SELAMAT DATANG KE HALAMAN BLOG RASMI PPSK [PPM-006-03-22032013]

Tuesday 31 December 2013

Usia Sebenar Bangsa Anda!!

Allah Maha Besar!

Islam untuk mensatukan bangsa. Allah menjadikan manusia itu sbg betbangsa-bangsa utk saling kenal mengenal. Kajian bangsa utk kita mengenal Allah, hebahan utk kita saling mengenal antara bangsa. Begitulah kita dituntut syarak. Jika bangsa itu tidak beriman, menjadi tanggungjawab kita utk berdakwah walau ke hujung nyawa. –APM

Kajian?? Hebahan?? Hebat?? Apa yg patut anda n kita kaji, Al-Quran.. sebar n hebahan ilmu tsebut.. baru hebat umat Rasulullah.. –Kamarul Azwan Daud

Melayu yg tidak mengenali sejarah bangsanya ... tidak mencintai sejarah bangsanya ... dan tidak menyelami jati diri kemelayuannya ... maka melayu ini tidak akan berbangga dgn bangsa melayu ...... marilah kita bersama menanam kembali apa yg hilang dlm jiwa anak2 melayu agar mereka sedar bahawa melayu pernah hebat suatu ketika dahulu ...dan akan kembali hebat jika melayu itu bersatu ... sesungguhnya Allah tak akan mengubah nasib seseorang itu.. sesuatu bangsa itu sekiranya mereka sendiri yg tidak menginginkannya dan berusaha ke arahnya ..... –APP


Al-Ĥujurāt:13 - Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu). AlHujurat(13) –Kamarul Azwan Daud




Monday 30 December 2013

TOKOH KELANTAN : DATO MUFTI HJ. MUHAMMAD NOR


Alhamdulillah. 2013 bakal menutup tirainya, maka bermula tahun 2014 membuka lembaran baru kepada kita untuk meneruskan hidup semata-mata untuk ta'abud kepada Allah. Iaitu hidup melakukan setiap pekerjaan dalam hidup hanya untuk menjadi hamba Allah s.w.t. Hari hari ini saya akan menyentuh perihal susur galur kehidupan seorang murabbi yang menjadi perintis dalam membangun institusi keagamaan di Kelantan dan nusantara.

Muhammad Nor bin Haji Ibrahim, dilahirkan di Pulau Saba, iaitu kini di panggil Kota Bharu pada 20 Ogos, 1905 bersamaan 19 Jamadil Akhir 1323 Hijrah. Beliau mempunyai 12 orang adik beradik. Ibunya iaitu Hajah Cik zainab merupakan keturunan keluarga Tuan Guru Tuan Padang. Semasa kecil beliau dibawa oleh ayahannya, Tuan haji Ibrahim ke Mekah dan tinggal disana untuk beberapa tahun. Sejak kecil lagi Dato' Mufti diajar bergaul dan bercakap dalam bahasa Arab, bahasa daerah Mekah dimana dia mampu bercakap dalam bahasa arab dengan fasih.

Sewaktu berusia 9 tahun beliau dibawa pulang ke Kelantan dan dimasukkan ke sebuah sekolah aliran Inggeris yang dibuka oleh Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan. Selepas beliau berkahwin sewaktu berusia 18 tahun, beliau bersama isterinya Nik Zainab ke Mekah kerana melanjutkan pelajaran dalam bidang pengajian al-Quran dengan Tok Senggora (Syeikh Abdullah), iaitu salah seorang guru al-Quran yang terkenal di Masjidil Haram pada ketika itu. Manakala pada tahun 1928, ayahandanya Tuan Haji Ibrahim dilantik menjadi Mufti Kerajaan  oleh Sultan Ismail Ibni as-Sultan Muhammad Ke-IV. Pada usia 24 tahun, beliau sekali lagi ke Mekah untuk menyambung pengajian dengan guru yang sama sehingga memperolehi ijazah Qiraah.

Ayahanda beliau, S.A. Mufti Hj. Ibrahim B. Hj. Yusof (1928-1941)

 Dikatakan sebelum beliau dapat menyambung semula pengajiannya, beliau diisyaratkan lebih dahulu hafal sebuah al-Quran. Dengan syarat ini, Tok Senggora membuka peluang kepada beliau untuk belajar Qiraah Tujuh sehingga tamat dan menjemput 20 orang para qari yang terkenal di Kota Mekah agar datang ke majlis khatam Qiraah untuk mendengar bacaan Muhammad Nor.

   
Beliau seterusnya melanjutkan pelajaran dalam berbagai jurusan dengan beberapa orang guru. Antaranya:
  1. Tok Guru Hj. Nuh Jamaluddin al-Kelantani
  2. Tok Guru Pak Da Ail Fattani (1882-1965)
  3. Syeikh Md. Nor B. Muhammad al-Fattani (1875-1944)
  4. Pak Cik Dawud Fattani
  5. Tengku Mahmud Zuhdi al-Fattani
  6. Syeikh Amin Kutbi dll.
Sebelum pergi ke Mekah iaitu sewaktu beliau berumur 17 tahun (1922) beliau telah berkahwin dengan isteri pertama yang berusia 12 tahun bernama Nik Zainab Bt. Hj. Uthman dari Banggol, Kota Bharu. Kemudian pada usia 25 (1930), semasa berada di Mekah beliau menambah seorang lagi isteri iaitu Maimunah yang berusia 13 tahun yang bermastautin di Mekah yang berketurunan Melayu-Bugis. Sesudah beberapa lama pulang ke tanah air pada usia 36 tahun, beliau menambah lagi isteri ketiga & keempat iaitu Wan Aminah Bt. Wan Dawud & Hjh. Cik Jah. Beliau dikurniakan 13 orang anak iaitu 5 orang puteri dan 8 orang putera.

Dato Mufit Hj. Md. Nor ketika mud
Sewaktu pulang ke tanah air pada tahun 1936, beliau sudah banyak menyumbangkan jasa mengajar anak-anak sendiri dan penduduk kampungnya sendiri. Dalam pengajian tafsir beliau pernah mengajarkan 'Erti al-Quran' (Terjemahan Juzu Amma) susunan Ustaz Yusuf Zaki Yaqub. Dato' Mufti pernah mengajar kitab yang ditulisnya sendiri iaitu tafsir 'Pimpinan ar-Rahman Jilid I' sebaik sahaja siap dibukukan.

Beliau memegang jawatan Qadhi Besar Kelantan pada tahun 1937 dan Mufti Khas pada tahun 1942. Pada tahun 1949 beliau dilantik menjadi guru agama di Masjid al-Muhammadi, Kota Bharu. Selepas pemerintahan Jepun (1945), beliau dilantik menjadi guru di Sekolah Jaami Merbau al-Ismaili bermula pada tahun 1949 sehingga pertengahan tahun 1965. Tuan guru Haji Muhammad Nor seorang yang suka membuat pembaharuan seperti mengasaskan mata pelajaran Falak di Sekolah Jaami Merbau. Malah Syeikh Muhammad Tahir Jalaluddin sendiri mengakui kemahiran beliau dalam bidang Falak. Beliau juga seorang yang membawa pembaharuan dalam pelajaran Tauhid (Usuluddin), Tafsir al-Quran dll. Contohnya beliau telah meninggalkan pengajaran mengenal Allah dengan Sifat Dua Puluh berdasarkan sistem Ilmu Mantiq.

Ketakwaan beliau juga terserlah apabila mencadangkan agar ditubuhkan dua buah sekolah yang berasingan dan ditempat yang berjauhan iaitu Sekolah Menengah Maahad Muhammadi (P) di tempat asal dan Sekolah Menengah Maahad Muhammadi (L) di Jalan Pengkalan Chepa di bawah pengelolaan pengetua yang berlainan.

Dato' Mufti pernah dilantik menjadi guru di istana, dimana beliau ditugaskan mengajar agama kepada keluarga diraja semasa al-Marhum as-Sultan Yahya Petra dan as-Sultan Ismail Petra. Atas jasa dan sumbangan beliau dalam pengajaran agama, maka beliau dianugerahkan Tokoh Pendidik YIK yang ke-9.

Beliau juga seorang ulama' yang berkebolehan bercakap dalam beberapa bahasa dunia. Mala, beliau sendiri tidak ketinggalan berkemampuan bercakap dalam bahasa inggeris dengan baik serta lancar. Beliau sendiri menganggap sebagai seorang ulama' yang menyangkal anggapan sesetengah orang yang mengatakan bahawa belajar bahasa Inggeris itu menjadi kafir.

Beliau menjadi perintis kepada pembangunan kegiatan al-Quran. Contohnya menjadikan kediaman beliau sendiri sebagai tempat belajar dan menghafal al-Quran. Pada tahun 1965, Perdana Malaysia yang pertama iaitu Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj mahu mewujudkan sebahagian rakyat yang menghafal al-Quran sebagaimana negara islam yang lain. Dato' Mufti Muhammad Nor menerima tawaran Perdana Menteri dengan syarat beliau tidak perlu hadir ke mana-mana majlis rasmi kerajaan. Pada tahun 1965 beliau berpindah di rumah kerajaan di Masjid Negara. Disana beliau memimpin dan mengendalikan kelas Tahfiz al-Quran negara buat kali pertama dalam sejarah Kerajaan Malaysia dan Masjid Negara selepas merdeka. Selepas beliau pulang ke Kota Bharu kerana menjawat jawatan Mufti Kerajaan Negeri Kelantan, beliau melancarkan kelas Tahfiz al-Quran di Masjidi al-Muhammadi dari tahun 1968-1980.

Sebelum itu pada tahun 1937, beliau telah dilantik menjadi Qadhi Besar Kelantan oleh Ke Bawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Ismail al-Marhum Sultan Muhammad Yang ke-4. Beliau bertugas di Mahkamah Syariah di bangunan yang berhampiran dengan Majlis Agama dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) sehingga tahun 1942.

 Pada zaman beliau menjadi Mufti, tidak banyak fatwa yang dikeluarkan kerana segala masalah agama dapat diselesaikan menerusi pengajaran agama beliau di masjid-masjid dan di sekolah. Namun yang paling signifikan ialah fatwa mengenai ketetapan Hari Raya Aidiladha hendaklah mengikut ketetapan hari Arafah yang dikeluarkan oleh pihak Kerajaan Arab Saudi tanpa perlu melihat anak bulan di Malaysia disebabkan hari raya tersebut cuma berlaku di sana sahaja.

Bakat menulis beliau tidak dinafikan lagi apabila beliau sendiri mampu menulis dalam bahasa Melayu dan Arab menerbitkan beberapa karya termasuk tafsir ' Pimpinan ar-Rahman' yang sudah banyak digunakan oleh masyarakat nusantara terutamanya Malaysia sendiri tanpa terikat dengan mana-mana aliran mazhab. Dato' Mufti menjalankan tugas menyusun atau mentashihkan tafsir ini adalah secara melaksanakan suatu AMANAH yang besar.

Karya beliau terdiri daripada dua iaitu karya penulisan dalam bahasa Melayu dan arab. Antara karya-karya dalam bahasa melayu ialah:
  1. Pilihan Mestika Pada Menerangkan Kiblat dan Ketika (dicetak oleh MAIK pada tahun 1932).
  2. Bantuan Ketika Bagi Orang Yang Membahagi Pusaka.
  3. Suluhan Daar an-Naim Bagi Menuntut Bacaan Naafi' B. Abu Nuaim.
  4. Tafsir Pimpinan ar-Rahman diterbitkan Jabatan Perdana Menteri, 1968.
  5. Muqaddimah Mestika Hadis ditulis bersama Dato' Mufti Haji Ismail.


Beliau seorang yang lantang memperjuang sunnah dan menghapus amalan bidaah. Bidaah merupakan perkara paling besar terdapat dalam masyarakat Kelantan malah keseluruhan masyarakat Malaysia sendiri berhubung dengan kematian dan perkahwinan serta berhubung dengan kekeramatan para wali Allah. Dato' Mufti tidak menggalakkan pemberian sedekah (upah) kepada orang-orang yang datang bersembahyang jenazah kerana tugas itu telah menjadi suatu kefardhuan (fardhu kifayah). Beliau juga tidak mengamalkan bacaan talqin bagi orang yang sudah meninggal dunia dan menegah amalan berjabat tangan salam selepas sembahyang agar tidak menjadikan ia sebahagian daripada sembahyang atau amalan syarak terutama oleh saudara yang baru hendak mengenal islam. Beliau juga melarang umat islam yang sentiasa mengamalkan upacara persandingan dalam upacara kenduri kahwin kerana ia merupakan adat dan tidak terlepas dari peraturan agama. Apa yang ditegahkan ialah pengantin mengenakan pakaian yang menjolok mata terutamanya kepada pengantin perempuan yang tidak menutup aurat dan secara terbuka disaksikan oleh semua keluarga kedua belah pihak yang mahram dan bukan mahram. Dato' Mufti bersama tuan guru-tuan guru agama di Kelantan telah bersama-sama menghapuskan ciri-ciri jahiliah dan bidaah ini sehingga adat seperti ini dapat dibuang dan dihapuskan.

Menyusuri kehidupan Dato' Mufti Muhammad Nor, antara jawatan yang disandang oleh beliau ialah:
  1. Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Kelantan, di mana beliau dilantik berikutan penubuhan negeri-negeri Persekutuan Tanah Melayu, 1948 di mana dalam sejarah, negeri-negeri Melayu di semenanjung disatukan pemerintahannya dalam bentuk bersekutu. Beliau berkhidmat sebagai Pegawai Yang Berhormat (YB) kira-kira selama 8 tahun (1948-1955), hampir dua penggal pilihanraya kini.
  2. Pengerusi Jemaah Ulama' Majlis Agama Islam Kelantan (1946).
  3. Ahli Majlis Penasihat Raja Kelantan.
  4. Ahli Majlis Perajaan Negeri Kelantan dan lain-lain. Kedua-dua jawatan di atas mungkin berlaku sesudah beliau menjadi Mufti Kerajaan Kelantan.
  5. Ahli Jawatankuasa Penyiasat Pelajaran di Sekolah-sekolah Arab Majlis Agama Islam Kelantan serta membuat cadangan dan menyusun Dasar Pelajaran.

Memandangkan jasa-jasa dan peranan beliau yang besar dan penting bagi kemajuan agama negeri Kelantan juga kepada masyarakat Islam Malaysia seluruhnya, maka pihak ke bawah Duli Sultan-sultan Kelantan dalam masa pemerintahan telah menganugerahkan dua Darjat Kebesaran Negeri Kelantan kepada beliau, iaitu:
  1. Seri Paduka Jiwa Mahkota Kelantan (SJMK) dengan membawa gelaran Dato', dianugerahkan oleh KDYMM as-Sultan Yahya Putera Ibnu al-Marhum as-Sultan Ibrahim, pada 10 Julai, 1968.
  2. Darjat Kebesaran Jiwa Kelantan Yang Amat Mulia Peringkat Pertama (SJMK) dengan membawa gelaran Dato' Kaya Purba, dianugerahkan oleh KDYMM as-Sultan Ismail Petra Ibni al-Marhum as-Sultan Yahya Putera, pada 31 Mac 1980.

Beliau menghembuskan nafas yang terakhir pada tengah hari Jumaat 13 Februari, 1987 dan dikebumikan di Perkuburan Cik Siti, Banggul, Kota Bharu. Manakala sesudah setahun lebih beliau meninggal dunia, kerana mengingatkan jasa beiau dalam pendidikan agama di Kelantan, maka Yayasan Islam Kelantan (YIK) menganugerahkan Tokoh Pendidik YIK (Yang ke-9) pada 3 Julai, 1988 kepada beliau dalam suatu upcara Hari Yayasan di Dewan Presiden Shaddam Husain, Pusat Bahasa Arab, Nilam Puri, Kota Bharu.

        
Dato Mufti selepas menerima anugerah Darjat Kebesaran Jiwa Kelantan
Yang Amat Mulia Peringkat Pertama (SJMK)




* Penulisan ini adalah olahan daripada karya Abdullah al-Qari b. Hj. Salleh yang bertajuk, 'Ketokohan Dato' Mufti Haji Muhammad Nor, Penambang Dalam Angkatan Ulama' dan Pengarang Nusantara. Semoga Allah S.W.T merahmati segala hasil sumbangan beliau selama ini di dunia dan akhirat.

Thursday 26 December 2013

Rakaman Masa : Pakaian Tradisi Orang Kelantan

Pakaian merupakan keperluan atau needs dalam terma ekonomi selain daripada makanan dan tempat tinggal. Sejarah membuktikan Kelantan ini didiami manusia semenjak dari zaman purba lagi, yakni ketika manusia mula berhijrah dari arah barat bumi. Subjek ini pernah kita bincangkan di fan page KPSK

Sering kita digambarkan, orang Melayu memakai tengkolok, mensisipkan keris di pinggan, memakai seluar senteng dan berbengkung serta berambut pendek bagi lelaki. Wanitanya pula memakai kain sarung batik kain kapas, berbaju kurung dan menjadikan kain sarung sebagai tudung atau kelubung, rambutnya yang panjang disanggul.  Namun orang Kelantan pada waktu silam agak sedikit berbeza dari gambaran tersebut.

Berikut kami kongsikan rakaman masa gambaran Lelaki dan Wanita Kelantan 100 tahun yang lampau.

Gambaran Pakaian Cik Siti Wan Kembang
Tidak dinafikan busana CSWK kelihatan anggun dan menawan. Ini adalah gambaran kepada "pengarah" fotografi untuk imej CSWK sebagai pemimpin yang pernah dikunjungi oleh Ibn Batuta dalam pengembaraannya mengelilingi dunia. Seperti yang kita ketahui, CSWK adalah seorang pemimpin Islam yang memerintah sebuah Malay City States di Kelantan. Dari penelitian yang detail maka terhasilah imej ini. Namun kita tidak boleh menolak imej Majapahit juga melingkari waktu kegemilangan CSWK.

Tidak lengkap kalau gambaran CSWK seorang, lantas pengarah fotografi tersebut juga menghasilkan gambaran pakaian lelaki era itu, seperti berikut:

Anggun dan Segak!
Dua bingkisan gambar di atas menggambarkan pakaian di era CSWK. Lantas kita cuba merungkai bagaimana pakaian orang-orang Kelantan terdahulu. Generasi kini tersekat pada pemakaian Baju Kurung dan Baju Melayu yang sering dipakai orang-orang kita.

Kami lantas membuat carian dan selidikan dan hasilnya adalah seperti berikut:



Kelantan Peasants adalah bermaksud "Petani Kelantan" dan kedua-dua gambar yang dibingkiskan adalah rakaman masa Lelaki dan Wanita, Petani Kelantan 100 tahun yang lampau. Kerana itu ramai  fans bertanya kenapa wajah mereka menakutkan dan menggerunkan. Apa yang dapat kami zahirkan kenapa wajah dalam gambar ini agak teruk rupanya, jawapannya adalah kerana mereka ini adalah petani yang merupakan orang marhaen atau rakyat jelata Kelantan yang lampau, kerana terdedah kepada cuaca yang tidak menentu rupa paras dan wajah mereka menjadi agak keras. Keduanya, gambar ini kelihatan agak teruk kerana kerja-kerja teknikal semasa kami hasilkan gambar ini iaitu proses menukarkan fail .pdf kepada .jpg proses ini membuatkan piksel gambar semakin merosot. 

Berbalik kepada gambar di atas, amat berbeza dengan orang-orang kita pada hari ini. Masa berlalu  dan orang pun berubah mengikut peredaran zaman. Itulah resmi masa dan manusia. Namun, bukan semua rakyat Kelantan pada waktu itu berwajah seperti gambar di atas. Ada juga rakaman ceria....




Gambar-gambar ini termuat dalam buku bertajuk Kelantan : A State of The Malay Peninsula; A Handbook of Information tulisan Walter Armstrong Graham. Kerana itu buku ini memuatkan gambar-gambar seperti di atas. Siapa sosok dalam gambar ini tidak diketahui, namun inilah antara rupa dan wajah wanita yang dipercayai golongan pertengahan ketika itu.


Melihatkan tiga keping gambar di atas, kami berpandangan pengarah fotografi untuk gambar ini menampilkan keadaan sebenar pakaian golongan pertengahan Kelantan 100 tahun yang lampau. Pakaian di atas kelihatan lebih sopan dan tertib.

Kami cuba untuk paparkan keadaan jujur masyarakat kita suatu ketika dahulu sebagai panduan dan pedoman. Jika tidak molek gambar ini, kita boleh ambil iktibar untuk tidak menjadi tidak molek seperti anggapan tuan-tuan dan puan-puan. Namun, apa tidak patut adalah cercaan dan cacian yang dilemparkan kepada sosok ini kerana mereka tidak bersalah. Apa yang penting, input positif perlu kita ambil sebagai panduan untuk kita meneladani kehidupan bersyariat.

Sekian.

Tuesday 24 December 2013

EPISOD 11 (PENUTUP) : PATANI-KELANTAN 1650-1670 & 1842-1902

Ratu Hijau : sedutan dari filem "Queens of Langkasuka"

Kelantan dan Terengganu adalah sebuah negeri di bawah naungan Patani di era kegemilangannya. Ia dikenali sebagai Patani Besar. Kemuncak kegemilangan Patani adalah di bawah pendatabiran Raja Perempuannya (Ratu Hijau, Ratu Biru, Ratu Ungu dan Ratu Kuning). Negerinya amat besar merangkumi dari Songkhla hingga ke Kelantan, Terengganu dan sedikit Perak dan ianya dikenali sebagai Patani Besar.

Di era keemasannya, ia sering dikunjungi oleh para pedagang Barat dan Timur. Rajanya dapat berkomunikasi dalam bahasa-bahasa asing dari Timur dan Barat dunia. Gemilangnya kerajaan mereka. Ayuthya di Utara amat mencemburui kepesatan Patani.

Serangan besar dilancarkan sebanyak enam kali namun semuanya dapat dipatahkan oleh Patani dengan meriam kegemilangan mereka, Sri Patani dan Sri Nagara yang merupakan meriam terbesar di Asia Tenggara. Rekod sejarah menyaksikan serangan terbesar Siam berlaku pada Mei 1696 di bawah pimpinan Raja Somdet Phra Phetracha, pengasas Dinasti Ban Phlu Luang. Siam waktu itu menyerang Patani dengan angkatan tentera berjumlah 60,000 tentera dengan bantuan daripada armada laut Belanda. Serangan ini berjaya dipatahkan oleh Patani dengan pertahanan mereka dan meriam-meriam yang hebat serta bantuan daripada Portugis.

Sewaktu pemerintahan Ratu Kuning, ancaman Siam berjaya memasuki Patani ekoran kelemahan pentadbiran. Maka munculah bantuan daripada Kerajaan Jembal dari Kelantan yang dipimpin oleh Raja Sakti menghalau ancaman Siam tersebut hingga ke wilayah mereka. Setelah itu, Raja Sakti telah dilantik menjadi Raja Patani memandangkan beliau juga mempunyai pertalian darah dengan pemerintah Patani yang sebenar iaitu Sultan Qunbul (Sayyid Nurul Alam).

Setelah Raja Sakti mangkat, Raja Loyor pula naik takhta namun mangkat tidak lama kemudian dan digantikan dengan adindanya Raja Omar... namun beliau telah turun dari takhta dan dilantik dari menjadi Raja Jembal di Kelantan. Kemudian, Patani telah ditadbir oleh alim ulama dan pembesar dari keturunan Sultan Qunbul. Di jangka masa ini, hubungan Patani-Kelantan sebagai pemerintah telah berkahir kerana Patani kemudiannya ditadbir oleh Raja-Raja yang dilantik di kalangan 43 buah wilayah bersekutu Patani.

Pembesar-pembesar ini telah melantik Raja Bakar/Bakal menjadi Raja Patani, namun tidak lama kemudian beliau mangkat dan tempatnya digantikan oleh puterinya, Raja Mas Kelantan. Beliau pada waktu itu telah berkahwin dengan Tuan Besar Long Bahar bin Wan Daim (Datu Pengkalan Tua) dan mempunyai dua orang anak iaitu Dewi Perachu dan Long Sulaiman.


Pada tahun 1707, Raja Mas Kelantan telah mangkat dan tempat beliau telah digantikan oleh Dewi Perachu dengan gelaran Raja Nang Chayang. Pada waktu ini juga berlaku satu peristiwa yang menggemparkan Patani di mana, Raja Nang Chayang telah menyerahkan taktanya kepada ayahandanya, Long Bahar. Hal ini mendapat tentangan dari pembesar-pembesar Patani. Long Bahar telah turun dari takhta dan menyerah kembali kepada Raja Nang Chayang dan beliau telah membawa diri ke Kota Jembal di Kelantan bersama-sama dengan Long Sulaiman.

Patani berada dalam keadaan bergolak kerana negeri tersebut tidak mempunyai raja selama tiga tahun selepas peristiwa Long Bahar turun takhta. Kemudian, pembesar Patani telah melantik Raja Along Yunus (1721-1729) dan Sultan Haji Yunus (1729-1749) sebagai raja. Seterusnya Tuan Long Nuh bin Long Nik (1749-1771) dan Raja Bakar (1771-1774) sebagai Raja Patani. Ketika ini Patani tidak menghadapi ancaman daripada Siam namun ia mulai lemah kerana perkembangan ekonomi waktu itu dimonopoli Inggeris dan juga Belanda. Pada 1774, Raja Ahmad yang dilantik sebagai Raja Patani dengan gelaran Sultan Muhammad (1774-1785) menghadapi serangan Siam yang waktu itu mulai bangkit setelah berjaya menghapuskan pengaruh Burma dalam kerajaan Ayuthya dibawah dinasti Cakri. Dalam peperangan ini Patani telah tewas kepada Siam kerana PENGKHIANATAN pembesarnya yang bernama Nai Chang Tung.

1785 adalah tahun kejatuhan Patani kepada Siam hingga ke hari ini.... itulah takdir yang sedang dihadapi oleh saudara-saudara kita. Semenjak dari zaman Tengku Lamidin (1786-1791) hinggalah kepada Raja terkakhir Patani, Tengku Abdul Kadir (1898-1902, perjuangan untuk membela rakyat Patani sentiasa mekar. Namun takdir mereka seperti yang kita maklum hingga ke hari ini.

Mereka sudah puas menangis, hati mereka sudah kering, namun semangat mereka tidak pernah padam. Begitulah bumi bertuah diberi peluang untuk Syahid!!!

Bersabarlah saudara-saudara ku,
Kamu adalah orang-orang yang terpilih untuk ke Syurga...
pertahakanlah akidah mu, kuatkanlah iman mu,
lindungilah harta benda mu.
Nescaya Syahid menunggu mu....

Allah Maha Besar!!!

Sunday 22 December 2013

PATANI-KELANTAN : EPISOD 10 – SIAM TERDESAK, RAJA PATANI MENGASAK

Kooday@Raja Pitay
Pendahuluan
Siam telah melaksanakan Peraturan bagi Mentadbir 7 Wilayah Negeri Melayu Patani bagi Tahun 120 tanpa persetujuan dari Negeri-Negeri Melayu Patani. Peraturan ini membuatkan kemarahan Tengku Abdul Kadir makin membara dan membangkitkan perasaan marah di kalangan Raja-Raja Melayu.

Di bawah peraturan yang baru dilaksanakan atas perintah Putera Damrong itu, Raja Melayu kehilangan kedaulatan dan hak memerintah kerana kuasa keputusan dan tindakan harus melalui Pesuruhjaya Tinggi. Di sini, Raja itu seolah-olah satu jawatan pentadbiran kerajaan semata-mata.

Pemberitahuan
Putera Damrong telah menghantar surat perlantikan Phya Sekseni sebagai Pesuruhjaya Tinggi bagi Negeri-Negeri Melayu Patani dan meminta semua urusan pentadbiran harus melalui Phya Sekseni. Perkara ini tidak disenangi oleh Tengku Abdul Kadir dan beliau telah membalas surat tersebut dengan maksud merayu agar Patani dikecualikan dari  penstrukturan pentadbiran baru dan memerintah seperti sedia kala memandang beliau adalah Raja yang dilantik oleh Raja Chulalongkorn. Namun, rayuan ini tidak diendahkan oleh pihak Siam yang berkeras dengan tindakan mereka.

Pada Januari 1902, Tengku Abdul Kadir sekali lagi menghantar surat rayuan kepada Frank Swettenham di Singapura agar pihak British campur tangan, jika tidak rakyat Patani akan memberontak dan meminta pertolongan Kuasa Besar Eropah yang lain. Ini adalah ugutan kedua daripada Patani yang mana ancaman pemberontakan telah diwar-warkan buat pertama kali dalam pertengahan tahun 1901 tetapi dapat dipujuk oleh Swettenham dan Duff ketika itu.

Ugutan kedua ini membuatkan Swettenham tidak senang duduk, dan beliau telah mengambil kesempatan atas lawatan Chulalongkorn ke Singapura pada Januari 1902 untuk membincangkan masalah Patani. Beliau telah menyatakan kebimbangan terhadap pergolakkan di Patani kerana ia akan menjejaskan kepentingan British di rantau ini dan keadaan akan bertambah buruk sekiranya Raja-Raja Melayu di Semenanjung juga bangkit memberontak dengan memberikan alasan seperti mana yang berlaku di Pahang dan Acheh bagi menguatkan hujahnya.

Swettenham juga menyatakan British dan Belanda tiada masalah untuk menghadapi ancaman tersebut namun mereka tepaksa berhempas pulas dan berdepan risiko kehilangan yang besar. Tambahan dia beranggapan Siam tidak mampu menghadapi pemberontakan 50,000 orang Melayu. Bukan kerana nasihatnya, pasti Raja-Raja Melayu Patani bangkit menentang Siam.

Chulalongkorn bersetuju dengan keadaan yang genting di wilayah-wilayah Melayu dan memberi persetujuan untuk berkerjasama dengan British dalam mengatasi masalah tersebut. Dalam waktu yang sama, beliau menafikan Kerajaan Siam tidak mengambil langkah yang sewajarnya dalam mengukuhkan kuasa di wilayah tersebut serta menafikan bahawa Raja-Raja Melayu akan bangkit memberontak menentang Siam sekiranya tidak mendapat bantuan daripada kuasa-kuasa luar.

Selanjutnya, Swettenham telah memberi pilihan kepada Chulalongkorn bagi menyelesaikan pergolakkan tersebut iaitu:
  • Siam melepaskan negeri-negeri tersebut dari kawalannya, ataupun:
  • Siam melantik pegawai-pegawai British yang berpengalaman untuk mentadbir wilayah-wilayah tersebut bagi pihak Siam, atau:
  • Siam memberikan mandat kepada Kerajaan British untuk mendapatkan persetujuan daripada Raja-Raja Melayu agar menyerahkan segala urusan yang berkait dengan hal ehwal luar negeri kepada Kerajaan Siam dengan jaminan bahawa kerajaan Siam akan tidak di campur tangan dalam hal ehwal negeri mereka.

Frank Swettenham juga menegaskan betapa pentingnya Kerajaan Siam membenarkan Raja-Raja Melayu menjalankan pemerintahan mereka seperti biasa dan tidak menekankan tentang Bahasa Siam sebagai bahasa rasmi. Di samping itu, beliau juga bersetuju dengan perihal penghantaran bunga emas dan perak kerajaan-kerajaan Melayu kepada Siam.

1902 tahun paling malang.....
Kerana desakan British, Chulalongkorn telah bersedia untuk menerima usul-usul yang dikemukakan oleh Frank Swettenham. Sebenarnya, hal ini telah menambah kebencian pihak Bangkok kepada orang-orang Melayu Patani yang pada mereka sudah mencabar kuasa Siam selaku penaung negeri-negeri Melayu Patani. Pembesar-pembesar di Bangkok juga makin berang kerana Tengku Abdul Kadir telah melibatkan kuasa-kuasa besar eropah dalam pertikaian wilayah tersebut. Ini berikutan mereka sedar jika perkara tersebut terus dibiarkan, wilayah-wilayah Selantan Siam akan terlepas ke tangan British.
Phya Sri Sahadhed

21 Februari 1902, Tengku Abdul Kadir telah dipanggil bertemu dengan Phya Sri Sahadhed, Timbalan Menteri Dalam Negeri Siam di kediamannya. Tengku Abdul Kadir telah berangkat bersama-sama 30 orang hulubalangnya. Di kediaman tersebut, Tengku Abdul Kadir telah dipaksa menandatangani Peraturan Mentadbir Tujuh Wilayah bagi tahun 1902. Kerana tidak mahu mengulangi kesilapannya yang lepas, Tengku Abdul Kadir enggan menandatangani peraturan tersebut. Phya Sri Sahadheb telah mengugut untuk memecat Tengku Abdul Kadir sebagai Raja Patani dan menggantikannya dengan Kooday juga dikenali sebagai Raja Pitay.

Pendirian tegas Tengku Abdul Kadir telah menyebabkan beliau ditahan dan dibawa ke Songkhla. Beberapa hari kemudian, Phya Sukum, Pesuruhjaya Siam telah menangkap Tengku Samsuddin, Raja Rangae dan Tengku Mutalib, Raja Teluban dan di bawa ke Songkhla. Kemudian, Raja-Raja Melayu ini dibawa pula ke Pitsanulok.

Mereka bertiga telah dijatuhkan hukuman penjara selama tiga tahun atas kesalahan “mengingkari perintah” Raja Siam. Kerajaan Siam telah melantik Raja Pitay menggantikan Tengku Abdul Kadir sebagai Pemangku Raja Patani. Raja Pitay adalah anak sepupu kepada Tengku Abdul Kadir. Sejajar dengan itu, Kerajaan Siam telah melaksanakan reformasi pentadbiran di Patani.

Dengan itu berakhirlah pemerintahan keluarga Tuan Besar di Patani yang telah memerintah negeri itu selama 60 tahun. 1902 adalah Tahun yang paling malang dalam sejarah kejatuhan Kerajaan Melayu Patani. Dengan kejatuhan itu, maka ‘terhapus hak pertuanan orang-orang Melayu atas negeri Patani, tergadai semua hak kebebasan dan kemerdekaan mereka kepada Raja Siam.

Penjara Utama, Bangkok



Thursday 19 December 2013

PATANI-KELANTAN : EPISOD 9 – THESAPHIBAN SEBAB UTAMA PEMBERONTAKAN

Pendahuluan
Ketika zaman Tengku Sulaiman menjadi Raja Patani, Kerajaan Siam telah merangka rancangan transformasi pentadbiran dengan merombak wilayah-wilayah yang berada dalam kawalannya setelah satu perjanjian antara British-Perancis pada 15 Januari 1896 yang mana butiran perjanjian itu mengiktiraf kedaulatan Siam di Lembah Sungai Mekong.

Chulalongkorn yang waktu itu menjadi Raja Siam telah mengambil peluang tersebut merombak semula pentadbiran wilayah Siam yang dikenali sebagai Thesaphiban. Rombakan pentadbiran ini dilaksanakan tanpa pengetahuan Raja-Raja Melayu dalam wilayah Siam dan Gabenor-Gabenor Wilayah. Tindakan ini telah dipersoalkan oleh Raja-Raja Melayu kerana mereka kehilangan kedaulatan sebagai pemerintah negeri dan ini berlainan dengan etika pemerintahan yang terdahulu.

Tengku Sulaiman sebagai wakil Raja-Raja Melayu dalam wilayah Siam telah menghantar bantahan ke Bangkok tetapi tidak dilayan,dan pegawai-pegawai kerajaan Siam waktu itu telah mencampuri pentabdbiran wilayah dan paling menjejaskan ialah tentang pemungutan cukai.

Tengku Abdul Kadir Kamaruddin
Hinggalah Tengku Abdul Kadir Kamaruddin ditabalkan menjadi  Raja Patani menggantikan Tengku Sulaiman yang mangkat pada 1878. Karenah birokrasi yang dikenakan keatas Patani membuatkan segalanya menjadi lambat dan banyak urusan terbantut. Kerana tidak dihiraukan oleh Siam,Tengku Abdul Kadir cuba menarik perhatian Gabenor Negeri Selat waktu itu, Sir Frank Swettenham, namun maklum balas yang beliau terima tidak memuaskan. Hingga pada satu saat, beliau dan Raja-Raja Melayu yang lain telah bersetuju untuk melancarkan pemberontakan bersenjata pada akhir Oktober 1901 dengan harapan apabila beliau melancarkan pemberontakan di selatan, Perancis di Kemboja dan kawasan Indochina akan menyerang Timur Siam menyebabkan Siam memindahkan askarnya ke sana, seterusnya akan membebaskan negeri-negeri Melayu merdeka dari cengkaman Siam.

Nasihat Bekas Ketua Polis Negeri-Negeri Selat
Bagi melaksanakan rancangan tersebut, Tengku Abdul Kadir telah meminta R.W. Duff, bekas Ketua Polis Negeri-Negeri Selat membantunya merancang pemberontakan itu dengan justifikasi pemberontakan itu untuk membebaskan rakyat Patani daripada penindasan Siam, walaupun beliau mengakui pertuanan Siam keatas wilayahnya asalkan pentadbirannya tidak menindas rakyat. Tengku Abdul Kadir juga menyatakan bahawa beliau mempunyai surat kuasa sebagai Raja Patani tetapi tidak ada kuasa untuk memerintah, surat aduan mengenai perkara tersebut tidak pernah dibalas oleh pihak Siam dan ini membuatkan Tengku Abdul Kadir syak bahawa wakil Siam tidak menyampaikan surat beliau kepada Raja Siam hingga membuatkan perkara tersebut berlarutan.

Duff tidak bersimpati dengan Siam, tetapi beliau tidak bersetuju sekiranya Patani menyelesaikan masalah itu dengan cara kekerasan kerana ia akan menyebabkan ribuan orang akan terkorban dan juga menjejaskan kepentingan Inggeris di rantau tersebut. 

Duff menasihati Tengku Abdul Kadir supaya berusaha menyelesaikan perkara tersebut secara rundingan dan bukan dengan kekerasan. Beliau telah mencadangkan agar Tengku Abdul Kadir menghubungi mana-mana peguam dan membuat petisyen di kemukakan kepada kerajaan British. Dalam petisyen tersebut, Tengku Abdul Kadir perlu menerangkan perasaan tidak puas hati beliau disamping mengakui hak pertuanan Siam ke atas Patani. Tengku Abdul Kadir juga hendaklah merayu kepada kerajaan British agar menyampaikan aduannya kepada kerajaan Siam.

Frank Swettenham
13 Ogos 1901, Tengku Abdul Kadir telah menghantar surat rayuan melalui syarikat guamannya kepada Frank Swettenham untuk disampaikan kepada kerajaan British di London. Raja Saiburi, Raja Reman dan Raja Legeh turut menghantar surat rayuan kepada Swettenham dengan maksud yang sama. Dalam petisyen tersebut, rayuan Tengku Abdul Kadir berkisar tentang dua perkara utama iaitu campur tangan dan tindakan melulu pegawai kerajaan Siam dalam urusan negeri Patani, iaitu dalam masalah pengutipan cukai dan hal ehwal agama Islam. Baginda Tengku Abdul Kadir juga menegaskan bahawa tindakan pegawai-pegawai Siam itu bertentangan dengan prinsip perhubungan dua hala  antara negeri yang digariskan oleh Chulalongkorn sebagaimana yang terkandung dalam surat pengesahan perlantikannya sebagai Raja Patani. Baginda juga mengingatkan sekiranya dasar penindasan dan kezaliman kerajaan Siam itu berterusan, ia akan menyebabkan Negeri-Negeri Melayu Utara akan bergolak. Akhir sekali, sekiranya rayuan itu tidak dipertimbangkan oleh Kerajaan British, baginda akan meminta bantuan daripada kuasa besar yang lain.

Petisyen daripada Tengku Abdul Kadir itu mendapat perhatian serius daripada Frank Swettenham dan Kerajaan British kerana dalam surat tersebut Patani tidak teragak-agak akan mendapatkan bantuan daripada kuasa besar yang lain sekiranya British tidak mempertimbangkan aduan tersebut. Hal ini amat membimbangkan British kerana pada waktu itu, Jerman sedang mencari wilayah di rantau Asia Tenggara untuk memenuhi Welt politiknya. Sekiranya Negeri-Negeri Melayu Utara bangkit, pastinya perkembangan ini memberi peluang kepada Jerman untuk meluaskan kuasanya seterusnya menjejaskan kedudukan British di rantau ini.

Pada Oktober 1901, Frank Swettenham telah menjemput Tengku Abdul Kadir ke Singapura untuk berbincang mengenai perkara itu. Beliau telah meminta Tengku Abdul Kadir bersabar dan cuba mengelakkan daripada melakukan hal yang terburu-buru. Beliau memberi jaminan, sekiranya Tengku Abdul Kadir bersabar dan menuruti nasihatnya, beliau akan mendapatkan simpati daripada Kerajaan British untuk memulihkan kekuasaannya. Atas jaminan tersebut, Tengku Abdul Kadir menangguhkan rancangan pemberontakkan tersebut.

Pada masa yang sama, Swettenham telah mengharamkan pengeksportan senjata api dari Singapura ke Negeri-Negeri Melayu Patani. Beliau juga telah memaklumkan hal tersebut kepada Pejabat Tanah Jajahan British tentang pergolakan yang berlaku di Patani dan ancaman Raja-Raja Melayu untuk mendapatkan sokongan kuasa Eropah lain sekiranya British enggan membantu mereka.

Bertindak dari laporan Swettenham, Pejabat Luar British di London telah mengarahkan Menteri British di Bangkok, Archer supaya berbincang dengan Putera Damrong, Menteri Dalam Negeri Siam tentang keadaan di Patani. Putera Damrong telah bersetuju menghantar timbalannya, Phya Sri Sahadhed ke Patani bagi membuat siasatan.

Phya Sri telah mengadakan perbincangan dengan Duff untuk mendapatkan gambaran keadaan Patani sebelum berangkat ke sana. Beliau tertanya-tanya kemungkinan kekacauan akan berlaku di negeri-negeri Melayu Patani memandangkan Persuruh Jaya Siam di Patani telah meninggalkan negeri itu kerana bimbang akan diserang. Duff menafikan keadaan tersebut tetapi mengingatkan sekiranya Siam berdiam diri, pasti akan berlaku kekacauan di wilayah tersebut. Disamping itu, Duff juga mencadangkan supaya Phya Sri mengadakan perbincangan dengan Raja-Raja Melayu bagi mententeramkan keadaan. Beliau memberi jaminan bahawa raja-raja Melayu akan menerima rombongan kerajaan pusat dengan baik.

Penipuan Phya Sri Shadheb
23 Oktober 1901, Phya Sri Shadheb telah belayar ke Patani dan setibanya di sana beliau terus menemui Tengku Abdul Kadir di Istana Cabang Tiga. Pada pertemuan tersebut, Tengku Abdul Kadir telah memberi penerangan sebab kenapa Raja-Raja Melayu tidak berpuas hati dengan Pesuruhjaya Siam seperti mana yang terkandung dalam petisyen beliau kepada Kerajaan British. Tengku Abdul Kadir juga mencadangkan, agar Kerajaan Siam memberi hak autonomi seperti mana yang dikecapi oleh Kedah. Sultan terletak tertinggi dalam hierarki pentadbiran, undang-undang tempatan menjadi dasar pemerintahan dan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi.

Putera Damrong -1904
24 Oktober 1901, iaitu keesokan harinya, Phya Sri sekali lagi mengadap Tengku Adul Kadir, kali ini beliau datang dengan sepuck surat berbahasa Siam. Beliau meminta Tengku Abdul Kadir menandatangani surat tersebut yang dinyatakan mempunyai aduan dan cadangan baginda untuk menyelesaikan masalah di Patani dan surat itu akan diserahkan kepada Putera Damrong untuk mendapat pertimbangannya. Phya Sri Shadheb dengan bersungguh-sungguh menyatakan itu bukan surat perjanjian dan baginda tidak terikat dengan kandungannya. Tengku Abdul Kadir enggan menandatanganinya kerana surat tersebut dalam bahasa Siam dan tidak memahaminya. Akhir sekali, Phra Sri telah menyuruh pegawainya menterjemah dan diperdengarkan kepada Tengku Abdul Kadir, sekali lagi Phya Sri memberi jaminan bahawa Patani tidak akan terikat dengan kandungan dalam surat tersebut. Kerana jamiinan itu, Tengku Abdul Kadir akhirnya menandatangani surat tersebut. Setelah itu, Phya Sri Shadheb telah berangkat ke Singapura melalui Teluban.

Sebenarnya Tengku Abdul Kadir telah terpedaya dengan helah Phya Sri Shadheb kerana surat tersebut adalah persetujuan Patani untuk menerima Undang-undang Pentadbiran Tahun 116, sejajar dengan itu, Patani telah bersetuju menerima perlantikan seorang Setiausaha Kerajaan yang mempunyai kuasa muktamad dalam segala urusan Negeri Patani.  Phya Sri telah melaporkan kepada Frank Swettenham dan Duff tentang perkara ini, walhal ia sebenarnya di luar pengetahuan Tengku Abdul Kadir.

Hal ini membuatkan Tengku Adul Kadir, dengan serta merta menghantar dua orang pembesar negeri iaitu Wan Ismail dan Wan Muhammad ke Singapura untuk memaklumkan kepada Phya Sri Shadheb tentang kesilapan tersebut. Setelah dimaklumkan oleh wakil Raja Patani, Phya Sri bersetuju untuk bertemu dengan Tengku Abdul Kadir setelah perkara itu dibincangkan di dalam perjumpaan Raja-Raja Negeri di Nongchik pada 13 November 1901. Beliau juga mengingatkan agar Raja Patani tidak mengheboh-hebohkan perkara itu kepad Raja-Raja Melayu yang lain.

Tengku Abdul Kadir tidak menghadiri perjumpaan tersebut dan membolehkan Patani tidak terikat dengan perlaksanaan Undang-Undang Pentadbiran Tahun 116 itu. Di bawah undang-undang tersebut, kerajaan Siam telah membentuk semula pentadbiran 7 Negeri Melayu Patani kepada dua iatu:

  1. Bahagian Sungai Teluban (Saiburi, Legeh dan Kelaba)
  2. Bahagian Patani (Patani, Nongchik, Reman dan Jala)

Di bawah Undang-Undang ini, Raja ibarat boneka yang bernyawa dan seolah-olah tiada fungsi, kerana segala-galanya harus melalui Setiausaha Kerajaan dan juga Majlis Negeri hanya menerima gaji bulanan sahaja.

Pengumana Phya Sri ini hanya mendapat sokongan daripada Raja Jering dan juga pegawai-pegawai Pro-Siam, yang lain semuanya membantah kerana Undang-Undang tersebut telah menyekat banyak kebebasan mereka sebelum  ini.  Sebelum pulang ke Bangkok, Phya Sri telah menemui Raja Patani dan meminta baginda menerima dan bersetuju dengan undang-undang baru itu, namun baginda telah menolak usul itu.

Bantahan dihantar oleh Tengku Abdul Kadir kepada Chulalongkon namun tidak dilayan. Tanpa persetujuan Raja-Raja Melayu undang-undang tersebut dilaksanakan juga. Pada 16 Disember 1901, Putera Damrong telah melaksanakan satu peraturan yang dikenali sebagai Peraturan bagi Mentadbir 7 Wilayah bagi tahun 120 di negeri-negeri Melayu Patani.



Sunday 15 December 2013

PATANI-KELANTAN : EPISOD 8 THESAPHIBAN KONFLIK RAJA MELAYU PATANI KERABAT KELANTAN

Pendahuluan
Artikel sebelum ini kita telah membicarakan tentang perubahan dasar pemerintahan Siam terhadap negeri-negeri Melayu yang dijajahnya semasa pemerintahan Raja Rama III. Ia dilaksanakan semasa perlantikan Tuan Besar sebagai Raja Patani yang menggantikan Nik Yusuf yang dipindahkan ke Jering. Raja Rama III telah memberi hak pemerintahan sendiri (autonomi) kepada Raja-Raja Melayu untuk mentadbir negeri masing-masing termasuk Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Negeri-negeri Melayu hanya disyaratkan menghantar Ufti berupa pitis emas dan perak setiap tiga tahun sekali dan berikrar tunduk dan taat kepada Siam. Pemerintahan autonomi ini telah dijalankan pada 1856 hingga 1890 apabila pengganti Raja Rama III, Chulalongkorn, Raja Siam yang baru memperkenalkan sistem pemerintahan yang baru iaitu Thesaphiban.

Raja Chulalongkorn, Rama V
Sebab Thesaphiban dilancar
18 Januari 1896, Chulalongkorn telah memberitahu Putera Damrong, yang juga Menteri Dalam Negeri Siam tentang pentingnya pentadbiran wilayah disusun semula kerana pada pendapat beliau waktu itu, sekiranya pentadbiran tidak disusun semula ia merugikan negara kerana banyak kawasan dalam negeri Siam tidak diusahakan. Selain dari itu, ekonomi negara Siam pada waktu itu dapat dipertingkatkan dengan penstrukturan semula pentadbiran wilayah.

Sebenarnya perubahan dasar pentadbiran ini disebabkan oleh perkembangan yang berlaku sekitar Asia Tenggara dalam tahun-tahun 1890-an. Siam sebenarnya bimbang dengan kuasa-kuasa imperialis yang membanjiri kawasan Asia Tenggara dengan dasar imperialisma tersendiri yang dapat menggugat keutuhan wilayahnya, terutama wilayah-wilayah terpencil di Selatan Siam yang jauh dari pusat pentadbirannya di Bangkok. Kerajaan Siam khuatir, sekiranya wilayah-wilayah ini tidak disatukan di bawah kuasa Siam kemungkinan besar, wilayah-wilayah ini akan dikuasai oleh imperialis barat.

Dalam tahun 1890an, Perancis dan British berlumba-lumba meluaskan kawasan jajahan masing-masing. Perlumbaan mereka sampai kekemuncak pada 1893 apabila Perancis berjaya mencapai matlamatnya di timur Sungai Mekong dengan menggunakan kekerasan ke atas Siam, manakala British beroperasi di timur laut Burma dan Selatan China serta negeri-negeri Melayu utara sehingga ke Segenting Kra. Di tambah perwakilan British di Tanah Melayu mendesak Parlimen Britain supaya pengaruh British diperluaskan sehingga ke Segenting Kra.

Frank Swettenham telah dilantik menjadi Residen Jeneral yang pertama bagi Negeri-negeri Melayu Bersekutu, kempen untuk menggabungkan negeri-negeri Melayu di Utara dengan jajahan British semakin rancak. Keadaan menjadi tambah genting bagi pihak Siam apabila termerterainya perjanjian British-Perancis pada 15 Januari 1896. Perisytiharan itu memperakui kedaulatan wilayah Siam di Lembah Chao Phraya dan tidak menyentuh Negeri-Negeri Melayu di Selatan Siam. Pada asasnya walaupun perakuan itu menampakkan Siam berdaulat tetapi syarat-syarat yang terkandung tidak menghalan British dan Perancis menguasai wilayah-wilayah Siam. Terbukti disini bahawa perisytiharan itu tidak membuatkan wilayah dan negeri-negeri Melayu itu Merdeka sebaliknya, Siam telah mengambil  peluang ini untuk merombak sistem pentadbiran Wilayah yang sedia diguna pakai pada waktu itu.
 
Putera Damrong
Pecah dan Perintah
Putera Damrong telah mencadangkan kepada Chulalongkorn supaya pentadbiran wilayah disusun semula mengikut sitem Thesaphiban yang mana semua pentadbiran wilayah dikumpulkan dalam satu unit yang dikenali sebagai Monthon. Setiap Mothon pula ditadbir oleh Persuruhjaya Tinggi (Khaluang Thesaphiban) yang bertanggung jawab kepada Menteri Dalam Negeri. Di bawah sistem ini juga,semua kakitangan kerajaan dari peringat atas hingga bawah dibayar gaji mengikut skim kebangsaan.

Mei 1897, Kementerian Dalam Negeri telah mengeluarkan Akta Pentadbiran Daerah (Pharatchabanyat Laksana Pakkhrong Thongthi). Pada Februari 1899 pula, Kerajaan Siam telah mengeluarkan pula Peraturan Mengenai Pentadbiran Wilayah (Kho bangkhap pokkhrong huamung). Peraturan tersebut membuatkan Kementerian Dalam Negeri mempunyai kuasa untuk melumpuh dan menghapuskan pentadbiran Raja-Raja sedia ada. Raja Negeri ataupun Gabenor tidak lagi bersifat warisan sebaliknya ia adalah satu jawatan pentadbiran sahaja (phuwa ratchakan). Raja Siam bebas melantik dan melucut jawatan Raja dan Gabenor. Antara yang termaktub dalam Akta tersebut adalah Raja sedia tidak boleh menjalankan hukuman mati (phu samret ratchakan). Mereka juga tidak mempunyai kuasa untuk melantik Pegawai-Pegawai Kanan kerajaan kecuali, Pendakwaraya (yokkrabat) dan Pegawai Hasil (Phu Chuai). 

Perlantikan ini pula harus mendapat kebenaran atau persetujuan daripada Pesuruhjaya Tinggi yang berkenaan. Sebaliknya, Pesuruhjaya Tinggi Wilayah mempunyai kuasa untuk melantik lima orang pegawai dua daripadanya adalah Penolong Gabenor dan Timbalan Gabenor. Lebih malang lagi,Raja-Raja Negeri kehilangan separuh dari hasil negeri, malah mereka juga tidak boleh mendapat pendapatan dari punca-punca lain seperti berniaga dan memajakkan tanah kecuali gaji yang telah dibayar mengikut Sistem Kebangsaan.

Proses Thesaphiban ini diterajui oleh Putera Damrong selaku Menteri Dalam Negeri dan disokong oleh Chulalongkorn. Ianya dilaksanakan secara berperingkat untuk mengelakkan tanggapan negatif daripada kuasa-kuasa Barat yang Siam sedang mengawal pengembangan pengaruh mereka di kawasan tersebut terutama dari pihak British, kerana Damrong sedar bahawa mereka memerlukan sokongan daripada British untuk mengekang kuasa Perancis.

Selain itu, Damrong juga tidak mahu Raja-Raja Melayu melenting dan bangkit menentang mereka, kemudiannya meminta bantuan daripada British yang waktu itu memang mencari punca untuk menjajah negeri-neger Melayu.

Penentangan
Sebelum pelaksanaan Reformasi Pentadbiran atau Thesaphiban ini, kerajaan Siam telah berusaha untuk mengukuhkan kuasa mereka di Negeri-Negeri Melayu. sebaik sahaja termerterianya Perjanjian British-Perancis 1896, Kerajaan Siam telah mula menghantar Persuruhjaya Siam untuk berkhidmat di negeri-negeri Melayu. Persuruhjaya pertama Patani adalah Phya Sukhum. Chulalongkorn mengutus surat kepada Tengku Sulaiman Syarifuddin bahawa Phya Sukhum sebagai penasihat kepada beliau dalam setiap permasalahan.

Chulalongkorn tidak memaklumkan kepada Raja Patani tentang pelaksanaan reformasi pentadbiran ini. Lantas apabila diketahui, Raja Patani telah menghantar usul agar Patani diasingkan daripada sistem pentadbiran baru ini.

Sewaktu Phya Sukhum dilantik sebagai Persuruhjaya Tinggi, Siam telah menandatangani perjanjian sulit pada 1897 dengan kerajaan British tentang kedudukan wilayah-wilayah Melayu di Selatan Semenanjung. Perjanjian ini membolehkan Siam melaksanakan pembaharuan sistem pentadbiran baru di negeri-negeri Melayu.

Sejajar dengan perjanjian itu, Phya Sukhum telah melaksanakan pembaharuan pentadbiran dengan menyusun semula sistem pemungutan cukai candu dan spirit. Beliau telah menyatukan hasil kutipan cukai pajakan itu dan dibahagi kepada dua, separuh untuk Raja-Raja Melayu dan separuh untuk Kerajaan Negeri. Cadangan ini telah ditolak raja-raja Melayu kerana mereka berpegang bahawa perkara tersebut di bawah bidang kuasa mereka dan kerajaan Siam tidak mempunyai hak untuk berbuat sedemikian. Tengku Sulaiman, mewakili Raja-Raja Melayu telah menghantar bantahan kepada Chulalongkorn tentang tindak tanduk Phya Sukhum. Sebaliknya Raja Siam telah menolak bantahan itu dan menyokong pegawainya, kerana tindakan itu menguntungkan kerajaan negeri tambahan Raja Siam mencadangkan agar Raja-Raja Melayu mewujudkan sebuah ladang besar yang diusahakan besama antara tujuh negeri tersebut.

Pada awalnya, Siam membayar hasil cukai pajakan candu tersebut dikalangan raja-raja Melayu. Namun, keadaan itu tidak kekal lama. Setelah kemangkatan Tengku Sulaiman pada 1898, kerajaan Siam tidak lagi membuat bayaran kepada Raja Muda Tengku Abdul Kadir Kamaruddin walaupun kontrak pajakan itu masih berbaki selama dua tahun. Tengku Abdul Kadir telah merayu kepada Raja Bangkok tetapi tidak dilayan. Phya Sukhum juga telah mengambil alih tugas memungut cukai import dan eksport dari kerajaan negeri. Tindakan Siam telah menyemarakkan lagi kemarahan Tengku Abdul Kadir ditambah dengan Kerajaan Siam melambat-lambatkan perlantikan baginda sebagai Raja Patani.

Jemaah Pembesar Patani, telah sebulat surat melantik Tengku Abdul Kadir sebagai Raja Patani yang baru. Di bawah peraturan lama, pembesar-pembesar negeri diberi kuasa untuk menabalkan Raja Muda sebagai pengganti Raja yang mangkat. Selepas pertabalan itu, pembesar-pembesar negeri akan mendapatkan Sanyathet atau pengesahan. Chulalongkorn telah menjawab, surat pengesahan itu akan dikeluarkan setelah Tengku Abdul Kadir memangku jawatan itu dan membuktikan bahawa dia boleh mentadbir Patani.

Selepas dua tahun baru surat pengesahan diberi kepada Tengku Abdul Kadir oleh  Chulalongkorn sewaktu beliau melawat Patani pada 1900. Chulalongkorn menyatakan bahawa mereka mengiktiraf almarhum Tengku Sulaiman sebagai Phra Pipit Pakdi, Raja Patani dan mengiktiraf Tengku Abdul Kadir sebagai Raja Patani dengan gelaran Phya Wichit Pakdi. Walaupun sudah diiktiraf sebagai Raja Patani, syarat perlantik gelaran itu tidak menghalang Persuruhjaya Tinggi  dan pegawai-pegawai Siam terlibat dalam pentadbiran Patani. Hal ini sememangnya menjejaskan kedaulatan Kesultanan Patani, perbincangan dengan Raja Siam telah menemui buntu dan Tengku Abdul Kadir tiada pilihan lain kecuali menghubungi British untuk mendapatkan pengesahan dan bantuan dalam menegakkan kedaulatannya.

Mei 1901, Tengku Abdul Kadir telah menghantar surat kepada Frank Swettenham yang waktu itu dilantik menjadi Gabenor Negeri-Negeri Selat, kebetulan waktu itu, Chulalongkorn berada di Singapura. Sungguhpun Swettenham bersimpati dengan keadaan Patani, namun dia tidak boleh membantu kerana Kerajaan British telah mempunyai perjanjian dengan Siam mengenai negeri-negeri Melayu. Beliau telah mencadangkan agar Tengku Abdul Kadir mengadakan pertemuan dengan Cholalongkorn bagi membincangkan permasalahan itu.

Julai 1901, Chulalongkorn telah melawat Singapura dan Swettenham telah megambil peluang ini membincangkan secara sepintas lalu mengenai nasib negeri-negeri Melayu dalam wilayah Siam. Swettenham juga menyatakan pegawai-pegawai Siam tidak melayan Raja-Raja Melayu dengan baik dan telah menjejaskan hubungan mesra dengan Bangkok. Swettenham juga membandingkan pemerintahan Britsh di negeri-negeri selat dengan menyatakan bahawa cukai-cukai yang dikutip akan dibayar faedah dengan pembangunan di negeri-negeri tersebut. Ternyata Swettenham mahu menyindir Siam akan dasar mereka di negeri-negeri Melayu tersebut.


Tindak balas yang negatif telah diberikan oleh Swettenham kepada permintaan Patani menyebabkan jemaah pembesar Patani sebulat suara mengambil  keputusan untuk memberontak demi kedaulatan mereka. Tengku Abdul Kadir bercadang untuk melancarkan pemberontakan bersenjata setibanya senjata dan peluru dari Singapura sampai pada akhir Oktober 1901. 

Friday 13 December 2013

PATANI-KELANTAN : EPISOD 7 – TUAN BESAR KERABAT KELANTAN KE-2 PEMERINTAH PATANI

Pendahuluan
Episod-episod awal (1-4) kami ada nyatakan bahawa kerabat Kelantan Pertama pernah memeritah Patani semenjak kemangkatan Raja Kuning di mana Raja Sakti telah menaiki takhta Patani setelah berjaya menghalau Siam dari terus mencengkam Patani yang waktu itu menghadapi masalam dalam negeri yang tidak mempunyai perwaris takhta yang sah.

Raja Sakti telah naik takhta Patani pada 1649 hinggalah anakandanya iaitu Raja Omar turun dari takhta Patani kerana tidak mendapat sokongan daripada para pembesar dan sebilangan besar  raja-raja yang bersekutu di bawah Patani pada 1670.

Disimpulkan disini bahawa Kerabat Kelantan memerintah Patani hanya  21 tahun sahaja, kemudian ianya ditabdbir oleh Pembesar dan Ulama yang melantik Raja dari kalangan 43 negeri yang  bersekutu di Patani. Hinggalah Patani dipecahkan oleh Siam kepada 7 buah negeri, mereka telah melantik Tuan Sulong (1809-1832), anak Raja Bendahara Kelantan, Long Jenal. Namun, Tuan Sulong juga bangkit menentang Siam dan beliau telah disingkirkan dari takhta Patani pada 1831.

Kemudian Siam telah melantik Nik Yusuf yang berasal dari Grisek sebagai Raja Patani (1832-1842). Sewaktu pemerintahan beliau, rakyat Patani bangkit menentang Siam sekali lagi pada 1838 namun telah dipatahkan oleh Siam, mereka mendapati Nik Yusuf tidak terlibat dan telah melantik beliau menjadi Raja Jering berikutan kematian Nai Him Sai. Siam telah melantik Tuan Besar  Tun Ahmad,Raja Kampung Laut dan bekas Perdana Menteri Kelantan sebagai Raja Patani. Bermula 1838 hingga 1842 hingga 1902, Patani telah diperintah oleh Tuan Besar dan keturunnya. Maka bermulah Dinasti Kelantan 2 memerintah Patani selepas 242 tahun yang kali terakhir pada 1670 setelah Raja Omar turun takhta Patani.

Perang Saudara di Kelantan
Perlatikan Tuan Besar sebagai Raja Patani sebenarnya berpunca daripada pergolakan politik  yang berlaku di Kelantan pada 1838-1839 yang dikenali sebagai Perang Saudara II. Peperangan ini berlaku berpunca daripada perebutan takhta Kelantan antara Long Senik Mulut Merah juga Sultan Muhammad II dengan Tuan Besar Tun Ahmad, Raja KampungL Laut.

Sultan Muhammad II pada asasnya telah diiktirah oleh Siam sebagai Sultan Kelantan namun baginda  masih curiga dengan penglibatan Tuan Besar dalam politik Kelantan. Baginda menganggap Tuan Besar sebagai pencabar utama terhadap kedudukannya sebagai Sultan kerana hubungan Tuan Besar dengan Long Jenal yang juga musuh politiknya.

Pada perkiraan Sultan Muhammad II, selagai Tuan Besar tidak disingkirkan selagi itulah takhtanya tidak kukuh. Bertitik  tolak dari perkiraan itulah Tuan Besar tidak dilantik ke sebarang jawatan penting dalam kerajaan. Walaupun terdapat ura-ura untuk melantik Tuan Besar ke jawatan Raja Bendahara namun tiada bukti menunjukkan bahawa jawatan itu ditawarkan kepada Tuan Besar secara rasmi. Sebaliknya jawatan tersebut diisi oleh orang yang bukan dari golongan kerabat sepanjang pemerintahan Sultan Muhammad II. Baginda Sultan juga menafikan hak Tuan Besar ke atas Kampung Laut, hal ini telah membuatkan penentangan bersenjata secara bersemuka di antara Sultan Muhamad II dengan Raja Kampung Laut,Tuan Besar.

Semenjak 1785 Kelantan dan Terengganu terpaksa membayar ufti kepada Siam berikutan kejatuhan Patani kerana sebelum itu dua negeri ini berada dalam naungan Patani. Secara automatik dua negeri ini juga berada di bawah naungan Siam. Jadi apabila tercetusnya perang saudara di Kelantan ini, kedua-dua pihak yang bertelagah telah meminta bantuan Siam untuk menyebelahi mereka. Pertengahan 1839, Phraya Phipath telah menghanta wakilnya ke Kelantan untuk mendamaikan konflik mereka, namun usaha itu menemui jalan buntuk. Pada 7 Julai 1839, Siam sekali lagi menghantar wakil bersama-sama dengan sebilangan anggota tentera Phraya Chaiya. Ketua delegasi itu telah memaksa mereka berdua menghentikan peperangan itu dan berangkat ke Songkhla untuk menyelesaikan pertikaian mereka.

Sultan Muhammad II dan Tuan Besar telah berangkat ke Songkhla. Bagaimanapun, Gabenor Songkhla telah meminta Tuan Besar ke Bangkok untuk berunding dengan Raja Siam, Raja Rama III (1824-1851) mengenai masalah tersebut. Sebenarnya ini hanyalah helah Siam dalam menamatkan perang saudara yang nyata merugikan. Siam sebenarnya lebih menyokong Sultan Muhammad II. Sepanjang Tuan Besar berangkat ke Bangkok, angkatan Sultan Muhammad II dengan sokongan Phraya Chaiya telah menyerang kubu Tuan Besar, menjelang Ogos 1839, Sultan Muhammad II telah berjaya menumpaskan penentangnya.

Raja Rama III
Ketika Tuan Besar di Bangkok, Raja Rama III telah menawarkan jawatan Raja Patani kepada Tuan Besar
sebagai penyelesaikan kepada pertikaian yang berlaku di Kelantan. Tawaran itu dikeluarkan kerana pada waktu itu takhta Patani kosong kerana Raja Patani waktu itu, Nik Yusuf telah dilantik menjadi Raja Jering. Pada awalnya, Tuan Besar agak keberatan untuk menerima jawatan itu kerana memandangkan kuasanya sebagai Perdana Menteri telah berkurangan dan ramai pengikutnya telah berpaling tadah, beliau akhirnya menerima jawatan itu.

Pada pertengahan 1842, Tuan Besar dan pengikutnya yang setia telah berangkat ke Patani. Dengan itu, tertubuhlah wangsa Tuan Besar di Patani. Setelah disahkan oleh Raja Rama III sebagai Raja Patani, Tuan Besar telah menukar namanya kepada Sultan Muhammad dan memakai gelaran Phya Pipik Pakdi.

Hak Autonomi
Semasa perlantikan Tuan Besar sebagai Raja Patani. Siam telah mengubah dasar pemerintahannya terhadap negeri-negeri Melayu. Siam telah memberi hak autonomi kepada raja-raja Melayu yang memerintah di negeri-negeri yang baru dibentuk tanpa campur tangan pegawai-pegawai Siam. Raja-Raja Melayu dibawah naungannya hanya dikehendaki menghantar bunga Emas dan Perak setiap tiga tahun sekali ke Bangkok dan berikrar tidak akan menderhaka kepada kerajaan Siam.

Perubahan dasar pemerintahan ini berikutan Raja Rama III mahu mengekalkan keamanan di Selatan yang menjadi naungannya. Perkara ini dilakukan untuk meredakan kebangkitan Raja-Raja Melayu yang mahu bebas dari cengkaman Siam. Selain dari itu, dalam pemberontakan yang berlaku pada 1838, Siam pernah menerima surat dari Borham, Gabenor Negeri-Negeri Selat yang mengingatkan agar mengelakkan kekacauan dari berterusan. Ternyata, keputusan Siam ini telah berjaya mengekalkan keamanan di negeri-negeri Melayu Patani dan Kedah.

Keamanan ini dikecapi sepanjang pemerintahan Sultan Muhammad (1842-1856) dan dua orang penggantinya, Tengku Puteh (1856-1881) dan Tengku Besar (1881-1890). Bagaimanapun semasa pemerintahan Tengku Sulaiman Syarifuddin (1890-1898), Chulalongkorn, Raja Siam melakukan reformasi pentadbiran dengan memperkenalkan sistem Thesaphiban.

Di bawah sistem ini, kuasa autonomi Raja-Raja Melayu telah ditarik semula, menyebabkan Raja-Raja Melayu hilang kedaulatan mereka. Tindakan Raja Siam ini telah menimbulkan konflik baru di Patani hingga menyebabkan Tengku Abdul Kadir Kamaruddin,Raja Patani  telah ditahan oleh Siam pada 1902.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...