SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Tuesday 28 October 2014

[Siri 23] Pengisahan Sejarah Kelantan : Sultan Samiruddin / Raja Ekok 1605-1616

Pendahuluan
Nama sebenar beliau adalah Raja Ekok bin Nik Jamaluddin dan adik kepada Sultan Adiluddin. Pada siri ke 22 telah kami nyatakan bahawa Sultan Adiluddin mangkat tidak berputera, beliau hanya mempunyai dua orang puteri iaitu Puteri Dalula dan Puteri Mariam (Puteri Saadong III). Justeru itu, Raja Ekok adalah perwaris yang lebih mutlak untuk menggantikan Sultan Adiluddin yang banyak berbakti untuk Kelantan dan Champa.

Dimasyhurkan sebagai Sultan
Kedudukan Sultan Adiluddin yang dikenali sebagai pendiri kerabat DiRaja Jembal amat disegani di Kelantan pada waktu itu. Seperti yang telah dijelaskan bahawa Kelantan telah bersekutu dalam Patani Besar dan telah menyebabkan ia menerima pemerintahan sistem Kedatuan dimana setiap negeri dalam Patani Besar mempunyai pembesar yang memerintah bagi pihak Sultan Patani.

Dalam negeri Kelantan, Nik Jamaluddin bin Wan Abul Muzzafar adalah individu pertama yang dilantik sebagai Datu. Kemudian kedudukan beliau telah digantikan oleh anaknya Raja Loyor yang mendapat gelaran Sultan dengan dimasyhurkan sebagai Sultan Adiluddin kerana jasa beliau dalam membantu bapa saudaranya Nik Musatafa membebaskan Champa daripada serangan Dai Viet. Selepas kemangkatan beliau, gelaran Sultan ini terus dikekalkan kerana ia mempunyai  daulat. Justeru, ahli keluarga mereka dikenali sebagai Kerabat DiRaja Jembal.  Ini adalah signifikan kenapa Raja Ekok dapat ditabalkan sebagai Sultan Kelantan menggantikan Sultan Adiluddin.

Pada waktu yang sama wujud kerajaan "Tanah Serendah Sekebun Bunga" yang di Rajai oleh Paduka Che Siti [Chik Wan Kembang] 1585-1610 berlokasikan sekitar Kelantan. Jelas disini, kedua-dua kerajaan yang diklasifikasikan sebagai Negara Kota (City States) mempunyai sempadan tertentu dan pemerintahan tersendiri kerana mereka mempunyai daulat (sovereignty) namun kedua kerajaan ini akhirnya bergabung melalui perkahwinan.

Legasi Pemerintahan
Raja Ekok telah ditabalkan sebagai Raja Kelantan dengan dimasyhurkan sebagai Sultan Samiruddin pada 1605 hingga 1616. Beliau mempunyai tiga orang putera iaitu:

  • Raja Abdul Kadir / Sultan Kelantan 1616-1632
  • Raja Abdullah / Raja Kelantan Selatan 1632-1646 - Suami kepada Puteri Saadong III
  • Raja Abdul Rahim / Raja Kelantan Selantan 1646-1649
Jelas disini ketiga-tiga puteranya bergelar Sultan yang menjadi Raja di Kelantan secara turutan. Raja Abdul Kadir telah ditabalkan menggantikan bapanya, Sultan Samiruddin sebagai Sultan Kelantan. Raja Abdullah pula telah berkahwin dengan puteri Sultan Adiluddin yang bernama Puteri Mariam yang pada waktu itu telah dijadikan anak angkat oleh Paduka Che' Siti [Chik Wan Kembang] dan dikenali sebagai Puteri Saadong III. Manakala Raja Abdul Rahim dinyatakan telah ditabal sebagai Raja Kelantan Selatan menggantikan tempat Raja Abdullah yang mangkat.

Paling yang diingati oleh segenap lapisan rakyat Kelantan adalah berkenaan peristiwa Puteri Saadong yang secara tidak sengaja menyebabkan kemangkatan Raja Abdullah dalam pertengkaran mereka. Satu sorotan khusus akan kami bawaka berkenaan dengan mereka.

Walaupun ketiga-tiga putera Sultan Samiruddin ini bergelar Sultan dan pernah memerintah Kelantan mereka sebenarnya sedang bergelut untuk meneruskan kepimpinan mereka kerana pada waktu itu, ancaman daripada Utara iaitu dari Siam semakin kuat. Kerajaan Patani juga semakin lemah begitu juga dengan persektuan Johor-Pahang-Riau-Lingga manakala Belanda-Portugis-Sepanyol makin menonjol. Akhirnya, muncul seorang Raja antara mereka yang dipanggil Raja Sakti!

Kesimpulan
Sultan Samiruddin ditabal sebagai Raja Kelantan atas sebab kemangkatan Sultan Adiluddin yang tidak mempunyai putera. Ketokohan Sultan Adiluddin sangat besar, justeru kisah Puteri Saadong III lagi mencuri tumpuan daripada beliau ditambah beliau juga merupakan anak angkat Paduka Che' Siti. Walaupun pengaruh Sultan Samiruddin pada waktu itu tidak kuat, namun dari beliau telah menurunkan jurai keturunan yang cukup mengkagumkan.

Gambar Hiasan - Mata Lembing "Lam Alif"

Wallahualam bis'sawab

Artikel ini dihasilkan berdasarkan kepada pembacaan penulis, disarankan agar para pembaca membuat penelitian lebih terperinci berdasarkan sumber-sumber primer. Penulis adalah manusia biasa yang tidak lepas dari melakukan kesilapan. Pendapat dan Pandangan dari tuan/puan adalah dialu-alukan. Artikel ini sekadar pengisahan sejarah Raja-Raja Kelantan dan ia tidak lebih dari itu. Sila rujuk link di bawah untuk melihat carta salasilah Raja-Raja Kelantan.

Rujukan:


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...