SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Tuesday 16 September 2014

PEMBENTUKAN PERSEKUTUAN MALAYSIA

***SEMPENA HARI MALAYSIA 2014***


Pada Tahun 1955, David Marshall pernah mencadangkan Singapura bercantum dengan Tanah Melayu. Gagasan Malaysia juga disuarakan oleh tokoh-tokoh di Tanah Melayu iaitu Ghazali Shafie dan Tan Cheng Lock. 4 tahun selepasnya iaitu 1959 pemimpin PAP (PETIR) di Singapura, Lee Kuan Yew telah menyarankan Singapura dicantumkan dengan Persekutuan Tanah Melayu. Ia adalah untuk kepentingan ekonomi, mendapatkan kemerdekaan Singapura lebih awal dan mengekang pengaruh komunis di Singapura.

Pada 27 Mei 1961, semasa berucap di Kelab Wartawan Asing Asia Tenggara di Singapura, Tunku Abdul Rahman telah mengumumkan idea sebuah Tanah Melayu yang lebih luas merangkumi Singapura, Borneo Utara, Brunei, dan Sarawak. Di Brunei, Sultan Omar Ali Sarifuddin sendiri sangat berminat dan menganggap penubuhan Malaysia satu idea yang baik namun terbantut apabila tentangan Azahari dan pengikutnya memuncak dalam bentuk revolusi bersenjata walaupun dapat dipatahkan oleh Sultan dengan sokongan British. Di Sabah dan Sarawak, sambutan penduduknya terhadap penubuhan Malaysia menggalakkan disebabkan mereka mahu membebaskan negeri mereka daripada kuasa British dan komunis. Namun, terdapat segelintir mereka merasai beberapa kebimbangan kerana khuatir Borneo akan hilangan kekuatan akibat ‘Malayan Domination’ dan kedudukan agama dan bahasa di kalangan kaum bukan Melayu terancam.

Pada Jun 1961, Tunku mengadakan awatan Muhibah ke Sabah dan Sarawak ingin memastikan rakyat Sabah dan Sarawak memahami sepenuhnya konsep Malaysia dan tujuan penubuhan Malaysia. Tunku juga prihatin tentang kemungkinan pemimpin-pemimpinnya beranggapan beliau menggalakkan British menyerahkan wilayah-wilayah Borneo itu semata-mata untuk membesarkan Tanah Melayu. Justeru itu, Tunku membuat lawatan muhibah ke negeri-negeri itu. Akhirnya, Tunku berjaya mengurangkan kekeliruan yang ada di kalangan rakyat Sabah dan Sarawak. Beliau juga dapat mengurangkan kebimbangan mereka tentang pengusaan kaum Melayu dalam Malaysia.

Pada Julai 1961, Tunku melakukan kunjungan ke Brunei disebabkan Parti Rakyat Brunei (PRB) di bawah pimpinan Ahmad M. Azahari begitu nekad dengan rancanagn mewujudkan Kalimantan Utara yang merdeka. Konsep Malaysia tidak menarik minat pengikut-pengikut parti PRB. Situasi yang demikian menyebabkan Tunku mengambil keputusan untuk memberi penjelasan kepada rakyat Brunei tentang konsep penubuhan Malaysia. Ekoran daripada itu, Sultan Brunei menubuhkan satu suruhanjaya tinjauan untuk menentukan pendirian sebenar rakyat Brunei.

Pada Ogos 1961, rundingan Singapura berlaku dalam menyentuh isu mengenai percantuman Singapura dengan Malaya mesti ditentukan bersama oleh rakyat Singapura sendiri. Demikian ditegaskan oleh Lee Kuan Yew apabila ucapan Tunku Abdul Rahman (Mei 1961) mula diketahui oleh rakyat. Selain itu, Lee juga mahu memastikan Singapura mempunyai kedudukan yang selesa dalam Malaysia. Pada 23 Ogos 1961 mesyuarat rasmi pertama mengenai percantuman diadakan antara Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu. Antara persetujuan yang dicapai ialah autonomi Singapura dalam hal-hal pendidikan dan tenaga buruh dan kerajaan pusat pula akan bertanggungjawab dlm soal pertahanan, hubungan luar dan keselamatan.

Pada Pertengahan 1961, Jawatankuasa Perundingan Perpaduan ditubuhkan hasil tindakan Persatuan Parlimen Komanwel (PPK) yang dibentuk pada pertengahan 1961 apabila didapati pemimpin-pemimpin Sabah dan Sarawak menunjukkan kesangsian mereka terhadap pembentukan Malaysia. Dalam persidangan PPK di Singapura, keterangan lanjut telah diberi dan akhirnya semua pemimpin bakal anggota Malaysia bersetuju membentuk Jawatankuasa Perundingan Perpaduan (JPP). JPP dipengerusikan oleh Donald Stephen dari Sabah. Jawatankuasa ini mempunyai tugas memberi penjelasan kepada rakyat dan mengumpul pendapat rakyat mengenai pembentukan Malaysia. Keberkesanan JPP terserlah dalam mesyuarat pertamanya yang diadakan di Jesselton (Kota Kinabalu) dan beberapa tempat lain selepas itu.

Pada Ogos 1962, Suruhanjaya Cobbold dibentuk. Walaupun pengumuman gagasan Malaysia telah dialu-alukan oleh sebahagian besar rakyat negeri-negeri berkenaan, namun terdapat sesetengah pihak yang merasai berbagai-bagai kebimbangan. Ada yang menganggap cadangan itu adalah satu cara untuk menguatkan kuasa British, kerana itulah pihak British menjemput Tunku untuk berunding di London. Seterusnya, kedua-dua pihak bersetuju supaya satu suruhanjaya di bawah Lord Cobbold dengan empat anggota lain (dua British dan dua rakyat Malaya) ditubuhkan untuk meninjau pendapat rakyat Sabah dan Sarawak. Didapati lebih 70 peratus penduduk dua buah negeri itu bersetuju. Seterusnya, anggota-anggota Inggeris dan anggota-anggota dari Tanah Melayu secara berasingan memperakukan supaya Persekutuan Malaysia ditubuhkan. Seterusnya, Jawatankuasa Antara Kerajaan (JAK) ditubuhkan. Objektif khusus JAK adalah bagi merangka Perlembagaan Malaysia dan menangani isu-isu tertentu seperti memastikan hak dan kepentingan penduduk Sabah dan Sarawak dilindungi. JAK ini dipengerusikan oleh Lord Landsdowne. Anggota-anggota yang lain terdiri daripada Tun Abdul Razak, Donald Stephen, Abang Haji Mustapha, Temenggung Jugah, seorang wakil Britain dan seorang lain wakil PTM. Jawatankuasa ini telah menubuhkan lima buah jawatankuasa kecil untuk meneliti aspek perlembagaan, kewangan, perundangan, kehakiman, dan organisasi jabatan. Laporan JAK itu diterima oleh Sabah dan Sarawak, dan menjadi asas kepada Perjanjian Malaysia yang ditandatangani di London 9 Julai 1963.

Akhirnya pada 1 September 1962 (sehari selepas Persekutuan Tanah Melayu menyambut ulang tahun kelima kemerdekaanya) referendum rasmi dijalankan. Keputusan rujuk suara itu menunjukkan sebanyak 70 peratus rakyat Singapura bersetuju Singapura menyertai Malaysia.

Pada bulan Jun hingga September 1963, Misi Bangsa-bangsa Bersatu bertujuan untuk mendapat kepastian tentang rakyat Sarawak dan Sabah terhadap konsep Malaysia. Hasil undi suara itu menunjukkan sebnayak lebih dua pertiga rakyat menyetujui pembentukan Malaysia. Pasukan Bangsa-bangsa Bersatu itu juga mengakui kebersihan pilihan raya Sabah dan Sarawak tanpa penyelewengan dan juga mengesahkan kesahihan Laporan Cobbold serta Persekutuan Malaysia ditubuhkan pada 16 September 1963.


SELAMAT HARI MALAYSIA DARIPADA PPSK.

Artikel ditulis oleh AKA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...