SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Saturday 30 August 2014

KELANTAN DALAM DUNIA PELAYARAN

PENDAHULUAN
Orang Kelantan zaman berzaman terkenal sebagai orang yang suka merantau. Segenap pelusuk Malaysia pasti ada kelompok manusia yang bertutur dialek Kelantan. Ini membuatkan orang hairan bagaimana orang Kelantan boleh sampai ke Mersing, Johor. 

Lalu, di selidik. Mereka mungkin tiba kesana dengan memudiki sampan mengikut Sungai Kelantan hingga ke Jalan Penarikan. Betul itu adalah salah satu laluan pelayaran orang dahulu. Tetapi bertambah hairan bagaimana orang Kelantan boleh sampai sejauh pulau Jawa dan Sumatera.  Jawapannya, mereka bergerak degan KAPAL.

Itu sedikit penjelasan kaitan pelayaran orang-orang Kelantan zaman berzaman. Artikel kali ini kami soroti perkembangan pelayaran orang-orang Kelantan secara umum.

DAHULU KALA
Catatan rekod silam sudah menyatakan bahawa Chih Tu nama yang dicatat oleh pengembara China yang diterjemah dari nama Raktamrittika yang membawa maksud Tanah Merah mempunyai hubungan dengan Funan sebuah kerajaan kuno yang terletak di Kemboja hari ini. Ia juga didatangi oleh China.

Bagaimana mereka berhubung? Berjalan kaki atau menaiki gajah?

Ia tidak munasabah. Justeru, Kapal adalah pengangkutan utama mereka. Hal ini sedaya upaya mahu dipadam oleh penjajah, namun mereka tidak mampu. Isu kapal dalam pengkajian sejarah silam adalah amat kompleks kerana ia sudah menjadi suatu subjek mainstream yang dibincangkan pada peringkat antarabangsa. Hakikatnya, Kelantan tidak pernah sunyi dengan kaitan sejarah purba, ini menjadikan negeri Kelantan unik.

Ringkasnya, sewaktu Kelantan yang dikenali sebagai Chih Tu, mereka telah berhubung baik dari segi diplomasi dan perdagangan, jadi pasti kapal digunakan.

Contoh Kapal Layar Melayu tahun 1900
Pada tahun-tahun 1900 dicatatkan sejumlah 6000 pelbagai jenis alat layar (kapal, perahu, dan rakit) diberi lesen oleh Kesultanan Kelantan untuk beroperasi sepanjang Sungai Kelantan. Juga dicatatkan pada tahun tersebut terdapat Payang dan Lancang dari Kelantan yang belayar sehingga ke Singapura, Campa, dan Jawa.

Ianya digunakan untuk mengangkut barang dagangan dari kawasan pedalaman Kelantan ke Kota Bharu untuk dieksport ke Singapura. Sungai Nyior, Palekbang dahulu terkenal sebagai perkampungan yang menjadi pelabuhan Kota Bharu.




Dua gambar di atas menggambarkan suasana di Sungai Kelantan pada tahun 1907. Kelihatan perahu-perahu ditambat, ianya digunakan untuk mengangkut hasil serta produk dari serata Kelantan seperti Lembu, Kelapa, Pinang & Hasil Hutan dan menggunakan Kapal Layar pada gambar pertama untuk di eksport ke Singapura.

Kapal Steam
Kelantan sewaktu era pemerintahan Sultan Muhammad IV telah menyediakan perkhidmatan kapal berkuasa steam bagi meningkatkan pengeluaran hasil dari pedalaman Kelantan serta memudahkan pergerakkan rakyatnya. Peningkatan perkhidmatan pengangkutan dari kapal tradisional kepada kapal moden menunjukkan bahawa Kesultanan Kelantan itu sangat proaktif memajukan fasiliti setanding negeri-negeri maju yang ada di semenanjung waktu itu. Bagaimanapun, ianya dijalankan oleh syarikat barat yang berkepentingan.


Pada masa tersebut dua syarikat beroperasi di Kelantan iaitu The Duff Development Steamer dan The East Asiatic Company Ltd. Duff Company diketahui adalah syarikat yang telah diberi konsesi oleh Kesultanan Kelantan untuk memajukan kawasan Hulu Kelantan di mana ia menyediakan perkhidmatan local untuk ulang alik antara:

  • Kota Bharu - Pasir Mas
  • Kota Bharu - Tanah Merah
  • Kota Bharu - Batu Mengkebang
Syarikat East Asiatic pula adalah sebuah syarikat pengangkutan dari Denmark yang menjalankan perkhidmatan khusus menghubungkan:
  • Kelantan - Singapura (2 hari setengah pelayaran)
  • Kelantan - Bangkok (7 hari pelayaran)

Bot Stim The Duff Development Steamer


Syarikat Perkapalan
Kelantan Lighterage Syndicate merupakan syarikat perkapalan yang beroperasi di Kelantan, bagaimanapun ia adalah salah satu syarikat East Steamship Company yang beribu pejabat di Singapura. Ia menamakan sebuah kapal stim dengan nama Kelantan.


Kelantan.
Pada awalnya ia adalah sebuah kapal stim, bagaimanapun enjinnya telah ditukar kepada enjin berkuasa diesel pada 1937 untuk meningkatkan keupayaan kapal tersebut belayar. Syarikat ini mejadikan Tumpat sebagai pelabuhan utama di Kelantan selain dari Sungai Nyior di Palekbang untuk pelabuhan Kota Bharu.

Ketika Perang Dunia Kedua meletus, kapal-kapal syarikat East Steamship telah ditukar fungsinya menjadi kapal perang. Kelantan telah ditauliahkan untuk menjadi kapal peronda seterusnya ia berkhidmat sebagai kapal ranjau oleh tentera laut sebelum ia karam di Singapura pada 1953.

Kelantan sebelum karam.

Pelabuhan
Sebelum pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra, Palekbang atau lebih tepat Kampung Nyior merupakan pelabuhan di Kota Bharu. Palekbang menjadi pilihan untuk berlabuh kerana ia mempunyai yang air yang dalam berbanding ditebing sungai sebelah Kota Bharu. Kerana itu, kapal besar tidak dapat berlabuh di Tambatan DiRaja.

Gambaran di Pelabuhan Palekbang

Tinggalan Sejarah : Kesan Pelabuhan Palekbang

Tinggalan Sejarah : Dock Yard di Pelabuhan Palekbang

Tinggalan Sejarah : Jeti Kastam, Kota Bharu

Kewujudan Pelabuhan Palekbang sebenarnya hampir tidak diketahui oleh generasi muda, kerana ia kini langsung tidak berfungsi, malah lokasinya hampir tidak diketahuai. Ia berikutan masalah banjir besar yang sering berlaku menyebabkan pelabuhan ini tenggelam dalam lumpur dan sukar untuk dibaik pulih pada masa tersebut.

Tumpat pula sememangnya dicatat sebagai satu pelabuhan laut dalam Kelantan yang berfungsi untuk mengangkut bijih besi dari Hulu Kelantan menggunakan keretapi. Ia jarang digunakan sebagai pelabuhan domestik sepertimana pelabuhan palekbang.

Bandar Tumpat pula sebenarnya adalah Bandar Pelabuhan tetapi fungsinya terus lupus setelah pecah Perang Dunia Ke-Dua kerana ia telah diserang dengan bom yang digugurkan oleh tentera Jepun. Ia pula tidak dapat dibangunkan kembali kerana masalah hakmilik yang masih berkuat kuasa, berikutan aset-aset di Tumpat kebanyakkan kepunyaan British selain geografinya yang sukar untuk dibangunkan kembali.



Jambatan Bijih Tumpat

Menunggu masa...

Di kemuncak kemajuan Pelabuhan Tumpat dan Pelabuhan Palekbang ia telah dihubungkan dengan keretapi bagi meningkatkan mobiliti penduduk serta penghantaran barang eksport. Pada masa tersebut British giat meningkatkan hasil dari Hulu Kelantan. 


Stesen Keretapi Kota Bharu (Palekbang)

Stesen Keretapi Kota Bharu, tinggal sejarah...
Kerajaan Negeri Kelantan dalam kenyataan mereka baru-baru ini menjelaskan kontrak untuk membangunkan Pelabuhan Tumpat telah diluluskan semenjak 1995, tetapi pemaju terbabit gagal untuk menjalankan kerja-kerja mereka.

Sebagai anak negeri, kita amat berharap agar warisan dan artifak bersejarah dapat dipulihara dengan baik agar ia terus kekal dan sebagai peringatan bahawa negeri kita juga pernah disinggahi kapal-kapal besar, walaupun pada waktu itu ia dimanipulasi oleh bangsa asing.

Nelayan Kelantan 1908


Rujukan:
http://www.merchantnavyofficers.com/straits2.html
http://theearlymalaydoctors.blogspot.nl/2011_10_15_archive.html
http://theearlymalaydoctors.blogspot.nl/
http://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised/Article/straitstimes19380410-1.2.69.aspx
http://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised/Article/singfreepressb19330403-1.2.82.1.aspx
http://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised/Article/straitstimes19400709.2.64.aspx
http://7seasvessels.com/?cat=327
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140605/dn_20/Pembinaan-pelabuhan-Tumpat-gagal
http://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised/Article/straitstimes19101207.2.69.aspx
http://en.wikipedia.org/wiki/East_Asiatic_Company

1 comment:

AsriJr said...

Salam sejahtera

Saya bukan anak kelantan, walau pun bgtu saya harap dapat dikembalikan pelabuhan yg membolehkan kapal2 besar berlabuh di kelantan termasuk kapal pelancongan....

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...