin.

Misi serangan ini telah berjaya menghalau Dai Viet dari Campa hingga mereka berundur ke Kota Hue malah angkatan perang Nik Mustafa ini juga telah menyerang Kota Dai Viet tersebut dan hal ini telah membebaskan Campa dari ancaman pencerobohan. 

Atas kejayaan ini, Nik Mustafa telah ditabal menjadi Raja Campa dan dimasyhurkan dengan nama Sultan Abdul Kadir Syah pada 1578. Beliau memerintah Campa selama 49 tahun dan telah mangkat pada 1637. Almarhum mempunyai tiga orang putera iaitu:
  • Nik Badrulsalam
  • Nik Ibrahim
  • Nik Ali
Nik Badrulsalam telah dilantik sebagai Raja Singgora yang kini menjadi sebahagian daripada Thailand. Beliau juga disebut sebagai pengasas kepada keluarga DiRaja Singgora dari abad 17 hingga 18. 

Nik Ibrahim pula telah dilantik sebagai Datu Kelantan pada 1634, tetapi tidak lama kemudian beliau telah dipanggil pulang ke Campa berikutan kemangkatan Sultan Abdul Kadir Syah serentak dengan itu beliau telah ditabal sebagai Raja Patani menggantikan tempat ayahandanya.

Nik Ali walaupun tidak dilantik sebagai pemerintah, beliau juga merupakan individu yang berpengaruh dalam Kesultanan Patani. Beliau telah diberi kepercayaan oleh Sultan Patani untuk memimpin angkatan perang Patani sebagai Panglima Agong Tentera Patani dengan gelaran Datuk Maharajalela. 

Warisan
Paling mencuri tumpuan adalah Nik Ibrahim kerana beliau dilantik sebagai Datu Kelantan semasa pemerintahan Sultan Abdul Kadir 1632-1646. Pada waktu itu keturunan Nik Jamaluddin sebagai Datu Kelantan sudah melangkaui kuasa wakil Patani kerana mereka telah ditabalkan sebagai Raja Kelantan. Justeru, dengan pengaruh Sultan Abdul Jalil Syah yang pernah menjadi Datu Jambu dan sokongan daripada Sultan Patani, Nik Ibrahim telah dilantik sebagai Datu Kelantan pada 1634. 

Long Bahar yang berkahwin dengan Raja Pah merupakan cucu kepada Nik Ibrahim, inilah signifikan untuk kita ketahui susur galur Long Bahar ini kerana dari beliaulah turunnya keturunan Kesultanan Kelantan.

Kesimpulan
Untuk memahami Kesultanan Kelantan pada hari ini, adalah menjadi perkara utama untuk kita mengenali asal keturunan Long Bahar, justeru kisah Nik Mustafa perlu kita perhalusi dengan mendalam. Pengisahan yang lalu kami menghuraikan pemerintah Kelantan daripada keturunan Nik Jamaluddin yang menurunkan kerabat Raja Jembal, dinasti ini akhirnya telah tamat semasa pemerintahan Raja Sakti II yang tidak berputera dan akhirnya ia telah diperintah oleh Dinasti Campa yang dimulakan oleh Long Bahar dari keturunan Nik Mustafa melalui proses perkahwinan. Pengisahan berikutnya akan dibentangkan mengenai Nik Ibrahim.

Hiasan : Bunga Cempaka Putih.... adakah ianya inspirasi kepada nama Campa.

Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan:

1 comment:

Daeng Selili said...

As salam....
Teman...daeng maizul dari jengka 15 pahang.
Wan daim...adakah anak pada nik ibrahim...minta pemjelasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...