SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Tuesday 12 August 2014

RAKYAT KELANTAN & KEMERDEKAAN : BAHAGIAN 2

Pendahuluan

Sir Harold Macmichael
Tahun 1946 menyaksikan rakyat Kelantan bangkit dan menentang pendudukan semula British dengan lantang dan secara terang-terang mereka menolak Rancangan Malayan Union yang telah direncanakan oleh Kerajaan British pada Oktober 1945. Kehadiran Sir Harold Macmichael dengan tipu muslihat telah menyebabkan 30,000 rakyat Kelantan berarak dan berdemontrasi membantah rancangan tersebut.

Mereka diwakili oleh Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan (PPMK) berarak dan menyerahkan memorandum bantahan kepada Penasihat British dan Sultan Kelantan waktu itu, Sultan Ibrahim. Persekutuan Melayu Selangor telah menganjurkan Kongres Melayu Malaya yang pertama di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur dan ianya dihadiri oleh PPMK dan PMK yang diwakili oleh enam perwakilan.

Mereka ke Kuala Lumpur membawa hasrat majoriti rakyat Kelantan pada waktu itu untuk menuntut Kemerdekaan. Mereka telah diberi peluang untuk menyatakan pandangan dan pendapat secara terus terang dan berani. 

Idea Bernas
Pada hari kedua berlangsungnya Kongres tersebut, Wakil Persatuan Melayu Kelantan (PMK) Dato' Nik Ahmad Kamil telah mengemukakan cadangan supaya ditubuhkan satu jawatankuasa yang akan melaksanakan nanti segala keputusan yang dibuat oleh kongres tersebut. Selain itu, beliau juga telah mengesyorkan untuk membuat Rang Undang-Undang Tubuh Persatuan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PERKEMBAR) dan syor tersebut telah disokong oleh Haji Abdul Wahab bin Tok Muda Abdul Aziz [Panglima Bukit Gantang] dan ianya dipersetujui oleh ramai.

Dato' Nik Ahmad Kamil telah dilantik sebagai salah seorang dari lima orang Ahli Jawatankuasa untuk menggubal undang-undang Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO). Empat yang lain adalah
  • Dato' Panglima Bukit Gantang - Perak
  • Dato' Orang Kaya - Selangor
  • Dato' Onn bin Jafaar - Johor
  • Zainal Abidin bin Ahmad (Zaaba)
Setelah selesai membincangkan penubuhan UMNO, kongres itu meneruskan perbincangan mengenai rancangan Melayu Union yang telah dikutuk oleh seluruh umat Melayu. Wakil-wakil persatuan telah menyampaikan buah fikiran masing-masing termasuklah dari wakil PPMK antara lain menegaskan:

Umat Melayu Kelantan pada hari Sir Harold Macmicheal di atas bumi Kelantan, pada ketika itu juga umat Melayu Kelantan telah berkumpul dan mengadap Duli Yang Maha Mulia Sultan Kelantan meminta supaya jangan berbuat apa-apa, maka jawab Duli Yang Maha Mulia Sultan itu kehendak rakyat akan ditimbangkan apa yang telah jadi, Sultan sains (tandatangan) juga, maka nampaklah sembah rakyat itu disia-siakan. 

Wakil dari PMK pula menyuarakan bantahannya terhadap Malayan Union dan mencadangkan supaya bantahan-bantahan segera dihantar kepada Kerajaan British antara lain menyatakan:

berkenaan dengan Malayan Union ia berkata tidak bersetuju dan tidak terima dalam perkara ini ia mengesyurkan supaya bantahan-bantahan kita itu dihantar dengan seberapa segera, satu daripadanya ialah menghantar telegram hantar kepada pihak berkuasa dan kemudian itu bolehlah diadakan jawatankuasa memeriksa memorandum itu. 

Kongres itu berakhir dengan membuat tiga keputusan penting, iaitu:

  1. Menubuhkan Persatuan Kebangsaan Melayu Bersatu (UMNO)
  2. Menolak Malayan Union
  3. Mengadakan Derma Pelajaran yang diusulkan oleh Dato Nik Ahmad Kamil dari cadangan Tengku Mahmud Mahyiddin. 

British dimalukan
Sir Edward Gent
1 April 1946 adalah tarikh besar buat British kerana pada hari tersbut mereka akan membuat pengumuman rasmi Malayan Union bertempat di Kelab Sultan Sulaiman. Pada tarikh tersebut jugalah semua perwakilan Melayu dan Sultan Melayu hadir teapi mereka tidak menghadiri upacara yang dianjurkan British itu. 

Bagaimanapun, British tetap meneruskan perisytiharan Malayan Union, tetapi ia hanya dihadiri oleh seorang pegawai tentera dalam Pasukan Askar Melayu untuk menyaksikan majlis angkat sumpah Sir Edward Gent sebagai Gabenor Malayan Union. 

Pemulauan Sultan-Sultan Melayu terhadap upacara British tersebut berlaku kerana pemimpin-pemimpin Melayu telah mendesak Sultan-Sultan Melayu agar tidak menghadiri upacara tersebut dan mengancam jika mereka hadir juga, rakyat Melayu tidak akan mengakuai mereka sebagai raja lagi. Pemimpin-pemimpin Melayu yang mendapat jemputan khusus dari British untuk dilantik sebagai anggota Majlis Undangan dengan nama Malayan Union Advisory Council juga memulaukan upcara tersebut walaupun pada awalnya mereka telah menyatakan kesediaan untuk hadir. Mereka telah menghantar sepucuk surat untuk menarik diri antara lain kandungannya berbunyi:
"Kami tidaklah sanggup hadir dalam istiadat yang dijalankan untuk mengkuburkan hak kami sebagai putera bumi negeri ini, juga kemerdekaan tanah kecintaan kami".
13 April 1946, PPMK telah mempersembahkan surat kepada KDYMM Sultan Kelantan menggesa baginda supaya tidak mengiktiraf Malayan Union. 11 Mei 1946, Kongres Melayu ketiga telah diadakan di Istana Besar, Johor Bharu di mana piagamnya telah ditandatangani oleh 29 buah pertubuhan yang hadir dan 7 lagi pertubuhan mennadatanganinya pada 29 Jun 1946, dalam persidangan UMNO yang diadakan di Ipoh.

PPMK tidak dapat hadir dalam kongres tersebut dan telah memberi mandat kepada  Haji Abdul Wahab bin Tok Muda Abdul Aziz [Panglima Bukit Gantang] wakil dari Perikatan Perak untuk menandatangani bagi pihak PPMK dan lahirlah UMNO secara rasmi.

Malayan Union Bubar
UMNO sebuah wadah orang Melayu yang wujud hasil dari kesepakatan pemimpin-pemimpin dan kesepaduan Melayu seluruh Semenanjung Tanah Melayu telah menggerakan satu usaha pemulauan kepada Malayan Union dengan menggesa orang-orang Melayu untuk berkabung selama seminggu sebagai menzahirkan rasa dukacita kepada pembentukan Malayan Union yang merampas kedaulatan bangsa Melayu.

Tidak lama selepas itu, British telah menghantar dua orang wakilnya untuk meninjau keadaan di Tanah Melayu, mereka adalah :

  • L.D. Gumans dari Parti Konservatif
  • Lt. Kol. D.R. Rees Willion dari Parti Buruh

Kehadiran mereka adalah untuk melihat reaksi penduduk Tanah Melayu tentang penerimaan dan pandangan mereka terhadap pembentukan Malayan Union. Mereka tiba di Tanah Melayu pada Mei 1946 dan melawat keseluruh negeri di Semenanjung.

Mereka tiba di Kota Bharu pada pertengahan Mei 1946 dan mereka telah disambut dengan perarakan orang-orang Melayu Kelantan yang secara terang dan nyata menentang Pembentukan Malayan Union. Ribuan umat Melayu Kelantan telah menyertai perarakan tersebut yang dianjurkan oleh Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan (PPMK).

Perarakan orang Melayu di Kota Bharu Mei 1946


Orang-orang Melayu bersatu padu dan menentang pembentukan Malayan Union itu dan ditambah British pada waktu itu menghadapi ancaman yang sama di India dan China serta beberapa koloni mereka di Asia telah memburukan keadaan ekonomi yang pada waktu itu berkembang dengan perlahan akibat Perang Dunia. Akhirnya British tunduk dan Malayan Union telah dibubarkan pada 1 Februari 1948 dan digantikan dengan Persekutuan Tanah Melayu.

Tokoh-Tokoh Kemerdekaan Kelantan
Dua bahagian artikel ini pada dasarnya hanyalah bertujuan untuk memperkenalkan tokoh-tokoh dari Kelantan yang memperjuangkan kemerdekaan negeri serta berusaha untuk menyatupadukan Bangsa Melayu di Semenanjung Tanah Melayu.

Sepanjang penyediaan artikel ini, dapat kita ketahui bahawa Kelantan bukanlah negeri pasif seperti yang kita ketahui sebelum ini. Kewujudan PPMK dan PMK menunjukkan bahawa rakyat Kelantan telah mempunyai kesedaran dan kesepakatan untuk bersatu. Persatuan ini jelas berfungsi apabila mereka telah berjaya menggerakan puluhan ribu rakyat untuk berkumpul serta melancarkan demontrasi dalam membantah sesuatu yang bertentangan dengan aspirasi mereka. Tindakan ini mungkin boleh dipandang serong, tetapi ianya satu langkah berkesan dalam menzahirkan apa yang terbuku dalam hati.

Berikut senarai persatuan dan tokoh kemerdekaan dari Kelantan:

  • Persekutuan Persetiaan Melau Kelantan (PPMK)
  • Persatuan Melayu Kelantan (PMK)
Tokoh:
  • Haji Fadullah Suhaimi (PPMK)
  • Mohamad bin Busu (PPMK)
  • Haji Ishak Lotfi Omar (PPMK)
  • Ishak Hamid (PPMK)
  • Cik Kamariah (PPMK)
  • Dato Nik Ahmad Kamil (PMK)
  • Ahmad Maher Ismail (PMK)
  • Ismail Ibrahim (PMK)
Dato' Ishak Lotfi 

Tan Sri Nik Ahmad Kamil
Datin Cik Kamariah Idris

Dato Ahmad Maher

Sama-sama kita sedekahkan bacaan Al-Fatihah buat Tokoh Kemerdekaan Negeri Kelantan. Semoga mereka ditempatkan dikalangan orang-orang beriman. Amin.


http://pondokrahmat.blogspot.nl/2014/02/rakyat-kelantan-tentang-malayan-union.html
http://pondokrahmat.blogspot.nl/2014/01/smk-dato-ahmad-maher-diharap-terus.html
http://trendsetter21century.wordpress.com/2013/10/23/malayan-union-2/
http://pembentukanmalayanunion.weebly.com/latar-belakang.html


No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...