SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Monday 18 November 2013

Lawatan Henry Norman 1890

Lawatan Henry Norman, Ahli Parlimen British ke Kelantan pada 1890
Kemangkatan Sultan Ahmad ibni Sultan Muhammad 2 pada 27 Februari 1890 telah mencetuskan pergolakan politik di Kelantan.  Sultan Ahmad adalah Putera sulung kepada Sultan Muhammad 2, sebelum naik ditabalkan sebagai Sultan, Baginda telah dilantik sebagai Raja Kelantan  dan perwaris sah sebagai Sultan Kelantan. Sultan Ahmad hanya sempat menaiki takhta selama 4 tahun dan takhta telah digantikan oleh anakanda baginda iaitu, Tuan Kundor dan menaiki takhta dengan nama Sultan Muhammad 3.

Pergolakkan politik di Kelantan berpunca ketika pemerintahan Sultan Muhammad 3. Punca-punca pergolakan tersebut:
  1. Pembahagian harta pusaka Sultan Ahmad yang enggan dilaksanakan dengan saksama oleh Sultan Muhammad 3
  2. Pembahagian elaun yang tidak menentu kepada ahli-ahli kerabat diRaja yang berkenaan
  3. Ketiadaan pembahagian tugas-tugas pentadbiran di antara ahli Kerabat diRaja yang berkenaan
  4. Pengelibatan ahli-ahli Kerabat diRaja dalam Mesyuarat-Mesyuarat Majlis Negeri.
  5. Pemerintahan Sultan Ahmad dikatakan keras sedikit.

Pekara ini telah dinyatakan dalam surat-surat yang telah dikirimkan oleh putera-putera almarhum Sultan Ahmad sendiri kepada Tuan Skinner, Pemangku Setiausaha Jajahan di Singapura dan Residen British di negeri Pahang, melalui Raja Pahang. Surat-surat itu bertarikh 6 Mac 1890, kira-kira 3 minggu setelah kemangkatan Sultan Ahmad. Putera-putera raja Kelantan itu adalah Tuan Mahmud, Tuan Salleh, Tuan Sulaiman, Tuan Yusof dan Tuan Abdullah.

Julai 1890, seorang ahli parlimen British bernama Henry Norman telah membuat lawatan ke Timur Jauh, termasuk Semenanjung Tanah Melayu. Waktu di semenanjung beliau telah melawat Kelantan melalui sungai dari negeri Perak melalui Reman dengan menaiki rakit hingga ke Kota Bharu.

Semasa bermalam di atas rakitnya di tepi tebing Sungai Kelantan di kampong Pasir Pekan berhadapan dengan Kota Bharu, Henry Norman telah didatangi ole empat orang Putera Raja iaitu adik beradik kepada Sultan Muhammad 3 yang baru saja menaiki takhta sebagai Kelantan.

Dalam pertemuan selama empat jam itu, Henry Norman telah mendengar cerita yang amat menarik dan mendebarkan mengenai pergolakan politik Kelantan ketika itu. Putera-putera raja telah memberitahu bahawa saudara meraka iaitu Sultan Muhammad 3 bukanlah raja yang sebenar. Baginda telah merampas kuasa diRaja dan telah menggunakan banyak wang, termasuk yang diperolehi daripada harta pusaka untuk dihadiahkan kepada pegawai-pegawai Siam bagi mendapatkan pengiktirafan terhadap kedudukan baginda sebagai Raja pemerintah Kelantan. Mereka kata baginda seorang Raja yang zalim kepada setiap orang termasuk kepada diri mereka sendiri. Baginda telah mengeluarkan perintah supaya menyingkirkan atau mengusir orang Puteh yang masuk atau dating ke negeri Kelantan. Baginda amat dibenci oleh semua orang termasuklah rakyat baginda sendiri.

4 orang putera itu juga menyatakan mereka sedang merancang untuk memberontak tetapi mereka tidak mempunyai senjata dan wang yang cukup, mereka juga bertanyakan kepada Henry Norman adakah Gabenor British di Singapura boleh  bersimpati dengan perjuangan mereka serta menolong mereka. Henry Norman hanya mendengar sahaja aduan mereka itu dan tidak membuat sebarang janji. Sebelum meninggalkan Henry Norman diakhir pertemuan itu, salah seorang daripada mereka yang mereka cadangkan untuk menjadi Sultan telah menghadiahkan sebilah pisau penikam yang kecil bertatah emas (badik) sebagai cendermata perpisahan.

Walaupun Henry Norman tidak menyebut nama keempat-empat putera raja Kelantan yang telah datang berjumpa dengannya diwaktu tengah malam itu, kita boleh simpulkan ianya adalah Tuan Mansor yang menggantikan Sultan Muhammad 3 pada bulan Mei tahun 1891 sebagai Raja Kelantan dan bergelar Sultan Mansor pada tahun 1897 hingga tahun 1899. Henry Norman menyebut baginda sebagai seorang muda yang sangat cerdik dan sopan santun.

Berikut adalah terjemahan kisah yang ditulis oleh Henry Norman dalam bukunya yang bertajuk The People and Politics of the Far East.


PETIKAN TERJEMAHAN BAB 6 : A JOURNEY TO FORBIDDEN KINGDOM dalam buku THE PEOPLE AND POLITICS OF THE FAR EAST.

Ketika saya naik ke tebing sungai di Kota Bharu, saya lihat Sultan[1] sedang meneliti sebuah bangsa besar seperti bangunan yang telah dibina untuk menyambut Raja Siam[2] yang dijangka akan melawat negeri Kelantan. Sebuah Jeti panjang serta lorong berjalan yang tertutup juga sedang dibina untuk menyambut ketibaan Raja Siam itu, dan sehelai bendera Siam sedang berkibar di sebelah penghujung lorong berjalan itu.

Pada sebelah petang hari itu, Wan Yusof[3] menghantar kepada saya satu pesanan bahawa Sultan akan menerima saya mengadap pada hari esoknya dibalai yang juga telah didirikan untuk menyambut Raja Siam itu. Balai tersebut telah pun siap dan dihiaskan secukupnya dan oleh kerana itu dianggap tempat pertemuan yang sesuai.

Pada malam itu saya telah didatangi dua orang pelawat atau tetamu yang memberitahu saya cadangan yang pelik yang belum pernah saya dengar atau terima. Pada waktu petang hari itu, Ali[4] beritahu saya bahawa dua orang utusan dari Bandar berhajat hendak bercakap dengan saya, tetapi mereka tidak mahu datang ke khemah saya, dan memohon saya pergi bertemu dengan mereka di hujung semak tidak beberapa jauh daripada tempat saya berkhemah.

Tentu sekali saya mengesyaki suatu komplot, tetapi Ali mengatakan beliau pasti para utusan itu tidak ramai, jadi saya pun pergilah menemui mereka. Saya mengenali salah seorang daripada mereka iaitu orang yang sama saya temui di balai Sultan pada pagi yang sama. Kedua orang utusan itu meminta untuk bercakap dengan saya selama satu minit, saya pun berjalan-jalan dua puluh langkah bersama mereka. Lepas itu mereka memberitahu saya, seolah-olah dalam ketakutan dan secara sulit, bahawa empat orang adinda Sultan itu ingin hendak tahu bolehkah saya menyambut mereka pada tengah malam itu, kerana mereka ada khabar penting hendak diberitahu kepada saya.

Saya pun, bertanya kerana apakah mereka tidak datang berjumpa saya secara terbuka pada siang hari. Para utusan itu menjelaskan bahawa anak-anak Raja takut kepada kekanda mereka iaitu Sultan, yang menyuruh semua tinggal dalam rumah masing-masing, dan tidak dibenarkan keluar rumah tanpa kawalan, dan jika banginda tahu mereka itu datang menemui saya, baginda akan murka dan akibatnya adalah teruk kepada setiap orang yang berkenaan. Saya masih wasangka mengenai cadangan ini, lalu mengemukakan beberapa soalan kepada mereka; tetapi akhirnya saya beranggapan pekara itu benar seperti apa yang mereka katakana, dan oleh kerana itu, lebih-lebih lagi ianya mungkin boleh memberi faedah, saya  pun berkata kepadanya bahawa saya seorang diri sahaja akan berada dalam khemah saya itu menunggu ketibaan mereka pada waktu tengah malam, malam itu.

Selanjutnya setelah semua orang pulang ke Bandar, saya pun padamkan lampu saya dan duduk dekat pintu di sebelah dalam khemah saya itu, menunggu. Tidak lama kemudian saya Nampak dua bayang orang dalam gelap, tidak berapa jauh daripada saya, membuat isyarat kepada saya. Saya berfikir kalau saya pergi seorang diri ketempat dua orang itu saya mungkin menempah bala, oleh itu saya senyap-senyap memangil Buta[5], yang sedang berjaga di rakit, dan kami bersama berjalan ketempat dimana saya melihat dua bayang itu. Apabila sampai, ternyata mekera adalah dua orang utusan yang datang menemui saya tengah hari tadi.  “Dimanakah anak-anak raja itu? Saya bertanya. Mereka kata mereka meminta maaf tidak dapat hadir. ‘Mengapa?’ ‘Orang-orang jaga’. Sultan mengadakan kawalan ketat terhadap adinda-adindanya sehingga mereka tidak dapat kemana-mana: oleh sebab itu temujanji itu ditunda kepada malam esok. Saya guna cara seperti semalam, dan pada jam 1:00 pagi, mereka: empat orang anak raja,  serta dengan dua orang yang sama pun datang. Dua orang utusan itu tinggal diluar khemah dengan dijaga oleh salah seorang Sikh[6] yang saya letakan sebagai pengawal tiada berapa jauh daripada khemah saya dengan perintah supaya tidak membenarkan sesiapa pun menghampiri khemah saya.

Berikutnya, selama kira-kira empat jam, saya mendengar cerita yang aneh tetapi menarik. Oleh kerana orang-orang yang berkenaan masih lagi hidup[7], dan Kota Bharu berada tidak jauh dari Singapura dimana berita boleh sampai dengan mudah, maka terpaksa saya sebut disini dengan ringkas sahaja. Perkara utama yang disebut dalam pertemuan itu adalah bahawa anak-anak raja itu berpendapat kekanda mereka, Sultan, telah merampas kuasa diRaja, dan telah menggunakan wang yang terhak kepada adinda-adindanya untuk menyogok orang-orang Siam bagi mendapatkan pengiktirafan di atas kedudukannya itu.

Baginda, mereka itu memberitahu kepada saya, seorang raja yang sangat zalim kepada setiap orang termasuklah diri mereka[8], baginda bertekad tidak membenarkan orang-orang puteh memasuki negeri Kelantan, dan telah pun mengeluarkan perintah-perintah kejam bagi mencegah orang puteh dari memasuki negeri Kelantan[9] ; baginda amat dibenci oleh rakyat-rakyatnya sendiri; dan mereka itu berura mahu melancarkan pemberontakan. Cerita-cerita yang diberitahu oleh mereka kepada saya mengenai kekanda mereka telah mendapat simpati saya dan salah seorang daripada merkea yang dicadangkan menaiki takhta Kelantan menarik perhatian saya sebagai seorang muda yang sangat cerdik dan bersopan santun.[10]

Mereka menegaskan kepada saya bahawa jika mereka member isyarat, tiga daripada empat orang Melayu di daerah luar Bandar akan bangkit menentang kekanda mereka. Kekurangan mereka hanyalah senjata dan wang; Sultan mempunyai kedua-duanya dalam jumlah yang banyak. Mereka bertanya kepada saya apakah saya fikir Tuan yang Terutama Gabenor di Singapura akan bersimpati dengan hasrat atau perjuangan mereka dan akan menolong mereka. Mendengar pertanyaan mereka itu, saya pun tersenyum, oleh kerana saya berfikir apakah reaksi atau penerimaan yang akan saya dapat daripada Sir Cecil Smith sekiranya saya ini menjadi utusan mereka itu, dan saya memberitahu mereka bahawa saya yakin, pada pendapat saya, bahawa Gabenor tidak akan berbuat apa-apa untuk menggantikan kekanda mereka sebagai raja di Kelantan, dan jika mereka sendiri Berjaya menyingkirkan kekanda mereka, saya juga berpendapat dan yakin bahawa tiada sebarang Pegawai British yang akan member pertolongan kepada mereka itu.

Kemudian mereka mendesak saya. Sanggupkah saya mendapatkan bagi mereka sejumlah wang ringgit serta membawa senjata dan peluru kesuatu tempat di pantai di mana pengikut-pengikut setia mereka akan menunggu berjumpa dengan saya? Jika saya dapat berbuat demikian, mereka itu berjanji, pertamanya mereka tidak akan berlaku zalim; keduanya, negeri Kelantan akan dibuka kepada orang-orang Puteh dan konsesi-konsesi untuk berlombong dan berladang akan diberi dengan syarat-syarat atau terma-terma yang munasabah; ketiganya, mereka akan kurniakan kepada saya keistimewaan-keistimewaan tertentu yang tidak payah saya sebut di sini.

Akibatnya, jika rancangan itu Berjaya, ia akan tentu sekali menguntungkan rakyat Kelantan yang merana itu dan juga orang-orang sebangsa dengan saya. Lagi pun, pada jangkaan saya, tiada beberapa tahun lagi pasti akan berlaku perkembangan politik di negeri itu.

Ada pun budi pekerti Sultan dan corak pemerintahannya amatlah teruk keadaannya dan dengan demikian barangkali tidak ada seorang pun yang akan berfikiran panjang untuk menggulingkannya. Saya memberitahu mereka saya akan memberikan pertimbangan terhadap cadangan mereka itu, dan menjelang fajar keempat-empat anak raja itu pun meninggalkan saya. Mereka berjalan mengikuti tebing sungai ketempat mereka bersembunyi kira-kira satu batu jauhnya dan kemudian menaiki perahu menyeberang sungai kembali ketempat mereka masing-masing.

Pada malam esoknya, keempat-empat anak raja itu datang sekali lagi berjumpa dengan saya. Saya memberitahu mereka peristiwa yang telah berlaku semalam itu tidak patut difikirkan lagi. Walaubagaimana pun, mereka mendesak say, iaitu selepas saya meninggalkan  negeri Kelantan kelak, supaya saya mengambil ingatan akan perkara-perkara yang telah mereka beritahu kepada saya. Kemudian mereka pun meninggalkan saya dengan menaruh harapan bahawa satu hari nanti saya mungkin akan kembali ke Kelantan serta berpeluang untuk menolong menyelamatkan negeri mereka daripada nasib yang malang itu. Sebelum meninggalkan saya, salah seorang daripada mereka, yang mereka cadangkan menjadi Sultan, menghadiahkan kepada saya sebilah pisau penikam yang kecil yang bertatahkan emas, sebagai hadiah atau cenderamata perpisahan……….

(Terjemahan ini dipetik dari buku “The Peoples and Politics of the Far East” oleh Henry Norman, T. Fisher Unwin, London, 1895 muka surat 576 – 581)

________________________________________
[1] Tuan Mansor atau Long Mansor bin Tuan Kundor ialah putera kepada Tuan Kundor yang memerintah sebagai Sultan Muhammad 3 pada 6 Mei 1890, Tuan Mansor, adindanya telah menggantikannya sebagai raja Pemerintah Kelantan dengan gelaran Raja Kelantan. Hanya pada tahun 1897 barulah baginda bergelar Sultan Mansor.
[2] Raja Siam berkenaan adalah Chulalongkorn (1868 – 1910)
[3] Wan Yusof bin Wan Abdul Majid atau Nik Yusof bin Nik Abdul Majid ialah salah seorang pembesar Kelantan dizaman pemerintahan Sultan Muhammad 3 dan Sultan Mansor. Beliau dikatakan menjadi Menteri Besar Kelantan dizamanpemerintahan Sultan Mansor dan menyandang gelaran Dato’ Seri Paduka Raja tetapi beliau lebih dikenali sebagai Nik Seri Paduka.
[4] Ali ialah salah seorang pembantu Henry Norman yang datang bersamanya ke Kelantan.
[5] Buta ialah salah seorang pembantu Henry Norman yang datang bersamanya ke Kelantan.
[6] Sikh ialah salah seorang pembantu Henry Norman yang datang bersamanya ke Kelantan.
[7] Sultan Ahmad mempunyai 13 orang putera daripada kira-kira 9 orang isteri dan gundik. Mereka ialah Tuan Kundor, Tuan Salleh, Tuan Mamat (Muhamad), Tuan Mahmud, Tuan Putra, Tuan Idris, Tuan Sulaiman, Tuan Mansor, Tua Yusof, Tuan Ibrahim, Tuan Abdullah (Tuan Chik Adbullah), Tuan Yaakob dan Tuan Abdul Rahman. Keempat-empat adik beradik yang dipercayai menemui Henry Norman adalah Tuan Mansor, Tuan Salleh, Tuan Mahmud dan Tuan Sulaiman. Mengikut rekod British mereka yang menentang Sultan Muhammad 3 ialah Tuan Mahmud, Tuan Salleh, Tuan Sulaiman, Tuan Yusof dan Tuan Abdullah.
[8] Mengikut sumber tempatan Sultan Muhammad 3 menjalankan hukum Syarak dan sangat kuat berpegang kepada agama (Ringkasan Cetera, Kelantan, hlm.46)
[9] Satu peristiwa yang mungkin telah menyebabkan Sultan Kelantan amat murka dan benci kepada orang puteh berkenaan telah datang ke Kota Bharu, Kelantan dan telah melarikan isteri seorang pembesar Kelantan. Perkara itu telah dilaporkan kepada Gabenor British di Singapura. Mengikut Henry Norman, semasa berada di Kota Bharu, beliau mendapat tahu berikutan dengan peristiwa tersebut di atas, Sultan Kelantan telah membuat penyiasatan lalu kemudian menangkap 7 orang perempuan Kelantan yang diketahui sangat akrab dengan orang putih berkenaan, dicukur kepala mereka hingga botak dan dipaku cuping telinga mereka kepada batang pokok kelapa dan dibiarkan disitu beberapa hari.
[10] Putera raja berkenaan adalah dipercayai Tuan Mansor.



No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...