SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Saturday 9 August 2014

Nik Ahmad Kamil Perintis Kemerdekaan Kelantan

Tan Sri Nik Ahmad Kamil (1909-1977)

Jejak Warisan...
Penduduk jajahan Pasir Puteh, Kelantan pasti biasa mendengar nama Kamil tetapi mereka tidak tahu dengan jelas kenapa nama itu diabadikan pada sekolah tersohor khususnya di Pasir Puteh dan amnya di Kelantan. Sekolah tersebut ditubuhkan pada 1954 dengan nama Government English School, dan pada tahun yang seterusnya (1955) ianya ditukar kepada Kamil English mengambil nama Menteri Besar Kelantan iaitu Dato Nik Ahmad Kamil (Tan Sri). 1961 ia mula dikenali dengan nama Sekolah Menengah Kamil. Begitulah secara ringkas bagaimana nama individu penting kepada Malaysia ini tercatat pada sekolah tersebut.

Dato Nik Mahmud
Latar Diri...
Nik Ahmad Kamil merupakan anak kepada Nik Mahmud Nik Ismail yang juga merupakan Menteri Besar Kelantan yang ke-11 (1921-1944). Beliau dilahirkan pada 7 Julai 1909 di Kota Bharu, Kelantan dalam keluarga bangsawan. Ringkasnya, sewaktu beliau dilahirkan, Kelantan sedang mengalami perubahan politik kerana pada waktu itu, negeri Kelantan telah diletakkan dalam Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu di bawah pentadbiran Residen British. Sebelum itu, Kelantan merupakan sebuah negeri dibawah lindungan Siam.

British mencampuri segala hal ehwal pentadbiran Negeri kecuali mereka memberi autonomi kepada Kerajaan Kelantan pada waktu itu untuk mentadbir adat istiadat dan agama negeri Kelantan. Ayah dan Datuknya merupakan Ulama Kelantan yang terbilang. Datuknya Nik Islamil merupakan sahabat kepada Syeikh Ahmad al-Fatani, seorang Ulama yang aktif di Kota Mekah yang sentiasa dikenang oleh penduduk Nusantara. Ayahnya Nik Mahmud pula merupakan sahabat kepada Tok Kenali.

Jalur keluarga Nik Ahmad Kamil adalah sebaik-baik jalur keluarga kerana keluarga beliau adalah bangsawan dan juga keluarga alim ulama. Semenjak dari kecil lagi beliau mendapat pendidikan awal daripada bapanya Nik Mahmud. Kemudian, beliau menadah kitab di Madrasah Muhammadi. Seterusnya beliau telah sambung pelajaran dalam pendidikan formal di Malay College Kuala Kangsar (MCKK). 1926, beliau telah belayar ke London, UK untuk memulakan pelajaran pada peringkat Universiti.

Beliau telah mengambil kursus Undang-Undang di University of Bristol dengan bantuan Sir Lawrence Guilermard atas tajaan Majlis Agama Islam Kelantan yang pada waktu itu dikelolakan oleh Tok Kenali. Kejayaan ini telah memahatkan nama Nik Ahmad Kamil sebagai pelajar Melayu pertama yang berjaya menempatkan diri dalam Universiti Inggeris. Ia satu penghormatan yang besar buat bangsa Melayu pada waktu itu. Beliau menamatkan pengajian pendidikan di "Inss of Court" pada 1929, seterusnya memasuki Bar Peguam pada 1930.

Membina Nama...
1931, beliau telah kembali ke Kelantan dan mula menyertai perkhidmatan Kerajaan Negeri. Beliau telah memegang pelbagai jawatan sehingga 1934 apabila dilantik sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri ketika berusia 25 tahun. Perlantikan beliau adalah penggantian bapa saudaranya, Dato Muhammad Tok Khatib Mohd Said.

Pada 27 Disember 1945, Dato Nik Mahmud Nik Ismail telah meletak jawatan sebagai Menteri Besar dan digantikan oleh anaknya Nik Ahmad Kamil sehingga tahun 1953. Kronologi perkhidmatan awam Nik Ahmad Kami sememangnya unik, kerana beliau telah berkhidmat pada era dunia yang penuh pancaroba yakni sewaktu pemerintahan British sebelum Perang Dunia ke-2 dan pemerintahan Siam selaku Proksi Jepun.

British telah melantik beliau sebagai Timbalan Komissioner Residen sewaktu pembentukan Malayan Union di Kelantan sepanjang 1946-1948. 1946 juga Dato Onn Jaafar telah meminta Nik Ahmad Kamil untuk menggubal Perlembagaan UMNO bagi menyatukan menyatukan Bangsa Melayu yang mempunyai 9 Raja. Kenalan beliau di London yang juga merupakan lulusan Undang-Undang telah menubuhkan sebuah pertubuhan yang dikenali sebagai MENSA (kumpulan orang bijaksana, waras dan berpegang kepada al-Kitab sebagai rujukan) dan ia telah menjadi rujukan kepada Institusi di Raja.

1952, HM Queen Elizabeth II telah menaiki takhta Istana Buckingham serentak juga pentadbiran Empayar British di bawah kendalian beliau. Nik Ahmad Kamil telah dirujuk oleh Istana Buckingham untuk menggubal semula undang-undang bagi lebih 50 buah negara di bawah Komanwel, kerana beliau adalah salah seorang pakar Undang-Undang pada waktu itu.

Pembabitan dalam Kemerdekaan 1957
Sewaktu penubuhan Malayan Union dalam 1946, Dato Nik Ahmad Kamil selaku Menteri Besar Kelantan pada waktu itu telah menjadi perwakilan kepada Rakyat Kelantan melalui Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan (PPMK) dan Persatuan Melayu Kelantan (PMK) telah mengadakan perarakan bagi membantah gagasan Malayan Union. 11-12 Mei 1946, Dato Nik Ahmad Kamil dan beberapa pemimpin Kelantan telah menghadiri Kongres Pan-Malayan. Kongres ini telah sebulat suara untuk menubuhkan United Malays National Organisation (UMNO) dengan Dato' Onn Jaafar dilantik sebagai Presiden UMNO pertama pada 1946.

Dato Nik Ahmad Kamil pula telah dilantik sebagai Jawatankuasa Eksekutif bersama-sama Datuk Onn Jaafar, Datuk Panglima Bukit Gantang, Datuk Hamzah Abdullah dan Zaaba untuk melakar charter dan Perlembagaan UMNO yang baru ditubuhkan dengan persetujuan Kongres Melayu. Pengelibatan Dato Nik Ahmad Kamil sebagai Ahli Jawatankuasa Eksekutif UMNO telah melibatkan beliau dengan lebih mendalam dalam gerakkan politik kebangsaan.

Sebelum Merdeka, pucuk pimpinan UMNO telah mengalami pergolakkan dan dipenghujung kemelut tersebut, Dato Onn telah keluar dari UMNO dan menyertai Independence of Malaya Party - IMP pada 1951, seterusnya pada 1954 beliau telah menubuhkan Parti Negara. Dato Nik Ahmad Kamil merupakan sahabat sejati bersama-sama dengan Dato Onn dengan aspirasi Kemerdekaan pada waktu itu.

1955, Dato Nik Ahmad Kamil telah bersara dari perkhidmatan kerajaan dan bertanding sebagai calon Parti Negara di Kelantan, namun beliau telah tewas, serentak dengan itu pandangannya terhadap Parti Negara bahawa parti tersebut bukan lagi kuasa politik dan kembali menyertai UMNO.

Berdasarkan kepada latar belakangnya dalam Undang-Undang dan peranan dalam Majlis Raja-Raja yang mewakili Sultan dalam Jawatankuasa Kecil Undang-Undang telah membuatkan pimpinan UMNO yang diterajui oleh Tunku Abdul Rahman menerima kembali penyertaan beliau dan dilantik sebagai Ahli Majlis Perundangan dan Eksekutif bagi Tanah, Perlombongan dan Komunikasi dan kemudian sebagai Ahli bagi Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Perancang Bandar.

Diplomat
Beliau kemudian dilantik mewakili Sultan-Sultan Melayu ke Persidangan Perlembagaan Merdeka di London pada 1956 bersama-sama Abdul Aziz Abdul Majid - Menteri Besar Selangor, Datuk Panglima Bukit Gantang - Menteri Besar Perak dan Datuk Seth Mohd Said - Menteri Besar Johor untuk berunding dengan Kerajaan British bagi kemerdekaan Tanah Melayu. Mereka berjaya dan kini kita kecapinya!

Keberkesanan diplomasi Dato Nik Ahmad Kamil dalam rundingan kemerdekaan telah meyakinkan kerajaan Persekutuan Tanah Melayu untuk melantik beliau sebagai Setiausaha Tetap Kementerian Luar Negeri, Pesuruhjaya Tinggi Tanah Melayu ke Australia (1956-1957), Pesuruhjaya Tinggi Malaya ke United Kingdom (1957-1958), Duta Besar ke Amerka Syarikat dan Wakil Tetap Malaya ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (1959-1952).

Dalam pilihanraya 1959, beliau telah bertanding di Parlimen Hilir Kota Bharu dan menewaskan calon PAS, seterusnya beliau sentiasa beroleh kemenangan dalam Pilihanraya Umum 1964 dan 1969. Tahun 1971, Dato Nik Ahmad Kamil telah dilantik sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat, seterusnya dilantik sebagai Spekaer pada 4 November 1974.

1977, beliau beliau telah ditakdirkan kembali ke Rahmatullah.

PPSK: IKUTI ARTIKEL SETERUSNYA UNTUK MENYOROTI PERKEMBANGAN KELANTAN DALAM MERINTIS KEMERDEKAAN.



http://pondokrahmat.blogspot.nl/search/label/Kelantan%20Dalam%20Sejarah
http://pondokrahmat.blogspot.nl/2014/02/rakyat-kelantan-tentang-malayan-union.html
http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2004&dt=0315&sec=Bicara_Agama&pg=ba_01.htm
http://sejarahkelantan.wordpress.com/2012/09/18/nik-ahmad-kamil-bin-nik-mahmud-tokoh-melayu-kelantan-serta-malaysia/
http://www.mensa.org/

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...