SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Saturday 8 November 2014

[Siri 30] Pengisahan Sejarah Kelantan : Tuan Besar Long Bahar Raja Kelantan 1715 - 1733

Pendahuluan
Hampir setahun yang lalu, kami telah mengisahkan mengenai Tuan Besar Long Bahar, dan bertitik tolak dari kisah Tuan Besar Long Bahar ini kami sedar perlunya menganalisis sejarah Raja-Raja Kelantan dari awal. Tertangguh sekian lama, pada saat inilah kami mempunyai ruang untuk membuat analisis berdasarkan daripada carta salasilah Raja-Raja Kelantan yang dimuatkan dalam buku Keturunan Raja-Raja Kelantan dan Peristiwa-Peristiwa Penting. Penerbitan artikel ini juga adalah satu usaha untuk menambah baik artikel sebelum ini.

Kisah Perang Kota Labu merupakan antara epik sejarah Kelantan kerana ia merupakan perang yang signifikan dalam sejarah Kelatan, ia berlaku sebanyak dua kali iaitu pada 1758 dan 1762. Namun itu adalah satu kisah yang berlainan tetapi masih bersusur galur dari pemerintahan Tuan Besar Long Bahar. Latar belakang Tuan Besar Long Bahar juga dicatat penuh pancaroba dan duka lara.

Dari Patani, beliau turun dan membawa diri ke Kelantan. Awalnya beliau adalah raja di Patani, kisah dinegeri tersebut penuh duka lara, lalu membawa diri ke Kelantan bersama puteranya. Di Kelantan telah berkahwin dengan anak Raja, dan membuka penempatan di satu tempat yang kini kawasan tersebut dalam kawasan Wakaf Bharu.

Kisah Hidup
Beliau merupakan putera kepada Wan Daim Datu Pengkalan Tua. Beliau disebut telah mengahwini Raja Mas Kelantan yang juga puteri kepada Raja Bakal Sultan Patani (1688-1690). Pada waktu itu, Raja Bakal telah lanjut usianya dan tidak lama kemudian beliau telah mangkat. Para pembesar Patani sepakat memilih Raja Mas Kelantan sebagai Raja. Saat ini beliau telah pun berkahwin dengan Long Bahar. 

Semasa pemerintahan Raja Mas Kelantan, Patani berada dalam keadaan yang genting kerana diancam oleh Siam yang semakin berpengaruh. Pelbagai usaha telah dijalankan dan yang paling penting adalah untuk mengukuhkan hubungan serantau dengan negeri-negeri Melayu yang lain. Tindakan yang paling utama telah dibuat oleh Raja Mas Kelantan dengan melantik Tun Zainal Abidin anak Bendahara Johor yang juga merupakan anak angkat beliau sebagai Sultan Terengganu. 

1707, Raja Mas Kelantan telah mangkat selepas 17 tahun memerintah Patani, perkahwinan beliau dengan Long Bahar telah menitihkan dua orang zuriat iaitu:

  • Nang Roqaiya (Che Puan Besar)*(Penambahan)
  • Long Sulaiman
  • Dewi Perachu
Pembesar Patani sebulat suara memilih Dewi Perachu sebagai Raja Patani menggantikan kedudukan bondanya yang telah mangkat dengan gelaran Raja Nang Chayang. Lapan tahun selepas itu, Raja Nang Chayang telah menyerahkan takhta Patani kepada ayahandanya Long Bahar pada 1715. Hal ini jelas telah menimbulkan kemarahan kepada pembesar Patani. Pada 1716, Long Bahar telah menyerahkan semula takhta Patani kepada Raja Nang Chayang lalu membawa diri ke Kota Jembal di Kelantan bersama-sama anak lelakinya Long Sulaiman. 

Pada masa tersebut, Kota Jembal diperintah oleh Raja Omar yang juga Sultan Kelantan. Kedatangan Long Bahar  ke Kota Jembal sangat dialu-alukan, malah Raja Omar memperkenankan puterinya Raja Pah untuk berkahwin Long Bahar. Raja Omar mempunyai seorang lagi zuriat lelaki yang dikenali sebagai Raja Kecil Sulong. 

Selepas perkahwinan dengan Raja Pah, Long Bahar telah memohon perkenan daripada Raja Omar untuk membuka sebuah penempatan baru, permohonan tersebut telah diperkenankan dan Long Bahar telah meneroka satu kawasan di seberang Sungai Kelantan lalu diberi nama penempatan tersebut sebagai Kota Kubang Labu pada 1717, semenjak dari itu, Long Bahar telah dikenali sebagai Tuan Besar.

Pada 1721, Raja Omar telah mangkat dan meninggalkan pemerintahan Kota Jembal dengan tiada kepastian khusus siapa perwaris mutlak. Hierarki pemerintahan mestilah dipegang oleh waris lelaki dan dalam perkara ini Raja Kecil Sulong lebih berhak untuk ditabalkan sebagai Raja. Namun catatan sejarah menyatakan bahawa Raja Kecil Sulong ini sayangkan rakyatnya yang mendiami Kota Teras yang beliau rajai buat sekian lama. Hal ini telah menyebabka Tuan Besar Long Bahar dilantik sebagai Raja Jembal menggantikan Sultan Omar pada 1721.

Kota Kubang Labu pula ditadbir oleh putera beliau, iaitu Long Sulaiman. Long Bahar memerintah di Kota Jembal selama 12 tahun dan mangkat pada 1733. Beliau memperoleh seorang putera hasil perkahwinan dengan Raja Pah iaitu Raja Yunus yang kemudiannya telah ditabal sebagai Raja Patani hingga 1749.

Kesimpulan
Kisah hidup Tuan Besar Long Bahar penuh liku dan mengalami pelbagai pancaroba, namun seperti kisah raja-raja, ianya berakhir dengan kegembiraan setelah menghadapi perjalanan hidup yang memedihkan. Seterusnya, Siri Pengisahan Raja-Raja Kelantan akan menyoroti pemerintahan Long Sulaiman.


Gambar Hiasan : Makan Sultan Omar
Gambar Hiasan : Papan Tanda ke Makan Sultan Omar


Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan:
  • http://ms.wikipedia.org/wiki/Kerajaan_Pattani
  • http://pp-sk.blogspot.nl/2013/11/perang-kota-kubang-labu-1.html
  • http://artmelayu.blogspot.nl/2011/05/makam-tomb-of-raja-udang.html
  • http://lloni.wordpress.com/2009/10/03/kota-kota-yang-pernah-ujud-di-kelantan/
  • http://tenteraberkuda.blogspot.nl/2013/07/ziarah-9-ramadhan-1434-bahagian-2-makam.html
  • Salasilah Keturunan Raja-Raja Kelantan dari Ahlul Bait

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...