SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Thursday 20 February 2014

Episod 2 : Misteri Cik Siti Wan Kembang - Adruja Wijayamala Singha


Pendahuluan:
Episod pengenalan kami nyatakan akan asal keturunan Adruja Sriwijaya Mala dan kami telah sertakan satu salasilah yang berkaitan dengan Keturunan Raja-Raja Kelantan dan ia bermula dengan Srimat Trailokyaraja Maulibhusana Warmadewa dan beliau juga dikenali sebagai Deman Lebar Daun yang begitu masyhur dalam salasilah Raja-Raja Alam Melayu.

Siapa bernama Demang Lebar Daun ini?

Berdasarkan kepada Sejarah Melayu, Deman Lebar Daun memerintah di Palembang dan ketika waris Iskandar Zulkarnain iaitu:
  • Nila Pahlawan
  • Krishna Pendita
  • Nila Utama  
Mereka ini adalah Putera Raja Suran yang diriwayatkan turun ke dalam laut dan berkahwin dengan Puteri Mahtabul Bahri, anak Raja Aftabul Ard yang memerintah Kerajaan Basram di bawah laut... diriwayatkan lagi, mereka semua telah naik ke darat dan mendarat di Bukit Siguntang, kelihatan seperti mitos namun ada yang percaya kerana ini berkaitan dengan Metafizik dan ia belum pernah dikaji secara saintifik, mungkin mitos ini ada benarnya, kerana kejadian Alam Sukar ditaakul  akal biasa.

Setelah putera-putera Raja Suran titihan Iskandar Zulkarnain mendarat di Bukit Siguntang, dalam negeri Palembang, setibanya di bukit tersebut, mereka telah disambut oleh Wan Empuk dan Wan Malini yang sedang berladang di kawasan tersebut. Dipendekkan cerita, Nila Pahlawan telah berkahwin dengan Wan Empok, Krishna Pendita pula berkahwin dengan Wan Malini, manakala Nila Utama telah menukar nama sebagai Sang Sapurba.  

Perkhabaran tentang pendaratan waris Iskandar Zulkarnian telah menarik  minat Raja-Raja sekitar Palembang mengunjungi Bukit Siguntang. Mereka datang bersama ahli keluarga, Sang Sapurba telah mengambil puteri-puteri Raja yang datang dan diperisterikan oleh beliau. Raja-Raja ini tidak membantah malahan mereka rasa bertuah kerana dapat bermenantukan waris Raja yang Paling Agong dalam alam. Namun, puteri-puteri yang dikahwini oleh Sang Sapurba telah mengalami penyakit "kedal" stelah digauli oleh baginda, perkara ini berlaku kerana ketinggian daulat baginda.

Baginda Deman Lebar Daun juga tidak ketinggalan melawat Sang Sapurba, dan ditakdirkan waris Iskandar Zulkarnain itu jatuh hati kepada puteri baginda, Wan Sedari. Bimbangkan anakandanya, Deman Lebar Daun telah mengadakan satu perjanjian:

“Jikalau anak patek tuanku peristeri, nescaya kedal ia. Tetapi jikalau tuanku mahu berwa’adat (berjanji sumpah setia) dengan patek, maka patek persembahkan anak patek ke bawah duli Yang di-Pertuan.”

Mengikut Sejarah Melayu, Demang Lebar Daun adalah orang yang pertama menggunakan bahasa “Yang di Pertuan” dan “Patek” apabila bercakap dengan raja, kerana Sang Sapurba itu keturunan raja-raja besar… Maka titah Sang Sapurba: “Apa yang dikehendaki oleh bapaku itu?”

Sembah Demang Lebar Daun: “Adapun tuanku, segala anak cucu patek sedia akan jadi hamba ke bawah duli Yang di-Pertuan; hendaklah ia diperbaiki oleh anak cucu duli tuanku. Dan jika ia berdosa, sebesar-besar dosanya pun, jangan difadhihatkan, dinista dengan kata-kata jahat. Jikalau besar dosanya dibunuh, itupun jikalau berlaku pada hukum Shara’.”

Sang Sapurba pun bertitah: “Akan minta bapa itu hamba kabulkanlah. Tetapi hamba minta satu janji pada bapa hamba…”“Janji yang mana itu, tuanku?”“Hendaklah akhir zaman kelak anak cucu bapa hamba jangan derhaka pada anak cucu kita. Jikalau ia zalim dan jahat pekerti sekali pun”Baiklah tuanku. Tetapi jikalau anak buah tuanku dahulu mengubahkan dia, maka anak cucu patek pun mengubahkanlah.”Titah Sang Si Perba: “Baiklah, kabullah hamba akan wa’adat itu.”

Begitulah tinggi martabat Srimat Trailokyaraja Maulibhusana Warmadewa a.k.a Deman Lebar Daun bermenantukan Sang Sapurba waris Raja yang Agong, Iskandar Zulkarnain. Tercatat dalam salasilah Kelantan bahawa Deman Lebar Daun ini mempunyai 3 orang putera juga menantu yang dominan iaitu:

  • Raja Surendra, Maharaja Jawaka
  • Sang Sapurba, Raja Palembang
  • Ken Arok, Raja Singhasari
Selidikan Lanjut
Sumber lain menyatakan bahawa Deman Lebar Daun ini merupakan Maharaja Melayu di Dharmasraya dan juga dianggap sebagai Maharaja Sriwijaya hal ini dapat dibuktikan dengan Prasasti Grahi yang bertarikh 1183 yang ditemui di Chaiya, Thailand. 

Dari segi bahasa (etimologiTrailokya dalam Bahasa Sanskrit membawa maksud "Tiga Dunia", "Tiga Tingkatan", "Tiga Kehidupan", "Tiga Alam", & "Tiga Wilayah". 

Sejarahwan menganggap semasa pemerintahan Deman Lebar Daun ini Alam Melayu sedang mengalami perubahan kuasa, pada mula ia dikuasi oleh Sriwijaya yang dirujuk sebagai San-fo tsi dalam chronic China, telah bertukar kepada Dharmasraya.

Sekadar begini boleh kami sampaikan untuk mengenali siapa sebenarnya Deman Lebar Daun, pokoknya dari baginda lahir ramai Raja-Raja yang memerintah Alam Melayu kerana beliau adalah penguasa Alam Melayu.

Petikan Teks 
Kami kongsikan petikan daripada sejarahwan mengenai leluhur Raja-Raja Alam Melayu.

Pada tahun 1183M, berdasarkan Prasasti Grahi, menginformasikan kepada kita, Kerajaan Sriwijaya (beribukota di Dharmasyara) telah kembali bangkit, dan berhasil menguasai daerah hingga Thailand Selatan, selepas kehancurannya akibat serangan Kerajaan Chola. Pada masa itu, Kerajaan Sriwijaya-Dharmawangsa, dipimpin seorang Maharaja yang dikenal dengan nama Sri Maharaja Srimat Trailokyaraja Maulibhusana Warmadewa. 
Para ahli genealogy percaya bahwa Sri Maharaja Srimat Trailokyaraja Maulibhusana Warmadewa, adalah nama lain dari Maharaja Imbang Jaya atau Maharaja Sambugita,  yang disebut-sebut di dalam silsilah raja-raja Melayu 
Sekitar 100 tahun kemudian, pada tahun 1286M, berdasarkan prasasti yang ditemukan di komplek Candi Padang Roco Sumatera Barat, diketahui bahwa Negeri Sriwijaya di Pedalaman dipimpin oleh seseorang yang bergelar Sri Maharaja Srīmat Tribhuwanaraja Mauliwarmadewa.­­­  
Srī Mahārāja śrīmat tribhuwanarāja mauliwarmadewa, adalah generasi penerus Sri Maharaja Srimat Trailokyaraja Maulibhusana Warmadewa, yang diyakini sebagai kakek dari Adityawarman (Maharajadiraja Srīmat Srī Udayādityawarma Pratāpaparākrama Rājendra Maulimāli Warmadewa), pendiri Kerajaan Pagaruyung.
Kanzunqalam.com



Genaealogi Adruja Wijayamala Singha
Di awal artikel telah dinyatakan perkaitan Adruja dengan Srimat Trailokyaraja atau Deman Lebar Daun. Juga telah dinyatakan tentang 3 orang waris baginda iaitu, Sang Sapurba atau Sang Nila Utama adalah menantunya yang diberi kuasa memerintah di Palembang, Ken Arok memerintah di Singhasari dan Raja Surendra memerintah di Jawaka.

Adruja adalah cucu daripada Raja Surendra yang dikatakan memerintah Jawaka yang berlokasi di Utara Semenanjung Tanah Melayu, datuknya pula adalah Raja Sakranta dan ayahandanya adalah Raja Thilam yang memerintah Malayur.... Siapa mereka ini akan kami bawakan dalam pengisahan yang berasingan.

Legasi Deman Lebar Daun bukan sekadar di Bumi Suwarnadwipa tetapi ia tersebar keseluruhan daratan dan kepulauan Alam Melayu dan dari keturunan ini lahir wira-wirawati Melayu yangterbliang.


Kami adalah insan yang kerdil, menyampaikan apa yang diketahui melalui pembacaan yang terhad. Kami tidak mencari nama, kami tidak juga mencari pangkat atau mengangkat darjat. Niat kami agar anak Melayu kekal dengan jati diri sebagai seorang Melayu. 
Pada yang arif sila tegur kami, jika ada kurang, tambah lah lagi. Jangan ditempelak dengan niat untuk memperlekeh, Bangsa Melayu memang nyata!

Bersambung...

Sunday 16 February 2014

Episod 1 : Misteri Che Siti Wan Kembang - Pengenalan

Lakaran : Adruja Wijayamala Singha
Pengenalan-Siapa Adruja
Srikandi Melayu yang paling masyhur dalam Sejarah Kelantan dan antara yang popular di Malaysia adalah Che Siti Wan Kembang. Nama ini merujuk kepada beberapa individu yang menggunakan nama yang sama dan masing-masing mempunyai keistimewaan yang tersendiri. Artikel ini pula menumpukan kepada sosok individu yang mempunyai konflik dengan Raja Siam zaman Ayuthaya, Raja Khamheng. Sosok yang dimaksudkan adalah Adruja Wijayamala Singa yang juga dikenali sebagai Che Siti Wan Kembang I.

Banyak penulisan telah dihasilkan mengisahkan siapa sebenarnya Adruja ini. Artikel ini pula mengambil pendekatan menyelidik dari awal iaitu tentang Maharaja Sang Tawal. Penghuraian artikel ini adalah berdasarkan Royal Ark yang memuatkan hampir keseluruhan data tentang Keluarga DiRaja seluruh dunia ini walaupun ada mendakwa ia tidak lengkap dan tidak tepat. Benar atau tidak dakwaan itu, laman tersebut menjadi rujukan utama dalam mengkaji genealogy atau salasilah. Selain dari itu, kami juga merujuk kepada buku Keturunan Raja-Raja Kelantan dan Peristiwa-Peristiwa Penting terbitan Muzium Kelantan 1981. Sumber ini lebih awal dari munculnya nama Grahi itu.


Berdasarkan dari Salasilah ini, Cik Siti Wan Kembang@Dewi Durga@Raden Galuh Gemerchang@Hulubalang Tunggal@Arduja Wijayamala Singa adalah keturunan pemerintah Kelantan zaman berzaman. Keturunan Adruja Wijamala Singa bermula dari Maharaja Srimat Trailokyaraja yang juga Maharaja Bukit Siguntang (hingga 1233), kemudian dititihkan kepada moyang beliau iaitu Raja Surendra@Maharaja Suran pemerintah kerajaan Jawaka (1233-1253). Datuknya pula Raja Sakranta juga memerintah kerajaan Jawaka (1253-1267) dan kemudian tiba pada ayahandanya, Raja Thilam yang juga dikenali sebagai Raja Sang Tawal juga Raja Malawika yang memerintah Malayur (1267-1335).

Adik beradik Arduja Wijayamala Singa@Cik Siti Wan Kembang seperti berikut:
  1. Raja Bharubhasa (Raja Langkasuka : 1335-1345) dan (Raja Kelantan : 1345-1362)                  Nama lain bagi beliau adalah: Sultan Mahmud, Raja Chermin, Sultan  Jiddah Riayat Sa’adatus Salam.
  2. Raja Singadhiraja (Sultan Sulaiman Syah), Raja Langkasuka
  3. Puteri Chandana kahwin dengan al-Malikuzahir, Raja Samudera
  4. Puteri Tapasi (Raden Galuh Anjang) kahwin dengan Jaya Sinha Warman, Raja Champa.
  5. Cik Siti Wan Kembang, Raja Kelantan Selatan : 1318-1348
  6. Puteri Linang Cahaya kahwin dengan Sayyid Jamadil Qubra.

Adruja Wijayamala Singa adalah nama dalam bahasa Sanskrit dan maksud nama itu adalah seperti berikut:

  • Adruja merupakan acronym bagi sebutan “Adhi Raja” yang bermaksud raja besar, mulia, tinggi darjatnya, yang utama, yang terbaik, dan pemuka pasukan perang.
  • Wijayamala merujuk kepada sejenis bunga seroja yang dikatakan dapat menghidupkan orang yang mati.
  • Singa pula adalah variasi kepada sebutan Simha yang bermaksud Singa, Raja segala haiwan.



Namun, kami tidak menolak akan pengisahan sejarah Cik Siti Wan Kembang melalui kajian oleh Allahyarham Dato Haji Adi Taha dan rakan-rakan seangkatannya yang menyatakan moyangnya Raja Suran yang memerintah Jawaka dan berpusat di Kota Grahi, manakala ayahanda Adruja Wijayamala Singa@CSWK. Raja Thilam adalah pemerintah ketiga Grahi.


Bersambung..

Saturday 1 February 2014

KELANTAN DIPERINTAH EMPAT SAHABAT – 1765

Credit : Cactus Wangi

Pendahuluan
Negeri Kerat Lintang, itulah gelaran yang pernah diwar-warkan pada akhir kurun ke-17. Gelaran ini diperoleh setelah tamatnya Perang Kota Labu pada 1762. Peperangan tersebut berlaku kerana serangan angkatan Long Ghafar, Long Yunus, Mandur Misa@Mis dan Penghulu Adas. Kota Kubang Labu pada waktu itu di perintah oleh Long Muhammad adik kepada Long Pandak yang mati dibunuh dalam Perang Kota Kubang Labu 1 pada 1758. Puncanya, Long Muhamad dikatakan telah mungkir janji dengan Long Ghafar dan Long Yunus untuk memerintah dengan baik dan adil saksama. Namun, penduduk Kota Sening dan Kota Teras telah mengadu kepada Long Ghafar dan Long Yunus yang waktu itu berada di Terengganu tentang mereka telah dizalami oleh pemerintahan Long Muhammad. Maka, dengan aduan tersebut, Kota Kubang Labu telah diserang buat kali kedua pada 1762 dan Long Muhammad yang mendapat bantuan daripada Long Deraman dari Legeh dan Panglima Umar dari Kampung Laut telah kalah dengan angkatan Long Ghafar, Long Yunus, Mandur Misa@Mis dan Penghulu Adas pada tahun tersebut.

Tercatatlah dalam sejarah, Long Ghafar dan Long Yunus telah membahagikan Kelantan Timur dan Barat dan dengan itu Kelantan mendapat gelaran Negeri Yang di Kerat Lintang. Long Ghafar memerintah dari Kota Limbat hingga ke Jeram, manakala, Long Yunus memerintah dari Padang Garong, kawasan Pasir Tumbuh hingga ke Padang Garung, dan seterusnya hingga ke Kuala Kemasin dan di sebelah Baratnya hingga ke Bukit Tanjung (Narathiwat). Walau bagaimanapun, segala keputusan dan kuasa sebenar berkaitan pentadbiran dan kes-kes jenayah adalah terletak di bawah bidang kuasa Baginda Long Gaffar di kota Limbat.

Pentadbiran dua Long Bersaudara ini (Long Ghafar dan Long Yunus) sering mendapat tumpuan pengkaji kerana keturunan mereka lebih dominan dalam menuntut hak pentadbiran mutlak Kelantan pada waktu itu. Tambahan mereka berdua adalah keturunan RAJA ZAMAN BERZAMAN. Apakah Nasib Mandur Misa@Mis dan Penghulu Adas?

Dua sahabat yang terpinggir
Mandur Misa@Mis adalah abang ipar kepada Penghulu Adas dan mereka berdua juga sahabat kepada Long Ghafar dan Long Yunus. Dalam serangan Kota Kubang Labu pada 1762, Pasukan Mandur Mis dan Penghulu Adas menyerang dari arah Pasir Pekan dan bertempur dengan angkatan Panglima Umar dari Kampung Laut.

Mereka mengambil masa agak lama untuk mematahkan benteng pertahanan Pangliman Umar, namun akhirnya mereka berjaya menumpaskan Panglima Umar. Angkatan mereka telah berjasa kerana Kota Kubang Labu berjaya ditumpaskan. Sebagai ganjaran, Penghulu Adas telah diberi kawasan pemerintahan di Kadok, manakala abang ipar beliau, Mandor Misa@Mis dianugerahkan Lundang sebagai kawasan pentadabiran.

Kadok dan Lundang kini dalam pentadbiran Kota Bharu. Ianya hanya dikenali sebagai Mukim sahaja, suatu ketika dahulu ianya adalah Kelantan Malay City States yang jarang orang ambil tahu. Sejarah Penghulu Adas agak sukar untuk dikesan kerana ia jarang-jarang tercatat dalam rekod sejarah Negeri Kelantan, mungkin kerana 75% kawasan Kadok merupakan kawasan tanaman padi dan pertanian, serta agak jauh dari Kota Bharu dan laluan perdagangan utama maka ia kurang dikenali.

Berlainan dengan kisah Mandor Mis, kerektor beliau banyak tercatat memandangkan Lundang berhampiran dengan Kota Bharu. Mengikut maklumat-maklumat yang disampaikan oleh sumber kami, pada tahun 1960an, Lundang merupakan kawasan padi yang luas, malahan Kota Bharu sendiri waktu itu banyak kawasan padi, contohnya di Padang Garong itu. Lama kelamaan kawasan Padi ini ditebus guna menjadi tapak bangunan komersial mengikut perkembangan Kota Bharu yang pesat membangun hingga hari ini.

Siapa Mandor Misa@Mis

Berdasarkan kepada maklumat daripada Kerabat Warisan Wan Nik Lundang (KWWNL), nama penuh Mandur Misa adalah Tuan Khomis bin Tuan Kundur bin Long Bahar atau dalam istilah yang mudah, beliau adalah Cucu kepada Long Bahar dan juga kerabat kepada Long Yunus. Beliau merupakan salah seorang sahabat Long Ghafar dan Long Yunus dalam perang Kota Kubang Labu II pada 1762. Beliau telah dianugerahkan kawasan Lundang atas sumbangan beliau dalam kempen pada 1762 itu.

Setelah dianugerahkan Lundang sebagai hadiah kerana membantu kemenangan dalam Perang Kota Kubang Labu, beliau telah diangkat menjadi Raja Kampung Lundang yang pertama dengan gelaran Dato’ Maharaja Wangsa merangkap Penghulu Menteri. Sumber KWWNL mengagak, jawatan ini setara dengan Timbalan kepada Perdana Menteri Long Ghafar.

Tuan Khomis merupakan saudara sulung kepada Che' Tuan Mah (Isteri Penghulu Adas), Tuan Wan Mamat dan Tuan Membunga dan anakanda kepada Tuan Kundur ibni Al-marhum Tuan Besar Long Baha pemerintah Kota Jembal 1725-1733 dengan isterinya yang kedua iaitu Raja Pah Binti Al-marhum Sultan Omar Jembal.

Mandur Mis telah melantik orang kanannya yang bernama Awang Besar menjadi Penghulu yang pertama diKampung Lundang. 1790, beliau telah mangkat dan Lundang tiada lagi beraja hinggalah pada 1800, apabila anaknya bernama Wan Mahmud telah lantik oleh Sultan Muhammad 1 sebagai Pembesar di Istana Balai Besar sebagai Dato’ Panglima Perang dan berkuasa di Lundang sekaligus diangkat sebagai Raja Kampung Lundag yang kedua. Kawasan kekuasannya adalah dari Pengkalan Sungai Kampung Wakaf Stan hingga ke Sungai Kampug Sireh disebelah barat, Sungai Lundang di sebelah selatan hingga ke Paya Rambai di sebelah utara. Kawasa ini kemudiannya dikenali sebagai Daerah Lundang.

Di bawah pentadbiran Dato’ Panglima Perang inilah Daerah Lundang mempunyai sistem pentadbiranya yang tersendiri. Pengurniaan Sultan Muhammad I ini adalah untuk mengenang jasa sahabat-sahabat baginda yang banyak membantu dalam perebutan takhta Kelantan dengan pihak Terengganu. Berikut adalah susunan pembesar peringkat Kelantan ketika pemerintahan Sultan Muhammad I :

  • Long Jenal digelar Raja Bendahara
  • Long Ismail digelar Raja Muda
  • Long Yusof digelar Raja Bukit Panchor
  • Long Muda digelar Engku Kota
  • Long Tan digelar Raja Temengong Aria Pahlawan
  • Wan Mahmud digelar Dato Panglima Perang Lundang
  • Wan Abdullah digelar Dato Kaya Hulubalang Kadok

Waris Mandur Mis@Misa
Dato' Panglima Perang telah berkahwin dengan Engku Che' Nik iaitu Puteri Sulong Baginda Long Gafar dan mendapat dua Putera iaitu Wan Sulong dan Wan Sulaiman bargelar Dato Lela Perkasa Tua serta seorang Puteri yang bernama Wan Bulat atau Wan Aminah iaitu Nenda kepada Dato Maha Menteri Kelantan Che' Had.

Dato' Panglima Perang  telah mangkat pada tahun 1830 dan tempatnya telah digantikan oleh anakandanya, Wan Sulong @ Wan Muhammad dengan gelaran  Dato' Panglima Perang Lundang yang ke-II dan digelar sebagai Dato' Mekong iaitu singkatan dari gelaran Siam ''Phra Chou Mekong Phaya Lundang'' dan memerintah sehingga mangkat pada tahun 1846.

Selepas kemangkatan Dato' Mekong, DYMM Sultan Muhammad-II telah melantik puteranya iaitu Wan Senik Besar atau Wan Nik untuk memerintah Daerah Lundang dengan gelaran Dato' Panglima Perang Lundang yang ke-III dan dipangil rakyat dengan nama Dato' Besar sehingga mangkat pada tahun 1867 dan digantikan oleh menantu Dato' Besar iaitu Wan Musa putera Wan Hassan Bin Wan Sulaiman bergelar Dato' Panglima Perang Lundang yang ke-IV yang sangat masyhur dikalangan rakyat dipangil dengan nama Dato' Lundang.

Tok Pelanduk : Mufti Kelantan 1907-1909
Mufti Hj.Wan Ishak Bin Imam Hj.Abdullah atau biasa juga dipangil Mufti Tok Pelanduk iaitu Mufti di zaman awal Pemerintahan DYMM Sultan Muhammad-IV yang mengantikan Mufti Hj.Nik Wan Daud pada tahun 1907 merupakan keturunan Al-marhum Dato' Besar sebelah ibunya yang bernama Wan Minah Binti Wan Ishak (Orang Kaya Lundang) Bin Wan Senik Besar atau Wan Nik (Dato' Besar Raja Lundang- IV).                                    

Lundang di akhir abad ke-19     
Sewaktu pemerintahan Dato' Lundang di Daerah Lundang, khususnya ianya telah mengalami kemajuan dan mewujudkan penempatan yang baru, di mana salah satunya ialah pembukaan kawasan penanaman padi yang baru iaitu di kawasan yang sekarang ini bermula dari My Bank Lundang hingga ke Kampung Bayam mengantikan tempat lama iaitu kawasan tebing sungai Lundang yang telah tercemar, tidak selamat serta berpenyakit akibat daripada ternakan mati dan reput ekoran daripada Peristiwa Angin Besar di Kelantan pada tahun 1880 dan diikuti bencana Alam berikutnya pada tahun 1881 hingga tahun 1884 atau sesetengah riwayat pula menyebut hingga tahun 1886 yang mana telah menyebabkan terjadinya Wabak penyakit berjangkit seperti Taun, malaria dan lain-lain lagi. Malah ada membawa diri hingga jauh ke Kota Tinggi, Johor dan membuka perkampungan yang dikenali sebagai Kampung Kelantan.

Bencana alam yang dialami penduduk Kelantan pada waktu itu khususnya yang tinggal di Lundang terutamanya di kawasan bawah lembah Kampung Lundang telah membuka penempatan baru dengan berpindah kepada kawasan yang lebih tinggi iaitu di kawasan Kampung Lundang sekarang. Seterusnya penduduk Kampung Lundang ini telah berpecah dan membuka beberapa kampung baru antaranya:
  • Kampung Bawah Lembah Lundang (sekitar Taman Restu)
  • Kampung Belukar
  • Kampung Paya Senang
  • Kampung Bawah Lembah Bunut Payong.
Walaubagaimanapun keempat-empat Kampung ini masih lagi terletak di dalam Daerah Lundang dibawah kawalan Dato' Lundang termasuk Kampung Bunut Payong yang dibuka pada akhir abad ke-19 yang bermula sebagai sebuah unit Kampung kecil yang terletak di sekitar kawasan Masjid Mukim Bunut Payung hingga ke sebelah barat kawasan Madrasah Ahmadiah, kemudian menganjur ke sebelah tebing Sungai Bunut Payong yang kedua di sebelah selatan.

Pada tahun 1909 akibat daripada Perjanjian British-Siam, maka peranan corak pemerintahan tradisional Daerah Lundang telah ditukar dan berubah kepada corak pentadbiran moden yang dibawa oleh Penasihat British ke Kelantan. Akibat daripada peristiwa ini, Dato' Lundang telah diberi pencen seumur hidup, walaubagaimanapun pengaruh bekas Pembesar Lundang ini masih lagi kuat dan sangat diperlukan oleh kerajaan dalam mengendalikan beberapa perkara penting sehinggalah mangkat dalam tahun 1926 dan dimakamkan ditanah perkuburan besar kampung Lundang iaitu bersebelahan dengan Sekolah Kebangsaan Lundang  sekarang. Setelah itu, secara rasminya Daerah Lundang telah ditadbir secara moden yang diketuai oleh seorang Ketua Daerah bergelar Tok Kweng atau sekarang dipanggil Penggawa sehinggalah pada tahun dekad 1970an apabila Daerah Lundang telah dipecah dan digantikan menjadi Daerah Kubang Kerian.

Kemudian, pada tahun-tahun 90an Kerajaan Kelantan melalui Majlis Perbandaran Kota Bharu serta berkat usha gigih beberapa orang Aktivis Kampung Lundang telah mengambil  inisiatif dengan menukarkan nama baru bagi sebatang jalan mulai dari simpang tiga hadapan Kompleks Balai Islam Lundang hingga ke simpang empat Kampung Cerang yang dahulunya dipanggil Jalan Ya'cobiah kepada nama - Jalan Dato' Lundang. Penamaan ini adalah bagi maksud mengabadikan nama Tokoh ini serta menghargai jasa-jasa besarnya dalam negeri kepada kalangan masyarakat Kelantan.
  
Penutup
Jelas disini bahawa setelah tamat Perang Kota Kubang Labu 1762, Kelantan diperintah secara City States yang mempunyai pentadbiran secara autonomi yang berpusat di bawah Kerajaan Kota Bharu di bawah Long Yunus. Bagaimanapun terdapat percanggahan tentang pendapat dengan Kerabat Long Ghafar mengenai isu ini. Nyatanya, Kelantan pada 1762 telah didominasi oleh Long Ghafar, Long Yunus, Tuan Khomis dan Penghulu Adas dan beberapa panglima perang yang juga dikenali sebagai Panglima Hitam.

Ada pendapat mengatakan Perang Kota Kubang Labu itu dahulu adalah pertikaian “anak beranak” dan Patani selaku YDP Agong bagi Patani Besar tidak bertindak kerana perang tersebut lebih kepada pertikaian kerabat. Patani mengiktiraf nama “Negeri Kerat Lintang” dan Long Yunus serta Long Ghafar juga diiktiraf oleh Raja Siam waktu itu. Wujud juga pendapat mengatakan Long Yunus yang menyatukan Kelantan setelah sekian lama Kelantan diperintah secara City States.  Apa pun, Kelantan terus gemilang dalam legasi kepimpinan Ulama dan bijak pandai.

Artikel seterusnya : Siapa sebenarnya Penghulu Adas?


Kredit kepada : 

Makam Raja Kampung Lundang
Makam Raja-Raja Lundang dilorong Imam Lundang yang terletak berhampiran dengan tebing bawah lembah Kampung Lundang sekarang. Dahulu kawasan ini dipangil langgar surau Tok Jingga, berhadapan dengan gambar ini mulai disebelah kiri adalah:
  1.  Makam Al-marhum Mandor Mis (Dato' Maharaja Wangsa) 
  2. Disebelah kanan adalah makam Al-marhum Dato' Mekong.
  3. Dibelakang kudua-dua makam - bersetentang dengan makam Al-marhum Mandor Mis ada;ah makam Al-Marhum Dato' Panglima Perang dan disebelah kananya (tengah) adalah makam Al-marhum Dato' Besar  dan 
  4. Disebelah kanan makam Al-marhum Dato' Besar  adalah Makam Al-marhumah Engku Cik Nik Binti Long Gafar , isteri kepada Dato' Panglima Perang (tiada belindan). 
Makam Raja Kampung Lundang yang terakhir,
Almarhum Dato Lundang mangkat tahun 1926.
Dikuburkan di Sebelah Kebangsaan Lundang.

Merujuk daripada sumber ''Peringatan Lundang''oleh Imam Hj.Tuan Fakeh Abdullah Bin Ahad 1326h bersamaan tahun 1908.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...