SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Monday 20 January 2014

DESTAR KELANTAN

Pendahuluan
Tengkolok, juga dikenali sebagai destar, setanjak/tanjak, bulang hulu dan setangan kepala, merupakan sejenis alas kepala tradisional Melayu yang dipakai oleh golongan lelaki!

Tengkolok diperbuat daripada kain songket panjang yang dilipat-lipat dan diikat dalam gaya (solek) yang tertentu. Pada zaman sekarang, tengkolok lebih banyak dipakai dalam majlis-majlis yang penuh adat istiadat, misalnya oleh kerabat diraja dan para hadirin dalam majlis istiadat diraja, dan oleh pengantin lelaki ketika majlis perkahwinan.

Nama Tengkolok
Mengikut Kamus Dewan (edisi ke-4), istilah "tengkolok", "destar", dan "setanjak" / "tanjak" adalah bersinonim; selain yang diterangkan di atas, perkataan "tengkolok" juga merujuk kepada "kain penutup kepala atau selubung (daripada sutera dll) yang dipakai oleh wanita", pengertian tengkolok sebagai alas kepala wanita jarang digunakan hari ini.

Akan tetapi, sesetengah pihak mengatakan bahawa tengkolok, destar, dan tanjak adalah berbeza dari segi jenis kain dan / atau ikatan walaupun sama kegunaannya, yang mana tengkolok merupakan alas kepala buatan kain bermutu yang lilitannya berlapis (tebal) dan meruncing ke atas; "destar" pula lilitannya rendah dan nipis berbanding tengkolok; "tanjak" pula lilitannya seperti tengkolok, tetapi kainnya lebih ringkas dan nipis.

Solek
Tengkolok boleh dibuat dalam pelbagai jenis bentuk dengan jenis dan corak kain yang berbeza, mengikut taraf sosial pemakainya. Nama am bagi bentuk tengkolok yang berbeza-beza itu ialah "solek".

Setiap solek tengkolok yang berbeza ini turut diberikan nama khas, misalnya: tengkolok yang dipakai oleh Yang di-Pertuan Agong dalam majlis istiadat pertabalan sejak negara zaman kemerdekaan, dikenali sebagai "Solek Dendam Tak Sudah".

Setiap Raja Melayu masing-masing memakai solek tengkolok yang khusus. Misalnya, Sultan Selangor memakai "Solek Balung Raja" berwarna serba kuning emas ketika menghadiri majlis pertabalan atau hari keputeraan baginda.

Terdapat  43 jenis Tengkolok bagi Raja-Raja Melayu, tetapi edisi PPSK kita tumpukan kepada pemakaian tengkolok Orang-Orang Kelantan.

 
Tumpukan kepada Destar - Sultan Muhammad IV
Tumpukan kepada Destar : Sultan Ismail, Sultan Ibrahim dan Sultan Ismail Petra













Destar yang dipakai oleh orang kebanyakkan Kelantan

Gambar-gambar yang dikongsikan adalah mengenai Destar yang dikenakan oleh Sultan-Sultan Kelantan yang terdahulu, setiap pemakaian Destar mempunyai maksud yang tertentu dan ia bukan sekadar pakaian alas kepala semata-mata. Ia dilit dari sehelai kain dan setiap lilit membawa maksud tertentu. Termasuklah Destar yang dipakai oleh orang kebanyakkan.

Dari selidikan bersama Cactus Wangi, kami telah menyediakan maklumat beberapa jenis Destar yang dipakai oleh orang-orang Kelantan dahulu dan kini. Ia seperti berikut:

  1. Destar Setangan Isih
  2. Destar Ketam Budu
  3. Destar Bulang Hulu
  4. Destar Sudu Itik
Destar Setangan Isih


Kelantan Darul Naim adalah sebuah negeri yang kaya dengan budaya termasuk seni lipatan destar yang dinamakan Setangan Isih dan banyak dipakai oleh rakyat biasa dan juga dalam persembahan Mak Yong. Iaitu sejenis persembahan tradisional merangkum penceritaan, nyanyian dan tarian.

Destar Ketam Budu



Destar ini digunakan oleh pembesar Negeri Kelantan. Warna destarnya hitam dengan bersulam benang emas. Destar ini dan destar lain seperti Destar Panglima Raja dan Paduka Raja menutupi seluruh bahagian kepala. Ikatan jenis ini adalah asas kepada semua jenis ikatan destar di Alam Melayu sejak beratus tahun dahulu. bentuknya berupa layar sebuah perahu masyarakat melayu.

Destar Bulang Hulu


Setiap perguruan silat mempunyai ciri-ciri perbezaan dari sudut ikatan kepala. Bulang Hulu merupakan salah satu ikatan destar yang kerap dipakai oleh pesilat di Negeri Kelantan. Bentuk asasnya amat ringkas dan bersesuaian dengan kelincahan dan ketangkasan pesilat.

Destar Sudu Itik


Destar jenis ini lazimnya dipakai oleh perguruan silat. Ia popular sewaktu zaman pemerintahan Sultan Tajuddin di Kedah. Adalah difahamkan, jenis destar jenis ini diadaptasikan daripada ikat kepala masyarakat Jawa sewaktu lawatan Baginda ke sana.

Sumber : Saudagar Tekua dan Cactus Wangi.

2 comments:

Unknown said...

Kandungan yang mantap...cuma kalau boleh kepilkan sekali video bagaimana destar dikarang adalah lebih baik

Tok Asyraf said...

Mohon diperbetulkan Getam Budu bukan Ketam Budu.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...