SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Sunday 31 August 2014

EDISI KHAS MERDEKA - Kebangkitan Jihad Ulama ke Atas British di Kelantan

Oleh : Admin Kouru Amei


Peranan ulama dalam membangkitkan perang jihad dan melancarkan perang sabil ke atas penjajah kuffar di Tanah Melayu yang terhenti selepas kekalahan Pattani pada 1876 kembali memuncak pada awal 1900. Tiga pemberontakan yang dipimpin oleh ulama di Pahang, Singapura, Kelantan dan Terengganu mempunyai hubungan yang rapat dengan pengaruh Othmaniyah. Sama ada kerana semangat jihad yang dibangkitkan oleh Sheikhul Islam Othmaniyah atau kerana Pan-Islamisme, yang penting ke semua kebangkitan ini berlaku atas nama jihad, dipimpin oleh ulama dan bertujuan mempertahankan Islam Othmaniyah.

Beberapa ketika selepas tercetusnya pemberontakan Dahagi di Singapura, telah tersebar berita bahawa British akan kalah dalam peperangan menentang kerajaan Othmaniyah di wilayah-wilayah umat Islam di seluruh dunia. Agen perisikan Jerman memainkan peranan untuk mempengaruhi pemikiran rakyat Kelantan. Dalam masa yang sama, kepulangan seorang ulama-hulubalang dari Mekah setelah hamper sepuluh tahun belajar di Mekah telah mengubah kesedaran tersebut kepada tindakan yang lebih agresif untuk mengalahkan British. British menguasai Kelantan melalui Penasihatnya semenjak 1903, dan diserahkan oleh Siam sepenuhnya pada 1909 melalui Perjanjian Bangkok.

Tok Janggut atau Haji Mat Hassan Munas sebelum ke Mekah adalah hulubalang dalam Istana Jeram. Beliau adalah sepupu kepada Tuan Guru Haji Ismail yang bertanggungjawab membawanya ke Mekah dan dikatakan berguru dengan Sheikh Ahmad al-Fathani. Melalui gurunya, beliau didedahkan tentang Khilafah Othmaniyah dan diarahkan berjihad untuk memerdekakan Kelantan daripada penjajah kuffar. Kepulangan beliau ke Kelantan pada 1909, iaitu hampir serentak dengan kepulangan Tok Kenali selepas kematian Sheikh Ahmad. Seperti mana Tok Kenali juga yang terlibat dalam pentadbiran kerajaan bersama Datuk Nik Mahmud dan Dato’ Laksamana, Tok Janggut terlibat dalam pentadbiran kerajaan Jeram.

Perubahan sistem pentadbiran jajahan pada 1904 dan kehadiran wakil British, En. Latiff dari Singapura sebagai Ketua Jajahan menjejaskan kedudukan Engku Besar Jeram sebagai pembesar tradisional. Sebelum ke Mekah, Tok Janggut dikatakan mempunyai hubungan dengan pejuang Pahang yang berlindung di Kelantan seperti Mat Kilau, Tok Gajah dan Dato’ Bahaman. Ini memberikan inspirasi kepada Tok Janggut tentang kesan campur tangan kuasa asing di Kelantan, seperti mana jatuhnya Pattani di Siam pada 1786. Berkebetulan pada Ogos 1914 telah berlaku ketegangan memuncak antara Britain, Perancis dan Russia di satu pihak dengan Jerman, Austria dan kerajaan Othmaniyah di satu pihak yang membawa kepada Perang Dunia Pertama.

Britain telah memaksa Sultan Kelantan supaya menyokong mereka dan mendoakan supaya mereka beroleh kemenangan. “Haji dan lebai” juga mesti berdoa supaya mereka untuk Britain dan tindakan akan diambil jika arahan tidak dipatuhi. Arahan aneh ini dilihat oleh Tok Janggut sebagai satu penghinaan kepada ulama dan umat Islam. Dalam masa yang sama Sultan Kelantan dipaksa untuk melarang rakyat Kelantan menyebelahi, menyokong atau simpati kepada kerajaan Othmaniyah. Mereka mengeluarkan propaganda bahawa jika kerajaan Othmaniyah mengalahkan British, seluruh bumi Islam termasuk Mekah akan dikuasai Jerman. Ini bertentangan dengan gagasan khilafah yang pernah dibuat oleh Sheikh Ahmad supaya semua kerajaan Melayu Islam bernaung di bawah kerajaan Othmaniyah.

Fatwa Jihadi Ekbar Fardi Ayn ke atas British oleh Sheikhul Islam Othmaniyah atas alasan kerajaan Othmaniyah berkewajipan mempertahankan setiap inci bumi orang islam telah mempengaruhi penduduk Kelantan dengan cepat. British bertindak balas melarang akhbar-akhbar menyiarkan berita peperangan British dengan kerajaan Othmaniyah. Pemberontakan Dahagi di Singapura turut mempercepatkan kebangkitan rakyat Kelantan, dan faktor-faktor seperti masalah cukai, kehadiran En. Latiff dan pembunuhan Sarjan Che Wan hanya menyegerakan penentangan sahaja.

Bagi menyahut seruan jihad Othmaniyah itu, pada 23 April 1915, Tok Janggut bersama pengikutnya telah berpakat dan menyusun strategi untuk menyerang British di Pasir Puteh. Serentak dengan itu, En. Latiff bagi pihak British telah menghantar Sarjan Che Wan Sulaiman bersama dua mata-mat untuk menangkap Tok Janggut, tetatpi gagal. Sebaliknya Sarjan Che Wan terbunuh. En. Latiff gagal mendapat bantuan daripada Kweng (Penghulu) Gaal dan Kok Berangan untuk menyekat kemaraan Tok Janggut sehingga memaksa En. Latiff berundur ke Kota Bharu. Ini membolehkan Tok Janggut menguasai Pasir Puteh dengan mudah. Engku Jeram Besar diangkat sebagai Raja, manakala Tok Janggut menjadi Perdana Menteri.

Esoknya, British menerima laporan kejatuhan Pasir Puteh ke tangan Tok Janggut dan mendapatkan bantuan tentera dari Singapura. Beberapa pengikut Tok Janggut seperti Mat Pak Ya dan Mat Saman bersiap untuk menyerang Kuala Krai. Sebagai langkah berjaga-jaga, Sultan Mohammed Ke-IV telah menghantar Dato’ Menteri Mohd Hassan Salleh dan Dato’ Nik Mahmud ke Pasir Puteh untuk berunding. Tok Janggut telah memberi tahu bahawa mereka bukan menentang Sultan Kelantan, tetapi menolak penjajahan British. Walau bagaimanapun, atas paksaan British, Sultan Kelantan mengisytiharkan Tok Janggut sebagai penderhaka dan memerintah supaya Tok Janggut di tangkap.

Pada 3 Mei 1915, 239 tentera British dari Singapura bertolak ke Kelantan dan tiba pada 5 Mei dan mengarahkan kapal HMS Calmus berkawal di Kuala Semerak kerana dibimbangi Tok Janggut mendapat bantuan kerajaan Othmaniyah atau Jerman. 50 askar berkawal di Tanah Merah dan Gunong, dan pada 8 Mei 1915 askar British mula bergerak ke Pasir Puteh. Sultan Kelantan pula dipaksa mengeluarkan arahan menyerah diri kepada Sultan atau British. Sebaliknya, di Pasir Puteh, Tok Janggut dan Engku Besar Jeram bersama pengikutnya menolak penyerahan dan mengisytiharkan jihad dan perang sabil ke atas British.

Pada 24 Mei 1915, British telah menggeledah rumah Khatib Abu Bakar kerana dipercayai menjadi tempat perlindungan Tok Janggut. Khatib Abu Bakar menjadi syahid pertama dalam gerakan jihad ini. Kemudian askar British dan penyokong Tok Janggut bertempur di Kampung Dalam Pupoh, dekat Jeram. Dalam pertempuran ini, Tok Janggut bersama Tok Abbas dan Tok Hussein telah syahid. Engku Besar Jeram berjaya melarikan diri ke Reman, manakala 14 lagi pengikut Tok Janggut telah diburu oleh polis.

Pemberontakan Tok Janggut kerana sentiment jihad ini seolah-olah tidak mendapat dukungan daripada murid-murid Sheikh Ahmad yang berpengaruh di Kelantan seperti Tok Kenali, Dato’ Nik Mahmud dan Dato’ Laksamana. Sebenarnya, tekanan British ke atas Sultan Kelantan telah menghilangkan peranan mereka. Lebih-lebih lagi Sultan Kelantan terpaksa bertindak ke atas Engku Besar Jeram ekoran pergolakan dalam istana apabila Tengku Bendahara dan Tengku Chik Penambang yang sedang menuntut takhta menyokong Engku Besar Jeram. Keadaan ini memaksa Sultan Mohammed Ke-IV untuk bertindak ke atas Tok Janggut, sekaligus menutup ruang untuk ulama menyokong gerakan jihad ini.

Saturday 30 August 2014

KELANTAN DALAM DUNIA PELAYARAN

PENDAHULUAN
Orang Kelantan zaman berzaman terkenal sebagai orang yang suka merantau. Segenap pelusuk Malaysia pasti ada kelompok manusia yang bertutur dialek Kelantan. Ini membuatkan orang hairan bagaimana orang Kelantan boleh sampai ke Mersing, Johor. 

Lalu, di selidik. Mereka mungkin tiba kesana dengan memudiki sampan mengikut Sungai Kelantan hingga ke Jalan Penarikan. Betul itu adalah salah satu laluan pelayaran orang dahulu. Tetapi bertambah hairan bagaimana orang Kelantan boleh sampai sejauh pulau Jawa dan Sumatera.  Jawapannya, mereka bergerak degan KAPAL.

Itu sedikit penjelasan kaitan pelayaran orang-orang Kelantan zaman berzaman. Artikel kali ini kami soroti perkembangan pelayaran orang-orang Kelantan secara umum.

DAHULU KALA
Catatan rekod silam sudah menyatakan bahawa Chih Tu nama yang dicatat oleh pengembara China yang diterjemah dari nama Raktamrittika yang membawa maksud Tanah Merah mempunyai hubungan dengan Funan sebuah kerajaan kuno yang terletak di Kemboja hari ini. Ia juga didatangi oleh China.

Bagaimana mereka berhubung? Berjalan kaki atau menaiki gajah?

Ia tidak munasabah. Justeru, Kapal adalah pengangkutan utama mereka. Hal ini sedaya upaya mahu dipadam oleh penjajah, namun mereka tidak mampu. Isu kapal dalam pengkajian sejarah silam adalah amat kompleks kerana ia sudah menjadi suatu subjek mainstream yang dibincangkan pada peringkat antarabangsa. Hakikatnya, Kelantan tidak pernah sunyi dengan kaitan sejarah purba, ini menjadikan negeri Kelantan unik.

Ringkasnya, sewaktu Kelantan yang dikenali sebagai Chih Tu, mereka telah berhubung baik dari segi diplomasi dan perdagangan, jadi pasti kapal digunakan.

Contoh Kapal Layar Melayu tahun 1900
Pada tahun-tahun 1900 dicatatkan sejumlah 6000 pelbagai jenis alat layar (kapal, perahu, dan rakit) diberi lesen oleh Kesultanan Kelantan untuk beroperasi sepanjang Sungai Kelantan. Juga dicatatkan pada tahun tersebut terdapat Payang dan Lancang dari Kelantan yang belayar sehingga ke Singapura, Campa, dan Jawa.

Ianya digunakan untuk mengangkut barang dagangan dari kawasan pedalaman Kelantan ke Kota Bharu untuk dieksport ke Singapura. Sungai Nyior, Palekbang dahulu terkenal sebagai perkampungan yang menjadi pelabuhan Kota Bharu.




Dua gambar di atas menggambarkan suasana di Sungai Kelantan pada tahun 1907. Kelihatan perahu-perahu ditambat, ianya digunakan untuk mengangkut hasil serta produk dari serata Kelantan seperti Lembu, Kelapa, Pinang & Hasil Hutan dan menggunakan Kapal Layar pada gambar pertama untuk di eksport ke Singapura.

Kapal Steam
Kelantan sewaktu era pemerintahan Sultan Muhammad IV telah menyediakan perkhidmatan kapal berkuasa steam bagi meningkatkan pengeluaran hasil dari pedalaman Kelantan serta memudahkan pergerakkan rakyatnya. Peningkatan perkhidmatan pengangkutan dari kapal tradisional kepada kapal moden menunjukkan bahawa Kesultanan Kelantan itu sangat proaktif memajukan fasiliti setanding negeri-negeri maju yang ada di semenanjung waktu itu. Bagaimanapun, ianya dijalankan oleh syarikat barat yang berkepentingan.


Pada masa tersebut dua syarikat beroperasi di Kelantan iaitu The Duff Development Steamer dan The East Asiatic Company Ltd. Duff Company diketahui adalah syarikat yang telah diberi konsesi oleh Kesultanan Kelantan untuk memajukan kawasan Hulu Kelantan di mana ia menyediakan perkhidmatan local untuk ulang alik antara:

  • Kota Bharu - Pasir Mas
  • Kota Bharu - Tanah Merah
  • Kota Bharu - Batu Mengkebang
Syarikat East Asiatic pula adalah sebuah syarikat pengangkutan dari Denmark yang menjalankan perkhidmatan khusus menghubungkan:
  • Kelantan - Singapura (2 hari setengah pelayaran)
  • Kelantan - Bangkok (7 hari pelayaran)

Bot Stim The Duff Development Steamer


Syarikat Perkapalan
Kelantan Lighterage Syndicate merupakan syarikat perkapalan yang beroperasi di Kelantan, bagaimanapun ia adalah salah satu syarikat East Steamship Company yang beribu pejabat di Singapura. Ia menamakan sebuah kapal stim dengan nama Kelantan.


Kelantan.
Pada awalnya ia adalah sebuah kapal stim, bagaimanapun enjinnya telah ditukar kepada enjin berkuasa diesel pada 1937 untuk meningkatkan keupayaan kapal tersebut belayar. Syarikat ini mejadikan Tumpat sebagai pelabuhan utama di Kelantan selain dari Sungai Nyior di Palekbang untuk pelabuhan Kota Bharu.

Ketika Perang Dunia Kedua meletus, kapal-kapal syarikat East Steamship telah ditukar fungsinya menjadi kapal perang. Kelantan telah ditauliahkan untuk menjadi kapal peronda seterusnya ia berkhidmat sebagai kapal ranjau oleh tentera laut sebelum ia karam di Singapura pada 1953.

Kelantan sebelum karam.

Pelabuhan
Sebelum pembinaan Jambatan Sultan Yahya Petra, Palekbang atau lebih tepat Kampung Nyior merupakan pelabuhan di Kota Bharu. Palekbang menjadi pilihan untuk berlabuh kerana ia mempunyai yang air yang dalam berbanding ditebing sungai sebelah Kota Bharu. Kerana itu, kapal besar tidak dapat berlabuh di Tambatan DiRaja.

Gambaran di Pelabuhan Palekbang

Tinggalan Sejarah : Kesan Pelabuhan Palekbang

Tinggalan Sejarah : Dock Yard di Pelabuhan Palekbang

Tinggalan Sejarah : Jeti Kastam, Kota Bharu

Kewujudan Pelabuhan Palekbang sebenarnya hampir tidak diketahui oleh generasi muda, kerana ia kini langsung tidak berfungsi, malah lokasinya hampir tidak diketahuai. Ia berikutan masalah banjir besar yang sering berlaku menyebabkan pelabuhan ini tenggelam dalam lumpur dan sukar untuk dibaik pulih pada masa tersebut.

Tumpat pula sememangnya dicatat sebagai satu pelabuhan laut dalam Kelantan yang berfungsi untuk mengangkut bijih besi dari Hulu Kelantan menggunakan keretapi. Ia jarang digunakan sebagai pelabuhan domestik sepertimana pelabuhan palekbang.

Bandar Tumpat pula sebenarnya adalah Bandar Pelabuhan tetapi fungsinya terus lupus setelah pecah Perang Dunia Ke-Dua kerana ia telah diserang dengan bom yang digugurkan oleh tentera Jepun. Ia pula tidak dapat dibangunkan kembali kerana masalah hakmilik yang masih berkuat kuasa, berikutan aset-aset di Tumpat kebanyakkan kepunyaan British selain geografinya yang sukar untuk dibangunkan kembali.



Jambatan Bijih Tumpat

Menunggu masa...

Di kemuncak kemajuan Pelabuhan Tumpat dan Pelabuhan Palekbang ia telah dihubungkan dengan keretapi bagi meningkatkan mobiliti penduduk serta penghantaran barang eksport. Pada masa tersebut British giat meningkatkan hasil dari Hulu Kelantan. 


Stesen Keretapi Kota Bharu (Palekbang)

Stesen Keretapi Kota Bharu, tinggal sejarah...
Kerajaan Negeri Kelantan dalam kenyataan mereka baru-baru ini menjelaskan kontrak untuk membangunkan Pelabuhan Tumpat telah diluluskan semenjak 1995, tetapi pemaju terbabit gagal untuk menjalankan kerja-kerja mereka.

Sebagai anak negeri, kita amat berharap agar warisan dan artifak bersejarah dapat dipulihara dengan baik agar ia terus kekal dan sebagai peringatan bahawa negeri kita juga pernah disinggahi kapal-kapal besar, walaupun pada waktu itu ia dimanipulasi oleh bangsa asing.

Nelayan Kelantan 1908


Rujukan:
http://www.merchantnavyofficers.com/straits2.html
http://theearlymalaydoctors.blogspot.nl/2011_10_15_archive.html
http://theearlymalaydoctors.blogspot.nl/
http://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised/Article/straitstimes19380410-1.2.69.aspx
http://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised/Article/singfreepressb19330403-1.2.82.1.aspx
http://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised/Article/straitstimes19400709.2.64.aspx
http://7seasvessels.com/?cat=327
http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140605/dn_20/Pembinaan-pelabuhan-Tumpat-gagal
http://eresources.nlb.gov.sg/newspapers/Digitised/Article/straitstimes19101207.2.69.aspx
http://en.wikipedia.org/wiki/East_Asiatic_Company

Friday 29 August 2014

Gertak Sungai Nal, Kuala Krai.



PENDAHULUAN

Hampir seluruh rakyat negeri Kelantan yang bergelar perantau atau mereka yang sering berulang alik dari Kuala Krai ke Kota Bharu, pasti terlihat akan binaan jambatan. Pasti ramai anak-anak kecil akan bertanya apakah itu, kita biasanya akan jawab Jambatan Gantung. Penduduk setempat mengenal jambatan tersebut sebagai Jambatan Gantung Sungai Nal kerana jambatan itu merentangi Sungai Nal.

Secara rasminya jambatan ini dikenali sebagai Jambatan Sultan Ismail yang merentangi Sungai Nal menghubungkan jalan dari Kuala Krai ke Machang. Ia dirasmikan oleh Sultan Ismail ibni Sultan Muhammad IV pada 19 April 1932.

Binaan
Ia dibina dengan seni bina eropah yang kukuh sama seperti di negara eropah terutama dalam binaan jambatan dekad itu. Strukturnya dibina menggunakan 50% simen, 40% besi dan 10% kayu dengan panjang 21 meter dan lebarnya seluas 9 meter.

Tahun 1930an merupakan waktu British aktif mengeksploitasi Hulu Kelantan terutamanya di kawasan Lebir. Pada awalnya mereka menggunakan kapal stim mengangkut penumpang dan barang bermula dari Pasir Pekan-Pasir Mas-Tanah Merah-Labok- seterusnya hingga ke Kuala Krai yang mana pengkalan utama di Tangga Bradley. Pengangkutan ini adalah tidak bersesuaian untuk mengangkut hasil eksploitasi mereka kerana arus sungai Kelantan tidak menentu dan pasang surutnya juga tidak dapat diramal seterusnya meningkatkan kos operasi mereka.

Kemudahan Keretapi dibina, belanja yang besar dari segi maintenance menyebabkan pengangkutan ini makin membebankan, justeru jalan raya dibina bagi mengoptimumkan pengeluaran hasil. Negeri Kelantan mempunyai banyak sungai, jadi pembinaan jambatan sebegini menjadi suatu yang penting.

Pembinaan Jambatan Sultan Ismail sebenarnya amat signifikan kepada Kuala Krai kerana pada tahun 1930an, ia merupakan bandar kedua paling maju selepas Kota Bharu di Kelantan, selain Pasir Puteh, dan Tumpat yang juga mempunyai kepentingan kepada mereka. 

Jambatan ini dibina dengan penuh gaya Inggeris bagi menandakan anda telah memasuki bandar pentadbiran British. Jika direnung, memang Kuala Krai mempunyai kedudukan yang istimewa berbanding dengan bandar lain, dan kenapa mereka tidak bina terlebih dahulu jambatan menghubungkan Kota Bharu dengan Pasir Pekan sedangkan kawasan tersebut adalah akses terdekat dengan Tumpat.  Selain itu, Kuala Krai juga dilengkapi dengan Lapang Sasar untuk pendaratan Kapal Terbang di Batu Mengkebang, juga di Pasir Puteh, mereka telah membina Lapang Sasar di Gong Kedak. Begitulah istimewanya dua bandar ini.

Nasib Malang
Setelah berkhidmat selama 54 tahun, jambatan ini ditutup untuk sebarang kenderaan setelah jambatan yang lebih kukuh menggantikan perkhidmatannya pada 1986. Masa berlalu, jambatan itu ibarat tugu sahaja, mereput tunggu masa untuk roboh.

Lebih parah jambtan ini telah mengalami kebakaran pada 22 Jun 2012 ekoran putung rokok yang dibuang oleh seorang warga asing. Kejadian ini menunjukkan ianya tidak diawasi sewajarnya oleh pihak berwajib. Maklumat berkenaan jambatan ini juga sangat kurang sedangkan ianya mempunyai nilai estetika yang tinggi. Semoga pihak berwajib bertindak lebih proaktif untuk terus mengekalkan nostalgia jambatan ini.


JAMBATAN SULTAN ISMAIL DARI PELBAGAI SUDUT




Sejurus kebakaran 22 Jun 2012

Setelah terbakar (31 Mac 2014)





http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/warisan-sejarah-hampir-musnah-1.59523
http://zainudins.blogspot.nl/2011/01/jejak-sejarahjambatan-gantung-sultan.html
http://kelateori.blogspot.nl/2010/12/sejarah-jambatan-gantung-sultan-ismail.html
http://www.ptjkk.kelantan.gov.my/pkk/index.php?option=com_content&view=article&id=5:jambatan-gantung-sultan-ismail-sungai-nal&catid=11:eco-tourism&Itemid=5
http://www.sinarharian.com.my/edisi/kelantan/terbiar-tanpa-penyelenggaraan-1.265487

Monday 25 August 2014

KEMERDEKAAN : KIRI & KANAN

PENDAHULUAN

Usaha untuk mencapai kemerdekaan pada 1957 sebenarnya bukan diusahakan oleh satu pihak sahaja. Ia dicapai hasil dari usaha pelbagai lapisan masyarakat. Sebelum Darurat 1948, semua rakyat di Tanah Melayu bebas menubuhkan persatuan dan pertubuhan untuk memperjuangkan kelompok mereka.

Kongres Melayu Pertama yang dikenal sebagai Pan Malayan 1946 menghimpunkan pelbagai pertubuhan Melayu dari seluruh pelusuk Tanah Melayu, API, AWAS, PKMM, PMK, PMS, PMP, dan beberapa lagi telah bersidang.

Persidangan yang pertama itu telah berjaya menghasilkan United Malayan National Organisation (UMNO) dan perwakilan dari seluruh negeri Melayu telah melantik Dato' Onn sebagai Presidennya yang pertama pada 11 Mei 1946. Pihak yang tidak bersetuju dalam Kongres Melayu pertama itu juga telah menubuhkan All Malaya Council of Joint Action (AMCJA) pada 19 November 1946 dan ia diketuai oleh Tan Cheng Lock.

Ringkasnya UMNO pada waktu itu ditentang oleh AMCJA yang mempunyai beberapa parti komponen seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Parti Komunis Malaya (PKM), Malayan Democratic Union (MDU). 

Di pihak UMNO pada waktu itu, ianya dianggotai oleh mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan pihak Istana sama ada sebagai pembesar atau pegawai kerajaan, mereka juga merupakan golongan bangsawan yang tepelajar. AMCJA pula dianggotai oleh orang kebanyakkan yang berbilang bangsa termasuklah Melayu, Cina, India dan Serani mereka juga golongan tepelajar. Sebagai contoh, pada waktu itu PKMM dianggotai ramai anak muda Melayu yang tinggi semangat mereka serta berpelajaran.

SEMANGAT

Persekutuan Persetiaan Melayu Kelantan (PPMK) adalah pertubuhan Melayu di Kelantan yang paling lantang menentang pembentukan Malayan Union mereka berarak dan mengadakan demonstrasi sekitar Kota Bharu. PPMK adalah pertubuhan yang dianggotai serta diketuai oleh golongan rakyat yang bersemangat tinggi untuk membebaskan diri dari naungan kuasa lain, mereka bersama-sama Persatuan Melayu Kelantan (PMK) dan membentuk UMNO. Allahyarham Tan Sri Nik Ahmad Kamil wakil PMK adalah salah seorang penggubal Perlembagaan Tanah Melayu bersama-sama 5 lagi pemimpin Melayu yang dilantik oleh Kongres Melayu.

Perlembagaan yang dirangka oleh UMNO telah ditentang oleh AMCJA-PUTERA dan mereka juga merangka perlembagaan mereka sendiri. UMNO pada waktu mencetak dan mengedarkan rangka perlembagaan tersebut, AMCJA juga berbuat begitu.

Ahli-ahli UMNO pada waktu itu sering melaungan slogan Hidup Melayu! PKMM bawah pimpinan Ahmad Boestaman yang juga satu parti gabungan AMCJA-PUTERA melaungan slogan Merdeka! jadi, disini telah mewujudkan jurang antara penduduk Tanah Melayu waktu itu.

Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu yang dibentangkan oleh UMNO lebih mendapat perhatian British berbanding Perlembagaan Rakyat yang dirangka oleh AMCJA. British membuka ruang kepada kedua-dua pihak, namun mereka bertindak berat sebelah.

Natijahnya, AMCJA telah melancarkan mogok secara besar-besaran yang dikenali sebagai Hartal. Ia berlaku pada 20 Oktober 1947. Hartal ini telah disokong oleh semua bandar-bandar besar di Tanah Melayu pada waktu itu dan ini telah melumpuhkan ekonomi Tanah Melayu. Paling signifikan dari Hartal ini, ianya telah member tamparan hebat buat British kerana rakyat Tanah Melayu telah bersatu padu mendesak mereka untuk menerima rangka Perlembagaan Rakyat.

Hartal ini berterusan, pada 20 Januari 1948, British telah bersetuju untuk menerima Perlembagaan Persekutuan yang mereka persetujui bersama-sama Raja-Raja Melayu dan UMNO. Seterusnya pada 1 Februari 1948, terbentuklah Persekutuan Tanah Melayu dan Malayan Union dimansuhkan.

Parti Komunis Malaya (PKM) tidak berpuas hati dengan perisytiharan Persekutuan Tanah Melayu dan mereka telah masuk kehutan untuk melancarkan pemberontakan. Jun 1948, mereka mula mengganas, Kerajaan Persekutuan telah mengisyitharkan perintah Darurat. Sepajang tempoh ini, PKM, PKMM, API, AWAS, dan Hizbul Muslimin telah diharamkan dan dibubarkan, pemimpin mereka telah ditahan di bawah Ordinan Darurat 1948 jumlah mereka mencakupi ribuan orang.

Perlaksanaan Darurat telah mematahkan terus gerakan Haluan Kiri dalam menuntut Kemerdekaan. Inilah harga yang dibayar para pejuang Haluan Kiri ini.

PKM pula terus mengganas, dan mereka telah meletakkan Persekutuan Tanah Melayu dalam ketakutan serta membantutkan ekonomi. Perbelanjaan British juga meningkat dan perniagaan mereka juga mengalami kerugian kerana banyak aset mereka telah disabotaj oleh Komunis.

KEMERDEKAAN

Pemimpin Haluan Kiri dari bangsa Melayu seperti Ahmad Boestaman dan Musa Ahmad yang dibebaskan dari tahanan Darurat cuba memulihkan kembali pertubuhan mereka, namun kesan keganasan komunis rakyat Tanah Melayu pada waktu itu lebih yakinkan UMNO dalam meraih kemerdekaan. Akhirnya mereka hanya berjuang dalam diam.

1957, Tanah Melayu telah dianugerahkan KEMERDEKAAN setelah melalui beberapa Piliharaya dalam memilih pemimpin secara demokrasi. UMNO ketika juga mengalami perubahan dan ada elemen-elemen  Perlembagaan Rakyat yang dirangka AMCJA-PUTERA diserap. Selain itu, UMNO juga melaungkan slogan Hidup Melayu! Merdeka!

Inilah pentingnya Haluan Kiri serta Gerakkan Kanan dalam meraih KEMERDEKAAN, kerana kiri dan kanan sememangnya tidak boleh dipisahkan dari Badan. Kalau tiada kaki kiri, tempanglah badan. Kalau Kudung tangan kanan, cacatlah badan.

Cuma dalam hal KEMERDEKAAN, Kiri dan Kanan harus tahu berapa nilai yang akan mereka bayar demi perjuangan.

sebagai penutup, kami kongsikan video dokumentari ini untuk pembelajaran dan penghayatan perjuangan kiri dalam menuntut kemerdekaan. Negara kita, negara demokrasi... Rakyat ada hak untuk bersuara dan berfikir. Cuma kalau sudah BERTINDAK.... bersedialah MEMBAYAR!

Sekian.

Disediakan oleh :
Admin Pasir Mas (APM)
Wageningen, The Netherlands
25/8/2014 - 1:30am

RENUNG DENGAN MATA HATI



10 Tahun Sebelum Merdeka 1957 by ppsejarahkelantan

RUJUKAN:
Internet
http://en.wikipedia.org/wiki/United_Malays_National_Organisation
http://en.wikipedia.org/wiki/All-Malaya_Council_of_Joint_Action
http://ms.wikipedia.org/wiki/Parti_Kebangsaan_Melayu_Malaya
http://ibnuzack.blogspot.nl/2007/10/hartal-1947-sejarah-yang-didiamkan.html
http://ms.wikipedia.org/wiki/Darurat_Tanah_Melayu
http://hebatpower.com/blog/tag/sejarah-akta-keselamatan-dalam-negeri/
http://www.myjurnal.my/filebank/published_article/22937/001_027.PDF

Buku dan Jurnal:
Gerakan Kiri Melayu dalam Perjuangan Kemerdekaan
Konfrontasi Malaysia-Indonesia
Parti Komunis Malaya: Penubuhan, Peranan dan Implikasi






Friday 22 August 2014

BAGAIMANA KELANTAN TERJAJAH


Kelantan bumi bertuah, tempat ramai ulama bermaustautin. Kemudia ia mula melahirkan ulama-ulama yang kemudiannya tersebar seluruh nusantara. Rakyatnya hidup aman dan damai. Namun, peristiwa Perang Saudara 1838 merubah segalanya.

-----------------@@@@-----------------

Kelantan yang wujud semenjak disatukan oleh Long Yunus pada 1764 tidak mendapat KEMERDEKAAN yang sebenarnya kerana kita telah dibayangi oleh pengaruh SIAM. Long Yunus diangkat sebagai penyatu Kelantan dan membentuk sebuah negeri pada 1764 dan ianya diperkenankan oleh SIAM selaku kuasa besar Asia Tenggara pada masa tersebut. Maka wujudlah Kelantan yang menyaksikan Negara Kota Melayu di Kelantan seperti Kota Mahligai, Kota Jembal, Sening, Jeram, Limbat disatukan dibawah Negeri Kelantan. Sebagai balasan kepada pengiktirafan dari SIAM itu, Kelantan mula menghantar ufti pada SIAM bermula pada 1785.

Selepas mangkatnya Long Yunus, Kelantan mula bergolak akibat perebutan takhta antara perwaris Long Yunus. Berlakulah pertikaian antara anak dan menantu baginda semenjak 1795. Pada awalnya, Tengku Muhammad menantu Long Yunus menaiki takhta Kelantan, tetapi ditentang oleh Long Muhammad, putera Long Yunus. 5 tahun selepas itu, Long Muhammad telah berjaya menaiki takhta dan digelar sebagai Sultan Muhammad I pada 1800.

Sultan Muhammad I telah mangkat pada 1835 dan meninggalkan takhta tanpa perwaris yang sah kerana baginda hanya mempunyai dua orang anak angkat yang diambil dari Tengku Temenggung Aria Pahlawan Long Tan Ibni Long Yunus iaitu:
  • Long Senik Mulut Merah
  • Tengku Long Bongsu
Sejurus Kemangkatan Sultan Muhammad I, adinda baginda iaitu Long Jenal (Zainal) Raja Bendahara Banggul, telah menaiki takhta dan ia telah dibantah oleh Long Senik Mulut Merah dan Tuan Besar Raja Kampung Laut.

Pertikaian tiga pihak ini telah menarik perhatian SIAM dan mereka mula mencampuri konflik tersebut untuk meredakan pertikaian yang telah berlanjutan selama dua tahun. Pihak SIAM telah melantik Long Senik Mulut Merah sebagai Sultan Kelantan dengan gelaran Sultan Muhammad II pada 1837. Long Jenal yang telah lanjut usia dan Tuan Besar akur dengan keputusan SIAM itu. Namun, Sultan Muhammad II masih bimbang dengan pengaruh Tuan Besar Raja Kampung Laut dalam pentadbiran Kelantan.

1838 British terlibat secara langsung

Kebimbangan Sultan Muhammad II dengan pengaruh Raja Kampung Laut telah mencetuskan peperangan saudara yang dikenali sebagai Perang Saudara II. Aturan perang di Kelantan pada waktu itu adalah tidak membenarkan sebarang kapal keluar atau masuk ke Kelantan. Sewaktu tercetusnya perang tersebut beberapa tongkang Cina yang berpengkalan di Singapura dalam perjalanan ke Bangkok telah terkandas sekitar perairan sungai Kelantan.

Kapal tersebut telah ditahan, anak kapalnya tidak dibenarkan turun dari kapal. Hal ini telah sampai ke pengetahuan pemilik tongkang tersebut dan mereka telah menjemput Abdullah Munsyi untuk belayar ke Kelantan bagi meninjau keadaan perang di sana. 

Hal ini ada tercatat dalam Kisah Pelayaran Abdulah Munsyi. Adalah dipercayai Abdullah Munsyi ke Kelantan atas aturan Gabenor British kerana tongkang itu juga membawa kepentingan British. Pada hemat kami, inilah pengelibatan pertama British secara terus tentang apa yang berlaku di Kelantan. Untuk fakta, hubungan British dengan Siam amat erat sekali dan ia berlaku seawal kedatangan Francis Light lagi tambahan mereka juga mempunyai satu perjanjian (Perjanjian Burney) yang ditandatangi pada 1826. Jadi, kemungkinan besar, British telah menggunakan pengaruhnya untuk menamatkan Perang Saudara di Kelantan itu.

Sejarah mencatatkan Perang Saudara ini tamat dengan tipu helah SIAM keatas Raja Kampung Laut. Pada pertengahan tahun 1839, wakil Siam telah memaksa pihak bertelagah ke Songkhla. Setibanya di Songkhla, Raja Kampung Laut telah diarahkan ke Bangkok untuk berunding secara terus dengan Raja Rama III, Raja Siam. Dalam hal ini, Siam lebih memihak kepada Sultan Muhammad II untuk merajai Kelantan atas sokongan Siam, angkatan Sultan Muhammad II telah berjaya menumpaskan angkatan Raja Kampung Laut.

Di Bangkok pula, Raja Kampung Laut telah ditawarkan untuk menjadi Raja Patani. Tawaran ini tidak boleh ditolak lagi, dan inilah jalan terbaik untuk menyelesaikan pertelingkahan yang berlaku di Kelantan. Justeru rantau ini kembali aman, dan hubungan antara Singapura dan Bangkok juga dapat dipulihkan. Kelantan pula menerima penasihat yang dilantik oleh Siam selain harus membayar ufti ke Bangkok setiap tiga tahun. 

50 tahun kemudian, Kelantan berada dalam keadaan aman dan makmur tanpa campurtangan yang jelas oleh Siam atau British. Hinggalah Siam melaksanan Transformasi dalam pentadbiran mereka dari kerajaan feudal kepada kerajaan moden yang dikenali sebagai Thesaphiban. Transformasi ini dibuat kerana wilayah Siam di lembah Mekong telah diambil oleh British ekoran kelemahan pentadbiran Siam pada waktu itu. Pembaharuan pentadbiran ini memberi kesan kepada British yang banyak beroperasi di Bangkok selain di Singapura. 

Akhirnya termetrailah satu perjanjian yang dikenali sebagai Anglo Siamese Treaty pada 1909 di Bangkok. Perjanjian ini juga dikenali sebagai Perjanjian Bangkok 1909. Sebab utama kenapa negeri-negeri Melayu tidak dilibatkan dalam rundingan ini adalah kerana British menganggap negeri Perlis, Kedah, Kelantan, dan Terengganu sebagai wilayah naungan SIAM. Kedah dan Perlis terikat dengan Siam di bawah Perjanjian Burney 1826, Kelantan dan Terengganu pula dianggap sebagai naungan Siam kerena mereka menghantar Ufti kepada Siam semenjak 1785.

Selepas Perjanjian 1909
Melalui perjanjian tersebut, Bangkok dan British dapat merangka sempadan yang jelas antara wilayah naungan British dan wilayah naungan Siam. Orang Melayu melihat ini sebagai usaha untuk memisah dan memecah belahkan Patani Besar legasi Langkasuka. 

Waktu itu Kelantan hanya mempunyai Raja dan Yang diPertuan Kelantan ekorang Sultan terdahulu iaitu Sultan Mansur yang mangkat pada 1900 tidak mempunyai perwaris. Setelah termetrainya perjanjian 1909, British dengan diperkenan Queen England telah menabalkan Raja Kelantan sebagai Sultan Muhammad IV pada 1910. 

Bermulalah episod Kelantan menjadi naungan Empayar British dan dikenali sebagai salah sebuah Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu. 

Epilog
Sejarah memaparkan Kelantan berada di bawah naungan Siam dan British serta kemudiannya di bawah Jepun. Sewaktu penjajahan Siam ia tidak memberi kesan secara langsung di Kelantan. Rakyat tetap hidup seperti sediakala, dimana mereka bebas menuntut Ilmu dan mengamalkan adat resam dan agama. Apabila British datang, mereka mula mencampuri urusan pentadbiran Kerajaan Negeri, tetapi mereka tidak mencampuri urusan Adat Istiadat dan Agama walaupun ada usaha mengganggunya semasa Sir Laurence Guillermard menjadi Gabenor Malaya. 

Namun rakyat Kelantan dibebani dengan pelbagai cukai, dan hidup semata untuk membayar cukai. Ini satu bentuk penjajahan yang nyata. Kerana itu pada 1915 Tok Janggut bangkit menolak campur tangan British. Seperti mana apa yang dilakukan oleh Dato Bahaman, Tok Gajah dan Mat Kilau di Pahang. Kemudiannya Abdul Rahman Limbong juga bangkit di Terengganu.

Perjuangan tokoh-tokoh ini sebenarnya tidak padam, malah ia terus membara dalam segenap lapisan masyarakat. Demi menentukan pemerintahan sendiri atas nama Kemerdekaan banyak persatuan telah ditubuhkan semenjak tahun 1920an. Dunia diambang Perang Dunia ke-2 dan Jepun menyedari kesemua manusia dalam koloni British mula memberontak dan mereka mula melancarkan slogan Asia untuk Asia.  

Di tanah Melayu ia disambut oleh beberapa pertubuhan yang kini dikenali sebagai Haluan Kiri seperti API, AWAS, dan PKMM. Namun agenda Jepun ternyata palsu semata, betul Barat meninggalkan Asia, tetapi Asia yang datang lebih kejam dari Barat. Nyawa manusia terbang dihujung mata pedang samurai.

Waktu itu, kesemua Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu diserah kembali kepada SIAM oleh British. Namun catuan makanan dan kerahan menjadi Buruh Paksa tidak dapat dielakkan. Jepun Kalah, negeri-negeri ini dimasukkan semula bawah Malayan Union. 

Pemimpin di Kelantan sedar akan ancaman baru ini, ketika itu mereka sedar bahawa satu pemerintahan sendiri tidak boleh dilaksanakan kalau Bangsa Melayu tidak Bersatu.... dari situlah KEMERDEKAAN itu dicapai.

p/s: Kami mohon maaf kalau ada kekhilafan, mana yang baik hendaklah kita jadikan tauladan, mana yang buruk kita jadikan sempadan. Kemerdekaan yang sebenarnya ada pada diri anda, dan Ilmu yang dituntut menjadi pemangkin kebebasan anda. Hidup adalah Ujian, Akhirat kelak kita dihitung.



http://pp-sk.blogspot.nl/2013/11/sultan-muhammad-i-1800-1835.html
http://pp-sk.blogspot.nl/2013/12/patani-kelantan-episod-7-tuan-besar_13.html
http://pp-sk.blogspot.nl/2013/11/sultan-muhammad-ii-1837-1886.html
http://ms.wikipedia.org/wiki/Sultan_Kelantan

Wednesday 20 August 2014

Keunikan Jambatan Guillemard Dulu dan Kini

PENDAHULUAN

Awal kurun ke-19, Kelantan telah diletakkan di bawah Empayar British setelah termetrainya Perjanjian Anglo Siamese Treaty 1909 yang juga dikenali sebagai Perjanjian Bangkok 1909 menyaksikan Patani berpecah dari Kelantan dimana, Patani kekal di bawah Bangkok dan Kelantan berserta Kedah, Perlis, dan Terengganu disatukan dibawah pentadbiran Residen British dan ditanda sebagai Unfederated Malays State. 

Sebelum campur tangan Inggeris secara langsung di Kelantan pada 1909, Kelantan dibawah Sultan Muhammad IV telah mengorak langkah untuk memodenkan Negeri Kelantan sepertimana negeri Johor yang waktu itu adalah negeri terkuat di Semenanjung Tanah Melayu. Kesultanan Kelantan pada waktu itu telah mengorak langkah dengan penyerahan Konsesi Tanah kepada Duff Company untuk memajukan Ulu Kelantan. Selain itu terdapat juga syarikat daripada Jerman dan Perancis masuk untuk melabur di Kelantan. 

Selepas perjanjian Bangkok itu, semua aktiviti ekonomi Kelantan dihentikan oleh pihak Koloni British di Singapura. Peralatan Duff Company disita, aktiviti syarikat juga di hentikan. Kesultanan Kelantan pula dilucutkan hak untuk memeterai perjanjian baik dari dalam atau luar tanpa pengetahuan Penasihat British. Maka terbantutlah usaha Sultan Muhammad IV untuk mengembangkan ekonomi Kelantan walau pada waktu itu, hubungan dari Kota Bharu ke Singapura amat kerap dimana Kelantan sentiasa eksport produk tani seperti Lembu dan Kelapa ke Singapura, selain menjadi persinggahan pedagang dari Bangkok untuk ke Singapura. 

10 tahun pertama British di Kelantan, mereka menghabiskan masa untuk merangka pentadbiran koloni dengan mengenalkan pelbagai cukai keseluruh negeri atas nama Sultan. Kemuncaknya berlaku peristiwa Perang Dalam Pupuh pada 1915 di Pasir Puteh. Kesemua ini memberi kesan kepada perkembangan ekonomi di Kelantan. Selepas tamat perang tersebut, British mula giat mengumpul hasil dari Kelantan. 

23 Disember 1920, Sultan Muhammad IV telah mangkat dan Tengku Ismail telah ditabalkan sebagai Sultan Kelantan. 

PEMBINAAN INFRASTRUKTUR

Semenjak pemerintahan Sultan Muhammad IV lagi banyak binaan moden telah dibangunkan di Kelantan baik sewaktu Siam mahupun British. Usaha pemodenan Kelantan diteruskan lagi dibawah pentadbiran Sultan Ismail bermula 1921. 

Pada 1914, British telah membina jalan keretapi dari Tumpat ke  Thailand dan ianya bersambung hingga ke Bangkok. Bagi meningkatkan lagi eksplotasi hasil bumi Kelantan dan memaksimakan keuntungan imperialis, atas nasihat Penasihat British, satu jambatan Keretapi merentangi Sungai Kelantan telah dibina  bermula di Paloh Rawa, Machang ke Kursial, Tanah Merah.

Jambatan dalam pembinaan 1920

Circullar Metro Carriage 1924
Pembinaan jambatan ini dilaksanakan oleh Metro Carriage Wagon & Finance Company Limited, Wednesbury Work, England. Syarikat ini mempunyai kepakaran merekabentuk sistem keretapi semenjak 1871 dan berpengkalan di England. Pembinaan jambatan ini dijalankan secara pakej iaitu pembinaan jalan keretapi dari Tumpat hingga ke Kuala Krai. Di Tumpat wujudnya pelabuhan, di Machang pula ada Bukit Besi manakala di Kuala Krai atau nama lamanya Batu Mengkebang wujud estet dan ladang getah. Kepentingan sumber bahan mentah di Batu Mengkebang dan Machang membuatkan pembinaan jalan keretapi satu yang signifikan untuk memoptimumkan perbelanjaan dalam pengeluaran bahan mentah. Selain itu, jalan keretapi juga dibina dari Pasir Mas ke Rantau Panjang yang juga merupakan sempadan dengan Siam.

Pembinaan jambatan ini telah disiapkan pada tahun 1924 dengan panjang 609.6 meter merentangi Sungai Kelantan. Ia juga direka bentuk untuk digunakan oleh lain-lain kenderaan dengan hampir 80% strukturnya dibina menggunakan besi. Paling unik, ianya merupakan jambatan yang terpanjang di Malaya pada waktu tersebut.

Rupa jambatan yang siap dibina pada 1924
Pada tahun 1925, jambatan ini telah dirasmikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail ibni AlMarhum Sultan Muhammad IV dan ia dinamakan sebagai Jambatan Guillemard sempena nama Gabenor British pada masa itu Sir Laurence Guillemard. 

Kemudahan lain turut dibina di Kelantan terutama Jalan Raya Berturap, termasuklah pembinaan jalan raya berturap dari Pasir Puteh ke Terengganu. Kelantan sewaktu di bawah Sultan Ismail menyaksikan banyak kemudahan moden dibina termasuklah perkhidmatan udara dengan menyaksikan pendaratan kapal terbang laut No. S1420 dalam sungai Kelantan berhampiran Istana Kota Lama pada 25 Ogos 1930.

Lawatan Pegawai British pada 7 Mac 1929 : Dari kiri J.Strachan, Pengurus Besar Sistem Keretapi, Lady Peel, En. Haskins, dan Sir William Peel.


PERANG DUNIA KE-2

Perang Dunia meletus terlebih awal di Eropah, British adalah salah satu empayar yang paling terkesan dalam perang ini. Peperangan ini melibatkan seluruh empayar British dan mereka menentang perluasan kuasa Jerman.

Jepun, adalah satu negara dalam Pakatan Axis bersama-sama Itali dan Jerman. Jepun satu-satu kuasa besar Asia yang tiba-tiba bangkit walaupun kebangkitan awal mereka tidak dihiraukan apabila berjaya menewaskan Tentera Merah Rusia pada 1905. Jepun berkembang sebagai satu kuasa Imperialis Timur dengan menakluk China dan Korea.

Mereka mempunyai ambisi untuk menawan seluruh Benua Asia. Kesan Perang Dunia Pertama dan pengelibatan dalam Perang Dunia Kedua membuatkan British tidak dapat mengawal perkembangan di Jepun. Hinggalah Jepun melancarkan serangan udara ke atas pengakalan Amerika Syarikat di Pearl Harbour dan meletuslah Perang Pasifik antara Jepun dan US.

Fakta yang menarik berkenaan serangan Jepun adalah, serangan mereka ke atas Tanah Melayu melalui Kota Bharu, Kelantan adalah satu jam lebih awal dari serangan ke atas Pearl Harbour dan mencatatkan nama Kota Bharu sebaris dengan nama-nama bandar lain dalam perang ini.

Ketika itu, British tidak membuat persediaan yang rapi di negeri-negeri Pantai Timur, mereka lebih menjaga Singapura yang waktu itu menjadi pusat pentadbiran British. Di Kelantan mereka hanya menyediakan Kubu Kebal sepanjang pantai dari Tumpat hingga ke Pasir Puteh dan memasang kawat berduri sepanjang kawasan tersebut. Manakala mereka menempatkan askar Gurkha untuk menentang kemaraan Jepun.

Perang Padang Pak Amat menjadi ingatan buat tentera-tentera Jepun kerana di kawasan itu mencatat angka korban paling ramai di pihak Jepun. British tidak dapat menahan asakan Jepun dan mereka mula berundur ke Singapura. Semasa dalam pengunduran itu, mereka telah memusnahkan Insfrastruktur penting dan membakar ladang-ladang getah untuk membantutkan kemaraan Jepun.

Jambatan Guillemard juga tidak ketinggalan. British telah mengebom jambatan tersebut untuk menyekat kemaraan Jepun menggunakan Keretapi.

Jambatan Guillemard diruntuhkan oleh tentera British untuk menghalang kemaraan Jepun pada Perang Dunia ke-2

Pada tahun 1948, jambatan ini dibaik pulih dan diguna seperti sedia kala seperti sebelum dimusnahkan dalam Perang Dunia ke-2. Pada tahun 80an, satu jambatan baru dibina dari Tanah Merah ke Machang dalam rangka pembinaan Lebuhraya Timur-Barat seterusnya telah mengalihkan fungsi Jambatan Guillemard semata-mata untuk kegunaan keretapi sahaja.

Keretapi Tanah Melayu Berhad, adalah syarikat yang diamanahkan untuk menjaga segala aset dan kepentingan berkaitan keretapi di Malaysia, dan mereka juga yang menggerakkan operasi keretapi dari Kuala Lumpur hingga ke Tumpat. Sehari, hanya terdapat dua perkhidmatan keretapi iaitu dari Kuala Lumpur ke Tumpat dan Tumpat ke Kuala Lumpur, kedua-duanya bergerak pada sebelah malam. Selain itu, terdapat juga perkhidmatan keretapi local yang bergerak secara berkala.

Ringkasnya, jambatan Guilemard ini bukan digunakan sepenuh masa dan ia menjadi tumpuan penduduk sekitar untuk beriadah sama ada sebagai tempat memancing, photoshoot atau lawatan ringkas dalam rangka melancong.

PENUTUP
Sebenarnya lidah orang tempatan jarang menyebut jambatan tu dengan nama Jambatan Guillermard, mereka lebih mengenali jambatan tersebut sebagai Jambatan Kursial yang mengambil nama  Kampung Kursial yang bertempat di seberang Sungai Kelantan dalam jajahan Tanah Merah.

Jambatan ini juga merupakan jambatan keretapi yang terpanjang di Malaysia dan menjadi tumpuan ramai pelancong asing. Ia unik dan akan terus kekal, kalaupun perkembangan terkini di Tumpat yang akan menyaksikan pelabuhan baru akan dibina, fungsi jambatan ini akan dianaik taraf dengan memperkukuhkan binaan tiangnya.

Justeru, samala-samalah kita hayati keunikan yang ada di negeri Kelantan. Di ruangan ini juga kami kongsikan foto Jambatan Guillemard yang dikongsikan oleh sahabat-sahabat di fanpage, sehingga berjumpa lagi....

ASSALAUALAIKUM.








http://ms.wikipedia.org/wiki/Jambatan_Guillemard
http://ms.wikipedia.org/wiki/Sultan_Muhammad_IV
http://pp-sk.blogspot.nl/2013/11/sultan-muhammad-iv-1900-1920.html
http://sejarahkelantan.wordpress.com/2012/09/16/jambatan-guillermard/
http://compassweb.arkib.gov.my/search_details.php?id=1999/0000421&state=W
http://www.gracesguide.co.uk/Metropolitan_Carriage,_Wagon_and_Finance_Co
http://sejarahkelantan.wordpress.com/2012/09/21/perkembangan-kelantan-penasihat-siam-dan-british/


Saturday 16 August 2014

Antologi Puisi "Aku Anok Kelate"

Post ini mengumpulkan beberapa nukilan puisi yang dilampirkan oleh sahabat-sahabat kami di ruangan Facebook fan page PPSK@KPSK. Puisi yang dihasilkan hanya untuk menyatakan perasaan sahabat-sahabat kami tentang diri selaku anak-anak Kelantan dan kecintaan serta kebangaan mereka kepada negeri dan rakyat Kelantan khususnya. Puisi-Puisi tersebut adalah seperti berikut:










Friday 15 August 2014

Koleksi Puisi Ogos 2014


PUISI INI TERLEBIH DAHULU DISIARKAN DI FAN PAGE KAMI DI FACEBOOK. UNTUK DOWNLOAD SETIAP PUISI INI, ANDA DISARANKAN UNTUK KE PAGE KAMI. INI ADALAH UNTUK SIMPANAN ARKIB UMUM.






Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...