SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Tuesday 19 November 2013

Mantan Menteri Besar Kelantan 2 : Dato’ Nik Ahmad Kamil

Tan Sri Dato’ Nik Ahmad Kamil Bin Nik Mahmud (Dato’ Seri Setia Raja) 1944-1953

Tan Sri Dato’ Nik Ahmad Kamil Bin Nik Mahmud ialah seorang anak kebanggaan Kelantan yang mencapai kecemerlangan dalam banyak bidang termasuk pendidikan, perkhidmatan kerajaan, koperat dan kerjaya politik. Beliau ialah Menteri Besar Kelantan dari tahun 1944-1953. Sebelum menjadi teraju

utama kerajaan negeri, beliau dilantik menjadi Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan pada tahun 1934 dan Timbalan Menteri Besar Kelantan pada tahun 1938. Beliau juga salah seorang dari Ahli Rombongan Misi Kemerdekaan yang turut ke London pada tahun 1956 bagi merundingkan bagi merundingkan kemerdekaan Tanah Melayu daripada British.

Beliau dilahirkan pada 7 Julai 1909 dan mendapat pendidikan awal di Madrasah Muhammadi, Majlis Ugama Islam Kelantan sebelum melanjutkan pelajaran di Kolej Melayu Kuala Kangsar 1925 sehingga lulus peperiksaan Senior Cambridge. Pada tahun 1926 beliau telah dihantar oleh Kerajaan Negeri untuk melanjutkan pengajian Undang-undang di United Kingdom sehingga lulus Ijazah “Barrister at Law” dari Lincoln’s Inn pada November 1930.

Perkhidmatan beliau dalam kerajaan bermula dengan perlantikan sebagai Pelatih Penolong Penasihat Undang-Undang Negeri Kelantan pada tahun 1931. Beliau pernah menjadi Penolong Pegawai Daerah Pasir Puteh dan Majistret Kelas I di Mahkamah Kota Bharu. Selepas dua tahun sebagai Majistret, beliau dilantik sebagai Timbalan Pendakwa Raya.

Sejarah gemilang beliau dalam perkhidmatan awam termasuklah menjadi Pesuruhjaya Perdagangan Malaya ke Australia pada tahun 1957, Pesuruhjaya Tinggi Malaya ke United Kingdom pada tahun 1950, Setiausaha Tetap di Kementerian Luar Negeri pada tahun 1958. Beliau juga ialah Wakil Tetap Kerajaan Persekutuan Kerajaan Tanah Melayu ke Amerika Syarikat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1959. Beliau bersara daripada Perkhidmatan Awam pada Mei 1962.

Antara kegiatan dalam bidang koperat pula, beliau menjadi Pengerusi Syarikat Rothman of Pall-Mall (Malaysia) Bhd, pada tahun 1963 dan Pengerusi Public Bank pada tahun 1968. Pada Jun 1973 beliau dilantik sebagai Pro-Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia.


Penglibatan beliau dalam politik bermula dengan memasuki Persatuan Melayu Kelantan yang ditubuhkan pada tahun 1939. Pada tahun 1946 pula beliau menganggotai UMNO tetapi pada tahun 1955 telah memimpin Parti Negara Cawangan Kelantan. Pada tahun 1964, beliau telah dilantik sebagai Ketua Perhubungan UMNO Kelantan.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...