SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Tuesday 19 November 2013

Bukit Besi, Temangan, Machang


Pastinya ramai rakyat Kelantan mengetahui bahawa Kelantan pernah mengeluarkan Bijih Besi namun ramai yang tidak tahu dari daerah mana datangnya bijih ini.

Eksklusif KPSK bawakan khas untuk anda tentang Bukit Besi di Temangan, Machang, Kelantan.

Pada mulanya, masyarakat di Temangan tidak menyedari bahawa bukit di kampung mereka mempunyai sumber bumi yang bernilai tinggi iaitu besi. Ketika itu bukit ini mempunyai ekosistem yang tersendiri terdiri dari flora dan fauna yang unik.

Oriental Mining and Co. sebuah syarikat perlombongan dari Jepun telah memulakan usaha perlombongan bijih besi setelah mereka menemui Goethite, Hematite, Limonite dan Magnetitev di bukit tersebut. Syarikat memulakan operasi di Temangan sebelum perang dunia ke-2 lagi iaitu pada 1914. Kampung Bukit Besi mendapat nama semenjak perlombongan tersebut bermula.

Pihak syarikat perlombongan Jepun pada masa itu walaupun dianggap kuno kerana sekadar mempunyai jentera berantai (jentera penyodok), namun peralatan berkenaan dikatakan agak maju yang dapat menggali bijih besi dengan pantas dengan kedalaman yang paling maksimum. Ini kerana, jentera berkenaan dikatakan mampu memanjat bukit yang tinggi kerana dapat mencengkam tanah dan batu-batan dengan gagah berbanding jentera moden hari ini.

Dalam tempoh tiga bulan sahaja, bijih besi dapat digali dan dikeluarkan dari Bukit Besi itu. Pihak pemerintah Jepun memberi kebenaran kepada syarikat perlombongan itu melombong bijih dalam tempoh 15 tahun sahaja.

Selepas bijih besi berkenaan dapat digali, bijih besi itu diangkut menggunakan sejenis alat yang dicipta secara tradisional dinamakan ‘tangguk’ yang mana tangguk ini digerakkan menggunakan tali sebagai tenaga, manakala bijih yang siap digali itu akan dituangkan ke dalam gerabak keretapi mini yang sedang menunggu di kawasan khas di kaki Bukit Besi.

Ketika itu, jalan yang ada sekarang merupakan landasan keretapi yang dibina khusus untuk mengangkut bijih-bijih yang siap digali dan terus dibawa ke stesen di bandar Temangan untuk dileburkan di Tumpat. Tempat peleburan bijih itu kini terletak di Kampung Baru Nelayan, Tumpat yang mana bijih ini akan diangkut menggunakan kapal besar yang dapat memuatkan 90 tan dalam satu-satu masa yang telah siap sedia menunggu untuk dibawa terus ke Jepun.

Operasi perlombongan bijih besi itu terpaksa ditamatkan pada tahun 1930 berikutan operasi berkenaan telah melebihi tempoh yang dibenarkan. Walau bagaimanapun, selepas pihak Jepun menamatkan operasi melombong bijih ketika itu, operasi perlombongan bijih peringkat kedua ini melibatkan dua syarikat perlombongan yang hanya memakan masa selama sembilan tahun sahaja. Ini kerana dikatakan, operasi melombong tidak dapat dilakukan dengan sempurna berikutan berlakunya krisis antara kedua-dua pihak berkenaan yang masing-masing ingin menggunakan peralatan melombong.

Buruh bagi lombong ini sepenuhnya terdiri daripada orang-orang Melayu dan antar mereka menerima upah yang mahal kerana mempunyai kemahiran dalam mengendalikan jentera utama dalam perlombongan bijih besi itu.

Aktiviti melombong yang dilakukan syarikat terbabit pada masa itu telah memasuki fasa ketiga bermula pada tahun 1940, penduduk tempatan bergantung sepenuhnya kepada keretapi bijih untuk ke Temangan bagi kesekolah.

Pada tahun 1963-1964, pekerja-pekerja lombong terpaksa bekerja 24 jam kerana operasi melombong akan dihentikan pada pada tahun 1967. Bijih besi akan diangkut ke dalam keretapi yang disediakan di tebing sebuah tasik di kaki bukit itu, kemudiannya dibawa dengan keretapi ke bandar Temangan dan terus ke Tumpat.

1967, tanpa sebab yang kukuh, syarikat ini telah menghentikan operasi, ada maklumat mengatakan bahawa sumber di Temangan semakin berkurangan dan merugikan pihak syarikat. Namun, pada tahun ini juga operasi syarikat sama di Bukit Besi, Dungun juga telah menamatkan operasi. Sekarang ia dikenali sebagai Bandar Al-Muktafi Billah Shah.

Terdapat sumber menyatakan bahawa aktiviti perlombongan bijih besi telah kembali aktif dan ianya didakwa tanpa mendapat kelulusan Kesan Penilaian Alam Sekitar (EIA).


Mohon pihak berwajib membuat pengesahan, kerana aktiviti ini telah menjejaskan alam sekitar di kawasan tersebut.

Kesan Perlombongan di Bukit Besi, Temangan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...