SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Thursday 16 January 2014

SIAPA R.W. DUFF?

Pendahuluan
Company Duff amat popular di Kelantan kerana dalam catatan awal kurun ke-20 nama ini sangat dominan dalam catatan imperialis. Buku Kelantan : A state of the Malay Peninsula; a handbook of information yang ditulis oleh Walter Armstrong Graham (W.A. Graham) pada 1908 banyak memuatkan tentang peranan syarikat ini dalam pembangunan di Kelantan. Berdasarkan kepada buku tersebut dapat kita ketahui bahawa Duff Company adalah syarikat asing pertama yang beroperasi dengan skala yang besar di Kelantan dengan terlibat dalam bidang agrikultur dan perlombongan. Namun, kita tertanya-tanya siapa di sebalik nama Company Duff ini.

Kerjaya
Berdasarkan kepada catatan Sir Hugh Clifford dalam satu laporan bertajuk Journey in The Malay States, Terengganu and Kelantan 1896 :
“My party consisted of Mr. R. W. Duff; the Superintendent of the Pahang Police Force, forty Dyaks, eight Sikhs, and an irregular force of two hundred and fifty Pahang Malays. Dr. A. B. 'lesser Coope, Residency Surgeon of Pahang, also accompanied the expedition as medical officer.”

Berdasarkan kepada catatan ini, terbukti R.W. Duff adalah seorang Polis Negeri-Negeri Melayu Bersekutu berpangkat Superintendent. Waktu itu, beliau bertugas di negeri Pahang. Selaku seorang Polis yang berpangkat tinggi, pastinya beliau senang mendekati pemerintah negeri-negeri Melayu termasuklah di Kelantan. 

Sir Robert William Duff
Carian lanjut melalui internet mengenai profile beliau agak sukar kerana tidak banyak di ketahui tentang peribadi beliau berikutan carian nama R.W. Duff bertembung dengan satu nama yang sama tetapi profile sosok orang tersebut menyatakan tentang seorang individu yang bernama Robert William Duff (Sir), Gabenor New South Wales, Australia (1893-1895) walaupun nama sama, kami percaya, mereka adalah dua orang yang berbeza kerana Sir RW Duff ini meninggal dunia pada 1895.

Carian dalam JMBRAS Volume 45, 1972, menyatakan nama Robert William Duff sama dengan nama Gabenor New South Wales itu dan ini membuatkan sosok R.W. Duff di Malaya menjadi misteri, seolah-olah ada konspirasi tersembunyi.... 

Jelas disini bahawa, R.W. Duff yang menjadi Supritenden telah lama berkhidmat di Malaya dan beliau berasal dari kalangan keluarga DiRaja British yang mempunyai perkaitan rapat dengan pentadbiran Sir Frank Swettenham dan Sir John Anderson sebagai Residen Jeneral Negeri-Negeri Melayu Bersekutu.

Sultan Muhammad IV
Politik
Pengaruh R.W. Duff ini juga meluas di mana beliau memainkan peranan dalam politik pemerintah di Negeri-Negeri Melayu Utara (Kelantan, Jala, Patani, Legeh dan Reman) kerana menyedari potensi negeri-negeri terpencil ini dan ketika itu kawasan utara semenanjung berdepan dengan masalah politik terutama di Patani dan Kelantan. Beliau juga mempunyai hubungan rapat dengan Kementerian Dalam Negeri Siam di bawah pentadbiran Putera Damrong kerana beliau waktu itu adalah seoranga Pegawai Polis British berpangkat Superintendent yang memantau Negeri Pahang-Terengganu-Kelantan.

Pada tahun 1900, R.W. Duff telah menamatkan perkhidmatan beliau dalam Pasukan Polis British dan menjadi seorang ahli perniagaan dengan menubuhkan Duff Syndicate pada tahun 1900. Pada tahun ini juga Duff telah menandatangani perjanjian konsesi untuk membina jalan keretapi hingga ke Kota Bharu pada 10 Oktober 1900 dengan Sultan Muhammad IV.

Duff sebenarnya mengambil peluang atas Perjanjian British-Siam 1897 yang isi kandungannya adalah pihak Siam tidak membenarkan kuasa imperialis lain membuka koloni di wilayah-wilayahnya dan British akan membantu Siam mengimbangi kuasa-kuasa besar dari mengancam kedaulatannya.

Sultan Muhammad IV pada waktu itu diberi hak autonomi untuk mentadbir Kelantan telah mula mengorak langkah untuk menjadi sebuah negara moden seperti Pulau Pinang, Bangkok, Johor dan Singapura. Pelawaan Duff tidak dapat ditolak oleh Sultan Kelantan dan termetrailah perjanjian Konsesi Kelantan dan Duff Syndicate.

Duff di Patani
Ketika Sindiket Duff aktif, Patani sedang bercakaran dengan Bangkok. Tengku Abdul Kadir Kamaruddin telah mendapatkan pandangan daripada Duff selaku seorang warga British yang berpengaruh dalam pentadbiran dan keselamatan ketika mahu melancarkan pemberontakan pada Oktober 1901.

Duff ketika itu baru menjalankan aktiviti perniagaan memberi cadangan agar Tengku Abdul Kadir Kamaruddin menagguhkan pemberontakan itu dan menggunakan kaedah undang-undang melalui Mahkamah. Lagipun, peperangan akan menjejaskan banyak aspek kehidupan dan ekonomi rantau tersebut. Duff menyarankan agar Tengku Abdul Kadir membuat petisyen melalui Mahkamah untuk dimajukan kepada Kerajaan British mengenai masalah yang dihadapi beliau.

Selain itu, R.W. Duff juga menjadi pakar rujuk kepada Kementerian Keselamatan Dalam Negeri mengenai keadaan di Selatan Siam ketika itu, memandang beliau amat arif tentang keadaan politik di wilayah tersebut. Ini menunjukkan bahawa Duff sememangnya seorang yang berpengaruh di wilayah Melayu utara Semenanjung. Pengaruh beliau ini telah membolehkan beliau memonopoli sektor ekonomi di wilayah tersebut.

Dalam masa yang sama, Sindiket Duff mula membawa kemudahan dan peralatan untuk memulakan kerja-kerja melombong di Ulu Kelantan, Reman, Legeh dan Jala.

Kegiatan
Seperti yang kita maklum, Sindiket Duff ini adalah satu organisasi yang terancang untuk menjarah hasil bumi Kelantan. Untuk meningkatkan lagi modal dalam Sindiket ini, Duff telah menjenamakan semula organisasi beliau kepada nama Duff Development Syndicate dan mendaftarkannya di London dengan modal sebanyak £400,000 pada 1908.

Kegiatan syarikat ini di Kelantan dijalan secara usahasama dengan perkongsian modal di mana, Kelantan menyediakan kawasan dan Syarikat Duff akan meneroka kawasan tersebut. Antara isi perjanjian usahasama antara Duff Development Syndicate dan Kerajaan Kelantan adalah seperti berikut:


  1. Duff Company diberi dua daerah pedalaman untuk diusahakan.
    Pertama, dari Kuala Kusial hingga ke Kuala Sitom iaitu hingga ke punca Sungai Kelantan di Hulu Kelantan dan kemudiannya hingga ke sempadan Legeh dan Perak.
    Kedua, dari Kuala Lebir hingga ke punca sungai di Kuala Ampul hingga ke perbatasan Kelantan-Pahang dan ianya merangkumi Sungai Lebir hingga ke Kuala Bong yang juga punca sungai Lebir.
    Luas keseluruhan konsesi yang diberikan kepada Duff adalah sebanyak 3000 Ekar daripada jumlah estet di Kelantan pada waktu itu sebanyak 3740 ekar.

    Mengikut perjanjian ini, Duff Company dengan kuasa Sultan telah diberi hak untuk menjalankan kerja-kerja yang telah dipersetujui selama 40 tahun dan tiada sebarang syarikat dibenarkan beroperasi dalam kawasan konsesi yang telah diberi kepada Duff Company,
  2. Duff Company dikehendaki membayar sebanyak $20,000  kepada Kerajaan Negeri untuk memulakan kerja-kerja perlombongan dan pertanian di kawasan konsesi yang telah dipersetujui oleh kedua pihak.
  3. Sultan Kelantan diberi 1 saham setiap 25 saham dalam Syarikat Duff yang bernilai £400,000. Modal untuk pemilikan saham ini dibayar oleh R.W.Duff sendiri dan pihak Kerajaan Negeri akan menerima keuntungan pelaburan mengikut jumlah saham yang dimiliki.
  4. Setiap logam berharga seperti Emas, Timah, Perak atau Berlian atau lain-lain Batu Permata yang ditemui dan kayu balak yang dikeluarkan dari dua kawasan tersebut, Robert William Duff telah bersetuju untuk membayar cukai sebanyak 1/20 atau 5% nilai mineral yang ditemui itu sama ada dengan duit atau bahan galian yang ditemui itu. Bagaimanapun, Duff tidak berhak ke atas Gajah, Gading, dan Rotan dalam kedua daerah ini dan Duff serta para pekerjanya tidak boleh memiliki haiwan dan tumbuhan tersebut.
  5. Robert William Duff juga bersetuju membayar cukai sebanyak 5% atas pokok-pokok komersial yang ditanam di kedua-dua daerah tersebut.
  6. Duff juga harus menghormati penduduk di kedua-dua daerah tersebut, sekiranya berlaku sebarang perlakuan jenayah, beliau atau syarikat harus merujuk kepada Mahkamah Polis Kelantan dan Duff tidak berhak membawa kes jenayah ke luar dari Kelantan. Pihak Kerajaan akan bertindak menangkap orang-orang yang melakukan keselahan jenayah dalam kedua-dua daerah tersebut.
  7. Bermula tarikh kuatkuasa surat perjanjian itu, hingga 15 bulan kemudiannya, akan terbatal sekiranya Robert William Duff atau wakilnya tidak memulakan kerja-kerja konsesi tersebut. Pihak Kerajaan juga akan menarik balik tanah yang telah diberikan tersebut.
Perjanjian British-Siam 1909
Aktiviti Duff Development Syndicate di Utara Semenanjung Tanah Melayu mendapat perhatian yang mendalam oleh pihak British dan Siam kerana dua kerajaan ini  menganggap Duff sedang mengeksploitasi keadaan bergolak di negeri-negeri Melayu tersebut, 

British telah memberi kata putus kepada Siam untuk British mengambil alih pentadbiran negeri Kedah-Perlis, Kelantan dan Terengganu memandangkan Siam menghadapi masalah untuk mengekang kebangkitan Melayu di bawah pimpinan Tengku Abdul Kadir dari Patani. 

Pecahan negeri Melayu antara Kuasa British dan Siam telah mematahkan terus kebangkitan Melayu yang bermula 1902 dengan termetrainya perjanjian pada 1909. Di bawah peralihan pentadbiran Siam kepada British ini membuatkan semua perjanjian yang dilakukan oleh Kerajaan Kelantan dengan pihak yang tiada kaitan secara langsung dengan Kerajaan British telah terbatal dan terbubar.

Termasuklah Perjanjian Duff dengan Kerajaan Kelantan pada 1900. Pelaburan Duff di wilayah Reman, Jala dan Legeh juga terbatal kerana kerajaan itu sudah tidak wujud setelah Siam mengasimilasikan kerajaan tersebut dalam pentadbirannya. Duff Development Syndicate terbungkam dengan perjanjian baru itu.

Untuk rekod, Duff telah mengambil tindakan undang-undang menetang Kerajaan British, namun ia gagal dan pelaburannya lebur.

Pelaburan Duff begitu agresif sekali, hingga syarikat beliau telah berjaya membangunkan satu penempatan baru di pedalaman pada tahun 1900-1908 dengan insfraktuktur asas yang lengkap. Namun terpaksa ditinggalkan begitu sahaja. Puing-puing tingggalan Duff masih boleh dijumpai di kawasan Lebir dan Jeli, namun kini ianya dikelilingi hutan.Selain itu, terdapat satu tanjung di Tumpat dinamakan sempena nama beliau iaitu Tanjung Duff, selain itu, kerana kepesatan ekonomi yang dijana oleh Syarikat Duff, Kerajaan Negeri Kelantan telah membina Istana Bukit Tanah sebagai Istana Hinggap yang siap pada tahun 1910.

Kesimpulan
Robert William Duff adalah nama besar dalam sejarah moden Kelantan. Namun atas faktor double standard pemerintahan British, nama Duff ini tenggelam. Kawasan penempatannya di pedalaman Kelantan dibiar terbengkalai sedangkan Duff sudah merencana dengan teliti tentang pembangunan di kawasan tersebut. Kerajaan negeri pada waktu itu juga mengambil langkah sedemikian bagi menyaingi perubahan iklim politik dan ekonomi semasa yang kian berkembang dan keluar dari kelompok feudal seperti mana dilakukan oleh Bangkok dan Johor yang melalui transformasi ekonomi hingga gah ketika itu. Namun, kerana kemelut politik dan perencanaan jahat Frank Swettenham dengan Chulalongkorn telah menyebabkan Kelantan  kekal dengan jolokan sebagai negeri miskin.











PETIKAN DARIPADA HARI INI DALAM SEJARAH : ARKIB NEGARA MALAYSIA


Pada 22 April 1905, Kerajaan Negeri Kelantan menandatangani satu perjanjian dengan Duff Development Company. Perjanjian yang ditandatangani oleh Sultan Muhammad IV dengan Robert William Duff ini bermaksud bagi menggantikan perjanjian dan dokumen tambahan yang dibuat pada 19hb Oktober, 1900 dan 12hb Ogos, 1903.
 Melalui perjanjian ini di antara lain, Sultan Kelantan memberikan hak perdagangan tunggal di dua daerah dalam negeri Kelantan kepada Duff Company. Sempadan bagi kedua-dua daerah ini ditentukan oleh beberapa sungai iaitu Sungal Kusial, Sungai Kelantan, Sungai Sitong, Sungai Lebir, dan Sungai Galas dan sempadan-sempadan Negeri Perak, Kelantan, Pahang dan juga Wilayah Reman dan Leggeh. Adalah dianggarkan bahawa daerah-daerah ini meliputi kawasan seluas 2,500 batu persegi.
 Hak perdagangan tunggal dalam lingkungan kedua-dua daerah ini diberikan kepada Syarikat Duff untuk tujuan perlombongan, pertanian, perhutanan, hasil-hasil hutan, perhubungan melalui jalan atau jalan keretapi, penyewaan tanah untuk membina bangunan, atau memungut sewa-sewa tanah, dan apa saja aktiviti bentuk perdagangan.
 Disebutkan juga bahawa Kerajaan bebas memilih sebarang kawasan yang difikirkannya sesuai untuk tapak bangunan-bangunan kerajaan, dan juga kerajaan bebas membinajalan-jalan di dalam kawasan Syarikat untuk tujuan-tujuan pentadbiran yang akan dibuka kepada penduduk-penduduk negeri, dan Syarikat tidak akan mempersoalkan atau campurtangan dalam hak Ialulalang awam yang wujud dalam kawasan Syarikat. Syarikat berhak memonopoli dalam perdagangan arak, candu, perjudian dan pajak-gadai di daerah-daerah ini.
 Hak tunggal kerajaan negeri ke atas gading, getah asli dan rotan tidak terjejas oleh perjanjian ini tetapi Syarikat atau bagi pihaknya dibenarkan mengambil rotan untuk kegunaan sendiri.
 Syarikat juga hendaklah menerima peraturan-peraturan dan hak Kerajaan ke atas "hasil padi", "hasil nyor", dan "hasil durian". Tetapi Kerajaan akan mengecualikan Syarikat daripada royalti ke atas padi.
 Kerajaan negeri tidak akan mengenakan undang-undang baru berkaitan dengan tanah atau lombong dalam kawasan yang dimiliki oleh Syarikat kecuali yang perlu untuk melindungi kepentingan orang ramai daripada kerosakan yang diakibatkan oleh Syarikat.
 Jika Syarikat gagal untuk mengusahakan tanah tersebtit dalam masa 2 tahun, kerajaan berhak mengambil semula tanah itu dan bebas untuk memajakkan kepada sesiapa sahaja yang dikehendakinya. Jika Syarikat ingin melantik pengganti dalam mengusahakan tanah ia perlu membawa kepada pengetahuan kerajaan.
 Perjanjian ini telah diakui sah oleh Putera Damrong Rajanubabh bagi pihak Raja Siam. Pada tahun 1912 konsesi yang dimiliki oleh Duff Development Company ini telah diambil alih oleh kerajaan British melalui satu persetujuan di mana Syarikat telah dibayar sebanyak £300,000 sebagai ganti rugi.
Kredit kepada : CactusWangi

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...