SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Friday 29 November 2013

SEJARAH ISLAM : PERANG BADAR (PERSIAPAN)

Gambaran pertemuan pemimpin Islam sebelum Perang Badar
Berita persiapan angkatan perang Abu Jahal dan Pengikutnya disampaikan kepada Nabi Muhammad s.a.w. Para sahabat mula merasa bimbang kerana tidak mustahil Madinah akan diserang orang Quraisy.
“Abu Jahal dan pembesar Quraisy Makkah menubuhkan pasukan tentera dan membeli  senjata dari Habsyah. Mereka sekarang sedang melakukan persiapan perang. Oleh itu, kita juga perlu bersiap sedia,” kata Umar al-Khattab.
“Wahai Rasulullah, kami orang Ansar sedia mengajar taktik perang kepada sahabat-sahabat Muhajirin,” kata al-Bara’ bin Ma’rur kepada Nabi Muhammad s.a.w.
“Benar kata a;-Bara.’ Kami mahir berperang. Kami bersedia mengajar orang Muhajirin selok belok pertempuran. Kami akan kumpulkan orang kami bagi turut serta,” kata Sa’ad bin Ubadah pula.
Mulai hari itu, Abu Ayub bersama kaum lelaki Ansar mengajar orang Muhajirin teknik-teknik bertempur di medan perang. Mereka sama-sama berlatih tanpa jemu.

Sementara itu, dalam membina pasukan perang, Saad bin Abu Waqas dan Uthman bin Affan adalah antara orang berharta yang mendermakan sebahagian harta mereka bagi membeli kelengkapan perang. Semua penduduk berganding bahu menyediakan peralatan perang seperti tombak, pedang dan ada yang menggunakan pelepah tamar sebagai senjata.

Khabar angin yang mengatakan Nabi Muhammad s.a.w. akan menyerang Quraisy Makkah mula tersebar luas. Sementara itu, para sahabat bijak menyimpan rahsia persediaan mereka daripada pengetahuan orang Yahudi yang berusaha mengetahui pergerakan mereka.

Semangat Abu Ayub pula berkobar-kobar. Dia berusaha mengajak kaum lelaki tidak kira tua dan muda supaya turut serta. Sikapnya itu berlainan sekali ketika berlaku pertempuran antara Bani Aus dan Khazraj dahulu.

17 Ramadan 2 Hijrah
Lokasi Perang Badar

Nabi Muhammad s.a.w. menempatkan pasukannya  di kawasan berbukit kerana kawasan itu paling sesuai bagi menghadapi musuh yang lebih ramai jumlahnya. Pada malam itu, hujan turun dengan lebatnya mencurah-curah sehingga menenggelamkan banyak kawasan lembah  yanng dijadikan pengkalan pasukan tentera Quraisy. Pasukan tentera Islam pula mengucapkan syukur kerana dapat memenuhi bekas minuman dan berdoa bagi kemenangan mereka ketika hujan rahmat itu.

Namun, al-Hubab bin Mundzie berasa tempat itu tidak sesuai. Dia segera menghadap Nabi Muhammad s.a.w. “Pada pendapat saya, lebih baik kita pergi ke kawasan yang dekat dengan punca mata air. Dengan menguasai punca air, musuh tidak mendahului kita. Di sana kita bina takungan air bersih bagi membolehkan pasukan kita menggunakannya. Apabila berlaku pertempuran, pihak musuh akan kehausan, tetapi mereka tidak mempunyai air kerana kita sudah menguasainya.”

Nabi Muhammad s.a.w. menerima cadangan itu. Pada malam itu juga, Nabi Muhammad s.a.w. menyuruh pasukannya berpindah ke tempat yang dicadangkan oleh al-Hubab. Menjelang pagi, pasukan tentera Islam sudah menguasai semua kawasan punca air. Kemudian, mereka membuat takungan air bersih bagi kegunaan tentera Islam.
“Biarkan kami membuat tempat perlindungan untuk Tuan. Biarkan sahaja kami berperang dan Tuan terus berada di situ. Sekiranya kita menang, itulah yang menggembirakan kami. Andai berlaku sebaliknya, Tuan dapat berangkat pulang kerana di Madinah masih ramai lagi umat Islam yang menjadi pengikut Tuan. Mereka lebih menyayangi Tuan berbanding kami. Tuan teruskan perjuangan ini bersama mereka. Allah pasti akan membela Tuan bersama mereka,” kata Sa’ad bin Muaz kepada Nabi Muhammad s.a.w.
Nabi Muhammad s.a.w. bersetuju dengan cadangan Sa’ad bin Muaz lalu mendoakan kebaikkan  untuknya. Kemudian, mereka membuat tempat perlindungan seperti kenderaan yang dapat digerakkan bagi memudahkan Nabi Muhammad s.a.w. berlindung serta mudah bergerak pantas sekiranya berlaku sebarang kemungkinan. Tempat perlindungan Nabi Muhammad s.a.w. itu diletakkan di tempat yang tinggi bagi memudahkan baginda memantau  medan pertempuran.

Kemudian, Nabi Muhammad s.a.w. dengan diiringi beberapa orang sahabat memantau kawasan yang dijangka berlakunya pertempuran antara tentera Islam dengan tentera Quraisy. Di situ, Nabi Muhammad s.a.w. menunjukkan tempat di mana akan terbunuhnya Abu Jahal, Umaiyah, dan beberapa orang lagi. Setelah itu Nabi Muhammad s.a.w kembali ke pangkalan pasukan Islam lalu menyuruh mereka berehat kerana tidak lama lagi akan berlaku peperangan.

Pada masa yang sama, Abu Jahal dan beberapa orang pembantunya sedang membuat rancangan untuk menyerang Nabi Muhammad s.a.w. dan para pengikutnya. Umair bin al-Jumahi diperintah mengintip pergerakan pasukan Nabi Muhammad s.a.w. kemudian, Umair bin al-Jumahi kembali membawa laporan.
Menurut Umair al-Jumahi, pasukan Nabi Muhammad s.a.w. hanya sekitar 300 orang, 70 ekor unta, dan hanya dua ekor kuda. Mereka tidak membuat sebarang kubu perlindungan. Mereka juga tidak membuat apa-apa persiapan bagi melarikan diri. Jelas sekali mereka datang mahu berperang sehingga mati.
Hakim bin Hizam berasa gementar lalu menemui Uthbah bin Rabi’ah.
“Wahai Uthbah, kamu seorang pemimpin Quraisy yang dihormati dan ditaati. Apakah kamu tidak mahu nama kami dikenang sepanjang zaman?” tanya Hakim kepada Uthbah bin Rabi’ah.
“Apa maksud kamu, wahai Hakim?” tanya Uthbah bin Rabi’ah pula.
“Anak kamu, Huzaifah sudah menjadi pengikut Muhammad. Dia sekarang berada dalam pasukan Islam. Sekiranya kamu memerangi Muhammad, kamu juga terpaksa memerangi anakmu sendiri. Sekiranya anak kamu yang terbunuh dalam peperangan ini, kamu tidak akan dikenang sebagai seorang yang berjasa kepada kaum Quraisy. Oleh sebab itu, lebih baik kamu pulang sahaja ke Makkah,” jawab Hakim.
Kata-kata itu menyedarkan Uthbah bin Rabi’ah. Tambahan pula, Huzaifah adalah anak kesayangannya. Dia sudah berusaha memujuk Huzaifah kembali kepada agama nenek moyang mereka, tetapi tidak berjaya. Kini, anaknya berada dalam pasukan Madinah yang mahu diperanginya.
“Benar katamu itu. Aku akan kembali ke Makkah dan kamu pasti bersama aku dalam perkara ini,” kata Uthbah bin Rabi’ah.”
“Aku akan bersama kamu Abi al-Walid,” kata Hakim.
Di tengah ribuan pengikut, Uthbah bin Rabi’ah tampil ke hadapan lalu berseru, “Wahai orang Quraisy, sekiranya berlaku peperangan, kamu tidak mampu melakukan apa-apa apabila berhadapan dengan Muhammad dan para pengikutnya. Demi tuhan, sekiranya kamu dapat mengalahkan mereka, mereka tetap akan membencidan tidak akan tunduk kepada kamu. Demi keyakinan, mereka sanggup membunuh keluarga sebelah ayahnya dan sanggup membunuh keluarga sebelah ibunya atau keluarganya sendiri. Pulanglah kalian dan biarkan Muhammad dengan para pengikutnya.
“sekiranya kalian berdegil, pastilah terjadi peperangan antara kalian dengan mereka. Sekiranya kalian berjaya mengalahkan mereka, lalu itu yang kalian harapkan. Tetapi, apabila itu tidak menjadi kenyataan, bererti mereka mengalahkan kalian. Malah, kalian menanggung kerugian dan keaiban kerana tidak berjaya mencapai apa yang kalian mahukan daripada mereka”.
Ramai yang terpengaruh dengan kata-kata Uthbah bin Rabi’ah itu. Tetapi, lebih ramai yang setia dengan Abu Jahal. Malangnya, Abu Jahal tetap mahu berperang dan tidak membenarkan Uthbah bin Rabi’ah meninggalkan pasukan Quraisy begitu sahaja.

Abu Jahal segera menemui Amir bin al-Hadhrami lalu berkata, “Wahai pahlawan Quraisy yang gagah perkasa, ketika keluar dari Makkah kita sudah bersumpah setia bersama. Tetapi sekutu kita, Uthbah bin Rabi’ah mahu pulang bersama orang Quraisy. Namun, aku yakin kamu tetap bersama aku kerana dendam kamu kepada Muhammad masih terpancar di matamu. Berdirilah kamu dan suruh orang Quraisy memenuhi janji mereka bagi bersama kita memerangi Muhammad.”

Amir bin al-Hadhrami berdiri di atas untanya lalu berteriak dengan suara yang lantang. “Wahai orang-orang Quraisy. Perbalahan kita dengan Muhammad sampai ke kemuncaknya. Kita sudah sepakat mahu menghadapinya. Tetapi, kesatuan kita dirosakkan oleh Uthbah bin Rabi’ah. Abi al-Hakam mengatakan paru-paru Uthbah megembang kerana takut.”

Orang ramai mentertawakan Uthbah bin Rabi’ah. Uthbah bin Rabi’ah berasa marah dan tercabar lalu berkata, “Orang itu melumurkan belakangnya dengan tahi unta. Kamu akan tahu nanti paru-paru siapa yang mengembang, paru-paru aku ataupun dia.”
Disebabkan berasa malu dan tercabar dituduh pengecut, Uthbah bin Rabi’ah membatalkan hasratnya pulang ke Makkah. Dia bersedia berperang hanya kerana mahu membuktikan dirinya bukan seorang yang pengecut seperti yang dituduh oleh Abu Jahal. Dia memakai baju besi dan menyandang dua bilah pedang.
“Berikan aku topi besi, aku akan berada di barisan paling hadapan,” kata Uthbah bin Rabi’ah bersemangat.
Tentera Quraisy cuba memakaikan topi besi di kepala Uthbah bin Rabi’ah, tetapi tidak ada yang sesuai kerana kepalanya besar. Akhirnya Uthbah bin Rabi’ah cuma memakai kain yang dililitkan di kepalanya.
“Aku akan terjun ke medan perang walaupun tanpa memakai topi besi. Sekiranya orang itu memakai topi besi, bererti dia yang paru-parunya mengembang,” kata Uthbah bin Rabi’ah menyindir Abu Jahal.
“Aku tidak akan memakai baju besi dan topi besi. Tidak ada siapa yang dapat membunuh aku kerana dilindungin al-Latta dan al-Uzza,” kata Abu Jala begitu yakin dengan kepercayaannya.
Tiba-tiba perbualan mereka terganggu dengan kedatangan seorang tentera Quraisy yang bertugas mencari air datang membuat laporan kepada Abu Jahal.
“Kita dikalahkan oleh Muhammad sebelum berperang!” kata lelaki itu sambil menangis.
“Apa yang kamu cakapkan ini?” Kita belum berperang dengan Muhammad lagi!” Marah Abu Jahal.
“Muhammad menguasai semua punca air. Semua perigi dan kolam telah dikambus dengan pasir supaya kita tidak dapat meminum airnya. Mereka membuat satu takungan yang besar bagi kegunaan mereka. Semasa bertempur nanti, kita akan kehausan kerana kita tidak mempunyai air minuman.” Jawab lelaki itu.
“Rupa-rupanya Muhammad itu lebih bijak dari kamu, wahai lelaki yang belakangnya disapu najis unta,” sindir Utbah bin Rabi’ah, sengaja menyakitkan hati rakan seperjuangannya.
Abu Jahal berasa marah lalu berkata, “Wahai siparu-paru kembang, tidakkah kamu rasa hormat kepada aku sebagai ketua?”
“Aku tidak hormat kepada lelaki yang menuduh aku penakut,” jawab Utbah bin Rabi’ah.
“Saat genting sebegini sepatutnya kita bersatu. Kamu berdua adalah pemimpin kami. Sepatutnya menunjukkan contoh yang baik,” marah Hakim. Barulah Abu Jahal dan Utbah bin Rabi’ah tidak bertengkar lagi, rasa malu menerjah diri.

“Siapakah antara kamu yang sanggup memusnahkan takungan air musuh kita?” tanya Abu Jahal.
“Aku sanggup. Sekiranya Muhammad sanggup memusnahkan punca air kita lalu aku juga akan memusnahkan kolam takungan air mereka,” teriak al-Aswad bin Abdul Asad al-Makhzumi.
Kemudian katanya lagi, “Aku bersumpah dengan nama tuhanku, al-Latta dan al-Uzza, aku akan minum air dari kolam mereka, kemudian aku akan memusnahkannya. Aku sanggup mati kerananya.”
Abu Jahal berasa senang hati mendengarnya lalu memuji keberanian al-Aswad. Dalam kalangan orang Quraisy, dia terkenal sebagai seorang lelaki yang berani, berhati kejam, dan berakhlak buruk.
“Sekiranya Aswad dapat memusnahkan kolam takungan musuh, aku sanggup memberinya hadiah 100 ekor unta,” kata Utbah bin Rabi’ah pula.
“Aku sanggup memberi dua kali ganda dari jumlah itu,” kata Abu Jahal yang tidak mahu mengalah.
“Aku lakukan ini dengan kerelaan hati sendiri. Aku tidak meminta apa-apa hadiah dari kalian berdua,” kata al-Awad pula.
“Mengapa kita hendak memusnahkan takungan air mereka? Bukankah lebih baik kita biarkan, supaya selesai peperangan ini nanti dapat kita gunakan,” kata Hakim yang tidak bersetuju dengan cadangan itu.
“Muhammad menyuruh pengikutnya memusnahkan semua perigi dan kolam air yang ada supaya kita kehausan. Kita wajar membalasnya dengan memusnahkan tempat takungan air mereka. Biar sama-sama kehausan,” jawab Abu Jahal.
Kemudian katanya lagi, “Dengan memusnahkan semua punca air, mereka dan kita sama-sama kehausan. Maka, peperangan dapat ditamatkan dengan segera. Aku mahu Muhammad dan pengikutnya dihancurkan sebelum matahari tegak di atas kepala.”

Kemudian Abu Jahal menyusun pasukan tenteranya. Dihadapan sekali diletakkan pasukan berkuda yang terdiri daripada 200 anggota. Di belakang mereka, pasukan yang menunggang unta berjumlah 200 orang juga dan diikuti tentera berjalan kaki yang memakai baju besi seramai 600 orang.

Pada masa sama, Nabi Muhammad s.a.w. sedang menyusun pasukan tenteranya. Mereka Cuma berjumlah 313  orang. Mereka bersenjatakan panah, pedang dan ada yang menjadikan pelepah tamar sebagai senjata.
Mereka yang mahi memanah diletakkan di  barisan hadapan dalam tiga barisan. Mereka yang bersenjatakan pedang dan lain-lain diletakkan di barisan belakang pasukan pemamanah. Unta-unta mereka diletakkan di belakang kerana mereka lebih suka berperang dengan berjalan kaki.

Seorang tentera Quraisy berteriak, “Aku bersumpah dengan nama tuhanku al-Latta dan al-Uzz, aku akan minum air dari kolam kamu, kemudian aku akan merobohkannya, dan aku rela mati kerananya!”

Lelaki itu adalah al-Aswad bin Abdul Asad al-Makhzumi yang bersumpah dihadapan Abu Jahal dan tentera Quraisy bagi memusnahkan takungan air pasukan tentera Islam. Kemudian sumpah yang sama diucapkannya semasa berlari menuju ke takungan air pasukan tentera Islam.

Hamzah bin Abdul Muttalib bertindak pantas keluar dari barisan tentera Islam lalu menghadang al-Aswad. Berlaku pertarungan di antara mereka yang disaksikan oleh kedua belah pihak. Al-Aswad ketika itu memakai baju dan topi besi. Dengan begitu angkuh dia mencabar Hamzah bagi menikam badannya yang dilindungi baju besi.

Hamzah seorang pahlawan yang bukan sahaja gagah berani, malah bijak. Dia menetak kaki kanan al-Aswad menyebabkannya jatuh tersungkur. Namun al-Aswad masih tidak mahu menyerah kalah, dia merangkak menuju ke arah kolam air bagi menunaikan sumpahnya. Walau bagaimanapun, Hamzah tidak memberi peluang kepada al-Aswad mendekati takungan air itu. Hamzah menetak leher al-Aswad menyebabkan dia mati serta merta. Melihat keadaan itu, pasukan tentera Islam bertakbir serta menyebut nama Allah.
Selepas itu, Nabi Muhammad s.a.w. memerintahkan pasukan tenteranya mara bagi berhadapan dengan musuh. Sudah menjadi tradisi Arab, sebelum berperang mereka mengadakan perlawanan satu lawan satu terlebih dahulu.
“Siapakah antara kamu yang sanggup keluar bertanding dengan pengikut Muhammad satu  lawan satu?”tanya Abu Jahal yang dilantik sebagai ketua pasukan Quraisy.
“Aku!” teriak Uthbah bin Rabi’ah.
Kemudian katanya lagi, “Aku akan buktikan kepada kamu yang aku bukan takut seperti yang kamu tuduh. Aku sanggup mencabar pengikut Muhammad walaupun aku sudah tua dan tidak memakai baju serta topi besi.”

“Kamu memang seorang yang berani sekiranya dapat menewaskan lawan kamu,” kata Abu Jahal pula.
“Aku tidak akan biarkan ayah aku pergi seorang diri. Aku akan bersamanya,” kata al-Walid, anak Utbah bin Rabi’ah pula.
Kemudian al-Walid menyertai ayahnya ke hadapan. Melihat keadaan itu  lalu Syaibah bin Rabi’ah pula berkata,”Aku tidak akan biarkan saudaraku dan anaknya sahaja. Kami bertiga akan berganding bahu.”
Tiga orang Quraisy itu mencabar orang Islam keluar bagi bertanding satu lawan satu dengan mereka. Lalu cabaran mereka segera disambut oleh tiga orang pemuda Ansar iaitu Auf bin Harith, Mu’awwids bin al-Harits dan Abdullah bin Rawahah.
“Kamu bukan lawan kami. Keluarkanlah tiga orang kaum kami dari Makkah,” teriak Uthbah bin Rabi’ah.
Nabi Muhammad s.a.w. memerintahkan Hamzah bin Abdul Muttalib, Ali bin Abi Talib, dan Ubaidah bin Harith tampil ke hadapan. Dengan penuh berani mereka maju ke tengah medan perang sambil memegang pedang masing-masing. Sebaik mereka saling bertentangan, Hamzah meluru tanpa memberi peluang kepada Syaibah. Dengan sekali ayunan, pedangnya itu mengenai tubuh musuh lalu tersungkur ke tanah. Ali juga tidak memberi peluang kepada al-Walid, nasibnya serupa Syaibah. Mereka berdua berjaya ditewaskan dengan mudah.

Ubaidah pula bergelut dengan Uthbah bin Rabi’ah yang handal. Ketangkasan Ubaidah tidak dapat menandingi kehebatan Uthbah bin Rabi’ah yang semakin sukar dipatahkan serangannya, apatah lagi apabila melihat anak dan saudaranya tewas di hadapan mata. Disebabkan asakan yang bertubi-tubi itu, Ubaidah cedera parah. Dia tidak terdaya mempertahankan dirinya lagi.


Melihat keadaan Ubaidah, Hamzah dan Ali segera membantunya yang sedang diterkam oleh Uthbah bin Rabi’ah dengan pedangnya. Ali menyekat kemaraan Uthbah bin Rabi’ah dari arah hadapan. Hamzah pula menyerangnya dari arah belakang  sehingga ayunan pedangnya tepat terkena tubuh Uthbah bin Rabi’ah yang akhirnya jatuh  tersungkur. Darah pekat mengalir membasahi pasir. Hamzah dan Ali berpuas hati. Abu Jahal terus memerintahkan pasukannya terus menyerbu apabila melihat ketiga-tiga panglimanya gugur.

Tuesday 26 November 2013

PATANI-KELANTAN : EPISOD PENGENALAN

Patani adalah sebuah kerajaan Melayu yang besar wujud di utara Sememanjung Malaysia yang kini berada dalam negara Thailand. Secara kasarnya, kerajaan Patani telah ditakluk oleh Siam dan kini dikenali dengan nama jolokan Southern Thailand. Kegemilangan Patani ini menggerunkan sebenarnya. Kehebatannya adalah diwarisi daripada ancestor Langkasuka, sebuah kerajaan Purba yang wujud di awal kurun Masihi. 

Kerajaan Langkasuka akan kita huraikan pada artikel khusus dan ianya masih peringkat penelitian kami. Di ruangan ini, kita mahu membawa anda menyelami sedalam-dalamnya Kerajaan Melayu Patani ini.

Sebagai permulaan, kami sampaikan maklumat secara umum untuk mengenal kerajaan Patani dan juga Kesultanan. Artikel-artikel berikutnya akan kami sampaikan dengan lebih jelas dengan penekanan kepada tokoh-tokoh yang berkaitan mengikut kronologi.


SEJARAH

Hikayat Patani menyatakan KerajaanPatani mencapai kemuncak semasa diperintah oleh 3 Dinasti iaitu:
  • Dinasti Sri Wangsa
  • Dinasti Kelantan Pertama
  • Dinasti Kelantan Kedua


Dinasti Sri Wangsa  juga dikelai sebagai Dinasti Ulu. Raja Perempuan Pattani, Raja Ungu Binti Sultan Bahadur Shah telah berkahwin dengan Sultan Pahang, Sultan Abdul Ghafur mengukuhkan hubungan Patani dengan Pahang serta Empayar Johor amnya, dan beberapa kali serangan Siam berjaya dipatahkan dengan bantuan Johor. Setelah Raja Ungu mangkat, Raja Kuning iaitu puterinya hasil perkahwinan dengan Sultan Abdul Ghafur Pahang menaiki takhta Patani. Kisah mengenai ratu-ratu akan diperinci secara jelas dalam posting yang berasingan.

Dinasti Kelantan Pertama diasaskan pada tahun 1650 oleh Raja Sakti yang memindahkan pusat pemerintahannya dari Kota Mahligai ke Patani.

Dinasti Kelantan Kedua diasaskan pada tahun 1838 oleh Raja Kampung Laut Long Muhammad bin Raja Muda Kelantan Long Ismail, dikenali juga sebagai Tuan Besar/Paduka Seri Sultan Phaya Long Muhammad (Al-Marhum Tanjung).

DINASTI SRI WANGSA
Patani mencapai zaman kegemilangannya pada tahun 1584-1649 sewaktu di bawah pentadbiran Raja Pelangi iaitu Raja-Raja Perempuan/Sultanah seperti:
  • Raja Hijau (1584-1616)
  • Raja Biru (1624-1635)
  • Raja Ungu (1624-1635)
  • Raja Kuning (1635-1649).


Ketika pemerintahan Raja Biru, beliau telah menugaskan seorangan Muslim Cina yang bernama Tok Kayan atau nama asalnya Lim To Khiam untuk mengetuai pembuatan meriam-meriam kerajaan. 3 buah meriam telah berjaya dihasilkan iaitu Sri Patani, Sri Nagara dan Mahalela. Sri Patani dan Sri Nagara mempunyai saiz yang sama, makala Mahalela agak kecil sedikit (5 hasta 1 jengkal). Sri Patani dan Sri Nagara merupakan meriam terbesar di Asia Tenggara dan ia telah berjaya menyekat serangan Siam sebanyak empat kali iaitu pada tahun 1603, 1632, 1634, dan 1638.

Pada tahun 1631, Patani telah menghantar bala tentera ke Ligor bagi membebaskan cengkaman Siam keatas orang Melayu di wilayah tersebut. Dalam serangan itu, dua buah kapal Siam berjaya ditawan bersama-sama dengan dua orang Belanda.Siam kemudiannya menyerang balas dan berjaya mengambil semula dua kapal mereka, tetapi dua orang Belanda itu tidak dijumpai.

Hal ini menyebabkan Belanda menyokong Siam dalam tindakan berikutnya. Pada Mei 1634, Siam telah melancarkan perang ke atas Patani dan ianya adalah serangan Siam yang terbesar keatas Patani dengan kekuatan tentera seramai 60,000 orang. Namun, bala tentera Siam ini berjaya ditumpaskan oleh Patani yang bergabung dengan Portugis.

Tekanan dari Siam yang sentiasa menyerang dari arah utara membuatkan Patani mencari sekutu dari  alam Melayu terutama dengan Empayar Johor-Pahang-Riau-Lingga. Direkodkan bahawa Raja Ungu telah berkahwin dengan Sultan Pahang iaitu Sultan Abdul Ghafur. Mereka telah dikurniakan seorang puteri yang kemudiannya dikenali sebagai Raja Kuning yang menaiki takhta Patani pada tahun 1635 selepas kemangkatan bondanya pada 1635. Empayar Johor-Pahang beberapa kali menghantar bantuan dalam menangani ancaman Siam dan hasilnya Patani kekal sebagai negeri berdaulat hingga ke penghujung abad ke-18.

DINASTI KELANTAN PERTAMA
Pada tahun 1649, Raja Kuning telah mangkat dan menyebabkan Patani dalam keadaan huru-hara. Raja Sakti 1 dari Kelantan telah berjaya menyatukan Kelantan dan Patani di bawah pemerintahannya pada 1649. Ketika ini timbulnya istilah Patani Besar yang mana pusat pemerintahannya terletak di Kota Mahligai seperti mana lokasi ia hari ini di Melor, Kelantan.

Seterusnya Patani diperintah oleh puteranya, Raja Bakal yang memerintah dari tahun 1688-1690. Selain itu terdapat dua orang Raja Perempuan daripada Kota Jembal (Kelantan Timur) yang memerintah Patani iaitu Raja Mas Kelantan (1670-1698) dan puterinya Raja Mas Cayam juga dikenali sebagai Raja Dewi Peracu (1698-1702).

Raja Mas Cayam inilah yang telah menabalkan anak Bendahara Johor iaitu Tun Zainal Abidin menjadi Sultan di Sungai Terengganu, dalam usahanya mengukuhkan persahabatan dan persekutuan dengan Johor. Pada waktu itu, Johor mula mengalami kemerosotan dan tidak mampu melindungi dan menghantar perlindungan dan tentera ke Patani lagi. Ini disebabkan persengkatan di kalangan pembesar Melayu dan Yamtuan Muda Riau pada akhir abad ke-17 dan abad ke-18. Akhirnya, Siam telah menyerang Patani pada 1785 dan Kedah pada 1821 dan tunduklah Kerajaan Pantai Timur Semenanjung...

Di kongsikan Kronologi ringkas tentang Siam dan kekuasannya:
  • 1760: Kebangkitan kuasa Burma di bawah dinasti Konbaung, Burma menakluk Siam pada 1767 dan Laos pada 1765
  • 1768: Siam dibawah pimpinan general Taksin berjaya menghalau penjajah Burma.
  • 1769: Untuk mengukuhkan kuasanya di selatan, Siam menakluk Ligor/Negara Sri Darmaraja(Nakhon Si Thammarat). Armada angkatan laut dibina di Nakhon Si Thammarat, Trang dan Krabi untuk menakluk wilayah selatan di semenanjung Tanah Melayu.
  • 1782: Raja Buddha Yodfa Chulaloke atau Rama I menaiki takhta Siam menggantikan Raja Taksin yang digulingkan, dinasti Rattanakosin yang berpusat di Bangkok diasaskan.
  • 1785: Di bawah pemerintahan Raja Rama I, Siam menyerang dan berjaya menakluki Patani. Kelantan dan Terengganu menjadi wilayah yang tunduk kepada Siam (tributary states) dan menghantar bunga emas ke Siam.
  • 1789-1791: Pemberontakan di Patani. Patani dipecahkan kepada tujuh wilayah: Patani, Saiburi (Teluban), Nongchik, Yaring, Yala, Reman dan Rangae untuk melemahkan orang melayu.
  • 1821: Kedah ditawan Siam, Siam juga mengancam menyerang Perak dan Selangor, Sultan Kedah yang kalah dilarang tinggal di Perak dan Selangor kerana Siam mengangap negeri-negeri ini dibawah kekuasaannya. Sultan Kedah terpaksa tinggal di Melaka dan melancarkan serangan gerila dari sana. Perak mula menghantar bunga emas dan 20 ekor gajah dari lembah Kinta kepada Siam.
  • 1832: Reman (dekat sempadan Thailand-Perak, juga merangkumi Grik dan Pengkalan Hulu), mengisytiharkan menjadi republik. Wilayah lain, kecuali Yaring, ikut memberontak, tetapi dipatahkan.
  • 1838: Pemerintah Nongchik, Yala, Reman dan Rangae bekerjasama dengan pemberontak Kedah dan menyerang Songkhla tetapi berjaya dipatahkan oleh Siam. (Musuh bisik).
  • 1839: Kedah dipecahkan kepada empat kawasan: Kedah, Kubangpasu, Perlis dan Satun (Setul). Pemecahan Patani dan Kedah melemahkan kedua-dua negeri itu.


DINASTI KELANTAN KEDUA
Pada tahun 1835 berlaku pergolakan merebut takhta Kelantan, Raja Kampung Laut yang dikenali sebagai Tuan Besar Bin Raja Muda Ismail yang kalah kepada Sultan Muhammad II dalam perebutan takhta Kelantan telah dilantik oleh Siam sebagai gabenor bergelar raja (Phraya Patani) di negeri kecil Patani yang telah dipecahkan. Salah seorang anak Raja Bendahara Long Jenal yang kalah dalam perebutan takhta itu juga dilantik oleh Siam sebagai raja di Yaring salah satu negeri kecil di Patani. Pergolakkan ini ada dihurai dengan jelas oleh Abdullah Munsyi yang telah mengikut delegasi Cina Singapura ke Kelantan untuk membebaskan kapal Singapura yang terkandas di Kelantan waktu itu. Perang Saudara ini termuat dalam Kisah Pelayaran Abdullah Munsyi.

Dalam tahun 1826, penaklukan Siam ke atas Patani telah diakui oleh British. Dalam usahanya untuk mengukuhkan cengkamannya ke atas Patani, pada tahun 1902 kerajaan Siam melaksanakan dasar Thesaphiban. Phraya Patani ke-V iaitu Sultan Abdul Kadir Kamarudin Syah Ibni Sultan Sulaiman Syarafuddin Syah memberontak tetapi berjaya dikalahkan dan dibuang negeri ke Kelantan. Dengan itu, sistem pemerintahan Kesultanan Melayu telah dihapuskan. Dengan termeterainya Perjanjian Bangkok pada tahun 1909, Patani telah diakui oleh British sebagai sebahagian daripada jajahan Siam walaupun tanpa kerelaan orang-orang Melayu Patani.

KEHIDUPAN DI PATANI SELEPAS 1909 – PERANG DUNIA
Semenjak penghapusan pemerintahan Kesultanan Melayu Patani, orang-orang Melayu-Patani berada dalam keadaan tertekan dan daif. Seperti yang diungkap oleh W.A.R. Wood, Konsol British di wilayah Songkhla, orang-orang Melayu telah menjadi mangsa sebuah pemerintahan yang ‘misgoverned’. Justeru, tidaklah hairan kekacauan seringkali berlaku di Patani. Pada tahun 1923, Tengku Abdul Kadir Kamaruddin, bekas raja Kerajaan Melayu Patani, dengan sokongan pejuang-pejuang Turki, telah mengepalai gerakan pembebasan. Kebangkitan anti-Siam menjadi lebih hebat lagi apabila kerajaan Phibul Songgram (1939-44) cuba mengasimilasikan kaum minoriti Melayu ke dalam masyarakat Siam melalui Dasar Rathaniyom.

Penglibatan Siam dalam Perang Dunia Kedua di pihak Jepun telah memberikan harapan kepada orang-orang Melayu Patani untuk membebaskan tanah air mereka daripada penjajahan Siam. Tengku Mahmood Mahyideen Bin Sultan Abdul Kadir Kamaruddin Syah, putera bekas Raja Melayu Patani juga seorang pegawai berpangkat Mejar dalam pasukan Force 136, telah mengemukakan rayuan kepada pihak berkuasa British di India supaya mengambil alih Patani dan wilayah sekitarnya serta digabungkan dengan Tanah Melayu.

Cadangan Tengku Mahmud itu adalah selaras dengan rancangan Pejabat Tanah Jajahan British untuk mengkaji kedudukan Segenting Kra dari sudut kepentingan keselamatan Tanah Melayu selepas perang nanti.
Harapan itu semakin cerah apabila kuasa-kuasa berikat, dalam Perisytiharan San Francisco pada bulan bulan April 1945, menerima prinsip hak menentu nasib sendiri (self-determination) sebagai usaha membebaskan tanah jajahan daripada belenggu penjajahan.

Atas semangat itu, pada 1 November 1945, sekumpulan pemimpin Melayu Patani dipimpin oleh Tengku Abdul Jalal, bekas wakil rakyat wilayah Narathiwat, telah mengemukakan petisyen kepada Kerajaan British merayu supaya empat wilayah di Selatan Siam dibebaskan daripada pemerintahan Siam dan digabungkan dengan Semenanjung Tanah Melayu. Namun begitu, pendirian British terhadap Siam berubah apabila Peperangan Pasifik tamat. Keselamatan tanah jajahan dan kepentingan British di Asia Tenggara menjadi pertimbangan utama kerajaan British dalam penggubalan dasarnya terhadap Siam atau pun Patani.

Kerajaan British memerlukan kerjasama Siam bagi mendapatkan bekalan beras bagi keperluan tanah jajahannya. Tidak kurang pentingnya, kerajaan British terpaksa menyesuaikan dasarnya terhadap Siam dengan tuntutan Amerika Syarikat yang mahu mengekalkan wilayah Siam seperti dalam tahun 1941.

Kebangkitan Komunis di Asia Tenggara, khususnya di Tanah Melayu pada tahun 1948, menjadi faktor pertimbangan British dalam menentukan dasarnya. Kerajaan British menganggap Siam sebagai negara penampan terhadap ancaman Komunis di China. Justeru, Kerajaan British mahu memastikan Siam terus stabil dan memihak kepada Barat dalam persaingan dengan Negara-Negara Komunis. Kerajaan British memerlukan kerjasama kerajaan Siam bagi menghapuskan kegiatan penganas-penganas Komunis di perbatasan Tanah Melayu-Siam.

Kebetulan pula kerajaan Siam telah memberi jaminan untuk memperkenalkan reformasi pentadbiran dan sosio-ekonomi di Patani bagi mengatasi masalah yang dihadapi oleh masyarakat Melayu. Oleh kerana itu, isu Patani mula dianggap kurang penting malahan kiranya dibangkitkan akan menjejaskan hubungan dengan Siam.

Selepas Persidangan Songkhla pada awal Januari 1949, pihak berkuasa British di Tanah Melayu atas tuntutan pihak Siam mula mengambil tindakan terhadap pemimpin-pemimpin pejuangan Patani. GEMPAR juga telah diharamkan. Tengku Mahmood Mahyideen telah ditekan manakala Haji Sulung dihukum penjara. Pergerakan politik Patani semakin lemah dengan kematian Tengku Mahmood Mahyideen dan Haji Sulung pada tahun 1954.

KEBANGKITAN SELEPAS PERANG DUNIA
Orang Melayu di Patani tidak pernah sunyi dalam menentukan hak mereka dan kebebasan mereka daripada Siam. Selepas Perang Dunia muncul beberapa pergerakan politik yang menuntut kemerdekaan dan kebebasan daripada Thailand seperti:
  • Gabungan Melayu Patani Raya (GAMPAR) Dibentuk oleh rakyat Patani yang tinggal di Malaya. Presidennya ialah Tengku Mahmud Mahyuddin Ibni Sultan Abdul Kadir Kamaruddin Syah, putera Sultan Patani terakhir. Matlamat: Menggabungkan Pattani Raya dengan Semenanjung Tanah Melayu.
  • Pergerakan Rakyat Patani (PPM) Dibentuk di Patani, Pimpinan Haji Sulong, seorang ulama terkemuka. Matlamat: Mendapatkan taraf pemerintahan sendiri (autonomi) bagi Patani, yang terdiri daripada empat wilayah Melayu di selatan.

*Kedua-dua badan itu lenyap selepas kematian pemimpin masing-masing dalam tahun 1953 dan 1954.

  • Barisan Nasional Pembebasan Patani (BNPP) Dibentuk pada 1959 Pemimpin : Tengku Abdul Jalal -- gabungan kerabat diraja dan pemimpin agama. Sesetengah anggota BNPP menyuarakan hasrat mengembalikan kesultanan Pattani. Pemikiran agama mereka dianggap kuno.
  • Barisan Revolusi Nasional (BRN) Dibentuk pada 1963. Pemimpin: Ustaz Abdul Karim Hassan, yang menyanjung Presiden Sukarno, Presiden Indonesia. BRN bergerak dari segi politik dan menyusupi 'pondok' iaitu madrasah bentuk lama. Pemikirannya berasaskan sosialisme Islam.
  • Pertubuhan Persatuan Pembebasan Patani (PULO) Dibentuk pada 1968. Pemimpin: Kobira Kotanila ataupun terkanal sebagai Bapa Kabir Abdulrahman dan beliau adalah sebagai pengasas Pertubuhan Persatuan Pembibasan Patani dan Secretary General. Selain daripada gerakan politik, PULO juga melakukan gerakan gerila.Pada awal 1970-an ramai pelajar Patani di seberang laut, terutamanya Timur Tengah, menjadi anggota PULO.PULO telah di akui rasmi oleh beberapa buah negara di timur tengah sebagai satu pertubuhan yang mewakili raayat Patani.

Sejenak di Kota Kubang Labu : Arkeologi



Suatu masa dahulu nama Kota Kubang Labu adalah sebuah nama yang gah. Kini ia hanya sebuah perkampungan Melayu yang biasa dalam mukim Wakaf Bharu dalam Jajahan Tumpat. Jika dari arah Kota Bharu ke Pengkalan Kubor anda akan melalui perkampungan ini dan tidak menyedari telah melepasi suatu kota yang utuh suatu masa dahulu kecuali jika anda terbaca satu papan tanda yang tertulis “Kubang Labu”.
Kawasan Cari Gali


Ini adalah lakaran yang dihasilkan oleh pengkaji sejarah dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), yang diketuai oleh saudara Nasir Abdul Halim (N.A. Halim).

Dari aspek sejarah, Kota Kubang Labu adalah pusat pemerintahan Kelantan pada abad ke-18. Ia diasaskan oleh Long Bahar, putera raja Patani yang bergelar Datuk Pengkalan Tua. Long Bahar berhijrah ke Kelantan bersama puteranya dan berkahwin dengan Raja Pah puteri Sultan Umar iaitu raja Kelantan yang memerintah Jembal (Kedai Lalat sekarang). Kota Kubang Labu itu dibina baginda pada 1702 M selepas membina Istana Sening dekat Jembal pada 1701.

Peta di atas adalah mengenai kawasan cari gali arkeologi yang dijalankan oleh Adi Taha (Allahyarham Dato) bagi pihak Muzium Negara. Dalam kawasan empat segi tersebut adalah juga ada grid Kota Kubang Labu. Kajian arkeologi ini dijalan pada tahun 1978. Difahamkan, kajian ini dijalankan untuk mendapatkan geran bagi pembinaan Muzium Negeri Kelantan. Namun atas sebab-sebab politik projek ini ditangguhkan.

Berikut dikongsikan aktiviti cari gali yang dijalan pada waktu itu.

Thursday 21 November 2013

Perang Kota Kubang Labu 2

PENDAHULUAN
Perang Kubang Labu II telah berlaku sekitar tahun 1762. Peperangan ini amat penting dalam sejarah negeri Kelantan kerana menjadi punca kepada perpindahan semula takhta kerajaan Kelantan kepada Long Yunus iaitu orang yang berhak mewarisi takhta tersebut. Peperangan ini terjadi akibat kezaliman yang dilakukan oleh Long Muhammad. Serangan terhadap Kota Kubang Labu pada kali kedua ini juga turut diketuai oleh Long Gaffar. Peperangan ini berkesudahan dengan kematian Long Muhammad. Kezaliman yang dilakukan oleh Long Muhammad ini akhirnya telah menyebabkan Long Yunus bersama-sama Long Gaffar bertindak pulang daripada Kuala Terengganu terus ke Kota Bharu.

RANCANGAN SERANGAN
Sebaik sahaja mendengar aduan penduduk Jembal dan Sening, maka Long Gaffar amat marah kerana Long Muhammad telah memungkiri janji dan amanah yang telah dipersetujuinya dahulu sebelum dilantik menjadi raja. Setelah berbincang dengan Long Yunus, mereka bersetuju untuk menyerang Kota Kubang Labu sekali lagi. Mereka kemudiannya telah datang mengadap baginda Yang Dipertuan Terengganu [Sultan Mansur I] bagi menjelaskan keadaan sebenar di Kelantan seterusnya memohon izin untuk pulang selain juga memohon bantuan. Baginda Yang Dipertuan Terengganu akhirnya telah bersetuju dengan permohonan mereka lalu telah mengurniakan bantuan yang terdiri daripada beberapa orang panglima, hulubalang dan pahlawan Terengganu untuk membantu angkatan perang Long Gaffar dan Long Yunus.

Angkatan perang Long Gaffar dan Long Yunus kemudiannya mula bertolak ke Kelantan. Apabila sampai di Pasir Puteh, Long Gaffar dan Long Yunus mula berpecah menuju ke haluan masing-masing. Long Gaffar telah menuju ke Jeram bagi mengumpulkan pengikut-pengikutnya di sana. Long Yunus terus bergerak ke Kota Bharu dan ketika melalui Peringat, Penghulu Adas pula telah menuju ke Kampung Kadok untuk mengumpulkan anak-anak buahnya. Angkatan perang Long Gaffar dan Penghulu Adas kemudiannya telah berkumpul di rumah Mandor Misa yang terletak di Kubang Garong. Di sana, Long Yunus dan Long Gaffar telah membincangkan strategi dan taktik yang akan digunakan untuk menyerang Kota Kubang Labu.

Rancangan untuk menyerang Kota Kubang Labu akhirnya telah disedari oleh Long Muhammad. Baginda kemudiannya telah menyusun strategi pertahanan dan mengarahkan pahlawan dan hulubalang baginda agar bersiap sedia untuk berdepan dengan serangan pihak musuh. Long Muhammad juga telah menghantar utusan kepada Long Deraman bagi memohon bantuan ketenteraan, Long Deraman kemudiannya telah berangkat ke Kota Kubang Labu bersama-sama angkatan tentera baginda untuk bergabung dengan angkatan pertahanan Long Muhammad di Kota Kubang Labu.

PANJI-PANJI PERANG BERKIBAR
Setelah tiba waktu yang dijanjikan, maka Long Gaffar bersama-sama angkatan tenteranya telah bertolak ke Pengkalan Lisir manakala angkatan tentera Long Yunus telah bertolak ke Pengkalan Gong Chipa. Angkatan tentera Penghulu Adas dan Mandor Misa telah berangkat menuju ke Pengkalan Kebun. Ketika waktu subuh, angkatan perang Long Gaffar telah mendarat di Pengkalan Kutan. Angkatan perang Long Yunus telah mendarat di Pasir Pekan manakala angkatan perang Penghulu Adas dan Mandor Misa pula telah menyeberangi Sungai Kelantan dan mendarat di Pasir Pekan menjelang waktu pagi.

Angkatan perang Long Gaffar kemudiannya telah ditentang oleh pertahanan Kota Kubang Labu yang dipimpin oleh Long Muhammad sendiri manakala angkatan perang Long Yunus berhadapan dengan barisan pertahanan Kota Kubang Labu yang dipimpin oleh Long Deraman. Angkatan perang Penghulu Adas dan Mador Misa pula telah ditentang oleh barisan pertahanan yang dipimpin oleh Panglima Umar Kampung Laut.

Pertempuran yang hebat telah tercetus antara kedua-dua belah pihak. Namun begitu, angkatan perang pimpinan Long Yunus akhirnya berjaya melemahkan barisan pertahanan Kota Kubang Labu pimpinan Long Deraman sehingga menyebabkan mereka terpaksa berundur hingga menghampiri pintu Kota Kubang Labu. Akhirnya, berlakulah pertempuran sengit antara Long Yunus dan Long Deraman. Namun begitu, Long Yunus akhirnya berjaya mencederakan Long Deraman setelah berjaya melontarkan lembingnya terus ke rusuk kiri Long Deraman. Walaupun berjaya dibawa lari oleh hulubalangnya ke Kampung Laut seterusnya ke Siam untuk mengubati lukanya, namun Long Deraman tidak juga dapat diselamatkan lalu di bawa ke Kelantan dan terus mangkat. Jenazahnya kemudiannya telah dimakamkan di Gong Chipa.

Angkatan perang pimpinan Penghulu Adas dan Mandor Misa pula telah menyerang pertahanan Kota Kubang Labu dari sebelah utara. Angkatan perang pimpinan Long Gaffar telah menyerang barisan pertahanan Kota Kubang Labu pimpinan Long Muhammad dari sebelah selatan manakala angkatan perang Long Yunus pula telah menyerang dari arah timur. Setelah melancarkan serangan yang bertubi-tubi selama beberapa hari dari tiga penjuru, akhirnya Long Muhammad telah mangkat setelah ditikam oleh Long Gaffar sekaligus telah memberikan kemenangan kepada pihak Long Yunus dan Long Gaffar. Setelah dicadangkan oleh Long Gaffar dan dipersetujui oleh pembesar-pembesar Kota Kubang Labu, Long Yunus kemudiannya telah ditabalkan sebagai Raja Kelantan menggantikan Long Muhammad pada tahun 1762.

ULASAN
Ini mungkin satu versi tentang penyatuan Kelantan di bawah Long Yunus. Namun, peranan Long Ghafar yang dicangang oleh sekumpulan pejuang sejarah juga tidak boleh dipandang enteng, dan kami akan membuat posting berkenaan bagaimana Long Ghafar memainkan peranannya dalam Sejarah Kelantan moden.


Sumber Asal : http://mattrahman.blogspot.com

Perang Kota Kubang Labu 1

Pendahuluan

Perang Kota Kubang Labu ini berlaku sebanyak dua kali iaitu pada tahun 1758 dan 1762. Konflik yang berlaku ini berlaku kerana faktor politik yang bermula sedari awal dari pentadbiran Kota Jembal lagi. Kisah Kota Jembal kita akan kisahkan pada posting yang lain. Apa yang kita ingin soroti pada kali ini adalah mengenai Perang Kota Labu itu sendiri. Sebelum kita lanjutkan, marilah kita lihat tentang penubuhan Kota Kubang Labu itu dahulu.

Kota Kubang Labu

Kota ini dibuka oleh Tuan Besar Long Bahar iaitu seorang kerabat DiRaja Patani lebih kurang dalam tahun 1717. Beliau mempunyai beberapa orang saudara iaitu Tuan Solong Kelantan (Long Sulong), Tuan Senik Genting (Long senik) dan Datuk Pasir Petani. Di Patani, Tuan Besar Long Bahar merupakan Suami dan Raja dan juga ayahanda kepada Raja Patani. Keterangan lanjut di pautan ini.

Tuan Besar Long Bahar telah membawa diri ke Kelantan bersama puteranya Long Sulaiman. Ketika di Kelantan, beliau telah berkahwin dengan Raja Pah, puteri Sultan Umar yang memerintah di Kota Jembal. Selepas perkahwinan itu, beliau telah membuka Kota Kubang Labu sebagai tempat tinggal mereka.

Setelah Sultan Umar mangkat, putera Sulung baginda yang bernama, Raja Kecil Sulong yang sedang memerintah di Kota Teras tidak mahu mengambil alih tampuk pemerintahan Kota Jembal. Dengan persetujuan Raja Kecil Sulong, tempat Sultan Umar telah digantikan oleh Tuan Besar Long Bahar yang juga adik ipar beliau. Setelah itu, pemerintahan Kota Kubang Labu telah diserahkan kepada Long Sulaiman yang juga anakanda Long Bahar yang di bawa ketika beliau berhijrah ke Kelantan.

Masa terus berlalu dan Kelantan waktu itu menyaksikan muncul beberapa city states atau Negara Kota yang wujud sekitar Kelantan dan tiada seorang raja mutlak memerintah negeri Kelantan waktu itu, dalam sejarah ianya dicatatkan sebagai interragnum.

Long Sulaiman

Long Sulaiman adalah putera kepada Long Bahar dan beliau telah dilantik untuk menjadi pemerintah Kota Kubang Labu setelah Long Bahar menaiki takhta Kota Jembal menggantikan Sultan Umar yang telah mangkat pada 1721. Kemudian pada 1746 Long Sulaiman telah ditabal menjadi Raja Kota Jembal setelah kemangkatan Long Bahar. Ini membuatkan beliau menjadi pemerintah bagi Kota Kubang Labu dan Kota Jembal.

Hal ini telah mengundang perasaan cemburu dan iri hati di kalangan ahli kerabat waktu itu memandangkan di Kelantan waktu itu wujud beberapa negara kota. Akhirnya beliau telah mati dibunuh oleh menantunya Long Deraman pada tahun 1756 di Kota Kubang Labu kerana perebutan kuasa. Beliau telah dimakamkan di Kampung Dusun Langgar, yang kini terletak di Wakaf Bharu, Tumpat.

Long Deraman sebenarnya pewaris Raja Legeh, beliau juga menantu kepada Long Sulaiman dan telah membunuh baginda dalam satu perebutan kuasa. Setelah kejadian itu, Long Deraman telah kembali ke Legeh dan menyerahkan kuasa pemerintahan Kota Kubang Labu kepada iparnya Long Pandak (Putera Long Sulong Kelantan) yang juga sepupu kepada Long Sulaiman.

Tercetusnya Perang
Long Pandak,  adalah sepupu kepada Long Sulaiman di sebelah bapa (Long Bahar) yang berasal dari Patani. Long Deraman telah menyerahkan tampuk pemerintahan Kota Kubang Labu kepada beliau pada 1756. Setelah itu, beliau melantik adiknya, iaitu Long Muhammad sebagai Raja Muda.

Pemerintahan Long Pandak ibarat pemerintahan kuku besi dan penuh dengan kezaliman, hingga pada satu saat, isteri beliau sendiri sanggup dibunuh gara-gara fitnah. Pembunuhan ini adalah punca Kota Kubang Labu menghadapi perang dari Reman dan Legeh.

Semuanya bermula dengan Kain Cindai : Chepa Melaka.

Tengku Ngah atau juga dikenali sebagai Puteri Neng Mas adalah adik kepada Long Deraman, Raja Legeh yang telah diperisterikan oleh Long Pandak. Tengku Ngah ini adalah adik angkat dan juga sepupu kepada Long Ghafar, Putera Raja Reman.

Long Ghafar telah diberi amanat oleh ayahandanya untuk melawat Terengganu. Lalu beliau telah bertolak bersama-sama Long Yunus. Dalam perjalanan ke Terengganu, beliau telah singgah di Kota Kubang Labu untuk melawat Puteri Neng Mas. Kebetulan, ketika beliau sampai di Kota Kubang Labu, Long Pandak tiada di istana kerana keluar berburu.

Menjadi amalan pahlawan zaman silam memakai Kain Cindai sebagai perisai dan kain ini ditenun dengan corak yang menarik. Dalam peristiwa ini, Puteri Neng Mas, telah tertarik dengan corak kain cindai yang dipakai oleh Long Ghafar, lantas puteri Neng Mas telah meminta untuk untuk meminjam kain tersebut untuk ditiru coraknya. Long Ghafar telah memberikan kain tersebut dengan disaksikan oleh Long Yunus. Menjadi kisah, apabila Long Ghafar meninggalkan kain tersebut dengan sepupunya itu dan telah bertolak ke Terengganu sebagaimana titah ayahandanya.

Sekembalinya Long Pandak dari perburuan, beliau telah menemui Kain Cindai Chepa Melaka yang ditinggalkan oleh Long Ghafar dan telah menuduh Puteri Neng Mas bermukah (zina) dengan Long Ghafar. Tanpa usul periksa, Long Pandak telah menjatuhkan hukuman bunuh terhadap isterinya itu. Tidak cukup dengan itu, mayat Puteri Neng Mas telah dibelah perutnya dan diikat dibelakang Neng Malai, seekor gajah yang dihadiahkan Raja Legeh (Long Deraman).

Raja Reman dan Raja Legeh murka terhadap apa yang dilakukan oleh Long Pandak dan mereka menghantar bala tentera yang diketuai oleh Long Gaffar untuk menuntut bela dan berlakulah peperangan di Kota Kubang Labu. Peperangan ini menyaksikan Long Deraman, Raja Legeh telah membunuh Long Pandak dan menyerahkan tampuk pemerintahan kepada Long Muhammad adik Long Pandak yang juga waktu itu adalah Raja Muda Kota Kubang Labu.

Long Ghafar dan Long Yunus kembali semula ke Terengganu selepas peristiwa itu.

Deskripsi Kota Kubang Labu

Ketika Kota Kubang Labu dibina oleh Long Bahar ia digambarkan sebagai sebuah kota yang dibina di kawasan datar dan luas. Kotanya dibina dari kayu keras dipercayai kayu jati atau cengal, ia dibina dengan cantik dan kemas. Ia juga dibina dengan tiga lapis dinding dan tahan daripada serangan musuh. Ibarat kata seperti tinggi dan kebal. Mempunyai 5 pintu utama yang dibina sepanjang kota tersebut. Pintu Utamanya adalah dipercayai  dilokasi roundabout Wakaf Bharu kini. Anker Rentse adalah pengkaji sejarah yang pertama muncul mencungkil sejarah Kota Kubang Labu. Kemudian disertai oleh beberapa sejarawan seperti Allahyarham Dato Adi Taha dan Allahyarham Nasir Abdul Halim.

Ikuti posting seterusnya mengenai Perang Kota Labu 2.

Sumber :

Wednesday 20 November 2013

HUBUNGAN KELANTAN – PERAK 1528

1499 Kelantan telah ditawan oleh Melaka dan ada beberapa versi tentang Kelantan tunduk kepada Melaka pada waktu itu. Sulalatus Salatin menyebut bahawa Kelantan dan Melaka berperang bagi mempertahankan tanah daulatnya. Namun, Kelantan tewas dalam peperangan dengan Melaka yang diterajui oleh Tun Mutahir.

Seorang Putera dan tiga orang Puteri telah ditawan, dalam perjalanan ke Melaka Putera Kelantan, Raja Gombak berjaya melarikan diri. Hanya Puteri Onang Kening, Puteri Chupan dan Puteri Chupak di bawa ke Melaka. Puteri Onang Kening telah diperisterikan oleh Sultan Mahmud Syah.

Hikayat Kelantan pula menyebut, peperangan ini tidak berlaku, tetapi Kelantan tetap tunduk kepada Melaka dengan Kebijaksanaan Tun Mutahir dan Sultan Mansur Syah. Sebagai tanda akur, baginda menyerahkan tiga puterinya untuk di bawa ke Melaka.

Puteri Onang Kening yang berkahwin dengan Sultan Mahmud Syah telah dikurniakan tiga orang cahaya mata iaitu dua orang puteri dan seorang putera. Mereka adalah Raja Mah, Raja Muzzafar dan Raja Dewi.

Ringkasnya:

Sultan Mahmud Syah (Melaka) + Puteri Onang Kening (Kelantan) dikurniakan:

  1. Raja Mah,
  2. Raja Muzzafar,
  3. Raja Dewi.

Diantara tiga puteri puteri ini, Raja Muzzafar lah yang terlibat dalam beberapa konflik yang berkaitan dengan Melaka dan Johor Lama... Hinggalah Portugis menawan Melaka pada 1511.

1511 Portugis menawan Melaka dan Sultan Mahmud Syah terpaksa melarikan diri ke Kampar. Di Kampar, Sultan Mahmud telah ditabal menjadi Sultan Kampar di Sumatera.  Baginda diriwayatkan mempunyai tiga orang Putera berlainan ibu iaitu:

  1. Raja Alauddin Riayat Shah,
  2. Raja Mudzaffar Shah dan
  3.  Raja Ahmad Shah
  • Raja Alauddin Riayat Shah mendirikan Kesultanan Johor Lama
  •   Raja Muzzafar Shah* dijemput untuk memerintah Perak dan menjadi sultan pertama dari Kesultanan Perak.

*Titihan daripada Raja Kelantan sebelah ibunya.

Menjadi Sultan Perak

Berikut kami kongsikan bagaimana Raja Muzzafar Syah ditabal menjadi Sultan Perak dan Pengasas kepada Kesultanan Perak.

“Gambaran sejarah Negeri Perak bertambah jelas lagi apabila Melaka jatuh ke tangan Portugis dalam tahun 1511 dan Sultan Mahmud Shah melarikan diri dan akhirnya menetap diKampar (Sumatera) dan ditabalkan sebagai Sultan Kampar.

Kewibawaan Raja-Raja Melayu Melaka serta struktur pentadbiran Kesultanan Melayu Melaka yang begitu sesuai dan berpengaruh di kalangan Negeri-negeri Melayu ketika itu telah mendorongkan orang-orang Perak untuk mengutuskan Tun Saban yang memerintah kawasan Hulu Sungai Perak hingga ke Kuala Temong, bersama-sama Nakhoda Kassim pergi mengadap Sultan Mahmud Shah di negeri Kampar untuk memohonkan agar seorang daripada putera baginda menjadi Sultan Perak.

Permohonan itu telah diperkenankan oleh Sultan Mahmud Shah dan baginda telah menitahkan putera baginda, Raja Muzzafar supaya berangkat ke Perak dengan dikurniakan segala alat kebesaran warisan kerajaan Negeri Melaka untuk menjadi Raja di Perak. Daripada keturunan Sultan Muzzaffar Shah inilah wujudnya jurai keturunan Kesultanan Negeri Perak yang terus menerus memerintah hingga ke zaman sekarang.

Pusat-pusat pemerintahan Sultan-Sultan Negeri Perak tidak menetap di suatu tempat sahaja bahkan sering bertukar dari suatu tempat ke suatu tempat jika keadaan memaksa atau ada tempat-tempat lain yang lebih sesuai.

Sultan Mudzaffar Shah I Ibni Almarhum Sultan Mahmud Shah I adalah Sultan Perak yang pertama yang memerintah daipada tahun 1528 sehingga tahun 1549. Baginda adalah putera Sultan Mahmud Shah, Sultan Melaka yang terakhir, hasil perkahwinan dengan puteri Onang Kening anak Raja Kelantan. Baginda dimakamkan di Kampung Padang Marhum, Lambor.


Dikongsikan foto Makan Sultan Muzzafar Syah 1.
Sumber : Merah Silu.


Ulasan : Kelantan - Perak - Melaka mempunyai pertalian darah. Mungkin ini susur galur Sultan-Sultan Melayu silam. Namun, ini menunjukkan bahawa negeri kita ini mempunyai pertalian dengan saudara-saudara kita di negeri lain. Kenapa anda merasa rendah diri di kalangan kawan-kawan dari negeri lain. Kita punyai sejarah yang panjang, negeri kita juga pernah melalui zaman yang gemilang. Utuk itu kita perlu mengembleng tenaga dan berusaha menjadikan negeri kita gemilang kembali. Yang penting usaha......

SEKIAN.

HUBUNGAN KELANTAN DAN MELAKA 1499M

Tahukah saudara-saudara sekalian, Kelantan telah ditawan oleh Melaka pada tahun 1499. 11 tahun sebelum Melaka di tewaskan oleh Portugis?

Bedasarkan Sulaltus Salatin, telah tersurat bahawa Melaka telah menawan Kelantan walaupun terdapat beberapa versi lain mengenai perkara ini. Hakikat yang tidak dapat ditolak adalah Kelantan telah tunduk kepada Melaka ketika zaman pemerintahan Sultan Mahmud Syah ketika baginda meluaskan empayar Melaka.

Apa sebab Melaka hendak menakluk Kelantan?

Bedasarkan kepada kitab Sulaltus Salatin juga, Kelantan pada waktu adalah sebuah negara yang besar dan lebih besar daripada Patani. Rajanya daripada keturunan yang hebat iaitu daripada Raja Culan. Kerana kehebatan ini, Sultan Menawar Syah atau dalam catatan modenannya, Sultan Mansur Syah ibni Sultan Iskandar Shah, Raja Kelantan-Majapahit * tidak mahu tunduk kepada Melaka yang waktu itu diterajui oleh Sultan Mahmud Syah.

Maka Kerana keengganan Sultan Kelantan tunduk, Sultan Mahmud telah menghantar bala tentera untuk melanggar Kelantan yang diketuai oleh Tun Mutahir yang bergelar Seri Maharaja.

Ditakdirkan, Kelantan tewas kepada angkatan perang daripada Melaka. Namun Pahlawan Kelantan bertarung dengan sengit menentang Empayar Melaka. Berikut digambarkan oleh Sulalatus Salatin tentang peperangan tersebut.

“Maka Seri Mahajara (Tun Mutahir) pun pergilah dengan beberapa puluh hulubalang; setelah datang ke Kelantan, maka orang Melaka pun naiklah ke darat. Maka dikeluari oleh orang Kelantan. Lalu berperang, beramuk-amukan, terlalu subur, rupa kilat cahaya senjata seperti kilat dilangit, sabung menyabung, gemuruh bunyi bahana tempik hulubalang, dan gemercing bunyi senjata, seperti akan sampai ke langit; daripada kedua pihak rakyat itu pun banyaklah luka dan matinya; darah pun mengalir ke bumi. Maka dengan tolong Rabbul ‘alamin, patahlah perang orang Kelantan, maka kota Kelantan pun alah; maka segala orang Melaka pun masuklah ke dalam kota merampas; terlalu banyak beroleh rampasan.”

“Maka anakanda Raja Kelantan tiga orang perempuan dapat; yang lelaki seorang lepas, Raja Gembuk (Gombak) namanya. Maka anak Raja Kelantan yang perempuan itu, ketiganya tertawan oleh orang Melaka. Seorang bernama Onang Kinang (kening), seorang bernama Cau Pa, seorang bernama Cau Pauk (Chubak), maka ketiganya dibawa oleh Seri Maharaja kembali ke Melaka.

Setelah sampai ke Melaka, maka Seri Maharaja pun masuk mengadap Sultan Mahmud. Maka puteri ketiga itu pun dipersembahkan ke bawah duli Sultan Mahmud; maka terlalulah sukacita baginda oleh Kelantan alah itu, dan baginda memberi anugerah persalin akan Seri Maharaja berserta segala hulubalang yang pergi itu. Maka puteri Kelantan ketiganya ditaruh dalam istana. Puteri Onang Kinang itu diperisteri baginda, beranak tiga orang; yang tua perempuan bernama Raja Mah, yang tengah lelaki bernama Raja Muzzafar, yang bongsu bernama Raja Dewi.”

Kesimpulannya, Kelantan sebelum ditawan Melaka adalah sebuah negara yang besar dan berdaulat yang berkuasa di bahagian utara Semenanjung Tanah Melayu. Ia daripada keturunan yang hebat dan agung. Keturunan Kesultanan Kelantan waktu itu sama hebatnya dengan Kerajaan Majapahit dan setara dengan Melaka waktu itu.

Namun ditakdirkan tunduk kepada Melaka tetapi takdir Allah s.w.t. adalah lebih elok lagi. Walaupun Kelantan tewas, ada keturunan daripda Kelantan yang lahir dari ketewasan ini iaitu Raja Muzaffar yang kemudiannya ditabal serta menjadi pengasas kepada Kesultanan Perak hingga kini...

Renungkan.... disinilah pentingnya perpaduan ini, kerana antara Kelantan – Perak – Melaka – Johor ada pertalian darah...

Ulasan : Ringkasnya dapat dilihat disini bahawa Kerajaan Melaka waktu itu mempunyai hubungan dengan Kerajaan Kelantan waktu itu walaupun dalam hal ini, Kelantan tunduk kepada Melaka, adanya Puteri Onang Kening telah dikahwini oleh Sultan Mahmud Syah dan mereka dikurniakan Tengku  Muzzafar Syah yang juga nanti menjadi pengasas Kesultanan Perak. Perkara ini menguatkan lagi akan pertalian darah ini.

*Royalark.net

Keratan Sulalatus Salatin


RAHSIA PANTAI TIMUR SEMENANJUNG MALAYSIA

Tahukah anda, 200 tahun dahulu Pantai Timur Semenanjung Malaysia ini mempunyai negara-negara berdaulat dan terkenal ke serata dunia dengan pelbagai nama mengikut nama pengembara-pengembara berbangsa Arab, China, Jepun dan Eropah. 200 tahun dahulu juga peta Pantai Timur Semenanjung berbeza dengan peta semenanjung hari ini. Peta yang ada pada hari ini telah menyisihkan Patani. Sebenarnya, pada waktu itu negeri-negeri Pantai Timur juga adalah negara yang berdaulat. Perjanjian Bangkok 1909 telah menyebabkan Patani terpisah dari Kelantan dan Terengganu serta Pahang terserap di bawah naungan British. Perjanjian ini dibuat tanpa pengetahuan Sultan negeri-negeri Pantai Timur. Sebelum itu negeri di Semenanjung dikenali sebagai Negeri-Negeri Selat Bersekutu dan seletah Perjanjian Bangkok 1909 wujud pula Negeri-negeri tidak bersekutu.

Menelusuri bukti-bukti yang dikemukan oleh pihak British kenapa mereka memeterai Perjanjian Bangkok itu. Pertama sekali mereka menyatakan bahawa negeri-negeri Pantai Timur Semenajung seperti Kelantan dan Terengganu sering berperang sesama mereka dan negeri-negeri ini telah meminta bantuan ketenteraan daripada pihak British. Pihak Britisih tidak boleh menolak kerana mereka mempunyai kepentingan di kedua negeri ini.

Patani pula sering berperang dengan Siam akibat pertikaian berdasarkan sejarah silam. Keadaan ini menyebabkan British tidak senang kerana ia menjejaskan kepentingan British di kawasan Asia Tenggara. Pemberontakan yang berlaku di Pahang dan Terengganu juga menyebabkan termerterainya perjanjian Bangkok ini. Dengan termerterainya perjanjian ini British dan Siam sama-sama membantu melumpuhkan negeri-negeri pantai timur ini. British mengekang Kelantan, Terengganu dan Pahang manakala Siam mengamankan Patani. Inilah yang boleh kita singkapkan bagaimana sejarah pantai timur yang diajar.

HAKIKAT YANG SEBENAR
LANGKASUKA, inilah sebuah nama negara hebat yang hilang dari peta. Namanya tercatat dalam catatan Mesir, Rom dan China tetapi hilang dari catatan Melayu sendiri. Langkasuka dahulunya terdiri daripada negeri Patani, Kedah, Kelantan, Terengganu dan Pahang. Negeri ini tersohor dengan hasil buminya terutama emas dan permata. Kayu-kayunya lebih kukuh dari besi. Gajah menjadi kenderaan utama.

Orang Barat melalui catatan Ptolemy mengenal semenanjung ini sebagai The Golden Khersonese dan orang India mengenal semenanjung sebagai Suvarnabhumi yang membawa maksud Semenanjung Emas.
Christopher Columbus dan Ferdinand Magellan terkenal sebagai pelopor pelayar yang keluar dari kepompong ketakutan masyarakat barat tentang mitos “penghujung dunia” yang mengikut kefahaman masyarakat barat waktu itu, bumi ini dalam keadaan mendatar dan jika mereka berlayar mereka akan jatuh di penghujung dunia. Dua orang nakhoda ini semestinya belayar mengikut panduan dan rahsia dari ahli pelayaran terdahulu dan mereka bukanlah orang yang bodoh untuk belayar tanpa mengikut panduan.

Ferdinand Magellan misalnya, beliau dikatakan telah mengupah seorang penunjuk arah berbangsa Melayu bagi meneroka kepulauan Melayu ketika mereka tiba di India. Kejayaan Christopher Columbus dalam mencari “tanah yang dijanjikan” serta kecemerlangan Ferdinand Magellan memecah jalan “Perdagangan Rempah” membuatkan ramai bangsa Eropah mula mencari koloni masing-masing.

GOLD, GLORY, GOSPEL
Kekayaan, Kecemerlangan dan Agama adalah kata kunci yang bangsa Eropah pegang ketika mereka membuka koloni. Sebagai contoh orang Portugis daripada Portugal, mereka membuat perjanjian dan berperang dengan Raja Hindu dan Sultan Islam di India hingga mereka berjaya menduduki Goa. Mereka telah menjadikan Goa sebagai pengkalan utama. Kemudian orang Belanda datang dengan tanda “VOC” dan diikuti dengan British.

Persoalannya, kenapa orang Putih ini begitu beriya-iya datang ke Timur?

Timur sebenarnya sudah masyhur di kalangan pedangang Arab yang sebelum ini menguasai separuh dari dunia ketika kerajaan Abassiyah, Ummaiyah dan Uthmaniyah. Cuma di kalangan orang Barat tempatan memang jelas tidak begitu mengetahui keadaan Bahagian Timur Dunia.

Dalam ajaran Kristian wujud satu terma yang menyatakan “Promised Land” iaitu tanah yang telah dijanjikan oleh Tuhan. Inilah satu sebab kenapa mereka beriya-iya mencari tanah yang dijanjikan itu. Selepas perang salib, kepercayaan mereka makin bertambah dan mula mencari kebenaran tentang tanah yang dijanjikan itu. Akhirnya melalui Christopher Columbus mereka menemui Benua Amerika yang sebelum ini langsung tidak di ketahui namun ada antara mereka kurang mempercayai akan kewujudan Benua Amerika itu. Mereka lebih tertarik dengan The Barbarian World iaitu merujuk kepada bahagian Timur Dunia. Kerana ada ilmuwan mereka membaca catatan daripada Ptolemy dan wujudlah Suma Oriental yang dikarang oleh Tom Pires.
Pelbagai faktor kenapa orang Eropah keluar mencari tanah di luar pengetahuan mereka dan faktor paling penting adalah kekayaan menerusi pemilikan emas. Namun cendikiawan barat menjadikan alasan perdagangan rempah sebagai faktor utama, ianya tidak boleh ditolak kerana pada waktu itu rempah ibarat seperti emas kepada orang Barat.

Setelah kejayaan Columbus dan Magellan, orang Barat berlumba-lumba datang ke Bahagian Timur Dunia. India, Asia Tenggara dan China telah ditakluk oleh orang-orang Barat daripada pelbagai negara seperti British, Jerman, Belanda, Jerman, Sepanyol dan Perancis. British mempunyai empayar yang luas dengan koloni di kebanyakkan negara Afrika dan Arab, India, Semenanjung Tanah Melayu, Borneo, Kemboja, Hong Kong dan China serta Australia.  Negara yang diduduki oleh British kebanyakkan tercatat dalam catatan pengembara dan cendikiawan silam dan sudah tercatat akan kekayaan yang wujud di negara yang diduduki oleh British.

 PANTAI TIMUR TANAH MELAYU & BRITISH
Telah dijelaskan pada permulaan artikel ini bahawa Pantai Timur Tanah Melayu ini mempunyai sejarah yang panjang. British dan Siam benar-benar menguasai bahagian ini setelah termeterainya Perjanjian Bangkok 1909.

Pada tahun 1908, W.A. Graham telah menerbitkan satu buku panduan atau Handbook yang bertajuk KELANTAN yang menjelaskan tentang negeri Kelantan secara terperinci dari segi sistem pentadbiran, pertahanan, geografi, budaya dan ekonomi. Buku panduan itu juga menjelaskan tentang Kelantan yang mula mengorak langkah ke arah ekonomi yang moden dengan menjalin hubungan  syarikat Duff serta beberapa syarikat Jerman. Tujuan utama hubungan ini adalah meneroka pedalaman Kelantan yang penuh dengan khazanah alam seperti bahan galian utama terutama Emas dan Besi serta kayu balak.

Sir Henry Norman, ahli parlimen daripada Britain telah melawat Kelantan dan menghasilkan buku bertajuk The Peoples and Politics of the Far East pada tahun 1895. Di dalam buku tersebut, ada memuatkan bab Malaya di bawah sub-tajuk On A Raft Through Forbidden State yang menceritakan tentang keadaan di Kelantan ketika itu. Perkara paling penting dalam bab ini adalah bagaimana Henry Norman menceritakan tentang kemelut dalam kerabat DiRaja Kelantan ketika itu dan terdapat ahli kerabat yang meminta bantuan senjata daripada beliau. Hal ini berkemungkinan besar telah dibentang dalam parlimen British memandangkan Henry Norman adalah ahli parlimen Britain. Selain itu, Henry Norman juga mengisahkan tentang keadaan negeri Pahang ketika itu dan juga membuka kisah tentang negeri bernama Reman dan Legeh yang merupakan dua buah negeri Melayu yang hilang dari peta. Reman diserap masuk ke dalam Perak manakala Legeh menjadi Narathiwat sebuah negeri dalam Thailand.

Kisah Pelayaran Munsyi Abdullah juga merupakan satu lagi buku berbahasa Melayu yang ditulis dalam tulisan roman yang mana waktu itu tidak ramai orang Melayu tahu membaca tulisan roman. Buku ini adalah mengenai pengembaraan Munsyi Abdullah dari Singapura ke Kelantan untuk membebaskan kapal orang Cina Singapura yang terkandas di Kelantan akibat daripada perang saudara waktu itu. Buku ini banyak diterjemah dalam bahasa ketiga dan dikaji oleh sarjana-sarjana barat mengenai keadaan Pantai Timur waktu itu.

Buku Kelantan dan The Peoples and Politics of the Far East adalah buku terbitan dalam Bahasa Inggeris, manakala Kisah Pelayaran Munsyi Abdullah buku berbahasa Melayu tapi diterbitkan dalam tulisan roman. Tiga buku ini merupakan rujukan bagi pihak British tentang keadaan Pantai Timur Semenanjung terutama buku Kisah Pelayaran Munsyi Abdullah kerana buku ini menceritakan secara terperinci tentang laluan dari Singapura melalui Mersing (Johor) ke Pahang, Kuala Terengganu dan Kelantan. Dipercayai masih banyak lagi buku yang mengisahkan mengenai Pantai Timur Semenanjung yang diterbitkan dalam pelbagai bahasa. Selain itu, di bawah tajuk Siam juga banyak menyentuh tentang empat negeri di Pantai Timur terutama Patani.

Apa yang jelas di sini, pengetahuan British tentang kawasan Pantai Timur Semanjung Tanah Melayu adalah terhad dan mereka sebolehnya menyelidik dengan mendalam tentang negeri-negeri Pantai Timur ini dalam usaha mereka meluaskan empayar. Mungkin mereka kurang menggangu negeri Pantai Timur kerana menganggapnya negeri-negeri ini dibawah penguasaan Siam terutamanya Patani. Cuma kebimbangan British adalah mengenai konsesi yang diberikan Sultan Kelantan kepada Syarikat Duff serta usaha sama Sultan ketika itu dengan pihak Jerman dan Jepun. Kekacauan yang sering berlaku antara Kelantan dan Terengganu dijadikan alasan untuk mereka mencengkam Sultan dengan menerima penasihat Inggeris. Syarikat Duff telah mengalami kerugian ekoran pengubahan dasar setelah Perjanjian Bangkok 1909 dan Sultan tiada kuasa untuk memberi konsesi tanpa persetujuan daripada British.

HASIL BUMI YANG TIDAK SEMPAT DISEDUT
British begitu sinonim digambarkan sebagai penjajah yang menjarah harta negeri-negeri Melayu. Ketika revolusi perindustrian timah menjadi komoditi utama. Pantai Barat Semenajung Tanah Melayu amat kaya dengan bahan galian ini. Hingga tahun 1980, Malaysia masih lagi merupakan pengeluar timah yang terbesar di dunia.

Mengapat timah sahaja yang menjadi komoditi utama? Kenapa tidak emas yang utama?

Mungkin kita jelas Indonesia dan Australia menjadi antara pengeluar emas yang besar di dunia. Dalam sejarah silam, Indonesia atau khususnya kepulauan Sumatera dikenali sebagai Suvarnadvipa dalam bahasa India yang membawa maksud Pulau Emas. Manakala Semanjung ini dikenali sebagai Suvarnabhumi yang membawa maksud Bumi Emas. Kini yang timbul dengan jelas adalah Suvarnadvipa iaitu Sumatera.
Kenapa di Suvarnabhumi atau Bumi Emas masih tidak timbul? Adakah emasnya sudah habis disedut atau masih belum ditemui orang?

British dengan teknologi kapal korek dengan tenaga kerja yang murah diimport dari China hingga menguasai Selangor, Perak, dan Kedah serta Melaka dan Negeri Sembilan telah melombong dengan rakus di negeri-negeri ini hanya menemui timah. Kerana lambakan timah daripada Malaya mendorong British mencipta barangan yang diperbuat daripada timah dan menyembunyikan hasrat mereka yang sebenar.

Pelbagai mitos diutarakan yang menguatkan pencarian emas ini berterusan. Mitos Mount Ophir misalnya, yang mendorong ramai pengkaji mencarinya kerana terdapat dalam Kitab Yahudi bahawa di Mount Ophir ini merupakan tempat Nabi Sulaiman membina negara. Kewujudan Book of Mormon yang jelas menghuraikan topografi Semenajung Malaysia mengikut mitos Mount Ophir. Mengikut pengamatan kami, seawal 1800 sudah ada pengembara Eropah mencari gunung ini. Pada mulanya mereka menyangka sebuah gunung di Indonesia sebagai Mount Ophir, namun ia tidak menepati seperti dalam kitab Yahudi itu. Kemudian perhatian teralih ke Gunung Ledang yang menyimpan sejarah silam yang dikaitkan dengan keagungan Empayar Melayu Melaka. Ciri-ciri Gunung Ledang tepat dengan maklumat dalam Kitab Yahudi itu. Namun kawasan itu merupakan kawasan batu yang tidak memungkinkan wujudnya mineral berharga itu
.
Pelbagai kaedah dan kajian dijalankan dan terkini, terdapat dakwaan bahawa Mount Ophir itu berada di Kelantan dengan Bukit Panau sebagai gunungnya. Jika di daratan, bukit ini kelihatan seperti biasa. Namun jika di arah laut, bukit ini menjadi panduan untuk mengemudi ke Kuala Besar, Kota Bharu. Bukit Panau menjadi perhatian ekoran kajian demi kajian mengenai kerajaan silam yang dikaitkan dengan Kerajaan Chermin yang kemudiannya menjadi bahagian Empayar Majapahit. Di kawasan ini dipercayai menjadi tapak kota Kerajaan Chermin yang juga serpihan daripada Negara Langkasuka. Tapak itu kini berada di dasar Danau To’Uban. Mengikut catatan daripada pengkaji tempatan, seorang pemerintah Chermin mengamalkan menyimpan seketul jongkong emas setiap hari dalam kolam di perkarangan istananya. Amalan dibuat semenjak hari pertama beliau memerintah hinggalah kepada hari kematiannya. Selain daripada itu, terdapat juga catatan dalam sejarah negeri Kelantan tentang kejadian aneh di Bukit Panau yang menyebabkan Kelantan memperoleh namanya. Mungkin ini mitos namun ada kebenarannya. Suatu masa dahulu di Bukit Panau telah kejadian aneh yang mana di bukit telah terpancar cahaya berkilau-kilauan seakan kilat, dan cahaya ini dikatakan terpancar hingga ke Terengganu dan berkilauan dari arah laut. Lantas, dari “kilatan” inilah timbulnya nama Kelantan dan dari pandangan orang di kejauhan “Terang nu” yang dikatakan timbulnya nama Terengganu. Selain itu, Che Siti Wan Kembang bersama Puteri Saadong dan suaminya sempat membuka negeri di Chetok iaitu berhampiran dengan tapak Kota Jiddah, negeri Chermin menjadikan kawasan Pantai Timur ini mempunyai sesuatu yang masih terpelihara.  

Terengganu dan Pahang hingga kini menjadi kawasan simpanan Malaysia dan banyak tempat  masih belum diteroka, malah di Pahang sendiri kerajaan Malaysia banyak mengisytiharkan sebagai Hutan Simpan Kekal dan Taman Negara yang melarang aktiviti penerokaan dibuat. Ini juga menjadi persoalan buat pengkaji-pengkaji sejarah kerajaan silam. Kerana di dalam pedalaman hutan inilah tercatat ibu kota kerajaan besar.
Hingga kini Terengganu terkenal dengan “Emas Hitam” dan ianya sedang dinikmati oleh semua rakyat Malaysia. Namun, sesuatu yang unik terus sepi di Pahang... sesuatu yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Mesir Purba.

KESIMPULAN

Negeri Pantai Timur Semenajung Malaysia masih dililiti misteri yang hari demi hari kian terbongkar. British yang bertapak selama lebih kurang 400 tahun di Semenanjung tidak berjaya menyelongkar keutuhan khazanah Melayu di Pantai Timur walaupun ianya jelas terpapar dalam kitab mereka. Sudah menjadi takdir buat yang hak untuk berkuasa secara mutlak. Usah terlalu mencari, jika benar ianya untuk anda, tanpa bersusah payah, ianya tetap menjadi hak anda. Jika sekalipun ianya untuk kami, itu bukanlah yang kami cari. 
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...